Wednesday, January 4, 2012

Ithar : Untungkah Bersifat BAKHIL???




Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 

Tiada satu haripun yang dijalani oleh seorang hamba kecuali pada pagi harinya turun dua malaikat. Satu di antara mereka berkata, “Ya Allah berilah balasan bagi orang yang telah berinfak.” Yang satu lagi berkata, “Ya Allah berilah kemusnahan atas orang-orang yang menahan harta”.” (HR. Bukhari dan Muslim)

      Orang yang tidak mahu memberi tetapi hanya tahu menerima,takut kekurangan harta dan berani berlaku culas terhadap hak orang lain adalah golongan yang termasuk didalam doa malaikat supaya dimusnahkan.

     Kerana itu, marilah kita menjauhi sifat bakhil ini. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: 

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir, dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.”(Muhammad: 38)

        Sebuah kisah yang sangat menakjubkan dari seorang sahabat Rasulullah yang prihatin terhadap saudaranya dalam menghulurkan bantuan sedangkan dirinya memerlukan.

       Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam didatangi oleh tetamu,terlihat keletihan di wajah tetamu Baginda yang hanya seorang diri itu. Lalu Rasulullah  mengutus seorang sahabat untuk menanyakan kepada isteri-isteri baginda, adakah sesuatu yang boleh dimakan.Tetapi tidak ada makanan sedikitpun. Maka baginda menawarkan kepada para shahabat Muhajirin dan Ansar untuk menjamu tetamu itu pada malam itu sahaja. Salah seorang sahabat(Ansar) yang tidak mahu sahabat lain mendahului dirinya dalam berbuat kebaikan  bersuara dan menyambut tawaran itu, “Saya yang akan menjamunya,ya Rasulullah.”

     Setelah meminta izin kepada baginda, sahabat tersebut pulang untuk membuat mempersiapkan. “Kita akan menjamu tetamu Rasulullah! Jangan awak simpan makanan apa pun dan keluarkan kesemuanya!” katanya kepada isteri yang dicintainya.

Si isteri terperanjat,lalu memberi tahu kepada suaminya.Hanya ada sedikit sahaja makanan untuk anak-anak mereka yang masih kecil dan itupun hanya cukup untuk sekali makan.Lalu suami berkata : “Begini saja, kalau mereka ingin makan malam carilah cara supaya mereka tidur.” “Dan sekarang tolong matikan lampu dan perut kita akan kosong malam ini?” sambungnya. Tanpa ragu, wanita solehah itu melaksanakan perintah suaminya.

     Setelah semua siap, sahabat  itu pun menjamu tetamu Rasulullah dalam keadaan gelap. Tujuannya, supaya tetamu tersebut tidak tahu bahwa ia hanya makan seorang diri, sementara tuan rumah hanya berpura-pura makan.

    Keesokan harinya, sahabat itu menghadap Rasulullah. Seulas senyum menghiasi wajah berseri Rasulullah. Beliau bersabda: “Allah kagum dengan apa yang kamu lakukan bersama isterimu”.

Allah turunkan firman-Nya :

“Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”(Al-Hasyr: 9)

Siapakah sahabat dermawan yang berhati mulia itu? Ya,dialah Abu Thalhah Al-Ansori, semoga Allah meredhainya.

       Sahabat sekalian, semoga ini menjadi peringatan bagi kita bahawa kita masih perlu lebih serius lagi dalam meneladani para sahabat jika kita ingin bersama mereka di syurga kelak,InsyaAllah. Inilah saatnya bagi kita untuk belajar menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada orang lain, meskipun di saat kita amat memerlukannya.

      Dengan ini,bertepatan dengan objektif Ithar itu sendiri iaitu menerapkan pemahaman dan pelaksanaan konsep ithar, membantu ahli yang tidak mendapat sebarang bantuan kewangan, mangsa malapetaka dan mereka yang ditimpa kesusahan serta mewujudkan masyarakat mahasiswa yang prihatin terhadap hal ehwal kebajikan.

     Dengan ini,dapatlah kita mempratikkan perkara diatas dan menjauhi sifat bakhil secara bersama dengan menambah dana Tabung Ithar untuk membantu mereka yang mempunyai masalah kewangan.

                                                                                              

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...