Saturday, December 28, 2019

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKKIMM
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang telah mengurniakan pelbagai nikmat dan rahmat kepada hambaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda, Nabi Muhammad SAW yang diutuskan olehNya membawa rahmat kepada sekalian alam.

Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir merupakan sebuah persatuan pelajar yang membawa agenda kesatuan, kebajikan dan pendidikan kepada anak-anak Melaka di Mesir. Semenjak ditubuhkan pada tahun 1976, persatuan ini terus utuh menaungi seluruh anak-anak Melaka di Mesir.

Namun tanggal 28 Disember 2010 merupakan detik hitam yang berlaku kepada Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir, ketika mana pengiktirafannya sebagai sebuah persatuan yang menaungi seluruh anak-anak Melaka telah ditarik oleh Kerajaan Negeri tanpa ada sebab yang jelas. Tragedi hitam ini dirasai oleh Badan Kebajikan Anak Negeri serta memberi kesan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi Mesir khususnya.

Semenjak 43 tahun penubuhan, BKKIMM terus komited membawa aspirasi mahasiswa serta menjadi platform utama bagi mahahsiswa Melaka untuk bersuara. Namun setelah peristiwa 28 Disember, berlakunya insiden penafian hak apabila anak Melaka tidak diberikan penempatan yang sepatutnya, tidak diberikan ruang dan beraktiviti di rumah negeri, diancam untuk ditarik bantuan zakat dan pelbagai diskriminasi lain yang menindas hak mahasiswa.

Namun semangat dan kezaman BKKIMM tidak pernah luntur dan goyah. Buktinya apabila BKKIMM meneruskan pergerakannya di Rumah Melaka Sementara (RMS) serta menanggung sendiri kos penempatan tersebut lebih kurang 4 tahun lamanya sejak dinafikan hak penempatan mereka di Wisma Seri Melaka. Ianya menjadikan BKKIMM sebagai persatuan yang komited menjaga kebajikan anak-anak Melaka serta konsisten dalam mebawa agenda mahasiswa Islam.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka”
(Surah at-Taubah : 42)

Firman Allah SWT ini menjadi dalil bahawa jalan yang harus diharungi dalam menyeru manusia ke arah kesatuan dan kebaikan bukanlah suatu jalan yang mudah dan dihamparkan dengan karpet merah. Pasti akan ada dugaan dan ujian yang dihadapkan bagi menilai siapakah yang benar-benar beriman kepadaNya.

Oleh itu, saya selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir mewakili seluruh anak-anak Perak di Mesir menyatakan kebersamaan bersama BKKIMM sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam usul mesyuarat agung kali ke-50 yang lalu iaitu :

“Bersama mempertahankan hak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) bagi menyatakan solidariti mahasiswa.”

Ayuh kita seluruh mahasiswa meningkatkan kecaknaan dan keprihatinan kita terhadap peristiwa ini. Marilah kita berganding bahu dan bersatu hati dalam menjayakan aspek kesatuan yang menjadi tonggak kekuatan mahasiswa Islam. Semoga BKKIMM terus kekal kuat dan utuh menerjang badai membawa agenda mahasiswa sekaligus memenuhi tuntutan Islam.

Siiru 'Ala Barakatillah.

#BKKIMM28DISEMBER
#SolidaritiBersamaBKANMelaka

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Muhammad Fahmi bin Zakaria
Yang Dipertua
Keluar Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

Sunday, December 22, 2019

PENA AZHARI | MUMTAZ DI SISI ALLAH

PENA AZHARI | MUMTAZ DI SISI ALLAH 
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020





الحمد لله الذي بيده الملك وهو على كل شيء قدير, أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له, له الملك و له الحمد وهو على كل شيء قدير. وأشهد أن محمدا عبده ورسوله البدر الجى و سراج المنير, اللهم صلي وسلم و بارك على سيدنا و حبيبنا و إمامنا و قدوتنا محمد نبي الرحمة و شفيع الأمة, وعلى آله و صحبه ومن تبعه ونصره.
Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
[Az-Zariyat : 56]

Salah satu daripada tujuan penciptaan manusia, bahkan tujuan paling utama kita selaku hambaNya adalah untuk beribadat kepadaNya. Ibadat bermaksud mengabdikan diri dengan tunduk, patuh dan merendah diri di hadapan Allah. Tunduk patuh kepada Allah pula bererti menurut segala suruhan-Nya samada yang termaktub di dalam Al-Quran atau yang disampaikan melalui sunnah Rasulullah SAW. Ibadat juga bermaksud meninggalkan setiap apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Bolehlah difahami bahawa sesiapa yang patuh kepada kebendaan dan keduniaan serta mencintainya lalu menurut segala kemahuannya, maka ia termasuk di dalam menurut hawa nafsu, harta dan kuasa namun bukanlah patuh secara mutlak kepada Allah dan Rasul-Nya.

