Saturday, December 29, 2018

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam yang telah mengurniakan selautan nikmat yang tidak berpenghujung. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dengan kejerihan Baginda, dapat lagi kita merasai kelestarian nikmat iman dan Islam sehingga ke hari ini.

Allah SWT telah berfirman :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah perbuat (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala yang kamu kerjakan."  [Al-Hasyr : 18]

Sejarah adalah satu item penting bagi seorang muslim untuk diteladani kandungan dan perkembangannya. Islam mendidik kita agar sentiasa meneladani dan mengambil iktibar melalui kisah-kisah umat terdahulu yang dirakamkan di dalam Al-Quran sebagai sumber rujukan yang paling konkrit. Memperingatinya bertujuan mengambil pedoman untuk diimplementasikan dalam kehidupan sepanjang zaman.

Kita menyaksikan, 28 Disember 2010 menjadi titik hitam peristiwa pahit yang pastinya terpahat kukuh dalam memori kita yang mencintai kesatuan Islam. Sebuah episod yang begitu signifikan apabila seluruh mahasiswa di Mesir bersolidariti menyatakan kebersamaan mereka bersama anak-anak Melaka di Mesir.

Secara umumnya, detik penarikan pengiktirafan BKKIMM ini merupakan permulaan kepada plot-plot penafian seterusnya yang dilemparkan kepada Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM). Bermula dengan tindakan pihak kerajaan negeri menarik pengiktirafan BKKIMM seterusnya menyatakan hasrat kepada organisasi yang lain, dalam keadaan ianya tidak mendapat persetujuan, bahkan tidak dibincangkan secara tuntas di antara pihak-pihak yang terlibat.

BKKIMM, gerakan mahasiswa Melaka yang lahir daripada rahim Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ini jelas matlamatnya menyatukan anak-anak Melaka di Mesir di bawah payung kesatuan Islam selain komited menyalurkan kebajikan dalam segenap aspek kehidupan mahasiswa Melaka di Mesir. Dengan keutuhan dasar perjuangannya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, BKKIMM mampu melayari bahtera kesatuan, menerjang badai mehnah yang pelbagai berdekad lamanya.

42 tahun sejak penubuhannya menjadikan BKKIMM terus matang membawa gagasan mahasiswa Melaka setelah dibuktikan menjadi perantaraan penting, suara mahasiswa kepada pihak-pihak berwajib terutamanya kerajaan negeri Melaka. Bukan itu sahaja, pasca 28 Disember menyaksikan penafian demi penafian ke atas BKAN Melaka apabila dihadapkan dengan isu penempatan anak Melaka yang tidak berkesudahan, ditutup ruang dan peluang berprogram di rumah negeri, diugut akan dihentikan bantuan zakat dan pelbagai lagi diskriminasi yang mencabar hak selaku mahasiswa.

Semangat juang anak-anak Melaka tidak pernah luntur dan goyah. Interaksi yang jitu antara pimpinan dan ahlinya menjadikan BKKIMM terus kuat di atas landasan kesatuan. BKKIMM meneruskan survivalnya di Rumah Melaka Sementara (RMS) serta menanggung sendiri kos penempatan tersebut lebih kurang 4 tahun lamanya sejak dinafikan hak penempatan mereka di Wisma Seri Melaka. Ianya menjadikan gerakan BKKIMM ini terus relevan sebagai satu-satunya kesatuan yang komited dan konsisten menjaga kebajikan anak Melaka di Mesir.

Peristiwa ini menjadi salah satu fenomena yang membuktikan jalan yang harus diharungi dalam menyeru manusia ke arah kesatuan dan kebaikan bukanlah suatu jalan yang mudah. Ianya menjadi saudara kepada keimanan dan musuh kepada kekufuran yang pastinya akan dihadapkan dengan hamparan tribulasi.

Justeru, saya selaku Yang Dipertua KPIPM, mewakili seluruh anak-anak Perak, menyatakan kebersamaan dengan BKKIMM sepertimana usul yang telah disepakati dalam Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-50 yang lalu iaitu:

“Bersama mempertahankan hak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) bagi menyatakan solidariti mahasiswa.”

Saya juga menyeru seluruh mahasiswa di Mesir untuk menzahirkan kebersamaan kita dengan memperingati peristiwa ini sebagai simbol keprihatinan kita di bumi Mesir. Moga-moga dengan prakarsa yang kecil ini mampu membuktikan kekuatan mahasiswa selaku pemuda yang bersatu mendepani cabaran membawa kebenaran. Didoakan agar BKKIMM terus tangkas mengatur langkah mempersada kebajikan di arena mahasiswa bagi memenuhi tuntutan Islam.

Siiru 'Ala Barakatillah.

#BKKIMM28DISEMBER
#SolidaritiBersamaBKANMelaka

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak
Yang Dipertua,
Keluar Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019

Saturday, December 22, 2018

KANTA SISWA | UYGHUR : PEMBANTAIAN UMAT ISLAM

KANTA SISWA | UYGHUR : PEMBANTAIAN UMAT ISLAM !
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

Uyghur merupakan etnik beragama Islam yang hidup di wilayah Xinjiang, iaitu di utara China. Suku minoriti ini berasal daripada Turki yang dahulunya dikenali sebagai Republik Turkistan Timur di Asia Tengah sebelum kedaulatannya dicabul, menjadi sebahagian dari wilayah China melalui Gerakan Komunis Tiongkok (China) pada tahun 1949.

Etnik Uyghur juga pada asalnya merupakan penggerak utama yang menunjangi Gerakan Islam Turkistan Timur yang dianggap sebagai kelompok teroris (pengganas) oleh China (Timur) dan Amerika Syarikat (Barat).

⭕ STRATEGI CHINA

Salah satu strategi membanteras muslim Uyghur yang dianggap pengganas oleh pemerintah China hari ini adalah dengan meningkatkan imigrasi etnik Han yang bukan beragama Islam. Ditiup pula dengan semangat kebencian kepada muslim Uyghur.

Maka, pengaruh Islam semakin lemah dan berkurang setelah wilayah Xinjiang didominasi oleh etnik Han yang semakin lama semakin meningkat populasinya di wilayah tersebut.

Tambahan pula, tahun 2009 mencatatkan keadaan muslim Uyghur yang semakin terhimpit menyebabkan kemarahan mereka terhadap diskriminasi yang dilakukan oleh majoriti etnik Han dan pihak kerajaan China.

Dengan itu, kerajaan bertindak balas dengan mengerahkan tentera menahan ribuan demonstran. Jaringan internet juga dimatikan di wilayah itu bagi memutuskan capaian maklumat tentang kondisi yang dialami muslim Uyghur.

⭕ PENINDASAN YANG TIDAK BERPENGHUJUNG

Perlu difahami bahawasanya kekejaman dan kezaliman terhadap etnik minoriti Uyghur ini telah berlaku sejak sekian lama. Direkodkan pada tahun 1952 sahaja, China telah menghukum bunuh ratusan ribu umat Islam di sana yang kebanyakkannya terdiri daripada para cendekiawan dan ilmuwan Islam.

Selain itu, dalam tempoh lebih kurang 30 tahun, ratusan ribu masjid telah ditutup dan dimusnahkan, begitu juga pusat-pusat tahfiz dibakar bagi merencatkan perkembangan Islam di wilayah tersebut.

Lebih menyedihkan, pihak berkuasa dan rejim komunis China sedaya upaya menyembunyikan operasi penindasan ini daripada pengetahuan dunia sekaligus menyemarakkan lagi kebencian terhadap minoriti muslim Uyghur yang dikatakan pengganas.

⭕ TEKANAN MEMUNCAK

Dengan slogan pembasmian pengganas yang dipalitkan pada kelompok muslim Uyghur oleh rejim komunis China, siri-siri kezaliman dan penindasan tidak berhenti sehingga kini. Antaranya:

1) Sekitar 1 juta muslim Uyghur ditahan di sebuah penjara tahanan rahsia yang kononnya didakwa kerajaan China sebagai pusat anti keganasan atau kem latihan. Dikenali sebagai "Re-education Camp" (Pendidikan Semula) kerana menyifatkan mereka mengalami masalah mental.

2) Didoktrin meninggalkan agama Islam dan mentaati rejim komunis. Malah, pemimpin China melancarkan propaganda membanteras keganasan yang memangsakan muslim Uyghur sehingga dipaksa murtad daripada Islam dan menerima anutan komunis dan atheis.

