Friday, July 31, 2009

Proses Pemindahan Barang Dihiasi Dengan Suasana Ceria


KAHERAH, 30 JULAI - Setelah ditangguhkan pada 28 Julai lalu, akhirnya sepertimana yang dijanjikan, pada hari ini proses pemindahan barang pun bermula. Peringkat pertama pemindahan ini tidak berapa sukar dengan kehadiran ahli-ahli yang bersama-sama menjayakan usaha ini.

Proses bermula seawal jam 9.30 pagi lagi dengan penantian beberapa orang ahli yang tinggal di luar. Namun, kehadiran lori pengangkutan begitu lambat sehinggakan proses terpaksa tertangguh lagi sehingga jam 12.05 tengahari.

Pemindahan peringkat pertama ini memerlukan dua kali pusingan sebuah lori bersaiz jumbo. Sedikit demi sedikit barang diangkat dan diagihkan ke bilik-bilik dan stor sementara.

Bilangan ahli yang hadir dalam menjayakan proses ini sekitar 24 orang ikhwah. Proses ini dihiasi dengan senyuman dan suasana yang ceria. Proses pemindahan dan pengagihan barang selesai pada jam 2.50 petang, dan semua yang terlibat dijamu dengan makananan tengahari.

Us Ahmad Faisal Mehamod, Pengarah Unit Bertindak Urusan Perpindahan memberitahu bahawa proses akan disambung pada 1 hingga 2 Ogos untuk proses pembungkusan dan pengemasan. Manakala pada 3 Ogos, akan dipindahkan barang-barang tersebut.

Us Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, Yang Dipertua, mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dan beliau mengharapkan supaya proses pemindahan untuk akan datang dapat disertai lebih ramai ahli.

Wednesday, July 29, 2009

Bacaan Hanya Untuk Peperiksaan?


Penurunan wahyu pertama Allah s.w.t kepada Baginda Nabi s.a.w sudah jelas menggambarkan peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam permulaan sesuatu amalan atau pekerjaan hatta kepada misi kenabian itu sendiri. Apabila diperhatikan dalam sudut yang lain pula, wujud anjuran daripada Allah Taala supaya menambahkan ilmu pengetahuan dan melipatgandakannya.

Ibnu Qayyim Al-Jauziah Rahimahullah berkata: Cukuplah ayat ini menerangkan kemulian ilmu dan suruhan kepada nabiNya supaya menambahkan ilmu. Juga turut dikatakan, sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyuruh para Rasulnya menambahkan dalam sesuatu perkara kecuali dalam menambahkan ilmu. Sekiranya kita menyoroti perjalanan sirah-sirah Rasul terdahulu, wujudnya teladan dalam menuntut ilmu yang ditunjukkan oleh rasul-rasul sendiri, seperti yang dirakamkan dalam surah Al-Kahfi, kisah Nabi Musa a.s menuntut ilmu pengetahuan daripada Nabi Khidir a.s.

Nah, sekarang sudah jelas kepada kita akan kepentingan ilmu dan kepentingan mengayakan diri dengan ilmu. Walaupun peperiksaan kita sudah berakhir, jangan pula kita lalai,leka,lembik,lesu,lemah,longlai dan lelah untuk terus menuntut ilmu dan membaca kitab-kitab. Banyak lagi yang kita tidak tahu kan?? Ataupun sahabat-sahabat dah rasa hebat,mantap dan kejap dengan tahap ilmu yang kita ada sekarang?? Tanyalah diri masing-masing. Nilailah diri masing-masing. Timbanglah diri masing-masing. Marilah sama-sama kita ambil iktibar daripada beberapa kisah ulama-ulama terbilang kita dalam usaha dan kesungguhan mereka dengan ilmu.

Suatu hari Ibnu Taimiyyah rahimahullah terlantar sakit tenat lalu berkata seorang tabib kepadanya: “Sesungguhnya ulangkajimu dan bacaanmu yang terlampau akan menambahkan sakit kamu,” maka Ibnu Taimiyyah rahimahullah menjawab: “Sesungguhnya aku tidak boleh sabar dengan ilmu, dan aku mahu bertanyakan satu perkara kepadamu, berdasarkan kepada ilmu kamu bukankah sakit seseorang akan berkurang apabila hati berasa senang dan gembira??” Jawab tabib tersebut: “Ya bahkan benar sekali,”. Lalu Ibnu Taimiyyah menjawab : “Maka aku berasa senang dan gembira dengan ilmu,”.