Tidaklah kita dapat lari daripada dunia yang merupakan pentas ujian. Bukan sahaja orang Islam, bahkan mereka yang tidak mempercayai Tuhan sekalipun tidak akan terlepas dari ditimpa ujian samada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Ujian yang Allah timpakan ke atas hambaNya tidak akan berakhir kecuali setelah tamatnya riwayat hidup kita di dunia ini. Dan akhirat pula adalah tempat pemarkahan dan pembalasan terhadap kita berpandukan keputusan ujian kita di dunia.

Maka, janganlah kita hidup di dunia ini hanya untuk menunaikan segala tunjuk penciptaan manusia. Jangan pula sekadar untuk menjadi orang yang paling baik atau untuk memenuhi rukun Islam yang lima semata-mata. Jangan pula kita hidup untuk menjadi pemimpin dunia sahaja, ataupun hidup menyerahkan takdir kepada Allah kerana menunggu tibanya hari akhirat. Sebaliknya tuntutan tersebut hendaklah diadun sebaiknya dan dipenuhi tuntutan keseluruhannya. Dan ia bertepatan juga dengan kehidupan kita selaku penuntut ilmu, bukanlah tujuan utama semata-mata melangsaikan tuntutan ilmu, namun kita mempunyai tugas dan hak yang sangat banyak untuk ditunaikan terutamanya kepada umat sejagat.

Dari Abu Hurairah RA maksudnya:
“Barangsiapa yang menempuh suatu perjalanan dalam rangka untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Dalam kehidupan penuntut ilmu, jadilah seorang pemburu, yang setia mencari dan memburu kejayaan. Tidaklah menjadi sebagai penunggu yang mengharapkan kejayaan itu akan datang bergolek, kerana konsep tawakal dalam Islam tidak bermaksud kita hanya berserah kepada Ilahi tanpa ada keringat yang diusahakan.

USAHA, DOA DAN TAWAKAL

Perlu kita ingat dan ketahui tugas dan tuntutan sebagai seorang penuntut ilmu yang telah digariskan oleh Imam Burhanul Islam Az-Zarnuji di dalam kitabnya "Ta'lim Muta'allim Toriq At-Ta'allum" iaitu:
1) Menghilangkan kejahilan dalam diri
2) Menghilangkan kejahilan dalam keluarga
3) Menghilangkan kejahilan dalam masyarakat

Orang yang paling wajar dicontohi dalam amalan kehidupan seharian kita ialah Rasulullah SAW. Baginda insan yang paling kuat beribadah sehingga melecet tumit kaki akibat terlalu lama sembahyang. Baginda juga berjuang mempertahankan pemerintahan Islam sehingga cedera dan diancam pembunuhan. Dan pada waktu yang sama, baginda juga menunaikan segala amanah di muka bumi ini seperti amanah negara, amanah harta, amanah keluarga, amanah tubuh badan dan sebagainya.

Kehidupan Rasulullah juga tidak sunyi daripada ujian yang bertimpa-timpa di samping memerah keringat dan mempertaruhkan nyawa demi menjaga serta meneruskan legasi agama Islam yang suci ini.

Jendela 2019 hampir melabuhkan tirainya. Acapkali kita diperingatkan tentang amalan yang telah dilakukan. Sama ada catatan di bahu kanan lebih banyak ataupun catatan bahu kiri lebih memuncak.

Firman Allah SWT :

وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat”
[Ash-Shu'ara: 214]

 Sedarkah kita bahawa talian hayat dunia hampir ke penghujungnya? Adakah masih leka berdiam diri memikirkan masalah peribadi berbanding masalah ummah masa kini? Adakah sudah mencukupi amalan yang kita lakukan sehingga detik ini?

Maka, ingatlah janji Allah SWT bahawa akan diganjarkan kepada mereka ganjaran yang setimpal bagi mereka yang memperluas dan mempertahankan agama Islam.

Hari berlalu hari, tahun berganti tahun, tanggungjawab yang dipikul seorang penuntut ilmu semakin menjadi bebanan. Namun perkara tersebut bukanlah alasan untuk berjaya. Jika disibukkan dengan waktu-waktu yang sebelumnya dengan penyesalan tanpa perubahan, maka engkau menyempitkan dan mensiakan waktu yang ada. Tidak akan terlewat bagi sesiapapun yang mahu memulakan. Kegagalan hari ini bukanlah sebagai penamat riwayat hidup tetapi sebagai permulaan bagi sesuatu kejayaan. Ketahuilah kejayaan di sisi Allah itu melampaui akal manusia. Kecapilah mumtaz di sisi Tuhan kerana ia jauh lebih bermakna daripada dunia dan seisinya.

