Thursday, August 26, 2021

LAPORAN | MINGGU KEMAHIRAN MEDIA 2021 (MEDIA'21)

LAPORAN | MINGGU KEMAHIRAN MEDIA 2021 (MEDIA'21) 

Kaherah - Minggu Kemahiran Media 2021 (MEDIA'21) anjuran Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021 telah berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Ogos 2021 bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi, Baitul Rahman. Kelas kemahiran ini tidak terhad kepada ahli KPIPM sahaja, ia juga terbuka kepada seluruh Ahli BKAN Taakhi Zon C, yang terdiri daripada Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM), Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Mesir (BKPJM) dan Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP).

Program ini berlangsung seawal jam 7 pagi hingga 5 petang. Terdapat tiga slot kelas kemahiran yang dibuka penyertaannya secara terhad iaitu Kelas Grafik Adobe Photoshop, Kelas Videografi Adobe Premiere Pro, Kelas Penstriman Streamyard dan diakhiri dengan Ijtima’ Designer khusus buat pereka grafik di peringkat KPIPM.

Antara objektif kelas kemahiran ini adalah bertujuan bagi melahirkan pelapis bagi asas kemahiran media, memberi pendedahan asas kemahiran media dan meningkatkan kualiti pengurusan media rasmi KPIPM. Manakala penutupan program ini berakhir dengan Ijtima’ Designer bertujuan menyuntik dan menyuburkan semangat para pereka grafik di peringkat KPIPM.

Hari pertama, Selasa 17 Ogos 2021 program ini telah bermula dengan slot Kelas Grafik Adobe Photoshop di sebelah akhawat. Pada jam 7 pagi, para peserta telah menghadirkan diri dan membuat pendaftaran. Kelas ini telah disampaikan oleh pengisi yang berpengalaman iaitu Ustazah Asmaa Huwaina binti Mohamed Nasir, Setiausaha Unit Biah Solehah, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2020/2021. Kelas berlangsung dengan lancar secara teori dan praktikal selama lebih kurang tiga jam dan berakhir pada jam 10.30 pagi.

Seterusnya, pada jam 10.30 pagi diteruskan pula dengan slot Kelas Videografi Adobe Premiere Pro di sebelah ikhwah. Kelas ini telah disampaikan oleh Ustaz Mustaqim Nur Iman bin Haron, Unit Pengisian Pusat Sumber Tenaga (PESAT), Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021. Pengisi merupakan ahli KPIPM yang mahir dalam penyuntingan dan pembikinan video. Kelas ini telah berlangsung secara teori dan praktikal dan berakhir kira-kira jam 2 petang.

Pada jam 2 petang, slot seterusnya diteruskan dengan Kelas Grafik Adobe Photoshop di sebelah ikhwah. Kelas ini telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Izzuddin bin Fakri, Timbalan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021. Kelas ini telah berlangsung dengan lancar secara teori dan praktikal dan berakhir kira-kira jam 5 petang.

Pada hari kedua, Rabu 18 Ogos 2021, bermulanya slot yang seterusnya seawal jam 7 pagi iaitu Kelas Videografi Adobe Premiere Pro di sebelah akhawat. Kelas ini telah disampaikan oleh Ustazah Norsyuhada binti Mohamad Rais, Timbalan Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2020/2021. Pengisi merupakan pimpinan di peringkat BKAN Wilayah Persekutuan yang berpengalaman menggunakan aplikasi suntingan video Adobe Premiere Pro. Kelas telah berjalan dengan lancar secara teori dan praktikal dan berakhir pada jam 10.30 pagi.

Selepas itu, kelas seterusnya diteruskan dengan Kelas Penstriman Streamyard yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi. Kelas berlangsung bagi ikhwah dan akhawat yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Azri Fauzan bin Zoolcaphly, Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021. Kelas telah berlangsung dengan lancar secara teori dan praktikal. Kelas berakhir pada jam 2 petang.

Setiap kelas dibantu oleh beberapa orang mentor bagi memudahkan slot praktikal dan membantu pengisi mengajar peserta secara lebih dekat.