Berkata Abu Syaamah al-Maqdisi, menceritakan mengenai al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi: “Sesungguhnya matanya telah menjadi kabur dan tidak jelas disebabkan terlalu banyak membaca dan menangis. Tidak ada orang setanding beliau dalam ilmu hadis pada zamannya,”.

Dikatakan bahawa Ibnu Mubarak radhiallahu `anhu tidak banyak bergaul dengan orang ramai, maka ditanyakan kepadanya:” Kenapakah kamu selalu sendirian dirumah??”. Beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak bersendirian, sedangkan Baginda Nabi sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabatnya berada dirumahku..” (iaitu kitab-kitab dan tulisan ilmu)

KISAH-KISAH BACAAN PARA ULAMA

Khatib Baghdadi rahimahullah membaca kitab Sahih Bukhari dalam 3 kali majlis.

Al-Imam al-`Iz Abdul Salam rahimahullah membaca kitab Nihayatul Mathlab dalam masa 3 hari.

Al-Hafiz al-Mizzi rahimahullah membaca al-Mu’jam al-Kabir dalam 60 majlis.

Imam Zahabi rahimahullah membaca sirah Ibnu Hisyam dalam 6 hari sahaja.

Al-Hafiz Zainuddin al-Iraqi rahimahullah membaca Sahih Muslim dalam 6 majlis. Membaca kitab Al-Musnad dalam 30 majlis.

Imam Sirajuddin Bulqini rahimahullah membaca kitab Feqah dalam semua masalah dalam masa 1 hari sahaja.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

> membaca sahih Bukhari dan Sunan Kubra dalam masa 10
majlis dan sahih Muslim dalam masa 5 majlis.
> membaca Sunan Ibnu Majah dalam masa 10 majlis
> membaca al-Mu’jam as-Soghir dalam masa 1 majlis

Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan pengajian dan pembacaan kita sehari-hari tanpa sebarang ikatan peperiksaan ataupun sebagainya. Sekiranya ingin menjadi ulama’ maka perlulah ikut thariq ulama’. Apapun kita menuntut ilmu hanya semata mencari Redha Allah s.w.t. Ikhlaskan kembali niat asal kita semua kesini. Moga kita semua dibawah inayah dan nusrah Allah s.w.t.

Disediakan oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

Proses Pemindahan Rumah Perak Bermula


KAHERAH, 28 JULAI – Proses pembungkusan barang sudah bermula semenjak seminggu kebelakangan ini. Ia telah digerakkan di bahagian HEWI di peringkat permulaan.

Semalam, 27 Julai pada jam 10 malam, telah bermula proses pemindahan barang akhawat dari bilik akhawat ke bahagian dewan di bawah.

Pagi tadi, pada jam 7.10 pagi, Unit Bertindak Urusan Pemindahan yang diketuai oleh Us Ahmad Faisal bin Mehamod, telah mengadakan perjumpaan bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pemindahan ini.

Wartawan blog telah dimaklumkan bahawa proses pemindahan peringkat pertama akan dilakukan pada jam 10 pagi hari ini. Namun proses tersebut terpaksa dibatalkan dan ditunda pada hari khamis ini, kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Ketika ditemui, Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil memberitahu bahawa makluman akan disampaikan melalui dua medium, iaitu rasmi dan tidak rasmi. Beliau berharap agar semua ahli dapat maklum tentang proses pemindahan ini.

Beliau juga mengesyorkan kepada mana-mana ahli yang berkelapangan, untuk turut serta dalam proses pemindahan ini. Beliau berkata, kita meraikan beberapa aktiviti di muhafazah yang sedang berjalan, peserta yang terlibat dengan Piala Malaysia, dan HEWI yang terlibat dengan Program Kesenian HEWI anjuran PMRAM.