Akhir kalam, semoga dengan wadah kesatuan ini iaitu Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT dengan pembawaan Islam yang syumul merangkumi segala aspek berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Berhati-hatilah dalam mengorak langkah menuju kejayaan haqiqi di sisi Allah. Kadangkala kita merasakan kita di landasan yang betul namun rupanya kita berada dalam perjalanan yang salah. Bersuhbahlah dengan Al-Quran dan Sunnah agar kita tidak akan pernah terpesong daripada petunjukNya. Semoga setiap kejayaan yang kita kecapi merupakan kejayaan demi ummah sejagat dan meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. InsyaAllah.


Aiman Bin Mohd Yusoff
Timbalan Setiausaha Agung
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Thursday, December 19, 2019

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR
Lembaga Tabung Ithar, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.

[Surah Al-Hashr : 9 ]

Sifat Ithar merupakan nilai yang sangat sukar untuk ditemui dalam kalangan masyarakat kini. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Ithar tersebut? Ithar merupakan sifat terpuji yang mana mendahulukan orang lain lebih daripada diri sendiri. Ia merupakan tingkatan tertinggi untuk mencapai ukhuwah Islamiah bahkan yang paling sulit untuk didapatkan. Dalam erti kata lain, Ithar bermaksud gaya hidup masyarakat yang tolong-menolong, bantu-membantu, bertimbang rasa, menghormati, bersimpati dan pemurah kepada golongan yang memerlukan pertolongan atau berada dalam keadaan kesempitan dan kesusahan.

Perhatikan bagaimana nilai Ithar yang diperlihatkan oleh para sahabat R.A di dalam peperang Yarmuk, ketika mana berada dalam keadaan nazak dan kehausan namun masing-masing mengutamakan sahabat yang lain berbanding diri mereka sendiri. Akhirnya, ketiga-tiga mereka syahid tanpa sempat meminum setitis pun kerana lebih mengutamakan orang lain berbanding diri mereka sendiri.

Rasulullah SAW bersabda :

 لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Artinya: “Tidak beriman seseorang di antaramu hingga kamu mencintainya seperti kamu mencintai dirimu sendiri.”

(HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, KPIPM sebagai sebuah Badan Kebajikan Anak Negeri bertanggungjawab bagi memupuk rasa Ithar dan Tadhiyah yang dianjurkan oleh Islam agar mekar di dalam diri dan jiwa seluruh anak Perak di bumi Mesir.

Maka dengan itu, diwujudkan satu dana yang dinamakan Tabung Ithar dan diuruskan oleh ahli lembaga yang dilantik. Secara rasminya tabung ini telah dilancarkan pada 20 Februari 1998 oleh Presiden PMRAM, Ustaz Ahmad Bukhori Ghazali.

Oleh itu, saya selaku Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020 menyeru kepada seluruh ahli KPIPM agar kita sama-sama menyumbang kepada Tabung Ithar bagi membantu rakan seperjuangan kita yang menghadapi kesulitan atau kesusahan agar sedikit sebanyak kita mampu meringankan beban mereka dan menyuburkan nilai Ithar dalam diri kita semua.

Semoga segala sumbangan kita dihitung oleh Allah SWT sebagai amal jariah dan menjadi syafaat bagi kita mendapatkan syurga Allah SWT di hari akhirat kelak.

Muhammad Fahmi bin Zakaria
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Thursday, December 5, 2019

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

Berikut merupakan pemakluman pemangkuan jawatan Anggota Badan Penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2019/2020:-

🔹Ustaz Hussaini bin Mohamed Hussain
(Pengerusi Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020)
+201140151395

Dipangku oleh:

💠Ustaz Mohamad Azri Rusydi bin Mat Zaki
(Setiausaha Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020)
+201552104288
__________________________

💠Ustaz Khairul Naim bin Abd Razak
(Ajk Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020 )
+201100403093

📍Pemangkuan ini berkuatkuasa mulai 5 Disember 2019

Sebarang urusan berkaitan,sila hubungi pemangku bagi jawatan tersebut.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


Tuesday, December 3, 2019

LAPORAN MAJLIS KESYUKURAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2019(MKAC'19)

LAPORAN | MAJLIS KESYUKURAN DAN ANUGERAH CEMERLANG 2019 (MKAC’19)
JABATAN SETIAUSAHA AGUNG KPIPM SESI 2019/2020

KAHERAH, 26 November 2019 – Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah menganjurkan program Majlis Kecemerlangan dan Anugerah Cemerlang  2019 (MKAC’19) yang bertemakan “Ilmuan Cemerlang, Tunjang Integrasi Ummah” bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah. Program MKAC’19 adalah satu usaha Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020  untuk meraikan kejayaan mahasiswa dan mahasiswi serta graduan dan graduanita Perak yang mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan sesi lepas. Antara objektif lain adalah untuk memberi inspirasi dan contoh terbaik kepada anak-anak Perak lain untuk terus bersemangat bagi mencapai kejayaan bersama. Bahkan, melalui program sebegini dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain khususnya bagi anak-anak Perak di bumi Mesir.

