Thursday, October 21, 2021

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2021/2022

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2021/2022
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2021/2022

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam & Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2021/2022.

Siiruu 'Ala Barakatillah buat semua. 

#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"



Tuesday, October 12, 2021

PENA AZHARI | SYURA DAN KEPENTINGANNYA


PENA AZHARI | SYURA DAN KEPENTINGANNYA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021

بسم الله الرحمن الرحيم

اَلْحَمْدُ لله الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالْهُدَى وَدِيْنِ الْحَـقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ ، أَشْهَدُ أَنْ لَا اله إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله.اللهم صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أله وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ

Firman Allah S.W.T: 

وَٱلَّذِينَ ٱسۡتَجَابُواْ لِرَبِّهِمۡ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَمۡرُهُمۡ شُورَىٰ بَيۡنَهُمۡ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.

-Surah Ash-Shura, Ayat 38

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah dan kurnianya dapat kita merasai dua nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam serta dua nikmat yang sering kita lupakan iaitu kesihatan dan masa lapang.

Syura dari sudut bahasa bermaksud meminta atau menuntut sesuatu pandangan dalam sesuatu perkara dan urusan. Manakala, dari sudut istilah pula berunding, berbincang, bermesyuarat dan bertukar pelbagai versi pandangan di antara kelompok tertentu dalam membincangkan sesuatu tajuk yang tertentu untuk mencapai pandangan yang tepat, lebih efisien, mencapai sasaran dan matlamat yang baik serta menghindari kesalahan atau kesilapan.

Seterusnya, syura juga merupakan satu dasar yang menyeru kepada penyelidikan, penyiasatan, dan pengkajian tentang kebenaran dan tepat. Syura juga membuka peluang untuk bersikap rasional dan bercanggah dengan sistem diktator atau kuku besi. Perkara ini mesti dititikberatkan oleh semua peringkat sama ada individu, organisasi, gerakan Islam dan pemimpin sesebuah negara.

Terdapat beberapa kepentingan dan tujuan syura dilaksanakan iaitu:

1. Berlemah lembut dan menyatukan hati-hati manusia serta menjadikan hati umat Islam lebih tenteram.

2. Menjadi ikutan dan contoh kepada orang-orang yang beriman sesudah daripada kewafatan Nabi S.A.W. 

3. Mempertimbangkan pandangan-pandangan kepada yang mendekatkan kepada kebenaran dan betul serta tidak cenderung kepada hawa nafsu.

4. Menyingkirkan pandangan orang yang keras kepala dengan pendapatnya dan tidak mahu menerima pendapat orang lain.

5. Syura medan penyelarasan dan keharmonian dalam melahirkan buah pemikiran yang bermutu tinggi dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

6. Tidak berlaku zalim kepada masyarakat dan orang sekeliling dalam menentukan sesuatu urusan berkaitan syura mengikut kesepadanan dan kemampuan yang berbeza.

7. Perisai dari terjerumus ke lautan penyesalan dengan mengambil kesimpulan pandangan yang benar.

Saidina Abu Hurairah R.A berkata, "Tidak pernah seorang pun yang aku lihat paling banyak melakukan musyawarah dengan para sahabat melainkan Nabi melakukan ia kepada para sahabat".

Justeru, terlalu banyak pengamalan dan pelaksanaan amali Nabi S.A.W yang boleh kita ambil iktibar untuk di aplikasi dalam kehidupan seharian seperti peristiwa Perang Ahzab di mana beberapa orang ketua Bani Nadhir datang ke Makkah mengajak dan mengapi-apikan Quraisy untuk memerangi Rasulullah SAW. Selepas itu, mereka pula mengajak Bani Fazzarah, Bani Murrah dan Asyjak dari Ghatafan dan menuju ke Madinah.

Apabila Baginda SAW mendengar kedatangan angkatan mereka, baginda SAW mengaturkan bermesyuarat dengan para sahabat. Maka, Salman al Farisi mencadangkan supaya Baginda SAW menggali parit di sekeliling kota Madinah yang mana pada akhirnya menatijahkan kemenangan yang besar kepada umat Islam.