3) Larangan mengekalkan identiti muslim seperti berhijab, berjanggut dan menamai anak dengan nama Islam sehingga ditutup serta dihancurkan masjid, institusi pendidikan (sekolah) Islam, Al-Quran dan buku-buku Islam disita dan dibakar. Ada yang dirogol bagi kaum wanita, diseksa dan dibunuh manakala kanak-kanak pula dimasukkan ke pusat asuhan China bagi menghakis identiti muslim mereka.

4) Tambahan, sebilangan mereka turut dilarang menjalankan sebarang aktiviti keagamaan seperti berpuasa di bulan Ramadan, menunaikan solat Jumaat, mempelajari Al-Quran dan ilmu Islam. Pihak berkuasa menyediakan Al-Quran versi mereka sendiri. Mudahnya, ibadah mereka diawasi oleh rejim China!

5) Pergerakan Muslim Uyghur juga sentiasa dipantau dan dikawal ketat oleh pihak rejim dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan pemeriksaan pihak berkuasa di seluruh wilayah Xinjiang. Sistem penjejakan satelit juga dikatakan wajib dipasang di dalam kereta.

6) Sumber lain, Kerajaan China juga dikatakan telah melancarkan kempen anti produk makanan halal bagi mengekang sumber makanan halal di sana. Muslim Uyghur juga dipaksa minum alkohol dan makan babi jika melawan undang-undang yang telah ditetapkan.

⭕ HAYATI SEJARAH DAN DISKRIMINASI KE ATAS DUNIA ISLAM

Fenomena penindasan yang terjadi di seluruh dunia Islam khususnya ke atas etnik Muslim Uyghur hari ini membuktikan ketidakadilan dan kekejaman yang dilakukan oleh kuasa-kuasa besar berkuku besi dengan mengeksploitasi kelemahan umat untuk terus mencengkam dan menekan umat Islam.

Dalam pada itu, isu ini seharusnya tidak mempengaruhi dan menghanyutkan kecaknaan kita dalam mengamati setiap penindasan yang berlaku di seluruh dunia Islam yang lain seperti Palestin, Mesir dan lain-lain yang tidak kurang galaknya digasak oleh kuasa-kuasa besar berkepentingan.

Umat Islam perlu membuka semula lembaran sejarah kegemilangan Islam yang pernah melebarkan tamadunnya sehingga menguasai benua-benua gergasi seperti Asia dan Eropah sekaligus menyebarkan Islam di negara-negara seperti India, China, Amerika Syarikat dan Perancis yang hari ini menjadi salah satu daripada kuasa-kuasa besar yang memanipulasi kelebihan mereka untuk menggandakan tekanan kepada umat Islam seluruhnya.

Firman Allah SWT:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنزعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. "Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". (Ali Imran : 26-27)

Justeru, sebagai saudara seakidah khususnya mahasiswa Islam, tidak boleh berpeluk tubuh dengan hanya merasa cukup memikirkan diri sendiri sahaja tanpa perlu prihatin dan mengambil penting isu ini. Tugas kita amat besar dalam menyedarkan sesama kita akan perihal umat Islam sejagat di samping mengutuskan doa-doa kesejahteraan dan kemenangan buat saudara-saudara Islam kita di seluruh pelosok dunia.

"Memacu Legasi Berinformasi"

Disediakan oleh:
Unit Pengkajian dan Informasi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Saturday, December 8, 2018

KANTA SISWA | ICERD : PEDULIKAH KITA

KANTA SISWA | ICERD : PEDULIKAH KITA?
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

ICERD merupakan singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination. Dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.

Secara faktanya, konvensyen ini telah dibuka untuk ditandatangani serta diratifikasi sejak 21 Disember 1965 dan dikuatkuasakan bermula 4 Januari 1969. Uniknya, Malaysia merupakan satu daripada 15 buah negara yang tidak meratifikasi konvensyen tersebut sehingga ke hari ini.

⭕ ICERD DAN PERLEMBAGAAN

Dalam konteks negara Malaysia, sekiranya konvensyen ini disahkan, ia mampu memberi implikasi yang besar terhadap perpaduan kaum yang telah terbina sekian lamanya di tanah air ini dalam erti kata lain perjanjian ini mampu mengundang perpecahan kaum.

ICERD juga mampu mengganggu-gugat serta menjejaskan peruntukan perlembagaan negara khususnya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan Hak-hak Keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Hal ini kerana ICERD yang kononnya berperanan membawa aspirasi kesamarataan yang menjadi tunjang idea liberalisme juga membasmi segala bentuk diskriminasi yang berlegar sekitar negara-negara anggota menganggap pemberian keistimewaan kepada sesebuah kumpulan adalah satu bentuk diskriminasi yang mesti dihapuskan.

Hakikatnya, ICERD itu sendiri mempunyai unsur diskriminasi yang tersendiri dengan nilai kesamarataan serta tidak menghormati kewujudan perbezaan agama dan bangsa yang menjadi perjuangan utama golongan liberalis. Jika menerimanya sebagai solusi diskriminasi, bererti membuka ruang tuntutan pihak tertentu bagi mendapat lesen sehingga melanggar sempadan agama, hak bumiputera serta keadilan terhadap semua kaum yang mesti dipertahankan.

⭕ KEDUDUKAN ISLAM

Keamanan telah wujud di negara ini dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan halangan mendiskriminasi kelompok bukan Islam dengan berkonsepkan hak keadilan dan persamaan yang semestinya sudah memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara ini dan pastinya peruntukan ini lebih baik berbanding ICERD. Tinggal saja, aspek pelaksanaannya perlu diperkemas dan diperkasakan dengan cara kita sendiri melalui pihak berautoriti tanpa melibatkan campur tangan luar.

Lebih parah apabila ICERD juga sebenarnya mampu mengancam kedudukan Islam di Malaysia dengan dasarnya yang pincang dan tidak adil menganggap perjuangan Islam sebagai satu unsur rasisme (perkauman). Kewajipan-kewajipan yang terpundak ke atas umat Islam seperti menutup aurat, berhijab, ikhtilat, membanteras ajaran sesat, menghalang agama lain disebarkan kepada umat Islam dan sebagainya dilihat sebagai rasisme dan diskriminasi agama.

Begitu juga hukum-hakam Islam yang melibatkan perbezaan jantina dalam ibadah seperti pembahagian faraid dan sebagainya turut akan dipersoal yang akhirnya menggugat kedudukan Islam. Lebih besar lagi jika diratifikasi ICERD ini, undang-undang yang termaktub di dalam artikel perlembagaan, akta serta enakmen bersifat Islamik turut terjejas malah diklaim juga sebagai rasisme.

Terjejas dengan maksud sekiranya artikel perlembagaan berkaitan undang-undang, akta atau enakmen yang melibatkan kepentingan umat Islam dibawa ke badan kehakiman antarabangsa yang diketahui menganggap agama sebagai satu bentuk rasisme dan penindasan yang bercanggah dengan resolusi ICERD tersebut, tidak dapat tidak undang-undang Malaysia berisiko untuk dipinda.

Sungguh, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan Malaysia manakala hak beragama lain telah termaktub melalui kontrak sosial yang telah disepakati semua wakil kaum di Malaysia. Menjadi kewajipan bagi umat Islam menolak idea dan konsep liberal yang ingin menyamakan kedudukan semua agama, secara tidak langsung menafikan sifat beragama yang akhirnya menghakis naluri manusia untuk beragama.

⭕ PERANAN UMAT

Jelas kepada kita isu agama dan bangsa ini terlebih dahulu diurus dengan baik oleh Malaysia sebelum tercetusnya ICERD pada 1965. Apakah keperluan untuk mencedok idea penjajah ini yang pastinya menatijahkan keuntungan bagi poket mereka sendiri lalu terus dengan sifat penindas ke atas negara-negara jajahan mereka?

Rakyat Malaysia seharusnya menutup serapat-rapatnya pintu yang sebenarnya akan memakan diri kita sendiri apabila ICERD ini cuba diketengahkan atas slogan pembasmian diskriminasi, hakikatnya ia adalah raksasa sebenar yang bermaharajalela melakukan penindasan sewenang-wenangnya.

Bersikap bisu dan memekakkan telinga terhadap isu ini bukanlah tindakan yang bijak. Ironinya, umat Islam, umat beragama dan semua bangsa perlu bersatu dengan tegas menentang agenda ICERD sebagai simbol kecintaan kepada negara yang juga dituntut di dalam Islam. Ini kerana konsepnya yang sebenar tidak beragama dan tiada nilai kemanusiaan.

Tambahan pula, ia digagaskan oleh pihak-pihak berhati binatang seperti barat yang sudah terbukti gagal membawa keadilan hakiki setelah meninggalkan agama dan etika kemanusiaan yang sebenarnya. Menerimanya mengakibatkan pembukaan pintu campur tangan luar ke dalam negara kita.