           MKAC’19 telah berjaya mengumpulkan mahasiswa, mahasiswi, graduan dan graduanita seramai 193 orang yang terdiri daripada Kuliah Syariah Islamiyah, Kuliah Usuluddin, Kuliah Bahasa arab, Kuliah Qiraat, dan Kuliah Ulum Islamiyah Al-Azhar. Selain itu, turut bersama beberapa peserta daripada Kuliah Perubatan dan Kuliah Pergigian Al-Azhar. Seramai 81 mahasiswa dan 105 mahasiswi yang telah berdaftar dan menerima anugerah atas kejayaan mereka. Malahan, 3 graduan dan 4 graduanita yang berjaya menamatkan pengajian mereka pada sesi lepas turut mengambil peluang untuk menyertai program pada kali ini.

            Majlis Kecemerlangan dan Anugerah Cemerlang 2019 ini diadakan pada hari Selasa, 26 September 2019 bermula pada jam 2.00 petang dengan kehadiran tetamu dan sesi pendaftaran untuk peserta. Majlis dimulakan dengan penerangan perjalanan ringkas majlis serta etika disiplin dan protokol majlis yang dikendalikan oleh Unit Pengisian dan Persembahan dan juga Unit Disiplin dan Protokol MKAC’19. Kemudian, diteruskan dengan nyanyian Nasyid Asmaul Husna serta bacaan ayat suci Al-quran yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Uzair bin Muhammad Zakuan.

            Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan kalam ucapan daripada pengarah MKAC’19, Al-Fadhil Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin dan ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020, Al-Fadhil Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria. Seterusnya diteruskan lagi dengan ucapan perasmian oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Firdaus bin Asri selaku Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP) sesi 2019/2020 dan secara tidak langsung turut memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak Perak untuk terus berusaha dalam menuntut ilmu di bumi Mesir ini.

            Jam 4.15 petang, majlis diteruskan dengan penyampaian sijil serta hadiah buat mahasiswa dan mahasiswi yang mendapat pangkat Mumtaz dan Jayyid Jiddan. Kemudian majlis berhenti seketika untuk memberi laluan bagi menunaikan solat fardhu Maghrib. Selesai solat, peserta diminta kembali ke dewan bagi meneruskan agenda majlis, dengan penyampaian sijil dan hadiah buat mahasiswa dan mahasiswi yang lulus peperiksaan.

            Seterusnya, majlis diserikan lagi dengan kedatangan Sheikh Habibullah Hassan Ahmad daripada Universiti Al-Azhar bagi memberikan tausiah kepada semua mahasiswa dan mahasiswi Perak khususnya. Selepas tausiah, Sheikh Habibullah telah menyampaikan sijil dan hadiah buat graduan dan graduanita. Kemudian, hadiah dan sijil kepada Tokoh Mahasiswa MKAC’19, Ustaz Muhammad Bukhari bin Abdullah, Tokoh Mahasiswi MKAC’19, Dr. Nor Shafiqah binti Musa, Tokoh Graduan MKAC’19, Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak dan Tokoh Graduanita MKAC’19, Ustazah Mimi Nur Suhada binti Sho’aid.

            Pada jam 9.00 malam, sesi bergambar telah diadakan untuk merakam kenangan manis buat semua peserta MKAC’19. Selepas itu, semua peserta menjamu selera dengan makanan yang telah disediakan oleh pihak majlis. Sebuah bas telah disediakan bagi peserta akhawat yang akan pulang ke Hayyu Sabiek. Pada pukul 9.30 malam, semua peserta akhawat sudah bergerak pulang bersama Musyrif Keselamatan yang telah disediakan.

            Akhirnya, Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2019 pada tahun ini berjalan dengan lancar dengan izin-Nya. Pihak majlis merakamkan jutaan tahniah buat KPIPM kerana telah berjaya menjalankan majlis sebegini ini dengan jayanya. Mudah-mudahan, dengan adanya program sebegini dapat menjadi wasilah dan pemangkin semangat bagi penuntut ilmu dan membina mahasiwa dan mahasiswi Al-Azhar yang berilmu dan beramal.