Kemudian, program ini diselai dengan Solat Zohor secara berjemaah dan diakhiri dengan Ijtima’ Designer dimana para pereka grafik KPIPM yang terpilih di sebelah ikhwah dan akhawat dijemput untuk menghadirkan diri bagi menyuntik dan menyuburkan semangat untuk terus bekerja dan memberi manfaat.

Pengisi istimewa dijemput daripada Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) iaitu Ustaz Habibullah bin Zulkarnain, Ketua Unit Perancang KPKM sesi 2020/2021. Beliau merupakan pereka grafik yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang reka grafik semenjak tahun 2014 hingga kini.

Antara pesanan yang disampaikan adalah berkenaan berorganisasi di dalam satu saff yang tersusun rapi seperti firman Allah SWT di dalam Surah as-Saff. Selain itu, pengisi juga berkongsi berkenaan penyakit-penyakit di dalam jalan dakwah dan cara-cara mengubatinya. Beliau turut berkongsi kenangan dan pengalaman-pengalaman sepanjang berada dalam bidang reka grafik ini. Banyak isi-isi yang memberi suntikan semangat kepada para pereka grafik yang hadir pada hari itu.

Seterusnya, Ijtima’ Designer ditutupi dengan ucapan pengarah program dan lontaran muhasabah dan cadangan daripada pereka grafik ikhwah dan akhawat yang hadir pada hari tersebut bagi menambah baik kualiti grafik di peringkat KPIPM. Kata-kata semangat dan pesanan juga turut dikongsikan buat seluruh yang hadir.

Sebelum berakhir, Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin, Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021 dijemput untuk memberikan sepatah dua kata dan menyampaikan cenderahati kepada pengisi.

Program berakhir pada jam 5.30 petang. Solat Asar dilakukan secara berjemaah sejurus sahaja selesai pengisian dan para hadirin dibekalkan dengan makanan ringan sebelum bersurai.

Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu melahirkan pelapis bagi asas kemahiran media tercapai. Semoga melalui pelaksanaan Minggu Kemahiran Media 2021 (MEDIA'21) pada kali ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli KPIPM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPIPM.

 

Disediakan oleh :

MUHAMMAD AL FATEH BIN FAIZAN

Setiausaha Minggu Kemahiran Media 2021 (MEDIA'21) ,

Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021.













Thursday, August 5, 2021

MINDA PIMPINAN | BIAH SOLEHAH TERAS KEBERKATAN

 



MINDA PIMPINAN | BIAH SOLEHAH TERAS KEBERKATAN

Firman Allah S.W.T :

 
وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ 
 

Maksudnya : "Hendaklah ada dikalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebaikan, yang menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan itulah orang-orang yang berjaya."

(Surah Ali-Imran : 104)

 

    Unit Biah Solehah merupakan satu unit di bawah seliaan Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM yang mempunyai peranan yang sangat besar untuk memastikan biah solehah mampu diperkasakan dan dijaga dengan baik dengan menjayakan 6 Pembawaan biah solehah dan memperkasakan 10 Muwasafat Tarbiah.

 6 pembawaan Unit Biah Solehah tersebut ialah:

1. Memperkasakan solat berjemaah

2. Mengukuhkan tautan ukhuwah

3. Memanfaatkan media elektronik

4. Membentuk fikrah dan sahsiah.

5. Mengkaji dan mendalami sejarah Islam.

6. Membudayakan etika pergaulan syarie.

 

Sahabat-sahabat sekalian,

    Persoalannya, biah yang berada di tempat kita sudahkah betul-betul solehah? Atau kita masih mengambil sikap tidak peduli dan persoalan ini tidak kita lontarkan ke dalam benak hati kita untuk dinilai, diteliti dan dimuhasabah. Mungkinkah apa yang berada di persekitaran kita telah mampu membentuk peribadi kita selaku penuntut-penuntut ilmu Allah SWT?

Sahabat-sahabat sekalian,

    Realitinya, kini biah solehah tidak diambil cakna oleh kebanyakan kita selaku mahasiswa Islam yang menuntut ilmu di Ardil Kinanah ini. Antara contohnya, adakah kita melazimi solat berjemaah? Adakah kita baca dan tadabbur al-Quran setiap hari? Adakah kita mampu meninggalkan budaya bermain permainan video dan sebagainya?

