Saturday, July 25, 2020

PENA AZHARI | AKTIVIS DAN PENDUKUNG

PENA AZHARI | AKTIVIS DAN PENDUKUNG

Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020

 


Firman Allah SWT:

يَأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ إِنْ تَنْصُرُواْ اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَ يُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

[Surah Muhammad: ayat 7]

Kalam Allah ini jelas menunjukkan janji Allah kepada sesiapa sahaja yang membantu agama-Nya. Maka jelaslah menunjukkan akan kepentingan dan kewajipan bagi kita selaku seorang Muslim agar sentiasa menolong agama-Nya, berdakwah kepada-Nya, membantu Rasul-Nya dan berjihad melawan musuh-musuh-Nya dengan mengharapkan keredaan-Nya.

Barangsiapa yang menolong agama Allah baik dengan ucapan mahupun perbuatan maka Allah telah berjanji akan memudahkan asbab pertolongan yang diberikan, memberi kesabaran, kekuatan dan ketenangan dalam kehidupan. Sesungguhnya segala imbalan itu disesuaikan dengan jenis perbuatan dan amal yang dilakukan.

Pernah atau tidak kita mendengar perkataan aktivis dan pendukung?

Mungkin kita pernah terdengar tapi kita tidak menghayati atau cuba untuk memahami makna sebenar perkataan tersebut.

Aktivis atau pendukung ialah orang yang giat bekerja untuk kepentingan suatu organisasi. Seseorang yang mengorbankan tenaga, masa dan buah fikirannya demi mewujudkan sebuah organisasi yang baik dan tersusun. Organisasi juga memerlukan seorang aktivis yang rela menyumbangkan tenaga dan idea yang bernas untuk kelangsungan hidup organisasi.

Sebenarnya, aktivis ialah orang yang sentiasa membantu gerak kerja dalam sesebuah organisasi. Sesebuah organisasi yang mantap dan hebat bukan semata-mata melihat kepada pimpinannya sahaja bahkan memerlukan pendukung-pendukung yang sentiasa membantu dan menyokong dari belakang. Membantu suatu oraganisasi adalah salah satu gerak kerja Islam dan gerak kerja ini sangat dimuliakan oleh Allah SWT.

Allah berjanji di dalam Kitab-Nya, surah Al- Hajj ayat 40 :

وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهَ مَنْ يَنْصُرُهُ, إِنَّ اللهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

Benarlah janji Allah dan Allah tidak akan mensia-siakan hamba-Nya yang ikhlas dan sanggup bekorban demi agama Allah. Hari ini, ramai yang menjadi ahli di dalam sebuah organisasi tetapi berapa ramai yang mampu menginfakkan diri untuk membantu sekiranya diperlukan dan diseru. Konsep “Satu Fikrah, Satu Amal” harus ditekankan dan difahami dengan sebaiknya bagi seluruh ahli yang bergelar aktivis dan pendukung kepada sebuah persatuan. Dan sekiranya semua mampu memahami dengan sebaiknya konsep ini maka nescaya sesebuah organisasi itu akan berjalan dengan baik dan tersusun.

Banyak kelebihan dan manfaat yang kita akan dapat sekiranya kita berada di dalam organisasi, kita akan memperolehi nikmat kesatuan yang cukup indah dan mengambil pengalaman semasa bekerja dan membantu sebuah organisasi. Selain daripada itu juga, ukhuwah menjadi satu keutamaan bagi memastikan sebuah organisasi itu bergerak dengan baik dan selamat.

Mutakhir ini, yang menjadi permasalahan dalam sesebuah organisasi adalah kerana kualiti ahli yang tidak memuaskan. Kuantiti bukanlah menjadi satu kekuatan kepada organisasi akan tetapi kita menilai ahli dengan kualiti. Hal ini demikian kerana kadangkala kuantiti itu tidak menjamin kepada kemenangan sepertimana sirah Perang Badar yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran. Dalam perang ini Rasulullah SAW memimpin tentera yang hanya melibatkan sekitar 313 orang Islam, 8 berpedang, 6 berbaju perang, bersama 70 ekor unta dan 2 ekor kuda. Sedangkan kaum Quraisy memiliki 1000 orang, 600 persenjataan lengkap, 700 unta dan 300 kuda. Namun disebabkan keyakinan dan semangat jihad orang Islam yang tinggi, maka Allah memberikan kemenangan kepada mereka.

Jelaslah bahawa sebagai seorang yang faham akan kewajipan yang diperintahkan oleh Allah, maka haruslah kita menjadi seorang pendukung dan aktivis kepada organisasi yang dibina setelah sekian lama. Kita mungkin bukan perancang dan pemikir akan tetapi kita mampu menjadi pendukung dan penggerak yang menggerakan sesebuah organisasi dengan baik. Kita mungkin tidak mampu berada di tampuk pimpinan yang berperah otak untuk menyusun segala aktiviti kepada ahli namun kita mampu menjadi seorang ahli yang bertungkus lumus dalam menjayakan segala aktiviti.

Seringkali didengari ayat ini, "Kami tak mampu kerja di barisan hadapan, kami kerja di belakang sahaja" .. Ya, ayat inilah yang sering berulang kali didengari sejak awal sampai ke bumi Mesir. Satu perkara yang perlu diingatkan bahawa bekerja di belakang itu boleh, namun jangan dibiarkan sehingga hilang terus lenyap menyepikan diri.

Biar di manapun posisi kita, kita tetap membantu dalam gerak kerja ini. Pimpinan atau ahli kita tetap aktivis yang sejati. Teruslah menjadi tulang belakang sesebuah organisasi, semangat dan kefahaman yang seiring hingga mencapai redha Ilahi. Yakinlah dengan janji Allah, bantulah dengan sebaiknya dan ikhlaskan diri dalam segala amalan yang telah disumbangkan nescaya syurga menanti kerana itulah tempat yang abadi. Semoga pelayaran KPIPM terus menjadi pelayaran yang hebat untuk Islam.

Ayuh semua !

Jadilah aktivis dan pendukung yang mampu memberikan impak yang besar bagi memastikan persatuan tercinta ini terus dijulang tinggi dan meraih syurga yang hakiki.

Sirru Ala Barakatillah buat semua pimpinan dan aktivis KPIPM..

Bekerja dengan KPIPM,

Bekerja kerana Allah.

 

USTAZAH ZAINATUL NAZIFA BINTI ABDUL WAHAB

(FASILITATOR KPIPM SESI 2019/2020)


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...