⭕ DI SEBALIK TOPENG ICERD

Sayogia kita perlu lebih berwaspada dengan tidak bermudah-mudah menerima masuk pengaruh bersifat jahiliah serta berunsur penjajahan yang memperbodohkan minda masyarakat. Maka, kita mesti bersolidariti dan berpadu tenaga menyatakan penolakan dan pengharaman terhadap ICERD yang diragui autoritinya dalam melindungi umat sejagat dari penindasan. Malah kita meyakini ia menuju ke arah kerosakan agama, bangsa dan negara yang sebenarnya sejajar dengan agenda parasit, Freemason.

Kita perlu menyedari usaha ini bukan sekadar menyelamatkan komuniti kecil, tetapi ia merupakan usaha mempertahankan kebenaran serta menyelamatkan kedaulatan umat dan negara yang menjadi sunnah perjuangan.

Ayuh ! Nyatakan bantahan anda.

"Memacu Legasi Berinformasi"

Disediakan oleh:
Unit Pengkajian dan Informasi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Friday, December 7, 2018

MINDA PIMPINAN | FIKRAH ISLAMIAH

MINDA PIMPINAN | FIKRAH ISLAMIAH
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Dengan nama Allah yang  Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.

[ Surah Aali-Imran, Ayat 19 ]

Islam merupakan agama Allah yang suci yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril Alaihissalam. Islam merupakan satu-satunya agama yang diterima oleh Allah untuk dianuti di atas muka bumi ini berdasarkan ayat di atas.

Al-Quran pula merupakan buku manual yang disediakan sebagai panduan kepada umat Islam untuk  menjalani kehidupan di atas muka bumi Allah ini. Para penuntutnya diwajibkan untuk melaksanakan apa yang  ditetapkan oleh syara’ selain menjadikan agama Islam itu sendiri sebagai cara hidup.

Fikrah Islamiyah yang syumul perlu diterapkan di dalam pemikiran umat Islam selain mengamalkan segala kewajipan yang  telah ditetapkan. Kefahaman yang menyeluruh tentang Islam perlu ada dalam  setiap pemikiran umat Islam bagi mengelakkan kita mudah terikut dengan pemainan atau perancangan musuh.

Asy-Syahid Imam Hassan Albanna adalah antara individu yang sangat mementingkan kefahaman Islam yang perlu ada dalam setiap individu Muslim. Oleh kerana itu, di dalam  penulisan beliau iaitu Risalah Ta’lim, beliau meletakkan rukun faham sebagai rukun pertama di dalam rukun perjanjian. Selain itu beliau sendiri menyebut di dalam usul yang  pertama daripada usul 20 iaitu Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh fenomena kehidupan.

🔰PERANCANGAN MUSUH

Dalam era globalisasi yang penuh dengan mehnah ini, musuh-musuh Islam sentiasa merangka perancangan untuk menjatuhkan Islam daripada segenap aspek. Selepas kegagalan mereka untuk mengalahkan umat Islam melalui peperangan, perang pemikiran ( Ghazwatul Fikr) merupakan taktik licik yang kini digunakan untuk memusnahkan umat Islam bermula dari dalam.

Meringan-ringankan ajaran Islam, memperkenalkan Islam menurut pemahaman mereka, Islam mengikut akal semata merupakan antara jarum-jarum halus musuh dalam melemahkan umat Islam. Mereka mula memperkenal dan menyebarkan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri seperti Sekularisme, Pluralisme dan lain-lain.

Kesemua ini telah menyebabkan terdapat segelintir daripada kita yang tergelincir mengikut telunjuk musuh-musuh Islam. Satu perkara yang perlu kita cakna bahawa para musuh Islam tidak akan menyerah selagi mana umat Islam tidak mengikut mereka. Firman Allah SWT :

وَلَنْ تَرْضَىٰ عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).

[ Surah Al-Baqarah, Ayat 120 ]

🔰KESAN BURUK TERHADAP UMAT

Hari ini bukan sahaja orang kafir yang anti kepada Islam, tetapi terdapat juga penganut Islam itu sendiri yang memperlekehkan, mengkritik, serta takut akan ajaran dan ketetapan yang ada dalam Islam itu sendiri. Kes murtad, LGBT, penindasan keatas umat Islam, memperlekeh institusi agama dan memandang rendah terhadap sistem pemerintahan Islam antara isu besar yang dialami umat Islam hari ini. Isu-isu ini semakin membarah dari hari ke hari.

Masalah-masalah tersebut perlu dipandang secara serius oleh setiap orang khususnya kita sebagai mahasiswa Islam yang cakna dan sayang akan agama kita. Perlu kita ketahui, ini semua adalah kesan-kesan daripada ghazwatul fikr yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat yang bertuah ini.

🔰KEMBALI KEPADA AL-QURAN

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

[ Surah Al-Baqarah, Ayat 208 ]

Al Quran merupakan kalam Allah yang suci yang tidak akan terhapus hingga hari akhirat. Ia merupakan rujukan utama yang perlu dirujuk oleh umat Islam untuk mengatasi masalah yang berlaku. Di dalamnya pelbagai ibrah yang boleh  kita ambil dan kita bandingkan dengan situasi kita hari ini.

Perbanyakkan membaca dan mentadabbur ayat-ayat Allah merupakan cara yang paling utama yang perlu kita lakukan selaku umat Islam supaya kita tidak mudah jatuh ke dalam permainan musuh. Pengamalan Islam secara syumul juga merupakan pokok utama yang perlu diketahui oleh para daie. Pengambilan atau pengamalan juzuk-juzuk daripada Islam merupakan kunci kelemahan umat Islam.

Sebagai daie atau khalifah di atas muka bumi ini, fikrah Islamiah itu sendiri perlu diterapkan ke dalam pemikiran umat Islam hari ini. Umat Islam perlu menjadikan Islam sebagai cara hidup yang meliputi segenap aspek kehidupan. Kita juga dilarang untuk mengambil sebahagian sahaja daripada Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain yang menyebabkan kita mudah untuk dipermainkan atau terjerumus dalam permainan musuh

🔰MEDAN KPIPM

KPIPM merupakan persatuan mahasiswa yang di dalamnya ada segenap aspek. Ia tidak membahagi-bahagikan antara satu sama lain. KPIPM sendiri sangat menekankan item fikrah ini buat ahlinya kerana ia adalah tunjang utama dalam membawa bahtera KPIPM itu sendiri. Melalui kesatuan fikrah antara ahli, akan dapat melahirkan amal yang satu.

Slogan "1 Fikrah 1 Amal" merupakan antara slogan yang dibawa oleh PMRAM supaya ahlinya terus bersatu atas satu kefahaman yang sama. Jika hari ini, berlakunya perpecahan semuanya berpunca daripada tiada kefahaman fikran yang satu.

Justeru, KPIPM sentiasa menitikberatkan item Fikrah ini untuk diterapkan kepada ahlinya. Antara contoh terbesar yang kita boleh lihat ialah Pembawaan KPIPM yang diketengahkan oleh pimpinan kali ini adalah item fikrah. Ini membuktikan KPIPM sentiasa komited untuk menekankan item tersebut selain tidak mengabaikan item-item yang lain.

Saya berharap semua pembaca khususnya ahli KPIPM dapat terus mendokong KPIPM dengan segala kepakaran yang ada pada diri pembaca semua. Selain itu, perbanyakkan tadabbur Al-Quran dan mengamalkan isi-isinya. Perbanyakkan bahan-bahan bacaan yang menceritakan tentang strategi musuh supaya kita tidak mudah untuk dipermainkan oleh musuh-musuh Allah. Wallahu Alam.

Siiruu 'Ala Barakatillah.

Disediakan oleh :
Ammar Rushdi bin Jamaluddin
Timbalan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Wednesday, December 5, 2018

MAKLUMAN PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM

MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah S.W.T :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

[ Surah Al-Mujadalah, Ayat 11 ]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam serta menjadikan kita sentiasa dalam naungan-Nya. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir adalah sebuah kesatuan anak-anak Perak di Mesir yang telah dibina sekian lama. Kesatuan ini berperanan penting dalam mempersiapkan mahasiswa/wi Islam yang bersifat siap saga dalam menghadapi tanggungjawab dan amanah dalam aspek pendidikan.