Tuesday, July 28, 2009

Pasukan Bola Sepak Jangan Putus Asa

ZAGAZIG, 28 JUN – Yang Dipertua, Us Muhammad Mujahid mengucapkan tahniah kepada Pasukan Bola Sepak Perak ke Piala Malaysia yang diadakan di Zagazig atas 2 kemenangan yang diraih semalam. Pasukan Perak diketuai oleh Ustaz Muhammad Husairi bin Mohamed Wildan, dan pengurus pasukan ialah Ustaz Mohd Hafiz bin Shamsuddin.

Perlawanan pertama yang dihadapi oleh Pasukan Perak ialah pada pasukan Negeri Kelantan, iaitu pada hari kedua Piala Malaysia anjuran PMRAM. Perlawanan pertama ini menyaksikan Negeri Perak dibolosi sebanyak 2 gol.

Pada keesokan harinya, 27 Julai, Pasukan Perak bergerak cemerlang apabila mengalahkan Negeri Sabah dan Johor. Penjaring gol ketika perlawanan bersama Negeri Johor ialah Ustaz Megat, manakala perlawanan bersama Negeri Sabah ialah Ustaz Husairi Wildan.

Pada pagi tadi, wartawan blog melaporan bahawa Perak tumpas di tangan Mansurah sebanyak 3 gol. Sejurus itu menyekat kelayakan Pasukan Perak untuk masuk ke peringkat suku akhir.

Ustaz Muhammad Azizuddin bin Aznan, Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadhah menyifatkan bahawa terdapat peningkatan yang cemerlang dalam pasukan bola sepak Perak sendiri, berbanding sebelumnya.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pemain, kata Yang Dipertua ketika ditemui oleh wartawan blog, selepas beliau menghadiri perjumpaan bersama Unit Bertindak Urusan Perpindahan pagi tadi. Beliau berharap agar kecemerlangan tahun ini dapat dipertingkatkan lagi pada tahun hadapan.

Thursday, July 23, 2009

Bahang Program Perkampungan Tok Sagor Masih Belum Hilang


KAHERAH, 22 JULAI - Perkampungan Tok Sagor yang diadakan selama 4 hari, berakhir semalam dengan sambutan Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Us Khalil bin Yahaya, selaku Anggota Badan Penasihat KPIPM.

Program Perkampungan Tok Sagor ini telah bermula pada 17 Julai, dengan diserikan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Ustaz Nik Rosdi bin Nik Jusoh, Naib Presiden II, Lajnah Muhafazah, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2009.

Keesokan harinya, iaitu pada hari Sabtu, telah berlangsung acara padang bagi ikhwah, dan acara dewan bagi akhawat. Antara acara menarik bagi ikhwah ialah perlawanan bola sepak, sukaneka, tarik tali dan sebagainya. Acara bagi ikhwah telah berlangsung di Nadi Syabab Haiyu Asyir, dan selesai pada jam 5.10 petang. Acara bola sepak turut disertai pasukan jemputan dari Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).

Manakala bagi akhawat pula, acara berlangsung di Rumah Perak Sementara dengan acara-acara yang menarik, antaranya, pertandingan diskusi kitab, penghasilan slide, pantun, kuiz dan sebagainya. Pada sebelah malam, akhawat diserikan lagi dengan Talk Show yang bertajuk “Aku Dilamar Cintanya”.

Pada hari ketiga, Ahad, acara yang berlangsung ialah acara dewan bagi ikhwah, dan acara padang bagi akhawat. Acara Dewan bagi ikhwah telah dilangsungkan di Rumah Perak Sementara dengan pelbagai acara menarik, antaranya ialah debat ala parlimen, kuiz, pantun, sajak dan sebagainya. Pada sebelah malam, ikhwah diserikan lagi dengan pertandingan dakwah kreatif.

Manakala acara akhawat pula diadakan di padang, di Hadiqah Atfal Haiyu Thamin, dengan beberapa acara menarik antaranya ialah bola jaring, sukaneka dan sebagainya. Acara padang akhawat selesai pada jam 2 petang.