"Ilmuan Cemerlang, Tunjang Integrasi Ummah"

Berilmu, Beramal, Ikhlas
“Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan”

Disediakan oleh :
Muhammad Naim bin Mohd Ikmal Hisham,
Setiausaha Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang 2019 (MKAC’19),
Jabatan Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020



















Sunday, December 1, 2019

MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1

MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 1
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020

Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh (berjuang) di (Jalan) Kami, Kami akan benar-benar menunjukkan Jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat kebaikan”

(Al-Ankabut: 69)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam serta menjadikan kita sentiasa dalam naungan-Nya. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) adalah kesatuan anak-anak Perak di Mesir yang berperanan mempersiapkan mahasiswa-mahasiswa Islam yang berkualiti dalam menghadapi tanggungjawab di Malaysia kelak termasuk dalam aspek pendidikan.

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, dapat kita fahami bahawa perlunya sikap bersungguh-sungguh dalam setiap gerak kerja kita, supaya apa yang diminta dan dambakan dalam kehidupan diterima, diredhai dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Tujuannya adalah mendapat keredhaan dan kecintaan yang sebenarnya daripada Allah SWT.

Justeru, bersungguh-sungguh adalah intipati yang penting untuk berjaya dalam kehidupan semua manusia dan yang paling penting ialah mendapat keredhaan, kecintaan dan kasih sayang pencipta sekalian makhluk, Allah SWT.

Seperti sedia maklum, pengajian fasa pertama Universiti Al-Azhar bagi sesi 2019/2020 kini berada di dalam fatrah menuju ke musim peperiksaan. Semua mahasiswa/wi kini sedang bersiap sedia dengan setiap medium yang ada bagi memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
     
Sehubungan dengan itu, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 telah memutuskan bahawa pada 1 Disember 2019 bersamaan 4 Rabiul Akhir 1441H adalah tarikh penangguhan bagi sebarang program di peringkat KPIPM dengan pengecualian program yang berbentuk ilmiah, motivasi dan tarbiah. Ia bertujuan memberi persediaan dan semangat yang jitu kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi.

Oleh yang demikian, KPIPM mengharapkan seluruh mahasiswa/wi dapat memanfaatkan setiap peluang yang ada dan memberikan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Peringkat KPIPM juga mendoakan agar semua mahasiswa/wi meraih kejayaan dalam peperiksaan seterusnya dapat memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada masyarakat.

Semoga kejayaan yang diperoleh menjadikan kita bertambah ketaqwaan kepada Allah SWT.

 Siiru 'Ala Barakatillah.

Muhammad Fahmi bin Zakaria
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Monday, November 18, 2019

MAKLUMAN | CARTA ORGANISASI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI DAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020

MAKLUMAN | CARTA ORGANISASI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI DAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

Firman Allah SWT :
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (٥٨)

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat.
[Surah An-Nisa: 58]


Makluman kepada seluruh ahli KPIPM, berikut adalah carta organisasi bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam dan Anggota Badan Penasihat, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020.

Seperti yang telah dicatitkan di dalam sejarah, KPIPM ditubuhkan adalah bertujuan bagi menyatukan anak-anak Perak yang belajar di Mesir atas dasar ukhuwah Islamiah sejak tahun 1964.

Selain itu, KPIPM berperanan membangunkan keperibadian Islam dalam kalangan ahli di samping mempertingkatkan taraf pemikiran dan pencapaian ilmu pengetahuan Islam khususnya serta memberikan kebajikan kepada ahli.

Kini, bahtera kesatuan KPIPM terus utuh dan kukuh berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Justeru itu, marilah bersama bersatu kita memberikan sepenuh sokongan dan dokongan dalam menjayakan agenda dakwah ini.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Wednesday, November 6, 2019

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

🔰Berikut merupakan pemakluman pemangkuan jawatan anggota badan penasihat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) sesi 2019/2020:

Adalah dimaklumkan bahawa pemangkuan seperti berikut:

▪Ustazah Nur Amni binti Abdl Hamid
(Ahli jawatankuasa Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020 )

📞No. Telefon :+201022572659/ +201126956466
📧Email : nuramni142@gmail.com

⏩ *Dipangku oleh*

▪Ustazah Zafirah Khalilah binti Zulkefly

📞No. Telefon : +20155 8502442
📧Email: zafirah.khalilah96@gmail.com

Pemangkuan ini berkuatkuasa bermula pada *6 November 2019*

Sebarang urusan berkaitan boleh menghubungi pemangku jawatan tersebut.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN,
MELESTARIKAN KESATUAN"

Saturday, November 2, 2019

MAKLUMAN | TAWARAN SKIM DERMASISWA LUAR NEGARA MAIPk SESI PENGAJIAN 2019/2020


MAKLUMAN | TAWARAN SKIM DERMASISWA LUAR NEGARA MAIPk SESI PENGAJIAN 2019/2020
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2019/2020

TAWARAN SKIM DERMASISWA LUAR NEGARA MAJLIS AGAMA ISLAM & 'ADAT MELAYU PERAK BAGI MAHASISWA/WI PERAK PENGAJIAN ISLAM DAN SAINS KESIHATAN TELAH DIBUKA PADA :