Sedia maklum, mahasiswa/wi pengajian Islam di Universiti Al-Azhar sesi 2018/2019 akan menghampiri satu fatrah peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mahasiswa/wi juga dalam proses bertungkus lumus dan berusaha menghadiri kuliah, mengulangkaji pelajaran, menghadiri kelas tutorial dan sebagainya bagi memperoleh kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Sehubungan dengan itu, KPIPM telah memutuskan bahawa penangguhan semua program di peringkat KPIPM melainkan program yang berbentuk ilmiah, motivasi dan tarbiah. Hal ini bagi memberi peluang kepada seluruh anak Perak di Mesir melakukan persiapan dan persediaan dalam menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Disamping itu, pihak KPIPM berharap agar mahasiswa/wi sentiasa menguatkan hubungan dengan Allah S.W.T dan memperbanyakkan doa yang menjadi kunci-kunci kejayaan bagi seorang individu muslim. Pihak KPIPM juga berharap agar anak-anak Perak dapat menjaga kesihatan dan keselamatan sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan.

Tuntasnya, Kami mendoakan agar seluruh anak Perak meraih kejayaan yang cemerlang serta dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat. Semoga kejayaan yang diperoleh menjadikan kita bertambahnya ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Siiruu 'Ala Barakatillah

Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Friday, November 30, 2018

MINDA PIMPINAN | KESATUAN

MINDA PIMPINAN | KESATUAN
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam, Selawat dan Salam ke Hadrat Baginda Nabi Muhammad S.A.W  penghulu sekalian nabi.

 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ اْلآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, yaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berdzikir kepada Allah.” [ QS. Al-Ahzab: 21 ]

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita setiap tatacara, peribadi dan perjuangan yang dibawa Rasulullah S.A.W mestilah diikuti. Antara Sunnah terbesar yang dibawa oleh Baginda dengan menyebarluaskan Islam ke seluruh pelusuk dunia dengan mengupayakan umat Islam berada dalam kesatuan berlandaskan akidah sebenar.

Kesatuan Islam merupakan salah satu kunci kejayaan terpenting bagi kemuliaan dan kemenangan Islam dari pelbagai bidang samada dari aspek sosial hingga siasah. Sebaliknya, perselisihan dan perpecahan hanya menghasilkan kelemahan dan ketidakberdayaan umat Islam. Potensi sumber daya Muslim yang besar terbuang percuma, dan umat Islam hidup dalam suasana tiada kesatuan, hanya berada dalam  kelompok sosial dan hidup dengan kecenderungan politik masing-masing.

Allah Ta’ala berfirman,

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [ QS. Al-Baqarah: 120 ]

Allah mengkhabarkan kepada Rasul-Nya, bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha sampai kita mengikuti ajaran mereka. Kerana mereka akan terus mengajak untuk mengikuti ajaran mereka dan mereka menganggap itulah sebagai al-huda (petunjuk). Jadi, petunjuk Allah adalah ajaran yang dibawa Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, itulah petunjuk yang sebenarnya. Maka dari itu mereka yakni musuh Islam mengubah konsep mengikuti agama mereka daripada memaksa umat Islam untuk mengucapkan kalimah kufur kepada penguasaan ruang global samada dalam bidang pengurusan antarabangsa, sistem ekonomi, corak sosial manusia sehingga menekan umat Islam mengikut telunjuk mereka dan menghujum kaedah yang Islam bawa tidak lagi relevan untuk digunapakai pada masyarakat hari ini.

Seandainya umat Islam menjadi pak turut kepada musuh Islam maka kelak Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong kepada kita melalui firman Allah S.W.T :

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [ QS. Al-Baqarah: 120 ]

Dalam konteks kita selaku Mahasiswa/wi Islam Perak di Mesir khususnya, antara bentuk kesatuan yang dibawa bertepatan dengan konsep amal ijtima’ie ialah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) yang telah ditubuhkan pada tahun 1964 dibawah kepimpinan Ustaz Ahmad Jais. Kesatuan ini berusaha sedaya upaya meningkatkan kefahaman ahli bagi mengamati Islam secara syumul melalui menitikberatkan segala perintah Allah dan Rasul-Nya serta menggerakkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar sebagaimana firman Allah S.W.T :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. [ QS. Ali Imran : 104 ]

Selain itu, kemudahan dan kebajikan ahli yang kita terima hari ini hasil usaha daripada kesatuan ini seperti usaha mendapatkan kedua-dua buah wisma Perak daripada kerajaan negeri, dermasiswa kepada semua anak-anak Perak, memperkemaskan kualiti pembelajaran ahli serta banyak lagi sekalipun berbagai tohmahan dan penafian yang diterima demi merealisasikan ayat di atas.

Berbalik kepada kesatuan umat Islam melalui konsep amal Jama’ie maka perlu difahami apakah tujuan sebenar umat manusia berhajat kepada kesatuan antaranya :

1. Kesatuan umat Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam tidak akan dapat disesatkan oleh musuh kerana mereka sentiasa dilindungi oleh ajaran Al-Qur’an dan Hadis Nabi SAW.

 Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang memecahbelahkan, maka ia bukan dari kalangan kami. Rahmat Allah   berada bersama-sama dengan jemaah, dan sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang menyendiri”

Sabda Nabi SAW lagi: “Hendaklah kamu berjemaah kerana sesungguhnya jemaah itu adalah rahmat dan perpecahan itu merupakan azab”

2. Kesatuan merupakan jalan pelaksanaan cita-cita Islam untuk memakmurkan bumi Allah ini, berlandaskan kaedah usul fiqh.

“Tidak sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya maka ia adalah wajib.”

3. Menambahkan keutuhan hubungan antara mukmin dengan mukmin yang lain. Mereka juga saling mempercayai, menyayangi serta bekerjasama dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran.

 Firman Allah S.W.T :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan mengelluarkan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah” [ QS. At Taubah : 71 ]

4. Sebagai pembentuk masyarakat yang berakhlak. Sesungguhnya kekuatan sesebuah kesatuan Islam bukan hanya bergantung kepada pencapaian dalam bidang ekonomi, politik, teknologi, perhubungan dan sebagainya bahkan juga bergantung kepada kekentalan semangat beragama dan akhlak mulia. Seringkali organisasi yang tidak berasaskan keredhaan Allah mengalami kehancuran akibat keruntuhan moral ahli-ahlinya seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Kesatuan Islam adalah pemangkin masyarakat ke arah melahirkan masyarakat yang bermoral.

Akhlak ialah budi pekerti, perangai, tingkah laku, atau tabiat. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak, seperti sabda Baginda bermaksud:
 "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." [ HR al-Hakim ]

Perutusan Baginda adalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia dalam jiwa umatnya dan seluruh manusia, sekaligus menghendaki kita supaya bermuamalah dengan akhlak baik, tidak dengan aturan lain.

Kesatuan dalam kesatuan itu perpecahan, maka dari itu pelajarilah ibrah daripada pemecatan Saidina Khalid Al-Walid R.A yang merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab R.A. Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Saidina Khalid Al-Walid R.A sehingga membuatkan masyarakat tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan beliau dan bukan kerana bantuan Allah S.W.T. Setelah berita tersebut sampai kepada Saidina Umar Al-Khattab R.A, maka beliau dilucutkan jawatan daripada panglima perang bagi menyelamatkan akidah umat Islam dan mengelakkan daripada berlaku fitnah besar kepada agama. Secara terbuka beliau menerima pemecatan jawatan tersebut kerana memahami mafsadah yang lebih besar yang akan berlaku dan tiada sebarang pemberontakan yang ditonjolkan. Sedia menerima posisi yang diletakkan oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A tanpa mewujudkan sebarang kesatuan yang baru dan persepsi.

Justeru itu, harapan saya kepada seluruh mahasiswa/wi Islam Perak di Mesir khususnya. Kita selaku umat Islam yang mendasari Al-Quran dan As-Sunnah haruslah berada di dalam kesatuan Islam yang tidak dapat tidak ianya bertujuan bagi mengelakkan diri daripada masuk jerangkap  musuh yang mencelarukan pemikiran umat Islam sehingga mengikuti telunjuk kaum yahudi dan nasrani secara tidak sedar.

Disediakan oleh :
Muhamad Amirul Syahmi bin Yusof
Bendahari Kehormat KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Sunday, November 25, 2018

MAKLUMAN CARTA ORGANISASI KPIPM SESI 2018/2019

MAKLUMAN | CARTA ORGANISASI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI DAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2018/2019
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

[ Surah At-Taubah, ayat 71 ]

Makluman kepada seluruh ahli KPIPM, berikut adalah carta organisasi bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam dan Anggota Badan Penasihat, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019.


Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah ditubuhkan pada tahun 1964. Penubuhan KPIPM adalah bertujuan bagi menyatukan anak-anak Perak yang belajar di Mesir atas dasar ukhuwah Islamiah.