Pada hari keempat, iaitu hari Isnin, program diserikan lagi dengan program ilmiah. Pada sebelah pagi ikhwah bersama-sama berentap dalam acara Win, Lose or Draw, manakala akhawat pula diserikan dengan pertandingan dakwah kreatif.

Pada jam 12 pagi, telah berlangsung diskusi kitab oleh Ustaz Rohimuddin bin Nawawi, dengan kitabnya yang bertajuk “Cinta Di Ambang Perkahwinan”. Diskusi selesai pada jam 2.10 petang. Setelah selesai Solat Zohor, program ditambah lagi dengan Dialog Prosedur Perkahwinan Di Malaysia bersama wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, iaitu Ustaz Harith Fadhilah bin Abdul Halim dan Ustaz Sufian bin Abdul Latif.

Pada sebelah petang, acara ikhwah disambung lagi dengan Tebar Roti Canai dan The Tarik. Manakala akhawat pula sedang berlangsung acara pantun peringkat akhir.

Pada sebelah malamnya, telah diadakan Majlis Perasmian Penutup, dan ia diserikan dengan tayangan slide dan persembahan sajak dan dakwah kreatif bagi kumpulan yang menang. Agenda utama pada malam itu ialah penyampaian hadiah kepada pemenang. Majlis Perasmian tamat pada jam 10.50 malam.

Beberapa VIP yang turut hadir pada malam itu ialah Badan Pengurus angkat, Ustaz Nik Rosdi bin Nik Jusoh dan beberapa orang Badan Pengurus PMRAM yang lain dan wakil Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid mengucapkan terima kasih atas beberapa bentuk kerjasama terutamanya yang diberikan oleh MKKK sempena program ini. MKKK telah menyediakan dua syaqah untuk penempatan akhawat Perak yang tinggal di muhafazah. Begitu juga dengan Badan Pengurus PMRAM yang turut hadir di sepanjang program.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Us Rohimuddin, wakil MAIAMPk dan beberapa orang tetamu dan pengisi jemputan kerana sudi menjayakan program seperti ini. Tidak lupa juga kepada Adhoc Pelaksana yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini.

Sunday, July 19, 2009

Perasmian Tok Sagor Meriah


KAHERAH, 18 JULAI - Program Perkampungan Tok Sagor adalah salah satu program mega KPIPM yang berbentuk hari keluarga. Ia berkonsepkan ukhuwah dengan menggunakan tema "Lestari Ukhuwah Injeksi Mahabbah", pada tahun ini.

Hari ini, Program Perkampungan Tok Sagor telah dirasmikan oleh Ustaz Nik Rosdi bin Nik Jusoh selaku Naib Presiden II, Merangkap Lajnah Muhafazah, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir.

Program bermula dengan alunan zikir munajat yang dialunkan selepas Solat Fardhu Maghrib. Pada jam 9.27 malam, program perasmian dimulakan.

Ia dimulakan dengan alunan Asma' al Husna, Lagu PMRAM dan Lagu Tema yang bertajuk "Akrab Persahabatan".

Ucapan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, Ustaz Ibrahim bin Mansor. Kemudian ia disusuli oleh ucapan Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil. Setelah itu, ucapan perasmian disampaikan oleh Ustaz Nik Rosdi yang mewakili Presiden PMRAM.

Gimik perasmian telah disempurnakan oleh beliau. Setelah itu, tayangan multimedia disiarkan dalam masa beberapa minit.

Program perasmian ini tamat pada jam 10.40 malam, dan ahli dihidangkan dengan makan malam.

Program ini turut dihadiri oleh beberapa orang Badan Pengurus, dan AJKT HEWI PMRAM. Turut hadir, Ustazah Samiha binti Abdullah, Naib Setiausaha HEWI selaku HEWI angkat bagi KPIPM.

Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid merasa berbesar hati dengan kehadiran tetamu jemputan, ahli-ahli yang datang dari muhafazah dan adhoc-adhoc pelaksana yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan program ini.