    Oleh itu, biah solehah yang merupakan usul pembawaan KPIPM yang ketiga ini dengan matan pembawaannya iaitu “Membentuk mahasiswa dan mahasiswi rabbani melalui pemantapan biah solehah” menjadi satu misi bagi KPIPM untuk memastikan seluruh anak-anak Perak dijaga biah solehahnya.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT sekalian,

    Antara usaha KPIPM bagi menjaga biah solehah ahlinya adalah dengan mengedarkan  dan memantau mutabaah amalan ahli KPIPM, membuat edaran takwim solat setiap bulan, mengadakan tazkirah berkaitan dengan 6 pembawaan Unit Biah Solehah, mengeluarkan poster-poster yang berkaitan peristiwa bulan-bulan Islam dan sebagainya.

     Akhir sekali, semoga anak-anak perak sentiasa membudayakan nasihat menasihati antara satu sama lain demi menjaga biah kita bersama.


#KPIPMKeluargaKita

#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM


 BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Nukilan daripada :

Syed Dhiyaulhaq Qairawani Wafa bin Syed Danial Wafa

Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2020/2021

 

 

Wednesday, August 4, 2021

PENA AZHARI | MANFAATKAN MASA LAPANG

PENA AZHARI | MANFAATKAN MASA LAPANG
Unit Penerangan & Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021

بسم الله الرحمن الرحيم

Penulis : Ustazah Fatin Hakimah binti Marzlidin
Tajuk : Manfaatkan Masa Lapang

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد ألا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، صلى الله عليه و على آله و صحبه أجمعين

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat iman dan islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda dan para sahabatnya.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Asr :

 وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. 
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Imam as-Syafie berkata : "Seandainya manusia merenungi surah ini, nescaya surah ini telah mencukupkan mereka."

Merujuk Surah al-Asr di atas, apa yang dapat difahami ialah orang yang beruntung dalam kehidupan ialah orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Mereka inilah orang yang berada dalam jemaah dan melakukan amar makruf nahi mungkar.

Orang yang beruntung ialah orang yang menggunakan masa melakukan amalan soleh. Sebaliknya, orang yang rugi ialah orang yang menggunakan masa melakukan amalan batil.

Masa adalah nikmat kepada semua makhluk yang diberi oleh Tuhan. Tetapi tidak semua mampu menggunakannya ke arah jalan kebaikan.

Pelaburan kehidupan di dunia dan akhirat mencapai keuntungan jika masa yang dicarum ketika hidup sarat dengan kebaikan. Masa merupakan modal permulaan setiap insan dalam menentukan penghasilan, sama ada suatu aset ataupun liabiliti dalam kehidupan.

Hakikat di dunia modenisasi kini, pembaziran masa sudah sinonim dengan mahasiswa dek gemar memenuhi ruang masa dengan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Keadaan ini menyuluh bahana yang besar kepada anak muda seperti kelemahan jati diri dan keruntuhan masa depan generasi.

Bagi menongkah arus tradisi pembaziran masa ini, punca budaya tradisi ini perlu di diagnosis terlebih dahulu dengan segera. Antaranya, lemah dalam pengurusan waktu, mabuk dengan kesenangan dunia, pengaruh biah dan kawan yang buruk, kurang merasakan muraqabah Allah dan minimum dalam mengingati kematian dan Hari Akhirat.

Dalam Surah ar Ra'd ayat 11, Allah SWT bersabda :

(...إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ )

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Walaupun perubahan itu bukanlah mudah, tetapi apa yang pasti ia bermula daripada diri sendiri. Budaya tidak sihat ini dapat dihakis jika puncanya dapat diperbaiki. Perubahan yang berperingkat dan berterusan adalah lebih baik daripada secara drastik.

Dalam sorotan sejarah Islam, Rasulullah SAW merupakan insan yang bijak dalam mengatur dan mengurus masa. Baginda SAW dapat mengasaskan sebuah negara madani dalam masa 23 tahun sahaja. 