Selain itu, KPIPM berperanan membangunkan keperibadian Islam dalam kalangan ahli di samping mempertingkatkan taraf pemikiran dan pencapaian ilmu pengetahuan Islam khususnya serta memberikan kebajikan kepada ahli.

Kini, bahtera kesatuan KPIPM terus utuh dan kukuh berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Justeru itu, marilah bersama bersatu kita memberikan sepenuh sokongan dan dokongan dalam menjayakan agenda dakwah ini.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Sunday, November 4, 2018

MAKLUMAN PEMANGKUAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2018/2019
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

Pemangkuan jawatan adalah seperti berikut :

🔰Ustazah Siti Hajar binti Ahmad Daud
(AJK Badan Penasihat KPIPM sesi 2018/2019)

🔰Dipangku oleh :
Ustazah Nurul Izzaty binti Osman


#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, October 30, 2018

MAKLUMAN PEMANGKUAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2018/2019
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

Pemangkuan jawatan adalah seperti berikut :

🔰Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri
(Setiausaha Badan Penasihat KPIPM sesi 2018/2019)

🔰Dipangku oleh :
Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak
(Pengerusi Badan Penasihat KPIPM sesi 2018/2019)


#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Saturday, October 27, 2018

MAKLUMAN DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2018/2019

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2018/2019
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2018/2019.



Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYdp

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN "

MAKLUMAN PERTUKARAN PORTFOLIO AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2018/2019

MAKLUMAN | PERTUKARAN PORTFOLIO AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2018/2019

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

[ Surah An-Nisa', Ayat 58 ]

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa pertukaran portfolio bagi Ketua Biro Perhubungan, Sambutan & Rehlah dan Ketua Biro Ekonomi :


🔰Ketua Biro Perhubungan,Sambutan dan Rehlah
Muhammad Waliyuddin Safwan bin Mat Radzi
+201029036949
waliyuddin1998@gmail.com

🔰Ketua Biro Ekonomi
Mohamad Amar bin Omar
+201026834620
amaromar163@gmail.com

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYdp

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, October 24, 2018

MAKLUMAN DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI DAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2018/2019

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI DAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2018/2019
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam dan Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2018/2019.





Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYdp

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN "

UCAPAN PENANGGUHAN YANG DIPERTUAKPIPM SESI 2017/2018

UCAPAN PENANGGUHAN YANG DIPERTUA
KPIPM SESI 2017/2018
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KE-52
DEWAN TANTAWI, HAYYU SABIK
بسم الله الرحمن الرحيم
الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ. وَنُصَلِّيْ وَنُسَلِّمُ عَلَى خَيْرِ اْلأَنَامِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ
Terima kasih kepada Pengerusi Sidang, Yang Berusaha seluruh barisan AJKT KPIPM sesi 2017/2018, Yang Berusaha, Ustazah Siti Hajar Bt Ahmad Daud, Ketua HEWI KPIPM sesi 2017/2018 serta barisan AJK HEWI yang hadir, Barisan Penasihat, Sidang Perwakilan, Pemerhati dan seluruh ikhwah dan akhwat yang dirahmati Allah SWT sekalian.
Alhamdulillah, sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT diatas limpah dan kurnianNya, dengan nikmat iman dan Islam dapat lagi bersama seluruh warga KPIPM berkumpul di Dewan Masjid Tantawi, Hayyu Sabik. Ucapan alfu syukran jazilan buat seluruh barisan penggerak program MAT -52 & MTH -31 atas kejayaan melaksanakan program dengan jayanya. Usaha dan kejayaan menjalankan program yang disusun sejak sebulan yang lalu telah hampir ke penghujungnya, Syabas dan tahniah atas keringat dan bantuan seluruh barisan adhoc pelaksana program kami ucapkan dari barisan kepimpinan KPIPM sesi 2017/2018.
Ikhwah dan akhawat yang dirahmati sekalian,
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Sesungguhnya, penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasulnya, serta orang-orang yang beriman yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). (55) Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah , itulah yang tetap menang.” (56) ((Surah Al-Maidah : ayat 55-56))
Ayat ini menjelaskan kepada kita betapa pentingnya kita untuk sentiasa berpegang dengan ajaran Islam yang syumul, bahkan meyakini bahawa Islam sentiasa membawa penyelesaian dalam sesuatu perkara buat seluruh orang-orang beriman. Secara sedar ataupun tidak, ada dalam kalangan kita sudah tersasar dari lapangan dakwah Islam, segolongan dalam kalangan kita hari ini mengejar sesuatu kerana harta, pangkat dan darjat yang semata-mata hanya di dunia sahaja. Peringatan dan muhasabah bersama buat seluruh ikhwah dan akhwat, bahawasanya kita hendaklah meyakini bahawa apabila kita menjadi penolong agama Allah SWT, maka bantuan dan pertolongan dari Allah SWT akan hadir buat pembantu agamaNya. Yakinlah wahai warga KPIPM.
Sidang hadirin hadirat sekalian,
KPIPM telah ditubuhkan pada tahun 1964 dan telah menjangkau usia 54 tahun, satu wadah kesatuan yang kekal utuh dan gah yang dahulunya dinaungi PMRAM sejak sekian lama. Hari ini tahun 2018, PMRAM telah dibekukan hampir 3 tahun. Cabaran, ujian dan mehnah terus menerus menghujani kesatuan kita ini. Pelbagai rintangan dan dugaan telah dihadapi oleh kesatuan ini, akan tetapi ia tetap gah dan kekal menjadi sebuah BKAN yang terus menaungi anak-anak Perak di Bumi Mesir ini. Kami anak-anak Perak akan terus mempertahankan survival KPIPM yang kami kasihi ini. KPIPM keluarga kita.
Saya MOHAMAD BUKHARI RIDHA BIN MOHD BAKRI, Yang Dipertua KPIPM mewakili barisan kepimpinan KPIPM bagi sesi 2017/2018 memohon kemaafan andai sepanjang kami memimpin bahtera yang indah ini, peringkat kami ada melakukan kesalahan, kata-kata yang mengguris jiwa sahabat sahabiah, terlanjur bicara dalam membawa kesatuan ini. Kami juga ingin mengucapkan alfu syukran, setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh ikhwah dan akhwat, warga KPIPM sekalian, pelajar-pelajar USMB sesi 2018/2019 atas kesudian membantu peringkat kami meneruskan legasi perjuangan dakwah Islam dibawah kesatuan keluarga kita ini. Terima kasih semua.
Warga KPIPM yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Iaitu mereka (umat islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberikan zakat dan mereka melaksanakan amar makruf  serta nahi munkar. Dan bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj : ayat 41)
Barisan kepimpinan sesi 2017/2018 mengucapkan tahniah dan takziah buat barisan kepimpinan KPIPM sesi 2018/2019 yang dipimpinan oleh USTAZ MUHAMMAD ABRORR BIN MOHD ISHAK. Sama-sama kita doakan dan yakinlah, ini lah penyambung survival KPIPM dan sama-sama kita membantu untuk meneruskan survival KPIPM.
Tuntasnya, peringkat kami mengharapkan agar semua ahli diberikan kesihatan yang baik, kekuatan dalam meneruskan tuntutan ilmu dan amal dalam kehidupan. Moga-moga kita terus mendokongi KPIPM ini agar terus kekal dan utuh hingga akhir hayat kita. Dengan ini saya MOHAMAD BUKHARI RIDHA BIN MOHD BAKRI, Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018 membubarkan Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2017/2018.
“Siiru ala barakatillah”
“Syura Pencetak Kepimpinan Ummah”
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”
“Bersama Bersatu”
Yang benar,
MOHAMAD BUKHARI RIDHA BIN MOHD BAKRI
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018

Friday, October 19, 2018

LAPORAN SRIKANDI 2018 (SRIKANDI'18)

LAPORAN : SRIKANDI 2018 (SRIKANDI’18)

Kaherah - Pada tarikh 15 dan 16 September 2018, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir dibawah anjuran Ketua HEWI sesi 2017/2018 dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak telah berjaya menganjurkan satu program buat kali ke-2 iaitu Srikandi 2018 (SRIKANDI'18). Bertemakan "Srikandi Besi, Menggugah Misi". Ianya merupakan kepentingan wanita dalam berperanan  menjalankan gerak kerja Islam. Firman Allah SWT surah al-ahzab ayat :35 {Sesungguhnya lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki  dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar}.

