Thursday, January 19, 2012

Syariah : Makna dan Dasarnya



بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله ومن ولاه


Di dalam melaksanakan syariah Islam di dalam negara, terdapat aulawiyat yang perlu dipatuhi oleh mereka yang diizinkan Allah memegang tampuk kekuasaan.Berikut adalah sedikit perkongsian yang diolah kembali daripada rakaman temuramah bersama Dr Yusof al-Qardhawi di bawah tajuk “Syariah: Makna dan Dasarnya,” menerusi rancangan Syariah Dan Kehidupan, saluran al-Jazeera.

Muqaddimah

Terlebih dahulu beliau mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara kita di Mesir yang telah berjaya menjalani pilihanraya dengan ketiga-tiga peringkat dan memilih calon-calon yang disokong oleh sebahagian besar rakyat.Tidak mungkin seluruh semuanya manusia bolehbersepakat di atas suatu perkara, ini sememangnya tabiat manusia.Maka, jika sebahagian besar manusia menyokong, sudah menandakan satu kebaikan, Insya Allah.Beliau mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka mendapat petunjuk dalam melalui peringkat yang seterusnya.

1)      Takrif syariah:

ما شرعه الله لعباده من الأحكام

“Segala perkara yang Allah syariatkan kepada hambaNya, daripada hukum hakam.”

Ada di antaranya suruhan dan ada pula larangan. Ada di antaranya yang berkaitan dengan ( كيفية العمل ) ‘cara beramal’ dan dinamakan sebagai ( فرعية وعملية ) ‘cabang dan amalan.’ Ilmu yang berkaitan dengannya dinamakan sebagai ilmu fiqh, syariah dan hukum. Dan ada pula yang berkaitan dengan ( أصل العمل ) ‘dasar amalan’ dan dinamakan sebagai ( أصلية واعتقادية ) ‘usul dan pegangan.’ Ilmu yang berkiatan dengannya dinamakan sebagai ilmu kalam, tauhid atau aqidah

2)      Syariah dan agama:

Jika berdasarkan takrif di atas, syariah itu sendiri adalah agama.

Namun sebahagian ulama membezakan antara penggunaan kalimah syariah kepada maksud yang lebih khusus, iaitulah hukum hakam fiqh.Sebagaimana di al-Azhar dinamakan kuliah yang menumpukan pengajian fiqh sebagai kuliah syariah, dan kuliah yang mengaji akidah dinamakan kuliah usuluddin. Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikuhul Azhar pernah mengarang sebuah kitab bertajuk “Islam itu Aqidah dan Syariah.”

3)      Kenapa Allah turunkan Syariah?

Firman Allah taala:

لقد أنزلنا رسلنا بالبينات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس بالقسط
كتاب أنزلناه إليك لتخرج الناس من الظلمات إلى النور

Allah taala maha kaya daripada hambaNya, Dia tidak berhajat kepada sesuatu daripada hambaNya. Di dalam ayat pertama disebut: “Agar manusia menegakkan keadilan,” ayat  kedua “Mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya.”

Secara ringkasnya, syariah adalah:

كل ما يهدى الناس في الحياة إلى الطريق القويم والتوازن

Setiap perkara yang menyusun kehidupan dan memandu kepada jalan yang lurus dan sistematik, itulah tugasan syariah, agar mereka mendapat kebaikan di dunia, dan di akhirat.

4)      Sumber-sumber syariah:

Syariah diambil daripada dalil-dali syarak. Terdapat dua jenis dalil: pertama dalil yang disepakati. Iaitulah al-Quran yang merupakan sumber yang paling utama, kemudian sunnah, ijmak dan qias. Jenis yang kedua pula dalil yang terdapat perselisihan antara ulama seperti amalan umat terdahulu, masaleh mursalah, istihsan, uruf, istishab dan sebagainya (rujuk kitab-kitab usul fiqh) Semua sumber-sumber ini sudah memadai bagi menyelesaikan setiap permasalahan manusia.