1 NOVEMBER 2019 HINGGA 15 NOVEMBER 2019

1. Permohonan adalah khusus bagi  MAHASISWA/WI PENGAJIAN ISLAM DAN SAINS KESIHATAN (KEMASUKAN PENGAJIAN TAHUN 2015 DAN KE BAWAH)

Anda boleh mengisi permohonan secara online di pautan berikut :

Dokumen yang diperlukan:
1) Surat pengesahan pengajian terkini (Surat Tasdiq/ Isbat Tholib).
2) Slip keputusan peperiksaan terkini.
3) Surat pengesahan pendapatan atau slip gaji/pencen ibu/bapa, penjaga.
4) Salinan surat pengesahan tinggal (Mastautin) di Negeri Perak.
5) Salinan muka hadapan buku bank.

Permohonan yang telah lengkap diisi (tekan butang PRINT) perlu dicetak satu salinan dan dihantar ke Pejabat Atase Pendidikan Perak.

Sumber : Fb Pejabat Atase Pendidikan Perak

2. Mahasiswa/wi digalakkan untuk mencetak (print) borang permohonan anda untuk simpanan peribadi.

3. Mahasiswa/wi diminta supaya menyelesaikan urusan permohonan dengan kadar SEGERA dan tidak bertangguh bagi melancarkan proses permohonan. Mahasiswa/wi juga diingatkan untuk menyelesaikan urusan permohonan SEBELUM TARIKH TUTUP (15 NOVEMBER 2019).

4. Mahasiswa/wi juga digalakkan agar menyebarkan makluman ini kepada seluruh anak Perak (Pengajian Islam dan Sains Kesihatan).

Sebarang permasalahan dan pertanyaan, sila hubungi :

🔰 Atase Pendidikan Negeri Perak
📍 Encik Mohammed Tasyreef bin Mohamd Tarmizi
📞 +201098569800

🔰 Penolong Atase Pendidikan Negeri Perak
📍 Encik Muhammad Fauzan bin Abdul Rahim
📞 +201024825523

🔰 Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020
📍 Ustaz Ahmad Azri Fauzan bin Zoolcaphly
📞 +20 155 492 6042

🔰 Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2019/2020
📍 Ustazah Mashitah binti Mohd Yusoff
📞 +201062147946

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"



Wednesday, October 23, 2019

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

Makluman kepada seluruh ahli, berikut adalah direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam, Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020.

Sebarang permasalahan boleh merujuk ahli jawatankuasa yang berkaitan.

Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYdp

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN "




MAKLUMAN | PERJAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020

MAKLUMAN | PERJAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2019/2020
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2019/2020

Dengan sukacitanya dimaklumkan perjawatan Ahli Jawatankuasa Tadbir, Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Islam & Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2019/2020.

Mari sama-sama kita mendoakan agar seluruh barisan kepimpinan dapat menunaikan amanah dengan sebaiknya.

Siruu 'Ala Barakatillah.

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulYdp

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN "




Sunday, October 13, 2019

LAPORAN PROGRAM SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2019 (RAHMAH'19)


LAPORAN | PROGRAM SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 2019 (RAHMAH'19)
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah & Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

KAHERAH – Pada tarikh 10 Ogos 2019 hingga 14 Ogos 2019, Biro Tabung Kebajikan, Kesenian & Riadah dan Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019 telah berjaya menganjurkan Program Sambutan Hari Raya Aidiladha yang bertempat di Wisma Darul Ridzuan.  RAHMAH’19 pada sesi kali ini berkonsepkan “Arabic” yang telah berlangsung dengan jayanya selama 4 hari. Program yang bertemakan “Menelusuri Pengorbanan, Mengecapi Mahabbah” ini melibatkan seluruh anak Perak di Mesir selari dengan objektif yang digariskan pada kali ini iaitu meraikan hari kebesaran Islam bersama anak-anak Perak di Mesir, meningkatkan thaqafah ahli melalui penghayatan Hari Raya Aidiladha dan menyediakan medium kepada mahasiswa/wi untuk mengasah bakat dalam kesenian Islam.

Program bermula pada Sabtu, 10 Ogos 2019 bersamaan 9 Zulhijjah 1440H dengan Pembentangan Fiqh Aqiqah yang disampaikan oleh Syeikh Islam bin Majdi Hilal pada awal pagi. Seterusnya Malam Perasmian dan Malam Perutusan Hari Raya Aidiladha, para hadirin disajikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah RAHMAH’19, Ustaz Aiman bin Mohd Yusoff serta Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019, Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak selaku perasmi dan seterusnya merasmikan RAHMAH’19. Seusai majlis perasmian, majlis diteruskan lagi dengan tayangan video pengenalan RAHMAH’19 serta takbir raya Aidiladha dari rumah ke rumah bagi peringkat ikhwah manakala diperingkat akhawat telah berlangsung di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan dan diakhiri dengan jamuan ringan.