Daripada tujuan syura dan sirah Nabi SAW dalam peperangan Ahzab, ada lima hikmah yang akan diperolehi apabila melaksanakan syura:

1. Keputusan yang akan diambil lebih sempurna berbanding tanpa musyawarah.

2. Setiap ahli mesyuarat akan merasai keterikatan terhadap keputusan musyawarah dan memiliki tanggungjawab untuk menggerakkannya secara bersama-sama.

3. Memperkukuhkan hubungan persaudaraan sesama muslim dan anggota jemaah yang harus saling kuat menguatkan.

4. Menghindari terjadinya dominasi majoriti dan tirani minoriti dalam musyawarah di mana hakikat pengambilan keputusan terletak kepada kebenaran.

5. Menjauhi hasutan, fitnah dan mengadu domba yang dapat memecah belah barisan perjuangan kaum muslimin.

Sementara itu, banyak kesan-kesan buruk akan berlaku apabila umat Islam meninggalkan syura seperti:

1. Kehilangan orang mukmin yang berpegang dengan sifat syura dan kehilangan sifat rakyat yang berpegang teguh dengan syura dan keputusannya.

2. Pemerintah mudah terjerumus ke kancah kesalahan dalam urusan pentadbiran dengan menindas dan menzalimi rakyat.

3. Mengundang kekecewaan perasaan dan hati rakyat dek kerana pemerintah menggunakan kuasa autokrat dalam pengurusan. Manakala, pendapat dan maslahah rakyat diabaikan dan di pandang sebelah mata sahaja.

4. Berlaku krisis antara pemimpin dan rakyat kerana pemimpin melakukan pengasingan kuasa secara pilih kasih dan rakyat akan mula menjauhi pemimpin.

Sahabat Azhari dan Azhariah sekalian, saban tahun KPIPM juga tidak terkecuali mengadakan syura atau Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) dan Majlis Tahunan HEWI (MTH) yang mana bukan semata-mata program dan acara tahunan bahkan menjadi suatu kewajipan untuk mendapatkan keputusan secara bersama dalam membawa bahtera yang besar sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam di sini.

Dengan ini diharapkan kepada semua anak-anak Perak di Mesir mengambil bahagian untuk mendaftar dan menyertai seterusnya menjayakan MAT dan MTH dengan memberikan buah pandangan dan fikiran supaya kesatuan ini dapat mengeluarkan suatu keputusan yang terbaik. 

Dalam pada itu, seruan juga buat ahli KPIPM untuk menyokong dan mendokong setiap aktiviti yang dianjurkan di bawah KPIPM pada sesi-sesi yang mendatang.

Jom sama-sama menjayakan program MAT-55 dan MTH-34.

والله أعلم.

"Syura Membentuk Legasi Berkaliber"

#MAT55MTH34
#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MENURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Nukilan daripada :
Ustaz Ahmad Amjad Fawwaz bin Ahmad Jazman
Unit Operasi Badan Hisbah, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021

Thursday, October 7, 2021

MINDA PIMPINAN | KESATUAN LAMBANG KEUTUHAN


MINDA PIMPINAN | KESATUAN LAMBANG KEUTUHAN
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021

Firman Allah SWT : 

إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku).

[Surah Al-Anbiya’ : Ayat 92]

Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya : Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.

Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi
(1847), al-Nasa'ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)

       Imam Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah : Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud : Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.

      Beliau berkata lagi : Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar Al-Asqalani (10/439).

Sahabat-sahabat sekalian,

        Menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam untuk beriltizam (berpegang teguh) dengan agama mereka yang menghilangkan sebarang bentuk pemisah sesama manusia. Serta (agama) mengabaikan semua jenis pembahagian dan pembezaan yang terbina atas asas warna kulit, perbezaan bahasa, mahupun keturunan.Umat islam juga perlu sentiasa berwaspada akan hilangnya semangat ijtima’ (kesatuan dan kesepakatan) sesama kebanyakan umat Islam. Serta wujudnya sebahagian unsur-unsur negatif dari sudut perpecahan dan juga perbalahan.
       