5)      Apakah perkara yang ( الثابت ) ‘tetap.”?

Perkara yang ( الثابت ) ‘tetap’ dan tidak akan berubah adalah yang berkaitan dengan akidah, ibadah yang asas, akhlak-akhlak yang utama, nilai murni dan perkara (الرذائل ) ‘yang dipandang keji’, halal dan haram, perkara-perkara yang dasar yang berkaitan dengan individu, mencari pekerjaan halal, berpakaian menutup aurat, makanan halal, hubungan antara suami isteri, kaum kerabat, hak-hak asas masyarakat, pemerintah, rakyat dan sebagainya. (Yakni perkara yang sudah diijmak dan bukan tempat ijtihad)

6)       Apakah perkara ( المتغير ) ‘boleh berubah’ dan syarat-syaratnya?

Perkara yang ‘boleh berubah’ adalah selaindaripada perkara sabit.Iaitulah yang bukannya dari masalah akidah, ibadah, akhlak-akhlak utama, bukan juga dari hukum qatie yang tidak menerima sebarang perubahan, seperti masalah pewarisan harta yang sudah disebutkan secara jelas di dalam al-Quran dan hadis, kerana sudah disepakati oleh seluruh umat.Perkara sabitini tidak menerima perubahan atau ijtihad.

Perkara mutaghayyir adalah cukup banyak iaitulah segala perkara yang boleh dimasuki ijtihad.Ia dikaji di dalam ilmu fiqh dengan perbahasan yang cukup meluas. Daripada sini timbulnya perubahan fatwa. Fatwa boleh berubah mengikut 4 perkara: masa, tempat, uruf (adat setempat) dan keadaan.

Jadi di sana terdapat perkara yang boleh berubah, dan ada perkara yang tidak berubah, Iaitulah perkara yang menjadi dasar dan asas agama.

7)      Perlaksanaan Syariah

Sebahagian manusia apabila mendengar kalimah undang-undang syariah terus rasa takut.Seolah-olah syariah tidak mampu memberikan keadilan.Sebenarnya syariah adalah amat bertepatan dengan nas dan akal manusia.Ia akan dilaksanakan sebagaimana dilaksanakan undang-undang biasa. Bukan bermakna apabila kita mahu melaksanakan syariah terus kita memotong tangan pencuri. Saya berpendapat perkara ini tidak akan boleh terus dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun yang terdekat. Kita sebenarnya amat berhajat untuk mendahulukan perlaksanaan dasar, yang berkaitan dengan akidah, akhlak, ekonomi, ilmu tentang syariah.Terdapat dua juta penduduk jalanan di Mesir sekarang, yang tidak mempunyai pendidikan. Adakah apabila kita melaksanakan syariah kita terus akan memotong tangan mereka? Terlebih dahulu kita perlu mengajar mereka, memberi pemahaman, memenuhi keperluan terhadap perkerjaan, pengetahuan, dan keperluan asas.Semua ini perlu dilaksanakan sebelum dilaksanakan hudud.Bukankah Nabi memulakan dakwahnya dengan membetulkan akidah dan menanam pemahaman selama 10 tahun di Mekah.Baginda terlebih dahulu menjelaskan halal dan haram, membersihkan jiwa dan mempersiapkan manusia untuk melaksanakan syariah. Setiap pihak yang akan memegang tampuk pemerintahan amat perlu memahami perkara ini terlebih dahulu.

8)      Berperingkat  di dalam melaksanakan syariah

Hukum syariah banyak memberikan contoh kepada tadarruj.Contohnya pengharaman arak.Arak diharamkan menerusi beberapa peringkat di dalam beberapa ayat.Lihatlah bagaimana Allah mencipta segala perkara secara berperingkat-peringkat?pohon anak kecilIni adalah sunnah yang perlu diraikan. Bukan hudud sahaja syariah Islam. Tetapi banyak lagi hukum hakam syariah yang lain.