Friday, July 17, 2009

Didik Anak Hargai Nilai Kehidupan

SEORANG kanak-kanak Palestin pergi ke sekolah sambil menangis kerana terlambat masuk ke kelas akibat angkara tentera Yahudi yang menahannya di tengah jalan. Sepanjang hari dia menangis pada hal gurunya tidak memarahinya. Selepas puas dipujuk, dia menyatakan rasa kecewanya: “Saya tidak mahu kerana saya datang lambat, rakyat Palestin akan terus merana dan dibunuh Yahudi.
.
Kanak-kanak itu teringat pesan cikgunya kelmarin: “Jika kamu sengaja lambat hadir ke sekolah bermakna kamu melambatkan usaha kemerdekaan negara kita.”
.
Limpahan rasa syukur atas segala nikmat Allah Taala di bumi Tanah air kita. Begitu jauh perbezaan di antara anak di Palestin dibandingkan dengan anak kita. Bukan bermaksud untuk merendahkan usaha ibu bapa di Malaysia yang sememangnya patut dibanggakan dan juga bukan bermotifkan fahaman yang terlalu idealis, jika kita cuba menyelami dasar hati dan bertafakur. Adakah usaha kita sebagai ibu bapa yang soleh sudah cukup sempurna?
.
Lihatlah wajah tak berdosa anak Palestin, dari manakah datangnya sumber kekuatan mereka untuk menghadapi hari-hari yang menyeksakan. Dari manakah mereka memperoleh segenap kekuatan tidak makan dan minum selama beberapa hari kerana sekatan Yahudi? Setebal manakah kesabaran anak-anak itu menggendong mayat adik bayi yang ditembak tepat ke arah jantungnya. Padahal baru saja adik bermain, ketawa dan bermanja di pangkuan abangnya itu. Anak kita juga memiliki hati dan perasaan seperti mereka. Namun, hati jenis apakah yang mampu menguasai zahir dan batin sambil menelan segala kepedihan, melihat ayah dan ibu dibantai di depan mata.
.
Lalu kita memandang wajah anak kita di dalam bilik tidur yang selesa, tiada nyamuk boleh menggigit, bilik yang aman daripada sebarang bentuk kejahatan. Anak kita yang dijaga dengan baik dan kalau boleh jangan disuruh merasai kesusahan, mereka dewasa bersama segala kemudahan dan kesenangan. Jika bukan dengan didikan ibu dan bapa yang beriman kepada Allah Taala, hampir-hampir mereka menjadi manusia yang tak mengerti bagaimana menghargai hidup ini.
.
Saidina Umar bin al-Khattab RA pernah menasihati seorang bapa yang datang mengadu perihal anaknya yang derhaka. Umar berkata: “Sesungguhnya kamu lebih dulu menderhakai anakmu.” Kerana bapa tidak memberi nama yang baik dan tidak pula mendidik anaknya dengan ajaran agama.
.
Sebagai ibu bapa zaman moden, di samping membekalkan anak dengan pelbagai ilmu dan teknologi serba hebat, kita pula dituntut untuk kembali kepada ajaran agama yang kukuh dan relevan sepanjang zaman. Jika boleh, kelebihan ilmu dan kebendaan yang mereka dapat, disempurnakan lagi dengan kekuatan mental dan rohani seperti anak Palestin.
.
Antara sumber kekuatan yang semestinya dibekalkan kepada seorang anak ialah :
.
Kekuatan akidah
.
Kewujudan Allah Taala sepatutnya terang dan nyata dalam kehidupan anak. Wujud rasa dilihat, didengar dan diperhati oleh Allah Taala. Ia harus mula ditanamkan dalam diri anak sejak kecil. Mengenal Allah sebagai Penguasa yang memiliki nama yang indah dan sifat yang hebat akan mempengaruhi jiwa sebagai hamba, bukan sebagai tuan dan bukan pula penderhaka.
.
Satu kisah diceritakan dalam sebuah masjid yang sunyi. Datang seorang lelaki yang mahu bermunajat kepada Allah SWT. Dia melihat seorang kanak-kanak berumur kira-kira 10 tahun duduk di sebelah tiang masjid sedang berdoa sambil mengalir air matanya.
.
Lelaki itu menghampiri dan bertanya:
.
“Wahai budak kecil, siapakah kamu?”
.
Dia menjawab: “Saya yatim piatu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Mahukah kamu menjadi anakku?”

