Wednesday, August 29, 2018

LAPORAN JAULAH MUSIM PANAS KE MARSA MATRUH DAN SIWA (INFIRU ’18) IKHWAH

[JAULAH MUSIM PANAS KE MARSA MATRUH DAN SIWA]

KAHERAH – 16 - 18 Julai 2018 bersamaan 3 - 5 Zulkaedah 1439H, bersempena cuti semester penggal kedua, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan jaulah yang diberi nama sebagai Infinity Of Experience In Matruh & Siwa 2018 (INFIRU’18)  khusus bagi ahli ikhwah di bawah seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah KPIPM sesi 2017/2018.
          Pada tarikh 16 Julai 2018, seawal jam 12.00 pagi semua peserta diminta berkumpul di perkarangan Wisma Baitul Rahman bagi membuat semakan nama berserta taklimat ringkas kepada peserta oleh Unit Disiplin. Antara perkara yang dititikberatkan ialah mengenai etika, maklumat peribadi dan keselamatan sepanjang jaulah berlangsung. Bilangan keseluruhan peserta jaulah INFIRU’18 adalah seramai 47 orang. Pada jam 1.30 pagi, bas pun mula bertolak ke destinasi yang hendak dituju.

Pada jam 3.00 pagi, bas berhenti sebentar di perhentian R&R bagi memberi laluan kepada peserta untuk solat fardu subuh dan berehat sebentar selama satu jam. Kemudian, sambil menikmati perjalanan, Unit Pengisian telah mengadakan aktiviti perasmian INFIRU’18 (Ikhwah) yang telah dimulai dengan ucapan Pengarah INFIRU’18, Ustaz Muhamad Amirul Syahmi bin Yusof dan disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri. Setelah itu, para peserta telah diisi dengan sarapan pagi berserta beberapa pengisian antaranya ialah penerangan awal tentang lokasi jaulah yang bakal dilewati oleh Musyrif Penerangan yang bertugas iaitu Ustaz Amir bin Ghazali, sesi ta’aruf dan teka teki yang mencuit hati.

Alhamdulillah, sejurus setelah tiba di Marsa Matruh pada jam 9.30 pagi, para peserta terus ke lokasi penginapan yang berdekatan dengan Pantai Romlun. Selepas menunaikan solat fardhu zuhur secara jama’ taqdim dan menikmati makanan tengah hari, INFIRU’18 pun diteruskan lagi perjalanannya dengan menuju ke destinasi pertama iaitu ke Pantai Cleopatra. Berhampiran dengan pantai tersebut, terdapat Hamam Cleopatra (tempat mandi puteri Cleopatra) dibalik celahan batu besar yang membuatkan air masuk dan keluar tatkala ombak datang membadai.

Kemudian, ekspedisi ini diteruskan lagi dengan tempat yang kedua iaitu Pantai Agiba. Ia dianggap sebagai pantai yang tercantik di Mesir tidak hanya kerana lokasinya yang menarik, tetapi kerana pemandangannya yang memukau mata yang melihat. Para pengunjung yang datang ke sini berpeluang untuk menikmati pemandangan 7 warna air laut yang berbeza, dan dikatakan itulah sebab mengapa ia dinamakan sebagai Pantai Agiba (Pantai Ajaib). Disamping itu, para peserta juga dibenarkan melakukan aktiviti bebas samada aktiviti pantai ataupun bersiar-siar disekitar pantai.

Seusai itu, perjalanan diteruskan lagi dengan melawat ke Souq Libya (Pasar Libya), dan para peserta diberi masa selama 2 jam untuk membeli cenderahati kenang-kenangan dan hadiah bagi aktiviti tukar hadiah. Setelah selesai, bas pun bergerak pulang ke tempat penginapan.

         Untuk hari kedua, sejurus selepas solat Subuh, INFIRU’18 meneruskan perjalanan ke Siwa yang mengambil masa selama 6 atau 7 jam jarak perjalanan dari Marsa Matruh. Ketika perjalanan, para peserta diedarkan sarapan pagi dan diadakan beberapa pengisian oleh peringkat Musyrif Penerangan dibawah kendalian Unit Pengisian. Alhamdulillah, seluruh peserta selamat tiba di Siwa tanpa menghadapi sebarang permasalahan samada di setiap Checkpoint Polis ataupun kesesakan lalu lintas. Antara destinasi yang berjaya dilawati adalah Jabal Mouta. Ia yang merupakan sebuah bukit besar yang menyimpan beberapa mumia yang ternama pada suatu ketika dahulu. Selepas itu, INFIRU’18 meneruskan perjalanan ke Bahrul Malah, sebuah tasik garam semulajadi yang terbentang luas  seakan-akan padang yang dihujani dengan salji.

Seterusnya, ekspedisi ini bergerak pula ke Kolam Cleopatra bagi menunaikan solat fardu Zohor, makan tengah hari dan berehat sambil melihat kejernihan air daripada kolam tersebut yang menjadi salah satu sumber air bagi pertanian di kawasan Siwa. Selepas itu, Musyrif Penerangan membawa para peserta ke Kota Siwa Lama yang juga dikenali sebagai Kota Sarang Semut dan para peserta di beri masa setengah jam bagi membeli cenderahati di sekitar kawasan tersebut.
Sebagai penutup perjalanan di Kota Siwa, semua peserta berpeluang mengikuti ekspedisi yang julung kali dilaksanakan iaitu Aktiviti Safari. Antara aktiviti yang dijalankan ialah menelusuri padang pasir, melawat kawasan oasis semula jadi, berkunjung ke kolam air panas buatan, serta melakukan aktiviti sandboarding sambil melihat fenomena matahari terbenam. Selepas itu, INFIRU’18 pun meneruskan perjalanan pulang ke Marsa Matruh.
          Pada hari ketiga pula, seawal jam 6.30 pagi, Pantai Abyadh telah menjadi destinasi terakhir bagi jaulah pada kali ini. Di sana, para peserta mengadakan beberapa aktiviti pantai, iaitu acara tarik tali, bola beracun dan aktiviti bebas di pantai. Kemudian, INFIRU’18 bergerak pulang ke penginapan bagi mengemas barang dan makan tengah hari. Pada jam 12.30 tengah hari, perjalanan pulang bermula.
Sebelum sampai ke Kaherah, beberapa aktiviti telah dijalankan di bawah pengendalian Unit Pengisian iaitu acara tukar hadiah, kalam penutup daripada Pengarah INFIRU ’18, Ustaz Muhamad Amirul Syahmi bin Yusof, ucapan Perasmian Penutup INFIRU ’18 (Ikhwah) oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri dan penyampaian hadiah kepada Musyrif Penerangan sebagai tanda penghargaan.

Alhamdulillah, pada jam 10.30 malam, bas pun selamat tiba ke Kaherah di Baitul Rahman. Akhir sekali, besarlah harapan diperingkat program agar para peserta dapat menjayakan tema yang dibawa didalam INIFIRU’18 yang bercirikan ukhuwah Islamiah tanpa meletakkan jurang umur atau kelompok antara satu sama lain.

“Travel Once, Infinite Experience”

“BERILMU, BERAMAL, IKHLAS”
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh :
Setiausaha INFIRU ‘18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018




MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...