Sunday, January 1, 2012

Risalah Wasatiah : Golongan Yang Beralasan




            Soalan ini biasanya lahir dalam bentuk sindiran atau rasa curiga daripada mereka yang berada dalam jamaah. Soalannya : Adakah jamaah ini jamaah yang praktikal? Atau adakah anggota jamaah ini adalah orang-orang yang praktikal juga? Orang yang bertanya ini mungkin terdiri daripada salah satu kumpulan manusia berikut :-

Pertama : seorang yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri.

Kedua : Orang yang hidup dalam dunia sendiri, mereka tiada tujuan, tiada wawasan dan tiada pegangan.

Ketiga : Orang yang gemar bermain bahasa, suka melahirkan kata-kata yang berbelit dan cenderung melahirkan ucapan yang hebat-hebat supaya para pendengar akan memuji mereka sebagai orang yang bijak.

Keempat : Orang yang mahu melemahkan semangat orang yang menyeru mereka supaya kelemahan pendakwah ini nanti akan menjadi alasan untuk mereka terus berpeluk tubuh, culas dan menjadi sebab untuk tidak   beramal. Golongan-golongan ini ibarat seorang lelaki yang menyiapkan pedang yang tajam, tombak yang berkilauan dan pelbagai senjata lain kemudian setiap malam melihat kesemua senjata ini sambil menunjuk rasa kesalnya kerana tiada seorang musuh pun di hadapannya untuk dia memperlihatkan kehebatan dan keberaniannya.

Inilah yang diungkapkan oleh seorang penyair :

Apabila si pengecut bersendirian di tengah medan ia akan mencabar mengangkat senjata   menuntut peperangan.

Ayuh bekerjalah!!! Hanya orang pengecut dan pemalas sahaja yang beralasan..


Golongan Yang Bersungguh Dalam Bekerja

            Manusia seperti ini yang diibaratkan umpama permata yang berharga, semangat mereka tinggi, jiwa mereka suci, mereka mahu dan sentiasa bersedia untuk bekerja.
            Mereka berada di barisan hadapan sebuah Jamaah yang bangkit mengajak manusia supaya bekerja dan bergabung bersama mereka, bekerja dalam kumpulan mereka menuju ke matlamat yang menjadi harapan dan impian setiap muslim dan mukmin.
            Golongan seperti ini telah melalui pengalaman yang banyak namun tidak pernah berputus asa. Mereka bekerja setiap masa sehingga beroleh apa yang diidamkannya.
            Oleh itu, kita mestilah bersungguh-sungguh dalam bekerja sekalipun pernah terkandas, sekali jatuh, tidak selamanya jatuh, sesungguhnya Allah s.w.t suka apabila hambanya melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.
Hukum Berkerja Dalam Jamaah

Terdapat dalil yang menyatakan kewajipan bekerja di dalam jamaah seperti berikut :

            “ Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu     bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu. Lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang berusaha : dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah  menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat pertunjuk.”
                                                                                                           (Surah Ali-Imran : 103)

Hablullah (tali Allah) di sini ialah Al-Quran. Pendapat ini diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a dan Abu Sa’id Al-Khudri r.a daripada Rasulullah s.a.w dan juga riwayat Mujahid dan Qatadah. Ayat di atas memberikan maksud Hablullah ialah kebenaran yang diikuti oleh Rasulullah s.a.w. menurut riwayat Ibnu Mas’ud maksud Hablullah ialah jamaah.

Imam Al-Qurtubi berkata :

            “ Kesemua makna itu hampir sama. Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan (umat Islam)    supaya bersatu padu dan melarang mereka dari perpecahan. Sesungguhnya perpecahan adalah     kemusnahan dan Jamaah adalah kejayaan. Semoga Allah merahmati Abdullah bin Al-Mubarak yang menyebut : “ Sesungguhnya jamaah adalah hablullah. Justeru itu berpeganglah kalian semua dengannya, dengan ikatan yang kukuh bagi sesiapa yang patuh ” - Tafsir Qurtubi -

Al-Jasas pula berkata :
            “ Ia adalah perintah supaya bersatu-padu dan larangan dari berpecah belah. Mereka semua diperintahkan supaya melazimi perpaduan dan bersatu diatasnya. ”             
- Abu Bakar Al-Jasas(Ahkam Al-Jasas) -

“ Sesungguhnya meninggalkan sikap saling membantu dalam mengembalikan agama Allah ke alam     wujud adalah jenayah terbesar dilakukan oleh golongan yang berdiam diri dan malas untuk membina   semua agama ini. Ini kerana kewajipan menyeru kearah perkara makruf dan mencegah mungkar merupakan kewajipan terbesar sekali dalam menghampirkan diri kepada Allah ”.

- Dr. Abdullah Azzam -



No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...