Dia menjawab: “Jika aku lapar mahukah kamu memberiku makan? Dan jika aku tidak memiliki baju bolehkah pula kamu membelikannya untukku?

Lelaki itu tersenyum menandakan setuju. Tetapi ada lagi satu permintaan budak kecil itu:

“Jika aku sakit dapatkah kamu sembuhkan diriku?”

Lelaki itu berkata: “Tidak wahai anakku, aku tidak sanggup.”

Budak kecil itu bertanya lagi: “Apakah kamu dapat menghidupkanku apabila aku mati?

Tentu saja lelaki itu menggelengkan kepalanya.

Anak itu menyambung kata-katanya: “Kalau demikian, biarlah aku bergantung kepada Zat Yang Menciptakan aku. Dialah Allah yang memberiku petunjuk, memberi makan dan minumku. Jika aku sakit Dialah yang menyembuhkanku, Yang Mengampuni segala kesalahanku pada hari penghisaban nanti.”

Kekuatan akhlak
.
Manusia dilahirkan dengan potensi hebat yang menyerlahkan keperibadiannya. Allah Taala membekalkan manusia dengan akal dan hati. Kedua-duanya adalah tenaga dalaman diperlukan untuk memproses perbuatan, tingkah laku dan gerak geri manusia.

Akhlak kita memang berkait rapat dengan hati dan akal. Jika sihat akal dan hati, maka sihat pula perangainya. Seorang anak manusia memproses segala rangsangan yang dilihat, didengar dan dirasa dari sekelilingnya. Dia mempunyai kemampuan untuk meniru apa-apa yang disukai. Justeru menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa menyediakan persekitaran yang bebas daripada unsur negatif.

Ibu bapa juga bertanggungjawab memberi asuhan dan tuntutan akhlak mahmudah kepada anak. Hal ini bukan perkara yang mudah kerana tak kurang ibu bapa yang berpura-pura baik di hadapan anak hanya sekadar memberi teladan.

Ada juga yang tidak peduli dengan nilai yang dibawa masuk ke rumah sehingga anak mencontohi perkara negatif itu. Nasihat memang ada manfaatnya tetapi yang paling berkesan dalam mengajar anak berakhlak adalah dengan menunjukkan bagaimana cara melakukannya, beri teladan yang baik dan bersama-sama melakukannya.
Tidak timbul persoalan munafik dan percanggahan dalam mendidik anak kerana ia akan menyebabkan hilang kepercayaan anak kepada ibu bapa.

Hadis al-Bukhari dan Muslim menyebutkan, antara tanda-tanda hari kiamat adalah ramai anak menderhaka? Apakah ia terjadi kerana ramai pula ibu bapa yang tidak mengerti dan tidak pandai mendidik anak? Hakikatnya, tiada manusia yang sempurna, tetapi perlu berusaha untuk menjadi sempurna.
.
Oleh :
Nornatrah binti Kulop Abdul Rashid
Tahun 4, Kuliah Syariah,
Jabatan Syariah Islamiah,
Universiti al Azhar,
Kaherah,
Unit Bait Muslim
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir

Kelebihan Menuntut Ilmu

Sesungguhnya menuntut ilmu itu banyak suruhan dan kelebihannya, namun terdapat dalil-dalil yang menunjukkan kelebihan menuntut ilmu di dalam Al-Quran dan juga sunnah Nabi SAW yang bermaksud : dan firman Allah Taala ertinya : “Sesungguhnya sesuatu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh seorang lelaki terlebih baik baginya daripada dunia dan apa yang di dalamnya, "Maka bertanyalah ahli zikri (orang yang alim) jikalau kamu tidak mengetahui”.