9)      Siapakah yang boleh melaksanakan syariah. Negara atau umat

Sebahagian perkara syariah boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kuasa.Contohnya makan, sembahyang, bekerja, semua perkara ini boleh dilaksanakan mengikut syariah tanpa memerlukan kepada negara.Adakah saya perlu menunggu perintah makan, baru saya makan?Tidak.Perkara berkaitan mencari rezeki yang halal mampu saya laksanakan sendiri tanpa negara.Syariah adalah semua perkara yang berkaitan dengan mukallaf, buat atau tinggalkan.Adapun perkara besar seperti hukuman hudud, hanyalah boleh dilaksanakan oleh negara. Jadi, setiap orang melaksanakan apa yang dituntut daripadanya. Tidak boleh seseorang melakukan perkara diluar bidang kuasanya.Perintah untuk melaksanakan hudud dituju kepada seluruh umat.Tetapi yang boleh melaksanakan hanyalah pemerintah. Jika pemerintah tidak melaksanakan hudud, maka semua akan berdosa. Umat dituntut untuk memastikan pemerintah melaksanakan hudud.

10)   Bolehkan satu golongan melaksanakan hudud sendiri?

Tidak boleh.Tidak boleh sekumpulan manusia melaksanakan hudud sendiri.Mestilah negara yang melaksanakannya.  Firman Allah taala:

يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم

Ulil Amri adalah ulama dalam bidang kuasanya, dan pemerintah dalam bidang kuasanya.Pemerintah perlu ditaati di dalam perkara yang Allah taala perintahkan kepadanya untuk dilaksanakan.Merekalah yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut.Umat pula perlu membantu mereka. Jika kita menangkap pencuri, kita perlu mengajarkan dia bahawa perkara ini salah, bagaimana cara mencari rezeki.Kita tidak boleh terus memotong tangannya sebelum asas-asas ini bertapak kemas.

11)   Khilaf antara mazhab

Kebanyakan hukum syariah mempunyai khilaf.Hanya sedikit sahaja yang tiada khilaf. Sesiapa yang mengkaji ilmu fiqh muqaran akan mendapati kebenaran kata-kata ini. Setengah orang mengatakan kita perlu berpegang kepada zahir nas.Tidak.Syariah mempunyai maqasid dan matlamatnya.Maqasid ini perlu diraikan.

Ibnu Taimiyah melarang orang menegah tentera Tartar minum arak. Arak diharamkan kepada kita kerana ia menyibukkan kita daripada mengingati Allah. Tetapi arak adalah lebih baik buat mereka, kerana arak menyibukkan mereka daripada membunuh.Ini adalah satu contoh pandangan terhadap maqasid. Seorang muslim perlu melihat dimanakah tarjih. Banyak pendapat bukan bermakna kita perlu mengambil semua pendapat.Tidak.Bahkan kita perlu meneliti yang manakah lebih rajih, dan mempunyai maslahah yang paling besar untuk manusia.

Kisah Ibnu Abbas, datang seorang bertanya kepadanya “Adakah pembunuh diterima taubatnya?” Ibnu Abbas melihat wajah penanya dan berkata “Pembunuh tidak diterima taubatnya.”Sahabat-sahabat beliau hairan dan bertanya kepadanya.Beliau menjawab “Aku melihat mukanya dipenuhi perasaan marah, dan dia ingin membunuh seorang mukmin.Maka aku ingin halang dia daripada membunuh.”Maka Ibnu Abbas telah menutup jalan orang tersebut daripada membunuh.Sedangkan sebelum itu beliau memberi fatwa bahawa taubat seorang pembunuh diterima Allah.

Daripada sini, para ulama berkata:

الفتوى قبل الابتلاء بالفعل غير الفتوى بعد الابتلاء بالفعل

“Fatwa sebelum sesuatu perbuatan dilakukan, adalah berbeza dengan fatwa selepas sesuatu perbuatan dilakukan.”



Disediakan oleh :

Mohd Kamal bin Mansor
Felo MANHAL PMRAM

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...