SRIKANDI'18 telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari bertempatkan di padang Wafa El Amal dan wisma Baitul Rahman, Hayyu Sabik, Kaherah. Program ini melibatkan seramai 10 orang ajk pelaksana program dan 18 orang ahli jawatankuasa kecil. Objektif SRIKANDI'18 pada tahun ini ialah mengukuhkan tautan ukhuwah islamiah dalam kalangan mahasiswi KPIPM, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan peranan wanita dalam islam dan memantapkan thaqafah mahasiswi dalam ilmu kewanitaan, kesihatan dan isu semasa. Disamping itu, terdapat beberapa aktiviti-aktiviti yang menarik, antaranya ialah senamanrobik, sukaneka, dustbin ball, memanah, pembentangan kertas kerja fiqh safar mar’ah dan sebagainya.

Pada hari pertama iaitu 15 September 2018, pada jam 8.00 pagi telah bertolak ke padang Wafa El Amal dan pendaftaran bemula pada jam 8:30 pagi. Majlis perasmian telah berlangsung pada jam 9.00 pagi dengan kata-kata aluan daripada Ketua HEWI KPIPM, Pengarah Srikandi’18 dan Perasmi  iaitu Ustazah Nurul Izzaty binti Osman yang merasmikan majlis tersebut serta melancarkan pelancaranan gimik. Setelah itu, bermulalah acara aktiviti-aktiviti padang antaranya ialah senamanrobik, dustbin ball, sukaneka dan memanah. Pada jam 1:30 petang ahli bersiap untuk pulang ke wisma Baitul Rahman, Hayyu Sabik, Kaherah. Pada jam 7.00 malam ahli berkumpul di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman serta dimulakan dengan pembentangan kertas kerja Fiqh Safar Mar’ah yang dibentangkan oleh Ustazah Nurul Izzaty binti Osman. Seterusnya, pada jam 9.00 malam  bermula aktiviti zikrullai dengan kerjasama Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM .

Pada hari kedua iaitu 16 September 2018, pada jam 9.00 pagi ahli berkumpul di Dewan Syeikh Sya'rawi, Baitul Rahman, Hayyu Sabik, Kaherah dan dimulakan dengan aktiviti indoor games pada jam 9.30 pagi. Seterusnya, pada jam 11.00 pagi aktiviti sembang santai yang bertajuk "Srikandi Inspirasi" dibentangkan oleh Ustazah Nor Jannah Binti Asek dan Dr. Nabihah Binti Mohammad Azman. Disamping itu, terdapat aktiviti  Hari Kebajikan yang dijalankan di bawah Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM pada jam 1.00 petang, antara aktivitinya adalah bekam, akupuntur dan refleksologi. Pada jam 7.00 malam ahli berkumpul semula di Dewan Syeikh Sya'rawi, Baitul Rahman, Hayyu Sabik, Kaherah dan dimulakan dengan forum yang bertajuk "Fakta atau Auta (Mitos vs Realiti)" yang dibentangkan oleh Dr. Aina Najihah binti Mohd Zaki dan Dr. Nur Faizah binti Ramlee pada jam 7.30 malam. Setelah itu, berlangsungnya Majlis Penutupan pada jam 9.30 malam yang dihoskan oleh Fatin Nazirah binti Mohd Razali dan Nurul Afiqah binti Kamaruddin, antara yang menarik adalah persembahan daripada Usrah Khairatun Hisan, Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI), penyampaian hadiah kepada semua pemenang dan tokoh SRIKANDI'18, tayangan video dan jamuan makan. Tokoh SRIKANDI'18 dimenangi oleh saudari Nurul Huwaida binti Alias. Program berakhir pada jam 10.30 malam.

Akhir sekali, alhamdulilah sepanjang program SRIKANDI'18 berjalan, tiada sebarang masalah yang timbul dan tema kali ini berjaya diterapkan kepada mahasiswi Perak iaitu “Srikandi Besi, Menggugah Misi”.

“BERILMU,BERAMAL,IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Wednesday, October 17, 2018

LAPORAN MAJLIS KESYUKURAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2018 (MKAC'18)

KAHERAH, 20 September 2018 – Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir  (KPIPM) dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak telah berjaya menganjurkan  sebuah program sempena mahasiswa dan mahasiswi Perak yang berjaya dalam peperiksaan yang diberi nama Majlis kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2018 (MKAC’18) di Dewan Sheikh Idris Al-Marbawi , Baitul Ridzuan. Program ini bertujuan untuk meraikan kejayaan yang diperolehi serta memberi inspirasi dan contoh terbaik kepada pelajar-pelajar lain khususnya kepada anak-anak Perak. Secara tidak langsung, ia juga dapat mengeratkan ukhuwah islamiah antara satu sama lain. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat ke 13:

“Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah SWT ialah orang yang paling taqwa diantara kamu.Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengenal”.

MKAC’18 telah berjaya mengumpulkan mahasiswa dan mahasiswi Perak seramai 125 orang yang terdiri daripada Fakulti Pengajian Islam (Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab, Qiraat, Ulum Islamiah) dan Sains Kesihatan. Sebanyak 63 orang ikhwah dan 62 orang akhwat yang telah berdaftar bagi menerima anugerah tersebut.

Majlis ini telah bermula pada jam 2.30 petang dengan nyanyian nasyid Asmaul Husna dan bacaan ayat suci Al-Quranul Karim. Kemudian, majlis diserikan lagi dengan ucapan daripada Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria selaku Pengarah Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2018 (MKAC’18), Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri selaku Yang di Pertua KPIPM sesi 2017/2018 dan dirasmikan oleh Ustaz Munawir bin Mohamed selaku Atase Pendidikan Negeri Perak.

Pada jam 3.00 petang, program diteruskan lagi dengan sesi penyampaian anugerah kepada para peserta. Penyampaian ini dimulakan dengan graduan dan graduanita pada sesi kali ini seramai 11 orang. Seterusnya kepada mahasiswa dan mahasiswi dari Fakulti Syariah (54 orang), Usuluddin (21 orang), Bahasa Arab (8 orang), Qiraat (2 orang), Ulum Islamiah (18 orang) dan Sains Kesihatan seramai 11 orang.

Setelah penyampaian anugerah selesai pada pukul 4.30 petang, majlis diteruskan lagi dengan solat Asar secara berjemaah dan Tausiyah Bersama Syeikh Syeikhul Islam Majdi. Pada jam 6.00 petang, diadakan pula sesi fotografi bersama Syeikhul Islam Majdi diperingkat ikhwah dan berakhir dengan Iftar Jamaie sempena puasa Asyura’. Majlis pun bersurai sejurus selepas selesai solat Maghrib secara berjemaah.

Alhamdulilah, sepanjang Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2018 (MKAC’18) berjalan, tiada sebarang masalah yang timbul dan kami mengharapkan agar tema yang telah disusun berjaya diterapkan di dalam jiwa mahasiswa dan mahasiswi Perak di bumi Mesir iaitu “Mahasiswa Cemerlang, Aspirasi Ummah”.

“BERILMU,BERAMAL,IKHLAS”
 “MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh :
Setiausaha Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2018 (MKAC’18)
KPIPM sesi 2017/2018




Saturday, October 13, 2018

TOGETHER WE UNITE

MINDA PIMPINAN : TOGETHER WE UNITE

Islam adalah satu-satunya agama yang benar, Nabi Muhammad sebagai nabi dan rasul terakhir, al-Quran pula sebagai kitab panduan sekalian umat. Hal ini telah ditegaskan Allah SWT di dalam firman-Nya :

إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ (٩٢)

Maksudnya : "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Aku." [Surah al-Anbiya' : Ayat 92]

Kesatuan Islam adalah maqasid syar'iyyah yang paling penting dalam agama. Ia juga merupakan satu kemestian apatah lagi pada zaman yang memerlukan kepada perpaduan ini. Perkara ini jelas terlihat di dalam kisah Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat. Suatu hari Abdullah bin Mas’ud r.a berkata, “Rasulullah SAW membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda, ‘Ini adalah jalan Allah’, kemudian beliau membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda, ‘Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syaitan yang mengajak kepada jalan itu,’  kemudian baginda membaca ayat ini :

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٥٣)

Maksudnya : "Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa." [Surah al-An'am : Ayat 153]

Kesatuan inilah yang akan membawa kepada perlaksanaan perpaduan umat islam daripada ruang teori dan praktikal. Ia juga akan meleburkan perpecahan yang disebabkan ideologi serta menjadi penghapus kepada nafsu pimpinan diktator yang menzalimi rakyat demi kepentingan peribadinya.