Di samping itu terdapat juga fadhilat-fadhilat menuntut ilmu yang terlebih baik daripada beribadat sunat yang disabdakan oleh Nabi SAW ertinya : “Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu tentang sesuatu bab, ia lebih baik daripada kamu bersolat seratus rakaat,”

Dan terdapat juga daripada hadis Abi Zarr RA katanya ertinya: “Setiap permulaan seseorang yang mengajar ilmunya itu lebih mulia daripada bersolat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang sakit dan mengiringi seribu jenazah

Kemudian Rasulullah SAW ditanya : Adakah ia (menuntut ilmu) lebih mulia daripada membaca Al-Quran dijawabnya : “Tidak manfaat membaca Al-Quran itu tanpa ilmu.”

Sepertimana kata Imam Syafie RA bahawa menuntut ilmu itu terlebih baik daripada sembahyang sunat.

Dan Abu Darda’ juga telah berkata: “Demi Tuhanku, bahawasanya aku lebih suka belajar sesuatu ilmu itu berbanding daripada beribadat setiap malam (qiamullail).

Di samping itu, banyak hadis yang disabdakan oleh Nabi SAW tentang kelebihan orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu, antaranya, “Barangsiapa yang mati dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka perbezaan darjat di antaranya dan nabi-nabi di dalam Syurga adalah satu darjat.”

Saidina Umar RA telah berkata Sesungguhnya mati seribu orang yang kuat beribadat setiap malam kepada Allah Taala dan berpuasa setiap hari lebih ringan daripada mati seorang yang alim atau mengetahui perkara-perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah (kerana kehilangannya sangat berharga).

Namun begitu, Nabi SAW juga telah menggariskan kepada beberapa peringkat kelebihan ilmu dengan sabda Baginda, “Sesungguhnya ilmu itu adalah umpama gedung dan anak kuncinya adalah pertanyaan, maka bertanyalah. Ini kerana pahala itu diberi kepada empat jenis orang yang berkait dengan ilmu. Pertama, kepada orang yang suka bertanya tentang ilmu. Kedua, kepada orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan mengajarnya. Ketiga kepada orang yang mendengar seseorang yang mengajar ilmu. Keempat kepada orang yang suka dan kasihkan majlis ilmu.

Dan Atta’ telah berkata : Sesungguhnya perhimpunan orang yang duduk di dalam majlis ilmu itu iaitu menghapuskan tujuh puluh perhimpunan majlis lagha (sia-sia).

Meneliti kepada kepentingan ilmu seperti yang tersurat, maka seharusnya bagi kita sebagai ummah terbaik, mengambil kesempatan berharga di dalam kehidupan ini merancakkan lagi pemburuan ilmu. Mudah-mudahan masa yang berbaki dimanfaatkan seoptimum mungkin demi masa depan dakwah yang semakin mencabar.


Oleh :
Biro Pelajaran dan Ilmiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009

Bengkel Nasyid Artis Terkemuka Mesir-Malaysia


KAHERAH, 16 JULAI - Nasyid adalah salah satu wasilah dakwah untuk menyampaikan Islam. Ia juga menjadi salah satu kaedah seorang pendakwah untuk menyampaikan dakwahnya. Justeru, pada hari ini, Unit Latihan dan Kepimpinan sekali lagi menganjurkan Program Pemantapan DUAT (PEMANDU).

Kali ini, PEMANDU menyajikan bengkel nasyid untuk ahli-ahli KPIPM. Bengkel Nasyid ini dimulakan dengan bengkel bagi akhawat, iaitu pada jam 5.30 petang. Tenaga pengisi bengkel nasyid bagi akhawat ini ialah Kumpulan Nasyid as Sohwah, PMRAM. Bengkel Nasyid bagi akhawat tamat sebelum azan Solat Maghrib.

Selepas Solat Fardhu Maghrib, bacaan Yasin dan tazkirah dijalankan seperti biasa. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Zulfadhli bin Zainal.

Setelah selesai Solat Fardhu Isya', ketibaan empat orang artis. Mereka yang dijemput ialah ahli kumpulan al Wadi yang diwakili oleh Ustaz Haitham dari Perlis dan Ustaz Nasir dari Pahang. Manakala kumpulan UNIC diwakili oleh Bazli, dan kumpulan Zulfan diwakili oleh Ustaz Jamaluddin.

