Friday, May 29, 2020

KANTA SISWA | 29 MEI 1453: PEMBUKAAN KOTA KONSTANTINOPEL


KANTA SISWA | 29 MEI 1453: PEMBUKAAN KOTA KONSTANTINOPEL
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020

        Konstantinopel adalah nama lama bagi Istanbul. Diasaskan oleh Maharaja Byzantine iatu Constantine I pada 330M. Semasa pemerintahan Empayar Byzantine, kota ini menjadi sebuah kota yang maju dan aman.

        Konstantinopel di kelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iatu Selat Bhosphore, Laut Marmara dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn). Kedudukannya yang strategik menjadikannya istimewa. Napoleon Bonapart berpendapat bahawa kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Konstantinopel adalah ibu negaranya.


Rasulullah SAW pernah bersabda ketika di dalam peprangan Khandak : “Konstantinopel akan jatuh ke tangan tentera-tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (HR Imam Ahmad)

        Sejak itu, ramai khalifah Islam yang berusaha untuk membuka kota tersebut seperti yang disebutkan di dalam hadis tersebut. Pertamanya ketika zaman Muawiyah bin Abu Sufian RA pada tahun 44H tetapi usaha tersebut gagal. Salah seorang syahid ketika itu adalah sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al Ansari, beliau syahid di pinggir kota Konstantinopel.

        Selepas itu beberapa usaha masih dibuat antaranya ketika zaman Sulaiman bin Abdul Malik Khilafah Umayyah pada 98H, zaman khalifah Harun Ar Rasyid pada 190H dan beberapa lagi yang selepas itu tetapi semuanya menemui kegagalan.

        Sehinggalah zaman khilafah Uthmaniyah, ketika pemerintahan Sultan Murad II (824-863H), beliau meneruskan usaha membuka kota Konstantinopel. Antara usaha yang dilakukan adalah beliau mengepung kota itu tetapi berlaku pengkhianatan sesama umat Islam dan menjadikan rancangan tersebut gagal.

        Pada tahun 27 Rejab 835H/30 Mac 1432M di Edirne, lahirlah seorang putera Sultan Murad II iaitu sultan ke-7 Daulah Uthmaniyah yang diberi nama Sultan Muhammad II. Sejak kecil Sultan Muhammad II diberi pendidikan yang tinggi terutamanya dari sudut peibadi beliau. Gurunya benama Syeikh Aq Syamsuuddin mengajar beliau ilmu-ilmu asas seperti Al-Quran, Hadith, Feqah, Linguistik (Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti matematik, falak dan ilmu peperangan.

        Sejak kecil Sultan Muhammad II sudah melihat dan meneliti usaha ayahnya untuk membuka kota Konstantinopel. Tambahan pula, Syeikh AqSyamsuddin sentiasa meyakinkan beliau bahawa hadis yang disebut oleh Rasulullah SAW berlaku pada zaman beliau. Ini membuat semangat Sultan Muhammad II semakin berkobar-kobar.

        Selepas menaiki takhta pada tahun 855H/1451M, Sultan Muhammad II telah berfikir dan menyusun strategi untuk membuka kota tersebut dan segera berjumpa gurunya supaya menyiapkan bala tentera. Beliau sangat mementingkan kekuatan dalaman dan luaran tentera-tenteranya. Sultan Muhammad II juga adalah seorang pemimpin yang hebat, wara dan tawadduk selepas Sultan Salahuddin Al Ayyubi dan Sultan Saifuddin Muzaffar Al Qutuz.

        Pembukaan kota Konstantinopel mengambil masa selama 53 hari ada juga yang mengatakan 54 hari. Ianya bermula dengan membina kubu Rumeli yang diberi nama Rumeli Hisari di Tebing Eropah selat Bhosphore. Kubu tersebut berhadapan dengan kubu Anadolu di Tebing Asia yang dibina oleh datuknya, Sultan Beyazid I. Maharaja Byzantine berkali-kali cuba menghalang daripada kubu tersebut dibina tetapi gagal.

        Sultan Muhammad II mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh Maharaja Byzantine sebagai satu strategi. Antaranya perjanjian dengan Galata iaitu jiran bersebelahan dengan Konstantinopel. Ini membimbangkan Maharaja Byzantine lantas beliau segera menawan hati Sultan Muhammad II dengan meberi macam-macam hadiah supaya niatnya untuk menyerang kota tersebut dibatalkan. Tetapi usaha pujukan itu tidak berjaya. Lantas, Maharaja Byzantine memohon bantuan daripada negara-negara Eropah.

        Melihat peta yang tertera di atas, dapat kita lihat kedudukan kota Konstantinopel yang dikelilingi oleh tiga penjuru yang dihalang dengan rantai besi raksasa yang berfungsi untuk menghalang kapal daripada memasuki kota tersebut.

        26 Rabiul Awwal 857H/6 April 1453M di hadapan kota Konstantinopel Sultan Muhammad II menyampaikan khutbah di hadapan ribuan tenteranya tentang kelebihan berjihad dan sama-sama berdoa kepada Allah agar dikurniakan kemenangan. Ini membangkitkan lagi semangat tentera-tentera muslimin untuk membuka kota dihadapan mereka.