Pada hari kedua iaitu 11 Ogos 2019, jam 5.00 pagi seluruh ahli KPIPM menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di masjid berhampiran seterusnya menyertai aktiviti gotong-royong sembelihan dan merewang di Baitul Rahman. Seusai haiwan korban disembelih sebanyak 40 ekor kambing, 2 ekor unta dan 13 ekor kharouf, daging-daging tersebut dibahagikan mengikut timbang yang ditetapkan dan diedarkan kepada anak-anak Perak dan fakir miskin.
Seterusnya, pada hari Isnin, 12 Ogos 2019, Rumah Terbuka KPIPM diperingkat akhawat berlangsung pada jam 11.00 pagi hingga 1.30 petang, manakala diperingkat ikhwah berlangsung pada jam 2.00 petang hingga 4.30 petang.

Pada hari Selasa, 13 Ogos 2019, telah berlangsung Muhadharah Ammah yang bertajuk “Hajjatul Wada’ & Sunnah Perjuangan” pada jam 8.00 malam. Pada esok harinya, telah berlangsung Hari Ihtifal Muslimat bagi peringkat akhawat. Antara aktivitinya ialah tilawah al-Quran, tarian dabus, nasyid dan lakonan. Kemeriahan RAHMAH’19 dihangatkan lagi dengan Hari Kesenian Islam bagi peringkat ikhwah, iaitu tilawah al-Quran, lakonan dan nasyid dari Usrah Al-Muhazirun. Majlis diteruskan dengan Malam Penutup pada jam 6.30 malam serta penyampaian hadiah kepada semua  pemenang, tayangan video penutup dan jamuan ringan. Program berakhir pada jam 11.00 malam.

Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar dan diharapkan agar program ini dapat mengeratkan tautan ukhuwah sesama kita. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan RAHMAH’19 dan semoga Allah membalasnya. Siiru ‘Ala Barakatillah.

“Menelusuri Pengorbanan, Mengecapi Mahabbah”

BERILMU, BERAMAL , IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”











LAPORAN BAZAR ANAK PERAK 2019 (BAZAR '19)

LAPORAN | BAZAR ANAK PERAK 2019 (BAZAR '19)
Biro Ekonomi KPIPM sesi 2018/2019

Kaherah, Julai 2019 - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir di bawah anjuran Biro Ekonomi KPIPM sesi 2018/2019 telah berjaya menganjurkan satu program iaitu Bazar Anak Perak 2019 (BAZAR '19). Objektif BAZAR'19 diadakan adalah mewujudkan medium penjanaan pendapatan dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan kebajikan kepada ahli, melahirkan usahawan muda dalam kalangan mahasiswa/wi serta mengeratkan hubungan silaturrahim antara anak-anak Malaysia di Mesir. Ianya juga merupakan satu sunnah yang amat dituntut dalam Islam.

BAZAR'19 ini telah berlangsung dengan jayanya selama 4 hari bermula 14 Julai 2019 sehingga 17 Julai 2019 bertempat di perkarangan Masjid Salam, Hayyu Asyir, Kaherah dengan berkonsepkan 'Ala Kampung'. Program ini melibatkan seramai 10 orang Adhoc dan 64 orang AJK Pelaksana Bazar yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan BAZAR'19. Tema untuk program ini adalah "Sunnah Berniage, Seghibu Hikmah".

Pada hari pertama iaitu 14 Julai 2019, seawal jam 7 pagi semua penggerak yang terlibat telah membuat persiapan terakhir di kawasan bazar. Sejurus selepas itu, para penjual dan pengunjung mula membanjiri kawasan bazar. BAZAR'19 ini pula dibuka secara rasmi pada jam 12.00 tengahari. Menu makanan daripada peringkat ikhwah menampilkan 7 gerai yang menyediakan pelbagai aneka juadah manakala di peringkat akhawat pula adalah sebanyak 6 gerai. Di samping itu, terdapat juga pelbagai minuman yang dijual sepanjang berlangsungnya BAZAR'19. Pada jam 4.20 petang telah diadakan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh YDP KPIPM sesi 2018/2019, Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak. Setelah selesai, majlis diserikan lagi dengan persembahan gimik perasmian BAZAR'19.