Perbezaan tidak seharusnya membawa kepada perpecahan dan pergaduhan sesama manusia. Dengan menghayati tuntutan Islam, maka sudah tentu akan wujud tindak balas positif di dalam masyarakat apabila berlaku perbezaan atau pergaduhan. Perpecahan itu ibarat apabila lidi yang keluar dari ikatannya, maka hilanglah kekuatannya.

Allah SWT menyuruh kita semua memperkukuhkan kesatuan dan melarang untuk bercerai-berai. Firman Allah SWT :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٠٣)

Maksudnya : "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." [Surah Ali-Imran : Ayat 103]

Demikianlah penegasan Allah tentang pentingnya sebuah kesatuan.

Agama Islam mementingkan kesatuan ummah demi membina sebuah daulah islamiah. Dengan kesatuan, manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Sewaktu kota Madinah dibuka, antara langkah awal penyatuan adalah pembinaan masjid sebagai pusat sosial masyarakat bagi golongan Ansar dan Muhajirin. Sesungguhnya manusia yang tidak mampu hidup tanpa bantuan yang lain, konsep tolong-menolong adalah perlu bagi menghasilkan suatu kehidupan yang dapat memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Selain itu, keamanan dan kedamaian juga tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan dan usaha ke arah mewujudkan dan mengekalkan sebuah kesatuan hinggalah ke generasi akan datang. Allah SWT telah berfirman :

 إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١١١)

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." [Surah at-Taubah : Ayat 111]

Semua ini adalah bukti yang menyatakan bahawa kesatuan Islam tidak akan terbentuk kecuali dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka yang ikhlas di dalam gerakerja Islam.

Firman Allah SWT :

وَالْعَصْرِ (١) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣)

Maksudnya : "Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian (2) kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran (3)." [Surah al-Asr : 1-3]

Jika kita perhatikan firman Allah SWT di atas yang bermaksud 'nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran', ia  adalah satu fenomena kesatuan. Kerana amar makruf nahi mungkar bukan tertumpu pada seorang individu sahaja malah memerlukan kepada suatu kelompok yang saling mengingatkan antara satu sama lain. Maka, jelaslah kepada kita tentang pentingnya gerakerja Amar Makruf Nahi Mungkar dilaksanakan secara kolektif (Jamaie).

Sebuah kesatuan mestilah atas dasar agama, aqidah dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Umat islam yang mempunyai kesatuan aqidah, kesatuan syariah dan kesatuan matlamat ini telah disatukan oleh kesejagatan ukhuwah yang berteraskan iman. Sesungguhnya, ukhuwah adalah salah satu dasar yang fundamental di dalam Islam.

Sabda Rasulullah SAW :

المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه...

Maksudnya : "Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, dia tidak akan menzalimi saudaranya dan tidak akan menjatuhkannya (tidak akan membiarkannya).
-Riwayat al-Bukhari-

Justeru itu, kesatuan islam adalah perkara utama yang diseru Allah SWT dan Rasul-Nya, maka wajib bagi kita terus bersemangat untuk merealisasikannya. Disamping itu, Islam juga mengajar umatnya untuk bermuhasabah diri, Saidina 'Umar bin al-Khattab r.a berkata : "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab". Oleh itu, kita haruslah mengoreksi diri supaya kita tetap berada di jalan Allah SWT dan melakukan ketaatan kepada-Nya.

Disediakan oleh :
Noor Atiqah binti Noor Hisham
(Ketua Biro Perumahan HEWI KPIPM sesi 2017/2018)

Saturday, October 6, 2018

ISU SEMASA l SERANGAN HARI YOM KIPPUR : ISRAEL TERSENTAK
Unit Penerbitan dan Penerangan KPIPM sesi 2017/2018

Setiap tahun rakyat Mesir akan bercuti pada tarikh ini sempena dengan memperingati kemenangan Perang Oktober atau Perang Arab-Israel 1973 atau Perang Ramadan (Perang Badar Moden,sebab berlaku pada bulan Romadan ketika itu) atau Perang Yom Kippur yang bermula dari tarikh 6 Oktober hingga 22-24 Oktober 1973 diantara Israel dan pakatan Mesir-Syria-Jordan dan Iraq.

Mesir telah berpakat dengan Syria untuk mengatur satu serangan bersama ke atas Israel yang dikenali sebagai Operasi Badar. Serangan yang dilancarkan pada hari perayaan Yahudi, Yom Kippur ini dibuat pada 6 Oktober 1973M. Syria telah menyerang Bukit Golan, sedangkan Mesir membuat serang serentak ke atas Terusan Suez dan Sinai. Serangan ini telah membawa kemusnahan teruk kepada Israel, sebelum pasukan udara Amerika Syarikat membantu Israel untuk mengundurkan tentera Arab selepas tiga minggu berperang. 2,656 orang askar Israel terbunuh, manakala 7,250 tentera yang tercedera.

Selepas serangan dilancarkan secara serentak dan mengejut ke atas Israel ini, pada 10 Ramadan 1393 bersamaan 7 Oktober 1973, tentera Mesir telah berjaya meruntuhkan Benteng Bar Lev yang melindungi Terusan Suez daripada serangan Mesir. Dengan bantuan Libya, Algeria, Arab Saudi, Iraq, Kuwait dan Sudan, tentera Mesir telah berjaya memberikan pukulan hebat ke atas Israel dalam perang yang dikenali juga sebagai Perang Ramadan ini.

Kesan daripada perang ini, walaupun dimenangi secara fizikal oleh Israel dengan bantuan Amerika Syarikat, tetapi ia menjadi kekalahan moral yang sangat besar kepada Israel. Suruhanjaya yang dibentuk oleh Israel berkait perang ini telah mengesyorkan pemecatan beberapa pegawai tentera yang utama, kemudian Menteri Pertahanan Israel, Moshe Dayan dipersalahkan dan Perdana Menteri, Golda Mier terpaksa meletakkan jawatan. Kerajaan haram Israel mulai tidak stabil, dan perang ini telah membawa kepada Perjanjian Damai Kem David 1979, di mana Sinai dikembalikan kepada Mesir.

Benteng Israel di Sinai

Kejayaan Israel menguasai Sinai pada 1967 telah menyebabkan Terusan Suez turut jatuh ke tangan negara haram itu. Bagi mempertahan wilayah Sinai daripada serangan Mesir, Israel telah membina Benteng Bar Lev, sempena nama nama Jeneral Israel, Haim Bar Lev. Benteng ini disebut juga sebagai Garis Bar Lev yang dibina pada 1971 dengan kos USD500 juta. Tujuan utama pembinaan projek raksasa ini adalah untuk melindungi Terusan Suez, sekali gus menjadi pertahanan Israel daripada serangan orang Arab, khususnya Mesir. Kejayaan mereka membina Benteng Bar Lev dan kekecohan politik Mesir akibat pembunuhan Jamal Naser pada 1970, telah melalaikan Israel.

Pada 1971, Anwar Sadat dalam rangka membina imej politiknya, menawarkan supaya Israel bertindak sebelah pihak dengan mengundurkan tentera mereka dari wilayah yang ditawan, dan Mesir akan mengadakan gencetan senjata menyeluruh ke atas negara tersebut. Keengganan Israel berbuat demikian telah menyebabkan Mesir mengumumkan pada 1972M akan berperang dengan Israel. Mesir mula memperkukuhkan tenteranya dengan bantuan Soviet Union. Pada 1973, Anwar Sadat bukan sahaja sekali lagi mengumumkan perang ke atas Israel, tetapi turut mendapatkan sokongan diplomatik daripada Eropah, Soviet Union dan Afrika. Di pihak Israel pula, kejayaan mereka dalam Perang Enam Hari telah menyebabkan mereka memgambil mudah ancaman Mesir itu.

Kesan - kesan

1) Penanda aras atau tunjang kepada hubungan Arab-Israel.
2)Termeterai perjanjian keamanan antara Mesir dan Israel pada 1979.
3) Mesir mendapat kembali Sinai dan Terusan Suez dibuka sebagai laluan perkapalan.
4) Anwar Sadat dibunuh pada tahun 1981.

"Manifestasi Informasi, Aspirasi Visi"

BERILMU, BERAMAL, IKHAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Saturday, September 29, 2018

CABARAN BERPEGANG DENGAN ISLAM DI AKHIR ZAMAN

MINDA PIMPINAN :
CABARAN BERPEGANG DENGAN ISLAM DI AKHIR ZAMAN

Cabaran yang bertali arus menimpa umat Islam hari ini bukanlah suatu yang baharu, bahkan telah dirasai terlebih dahulu oleh golongan-golongan benar yang ikhlas berpegang dengan Islam sejak zaman para Rasul lagi.