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita sekadar mampu membaca fakta kehebatan Baginda sahaja?

Selain itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah dan menjawat jawatan sebagai khalifah hanya 2 tahun sahaja. Tetapi beliau berjaya menghasilkan kejayaan yang amat luar biasa. 

Benarlah kalam Allah di dalam Surah al-Asr. Sungguh beruntung orang yang membawa Islam dan beramal dengan Islam.

Masa lapang sewajarnya dipenuhi dengan amalan kebaikan bukan amalan yang lahir dari hawa nafsu manusia. Ini kerana masa semakin singkat, jasad bakal menemui ajal, Hari Kiamat semakin dekat. Maka, dengarkanlah satu kalam masyhur sebagai halwa telinga sahabat sekalian.

الواجبات أكثر من الاوقات

Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita miliki.

Oleh itu, bagi seluruh mahasiswa, antara perkara yang dapat dilakukan ketika masa lapang ialah menuntut ilmu dan berkongsi ilmu kepada orang lain.

( وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ )

[Surah At Taubah : ayat 122]

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. 

Di samping itu, antara aktiviti lain yang boleh dilakukan ketika masa lapang ialah menghafal ayat-ayat suci al-Quran, menghadiri majlis kerohanian, melakukan aktiviti sukan dan membantu barisan pimpinan melaksanakan gerak kerja.

Keluarga merupakan satu institusi yang bertanggungjawab memenuhi keperluan ahlinya. Di Mesir ini, keluarga kita KPIPM telah membentangkan pelbagai kebaikan agar diri kita semua menghala ke arah kebaikan.

Antaranya kelas pengajian Tafaqquh Fiddin, Ehya' Jum'ah, Program Riadah Bulanan, Street Dakwah, Rondaan Hisbah dan sebagainya.

Jadilah orang yang beruntung dengan mengambil peluang ini, bukan orang rugi yang hanya hidup berdalih.

Hal ini jelas menunjukkan keluarga kita membawa agenda Islam dan kesyumulannya. Oleh itu, sokongan dan dokongan yang jitu perlu diberikan kepada keluarga kita agar terus utuh dalam membawa Islam.

Dalam kitab Qimatu al-Zaman 'Inda al-Ulama, penulis ada menyebut : "Aku melihat ramai orang telah membazirkan masa dalam bentuk amat ajaib. Jika malam panjang, mereka bercakap yang tidak memberi manfaat atau mambaca kitab yang lagha. Jika siang hari pula panjang, mereka penuhi dengan tidur."

Secara ringkasnya, segala amalan yang baik dan dihadiri niat yang baik bukanlah silibus untuk dilakukan pada masa lapang sahaja bahkan perlu dilakukan di setiap masa.

Manfaatkanlah masa. Masa sekarang mencerminkan masa depan nanti, kehidupan hari ini mencorakkan kehidupan Akhirat nanti. 

As-Syahid Imam Hassan al-Banna berkata :

إذا لم تستطع أن تجد لنفسك حياة كريمة، 
فأصنع لنفسك موتا كريما.

Buat sahabat,
Masa lalu menjadi ilusi,
Masa depan sedang menanti,
Masa sekarang adalah realiti.

Hidup di dunia ini hanya sekali,
Berilah yang terbaik dalam meniti persinggahan ini,
Untuk dituai di Akhirat nanti.

Hidup ini adalah satu pengembaraan,
Penuh dugaan dan ranjau kehidupan,
Lakar hidup ini dengan keimanan,
Membawa kita menuju Tuhan.

Jangan lupa kita semua punya Tuhan, tempat pergantungan kita setiap masa, baik di saat kesusahan atau kesenangan.

Semoga coretan ini bermanfaat.
Segala kesilapan bermula daripada kelemahan diri penulis.

Sukalah agar coretan ini diakhiri suatu doa agar kita semua direzekikan keberkatan waktu di setiap amalan.

اللهم إنا نسألك سلامة في الدين وعافية في الجسد وزيادة في العلم وبركة في الرزق وتوبة قبل الموت ورحمة عند الموت ومغفرة بعد الموت... آمين.

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلِّم

سيروا على بركة الله

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...