        Berlaku pengepungan di setiap penjuru mengelilingi kota Konstantinopel. Kapal-kapal juga berada di sekitar perairan mengelilinginya akan tetapi tidak berjaya untuk memasuki Perairan Tanjung Emas (Golden Horn) kerana rantai besi raksasa yang mengawal pintu masuk. Tentera Islam menyerang dengan melepaskan tembakan meriam dan menyebabkan penduduk Konstantinopel ketakutan dan menjatuhkan semangat mereka. Tentera laut Uthmaniyah tidak putus asa mencuba melepasi rantai besi tersebut.

        Maharaja Byzantine cuba lagi memujuk Sultan Muhammad II supaya tidak meneruskan serangan dengan menawarkan pelbagai hadiah tetapi tetap tidak dapat menundukkan beliau sebaliknya beliau menawarkan kepada Maharaja Byzantine supaya menyerahkan Konstantinopel kepada Daulah Uthmaniyah secara aman malah beliau berjanji untuk tidak memberi mudarat kepada penduduk Konstantinopel.

        18 April 1453M pasukan penyerang Uthmaniyah berjaya memecahkan tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di barat kota. Beberapa buah kapal laut Uthmaniyah cuba merempuh rantai besi di Tanjung Emas tetapi berjaya dihalang oleh tentera laut Byzantine dan Eropah. Menyebabkan banyak kapal musnah.

        Khalil Pasha menteri Uthmaniyah ketika itu cuba memujuk Sultan Muhammad II supaya membatalkan serangan dan menerima sahaja perjanjian penduduk Konstantinopel tetapi terus ditolak oleh beliau. Sultan Muhammad II terus memikirkan strategi supaya tentera laut dapat melepasi Tanjung Emas.

        Akhirnya, satu strategi luar biasa telah ditemui supaya kapal-kapal tentera laut Uthmaniyah boleh melepasi perairan Tanjung Emas dan ini tidak pernah dibuat oleh sesiapa pun. Beliau memanggil tenteranya dan mengarahkan supaya membawa kapal-kapal tersebut melalui jalan darat.

        70 kapal ditarik dari Pantai Besiktas ke Galata melalui bukit tinggi dengan jarak lebih kurang 3 batu. 22 April 1453M tentera Muslimin sudah pun berada di Tanjung Emas. Kejadian ini hanya berlaku dalam masa satu malam sahaja. Selepas itu, Sultan Muhammad II melancarkan serangan besar-besaran terhadap benteng Byzantine. Tembakan meriam dilepaskan dan memusnahkan kapal dagang Eropah di Tanjung Emas dan mereka meninggalkan pertempuran.

        Sultan Muhammad II tidak ingin kota itu musnah dan sekali lagi beliau menghantar utusan meminta penduduk Konstantinopel meyerahkan kota tersebut dengan aman. Tetapi mereka tetap dengan pendirian mereka untuk mempertahankan kota tersebut hingga ke titisan darah yang terakhir. Maka beliau pun teruskan dengan strategi seterusnya.

        Jam 1 pagi 29 Mei 1453M tentera Uthmaniyah melaungan takbir sambil menyerang kota itu dan berjaya menembusinya melalui pintu Edirne dan memacak bendera Daulah Uthmaniyah di puncak kota. Semangat juang tentera Uthmaniyah yang tinggi akhirnya memperolehi kejayaan dan disambut dengan rasa syukur kepada Allah SWT.

        Sejak itulah beliau diberi gelaran Al-Fath yang bermaksud pembuka. Beliau pergi ke Gereja Aya Sofya dan melihat ramai penduduk Kostantinopel bersembunyi di sana dan beliau menenangkan mereka. Selepas itu ramai penduduk telahpun menganut Islam. Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih menukar gereja tersebut kepada masjid. Pada hari Jumaat itu, Sultan Al-Fatih dan para muslimin mendirikan solat Jumaat di situ dan khutbah pertama telah disampaikan oleh Syeikh Aq Syamsuddin.

        Nama Konstantinopel kemudiannya ditukar kepada “Islam Bol” bermaksud “Bandar Islam” dan dijadikan ibu negara ketiga Khilafah Uthmaniyah selepas Bursa dan Edirne. Namanya kini terkenal sebagai “Istanbul”. Begitulah kisah pembukaan kota Kostantinopel yang menjadi bandar tumpuan bagi umat Islam yang penuh nostalgia. Banyak sejarah-sejarah Khilafah Uthmaniyah yang penuh tamadun dan boleh menaikkan semangat kita sebagai umat Islam. Pemerintahan ini bertahan sehinggalah akhirnya jatuh Khilafah Uthmaniyah secara rasminya pada tahun 1924M ketika pemerintahan Mustafa Kamal Atartuk.

        Tuntasnya, kita selaku mahasiswa Islam perlulah mencontohi kepimpinan yang ditonjolkan oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Kebijaksanaannya membina strategi, kesungguhannya tanpa mengenal erti putus asa, keimanannya yang teguh, pendiriannya yang tetap, pengaruhnya yang luas, keilmuannya yang mendalam serta kekuatannya selaku pemuda Islam digunakan sebaiknya dalam memegang tampuk pimpinan. Marilah sama-sama kita membina keperibadian generasi Sultan Muhammad al-Fatih di dalam diri bagi menegakkan semula Daulah Islamiah di atas muka bumi ini.

Siiru 'ala Barakatillah.

"Informasi Wadah Reformasi"


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"





MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...