Program dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Arifsyah bin Abdullah Sani. Ia dimulakan dengan ucapan Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil. Kemudian, majlis diserahkan sepenuhnya kepada keempat-empat orang artis ini.

Antara slot yang disampaikan ialah beberapa kaedah suara, dan seni nasyid telah disampaikan oleh keempat-empat orang artis ini. Program tamat pada 12.10 minit malam.

Thursday, July 16, 2009

Mawaddah Siri Akhir Berlansung

KAHERAH, 15 JULAI - Mawaddah adalah program bersiri anjuran Ketua HEWI di bawah seliaan Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah HEWI. Setelah berlalu beberapa siri, kali ini telah diadakan siri terakhir.

Program bermula pada 7.30 pagi dengan dimulakan dengan diskusi kitab yang bertajuk al Islam Dinussalam, oleh Ustazah Norhafizah binti Samsuddin.

Kemudian, ia diselangi dengan tayangan multimedia dan ucapan Ketua HEWI, Ustazah Norazlina binti Idris. Setelah slot khas bersama Ketua HEWI, disusuli dengan slot Untukmu Dariku. Aktiviti terakhir program ini ialah BBQ.

Hidangan dinikmati setelah selesai Solat Asar.

Program yang dihadiri seramai 40 orang ini mendapat kerjasama di kalangan ahli HEWI dari semua muhafazah.

Ustazah Huzaifa binti Hassan, Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah HEWI mengharapkan supaya Mawaddah tahun kedua dengan lebih mencabar dan menarik.

Saturday, July 11, 2009

Majlis Wada' dan Muzakarah Berkelompok Gabungan


KAHERAH, 10 JULAI - Muzakarah Berkelompok Gabungan adalah program anjuran Lajnah Nuqaba, Biro Dakwah dan Tarbiah. Ia telah diadakan beberapa siri sebelum ini. Pada kali ini, program yang disajikan adalah berbentuk pengisian.

Semalam, Lajnah Nuqaba telah menganjurkan Talk Show yang bertajuk, "Relevenkah Dakwah Masa Kini?", yang dipengerusikan bersama oleh Ustaz Abbas bin Azizuddin dan Ustazah Nasirah binti Abdul Moin.

Panel jemputan talkshow ialah Ustaz Hafizul Akhbar bin Abdul Rahman dan Ustazah Siti Balkis binti Abu Bakar.

Program dimulakan dengan Majlis Wada bersama Ustazah Sa'idah binti Abdul Mokti, yang diadakan selepas Bacaan Yasin.

Kemudian disusuli dengan Talk Show yang diadakan selepas Solat Isya. Program tamat pada jam 12 malam.

Pada keesokan harinya, ahli disajikan pula dengan qiamullail dan Solat Subuh berjemaah. Kemudian ia disambung pula dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sayuti bin Mohammad Zawahib.

Setelah selesai tazkirah, masing-masing menikmati sarapan yang disediakan.

Friday, July 3, 2009

Diskusi Kitab Fi Zilal al Jannah Oleh Peserta DUAT


KAHERAH, 2 JULAI - Program Pemantapan DUAT adalah salah satu bentuk program latihan untuk ahli KPIPM dalam menimba kemahiran-kemahiran. Antara program yang disajikan bagi peserta DUAT ialah dengan membuat latihan mendiskusi kitab.

Hari ini, Unit Latihan dan Kepimpinan, Biro Dakwah dan Tarbiah sekali lagi melaksanakan program latihan. Pada kali ini, ia berbentuk diskusi kitab. Seramai 4 orang terlibat secara langsung dalam mendiskusikan kitab yang diberi nama "Fi Zilal al Jannah".

Mereka yang mendiskusikan kitab ialah, Ustaz Muhammad Saiful Ammar bin Ismail, Ustaz Ahmad Syazwan bin Khalid, Ustazah Nurhafsah binti Awaluddin, dan Ustazah Syazwana binti Ismail.

Program berlangsung selepas Tazkirah Maghrib dan Solat Isya secara berjemaah. Kehadiran penonton pada malam tersebut agak meriah dan sambutan yang menggalakkan. Program selesai pada jam 12.15 malam.

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...