Elemen yang perlu kita tadabbur di sebalik ujian terhadap umat Islam kini adalah bagaimana Allah S.W.T menyifatkan lumrah bagi orang beriman yang kehidupannya tidak pernah sunyi dari mehnah dan tribulasi.

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ 

Maksudnya:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: "Kami beriman," sedangkan mereka tidak diuji?" (Al-Ankabut : 2)

PERITNYA CABARAN

Dasawarsa ini, umat Islam berdepan cabaran dan fitnah yang mampu menggugat keimanan secara halus tanpa kita sedar. Fenomena kesangsian dan keraguan terhadap ajaran dan solusi Islam sendiri semakin parah dalam kalangan umat. Lemahnya pegangan serta rapuh berdiri di atas prinsip mengakibatkan umat kini mudah dibuli dengan agenda kelompok-kelompok berkepentingan duniawi.

Rasulullah S.A.W memberi gambaran kepada kita melalui hadis fitan yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi:

سيَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

Maksudnya:
"Akan datang kepada umatku suatu zaman yang penuh dengan kesabaran, di mana orang yang sabar berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api". (Riwayat Imam At-Tirmizi)

Hadis ini menyatakan bahawasanya pada zaman tersebut, golongan yang berpegang teguh dengan Islam diibaratkan seperti menggenggam bara api kerana cabaran yang dihadapkan kepada mereka memerlukan kesabaran yang tinggi.

Hamparan ujian dari segenap penjuru memerlukan umat Islam menggenggam kemas dan erat akan prinsip-prinsip Islam walaupun bakal berhadapan dengan persepsi buruk serta dilihat asing dan pelik oleh masyarakat sekeliling.

Sekali lagi Nabi S.A.W memberi inzar kepada umatnya melalui sebuah hadis yang berbunyi:

سَيَأتِي عَلَى النَّاس سَنَوَات خَدَّاعَات، يُصَدَّق فِيهَا الكَاذِب ويُكَذَّب فِيهَا الصَّادِق، ويُؤْتَمَن فِيهَا الخَائِن ويُخَوَّن فِيهَا الأَمِين، ويَنْطِق فِيهَا الرُّوَيْبِضَة، قِيْلَ: ومَا الرُّوَيْبِضَة؟ قَالَ: الرَّجُل التَّافِه في أمْر العَامَّة

Maksudnya:
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Para pendusta dipercayai sedangkan orang jujur didustai, pengkhianat diberi amanah sedangkan orang yang amanah dikhianati, dan berbicara di zaman itu para Ruwaibidhah.” Ditanyakan, siapakah Ruwaibidhah itu? Rasulullah S.A.W bersabda, “Orang bodoh yang berbicara perkara umum (besar)". (Riwayat Al-Hakim)

Pesanan Nabi S.A.W ini sedikit sebanyak memberi signal kepada kita akan pertembungan hak dan batil yang sentiasa berlaku di sepanjang zaman. Kepincangan ini juga menuntut kita untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar yang akhirnya mengakibatkan prinsip yang benar akan didustai sesama umat.

Tidak cukup sekadar itu, Rasulullah S.A.W juga turut mengingatkan kita akan stigma dan penyakit-penyakit jiwa yang akan menular dalam kalangan umat akhir zaman ini.

سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ

Maksudnya:
"Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi S.A.W menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi". (Riwayat Al-Hakim)

Jelas sekali senario tercela yang disebut di dalam sabda Nabi S.A.W ini semakin merancak era ini sekaligus meruntuhkan akhlak dan moral umat Islam di samping menyuburkan kembali ragam-ragam jahiliyah terdahulu.

Umat dicandu dan didoktrin sehingga ketagih dengan kempen dan pembawaan barat yang tidak berasaskan pembinaan jati diri apatah lagi bercanggah dengan prinsip Islam yang telah digariskan. Akhirnya, umat semakin celaru identiti sebagai muslim dek kerana semakin jauh dengan Islam.

ANEKA RAGAM JAHILIAH

Tidak dapat dinafikan fenomena-fenomena ini sedikit mengusik pendirian kita sebagai muslim. Allah S.W.T terlebih dahulu menceritakan kepada kita perihal kaum musyrik di dalam surah At-Taubah ayat ke-9.

اشْتَرَوْا بِآيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya:
"Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari agama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan."

Di dalam ayat lain, ahli kitab juga menunjukkan sikap buruk mereka dengan menghalang manusia menuju agama Islam yang hak.

 قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتابِ لِمَ تَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ تَبْغُونَها عِوَجاً وَأَنْتُمْ شُهَداءُ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:
"Katakanlah wahai Ahli Kitab, mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan-jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." (Ali Imran : 99)

Awas, sikap menukar ayat-ayat Allah yang dilakukan oleh kaum musyrikin ini persis mereka yang menjual prinsip Islam demi meraih keuntungan dunia semata-mata manakala mereka yang berusaha menghalang manusia mengikuti garis-garis Islam adalah petualang yang mewarisi sifat Ahli Kitab.

Cabaran kesesatan tidak pernah berhenti, bahkan silih berganti dengan watak dan imej yang berbeza tetapi pembawaan dan hala tujunya masih sama iaitu memesongkan kita dari Islam yang sebenar.

PEWARIS KERJA DAKWAH PARA RASUL

Tugas meruntuhkan tembok kesesatan  merupakan tugas besar para Rasul dan Nabi dan kita selaku golongan yang menjunjung mereka wajib mewarisi segala yang diperjuangkan tanpa bersikap selektif dan memilih mengikut kepentingan diri dalam berhadapan cabaran membawa risalah ini. Nabi S.A.W pernah berpesan:

أَشَدَّ النَّاسِ بَلَاءً اَلْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الْعَبْدُ عَلَى حَسَبِ دِيْنِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِيْنِهِ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلَاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِيْنِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِيْنِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيْئَةٍ

"Orang yang paling keras ujiannya ialah para Nabi, kemudian kalangan selanjutnya (yang lebih utama) dan selanjutnya. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat maka ujianya pun akan semakin berat. Jika keimanannya lemah maka ia akan diuji sesuai dengan kadar imannya. Tidaklah ujian ini akan diangkat dari seorang hamba hingga Allah membiarkan mereka berjalan di muka bumi dengan tanpa dosa." (Riwayat Ibnu Majah)

DAHSYATNYA PERANG PEMIKIRAN

Sedarlah kita bahawasanya cabaran ini pastinya berdepan dengan usaha dari tangan-tangan jahat yang tidak ingin melihat Islam tersebar dan menyapa seluruh dunia. Maka, bukan sahaja fizikal yang akan dirosakkan, mental umat Islam juga turut terkesan, malah lebih membinasakan.

Ini dibuktikan tatkala selepas era Perang Salib, barat menyimpulkan bahawasanya Islam takkan dapat dikalahkan dengan senjata mahupun secara fizikal, dengan itu wujudnya perangkaan strategi baharu barat yang digelar sebagai Perang Pemikiran (Ghazwatul Fikriyah) yang digagaskan hasil daripada kajian dan pengalaman mereka berhadapan dengan kekuatan umat Islam.

Sungguh, cabaran menghadapi Perang Pemikiran lebih dahsyat berbanding Perang Ketenteraan yang akan menatijahkan bahana kecelaruan fikrah yang menjadi satu bentuk kekufuran halus serta tergadainya ikatan Islam satu per satu. Ini menjadi cabaran kepada kita tatkala berpegang dengan Islam di zaman ini.

SOLUSI ISLAM

Optimis, percaya serta yakin terhadap penyelesaian Islam yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah adalah ramuan mendepani biah jahiliah moden ini. Asy-Syahid Syed Qutb pernah menyebut:

"Jahiliah adalah apabila manusia cuba menyelesaikan masalah manusia."

Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga mengungkapkan:

"Syirik yang paling besar adalah menjadikan selain Allah sebagai penentu kehidupan."

Semoga kita terhindar dari anutan songsang bersifat thaghut ini yang menafikan kesempurnaan aturan Allah S.W.T  iaitu Islam. Allah S.W.T merakamkan di dalam Al-Quran antara simptom dan gejala golongan yang menganut fahaman thaghut ini supaya umat Islam sentiasa waspada, mengambil iktibar seterusnya menetapkan garis sempadan iman yang akhirnya menjadikan seseorang muslim itu istiqamah di atas jalan kebenaran sehingga akhir hayatnya.

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya:
"Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhukum kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. (An-Nisa' : 60)

Disediakan oleh:
Mohamad Farhan bin Mohd Ariff
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2017/2018

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...