        Realiti sebenar perpaduan ummah pada hari ini sangat menyedihkan, mengecewakan dan memalukan ibarat bagai kaca terhempas ke batu. Perpecahan ummah di seluruh dunia berada pada tahap yang sangat kritikal dan kronik. Oleh sebab itulah, umat Islam dipandang hina, rendah dan mundur. Sewajarnya kita mengambil kecaknaan dan keprihatinan bersungguh-sungguh agar sifat berpecah belah yang menjadi virus dalam masyarakat dapat dihapuskan dengan digantikan sebuah masyarakat yang mempunyai kasih sayang dan membina tamadun baru melayakkan untuk meraih Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.

Mahasiswa/wi yang dirahmati Allah SWT,

         KPIPM yang telah ditubuhkan pada tahun 1964 dibawah kepimpinan Ustaz Ahmad Jais. Kesatuan ini berusaha sedaya upaya meningkatkan kefahaman ahli bagi mengamati Islam secara syumul melalui penekanan menitikberatkan segala perintah Allah dan Rasul-Nya serta menggerakkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar sebagaimana firman Allah SWT :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. 

[Surah Ali Imran : Ayat 104 ]

          Selain itu, KPIPM juga merupakan satu persatuan yang sudah lama terbina atas dasar dan konsep amal islami ini bukanlah persatuan yang hanya mementingkan kepentingan peribadi semata-mata, bahkan berkonsepkan kekeluargaan yang sangat menitikberatkan kebajikan anak-anak Perak yang menuntut ilmu di bumi Mesir, sama ada bidang Pengajian Islam atau Pengajian Sains Kesihatan. Hubungan yang terjalin ini secara sedar ibarat ukhuwah yang terbina atas dasar Islam amatlah penting bagi menyebarkan dakwah Islamiah itu sendiri.

Sahabat-sahabat sekalian,

         Sudah terang lagi bersuluh, persatuan ini adalah amanah daripada Allah SWT. Jagalah ia sebagaimana perintah untuk ummah bersatu padu dan berpegang teguh pada tali Allah seperti firman-Nya, “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. Dengan itu, sifat thabat dalam diri seorang ahli atau orang bawahan perlu disemat dan ditanam dengan  memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada keputusan pimpinan dan turut melaksanakan keputusan itu. Sebagai golongan atasan pula perlulah sentiasa menegakkan masyarakat Islam walau terpaksa menempuh 1001 dugaan dan cabaran.

       Akhir sekali,  KPIPM merupakan satu tunjang dan pasak utama untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Tidaklah KPIPM ini hanya tertumpu kepada aspek ukhuwah atau akademik semata-mata, bahkan lebih luas lagi iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan seorang muslim. Usaha dalam menjaga kesatuan ini telah lama dilakukan sejak dari generasi terdahulu sehingga generasi hari ini. Hal ini jelas, apabila kita lihat dalam matan usul YDP KPIPM sesi 2020/2021 iaitu “Mengoptimumkan peranan KPIPM sebagai persatuan induk anak-anak Perak dengan memperkasakan kebajikan dan sumber tenaga” dan Pembawaan KPIPM sesi 2020/2021 yang kelima iaitu “Menjadikan KPIPM sebagai wadah kesatuan yang bercirikan kekeluargaan bagi memperkasakan ukhuwah Islamiah”.

      Justeru itu, harapan saya kepada seluruh mahasiswa/wi Islam Perak di Mesir khususnya, kita selaku umat Islam yang mendasari Al-Quran dan As-Sunnah haruslah berada di dalam kesatuan Islam yang syumul. Kesatuan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan menyakini tuhan yang maha esa. Teruskanlah berjuang demi kepentingan agama. Malulah dengan diri sendiri jika dibandingkan dengan anak-anak muda di gaza sana. Perjuangan mereka baru bermula dan ini bermakna perjuangan kita juga belum berakhir.

#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Nukilan daripada :
AMRU BIN ABDUL SAMAT
Ketua Biro Perumahan KPIPM sesi 2020/2021





MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...