Pada hari kedua iaitu 15 Julai 2019, bazar telah bermula pada jam 12.30 tengahari dengan sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung. Suasana menjadi semakin menarik apabila BAZAR'19 dimulakan dengan forum yang bertajuk "Merintis Cabaran Keusahawanan Islam". Slot ini menampilkan dua orang pengisi hebat iaitu Dr Muhammad Azhan bin Onn@Nor Azhari (Ketua Jabatan Akademik Merangkap Jabatan Sukan dam Aktiviti Luar PERUBATAN sesi 2018/2019) selaku panel 1, Ustaz Saifullah bin Abdul Wahab (Aktivis BKPJM) selaku panel 2 dan moderator yang bertugas iaitu Ustaz Muhammad Izzuddin bin Fakri (Aktivis KPIPM). Di samping itu, BAZAR'19 juga telah menyediakan perkhidmatan Medical dan Dental Check-up di sebelah Ikhwah dan Akhawat. Sementara itu, di sebelah malam pula, BAZAR'19 disajikan dengan persembahan tarian dabus di bawah seliaan Usrah Al-Muhazirun.

Seterusnya, pada hari ketiga iaitu 16 Julai 2019, BAZAR'19 berjalan seperti biasa. Pengunjung pada hari tersebut semakin bertambah samada daripada kalangan Ikhwah mahupun Akhawat. Pelbagai aktiviti dan pengisian yang menarik telah dijalankan seperti Nut Cracker, On Cap dan teka-teki. Pada jam 4.20 petang, BAZAR'19 telah mengadakan pengisian iaitu "Sembang Santai : Sepetang Bersama Pimpinan" di Perkarangan Masjid Salam, Hayyu Asyir. Slot ini menampilkan dua gandingan pengisi yang hebat iaitu Ustaz Norhalim bin Lokman YDP BKPJM sesi 2018/2019 selaku panel 1, Ustaz Ahmad Syahir Bin Zulkarnain, Pengerusi DPM Tanta 2018/2019 dan moderator yang bertugas iaitu Ustaz Luqman bin Anuar, fasilitator KPIPM sesi 2018/2019.

Hari terakhir BAZAR'19 iaitu pada 17 Julai 2019 telah berlangsungnya Majlis Penutupan BAZAR'19 dengan ucapan daripada Pengarah BAZAR'19, Ustaz Mohamad Amar bin Omar, YDP KPIPM, Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak dan disempurnakan oleh Ahli lembaga Badan Penasihat KPIPM, Ustaz Muhammad Azri Rushdi bin Mad Zaki. Kemudian, BAZAR'19 diserikan lagi dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Al-Wadi PMRAM.

Alhamdulillah, program berakhir dengan acara penyampaian hadiah kepada DJ BAZAR'19 iaitu Ustaz Lukman Hakim bin Muhamad Anuar, Ustaz Luqman bin Hamdi, Ustaz Muhammad Ikmal bin Syarifuddin dan Ustaz Danial Iskandar bin Zaini oleh Penasihat KPIPM, Ustaz Muhammad Azri Rushdi bin Mad Zaki. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada gerai terbaik di sebelah Ikhwah iaitu Best Out Corner oleh YDP KPIPM, Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak manakala di sebelah akhawat pula disampaikan oleh Ketua Hewi KPIPM, Ustazah Najihah Binti Azizuddin kepada pemenang gerai terbaik akhawat iaitu "Citarasa Muafakat".

Maka berakhirlah sudah program Bazar Anak Perak 2019 (BAZAR'19) pada tahun ini. KPIPM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus bagi menjayakan BAZAR"19 dari mula hinggalah ke akhirnya. Diharapkan agar program ini dapat meribatkan ukhuwah islamiah serta dapat memperkukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan BAZAR'19 dan semoga program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.

"Sunnah Berniage, Seghibu Hikmah".

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Setiausaha BAZAR'19
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019








LAPORAN TARBIAH RAMADAN & ANUGERAH SYAWAL

LAPORAN | TARBIAH RAMADAN & ANUGERAH SYAWAL
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019

KAHERAH – Pada 2 Mei 2019 hingga 5 Jun 2019, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan satu program bulan Ramadan dan Syawal dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Perak program tersebut telah diberi nama Tarbiah Ramadan dan Anugerah Syawal 2019 dengan singkatan TAQWA’19. Program ini di bawah seliaan Biro Dakwah dan Tarbiah dan Biro Tabung Kebajikan Keseniaan dan Riadah sesi 2018/2019 dengan bertemakan “Keberkatan Ramadan Dicari, Kehadiran Syawal Dirai”.

TAQWA’19 telah bermula pada 26 Syaaban 1440 H bersamaan 2 Mei 2019 pada hari khamis yang mana telah dimulai dengan majlis pelancaran TAQWA’19. Majlis ini bermula dengan ucapan pengarah TAQWA’19, Ustaz Ahmad Azri Fauzan bin Zoolchaply dan diteruskan dengan ucapan YDP KPIPM sesi 2018/2019 Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohamad Ishak, seterusnya ucapan dari perasmi Ustaz Norhalim bin Lokman selaku YDP Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sesi 2018/2019. Program diteruskan lagi dengan gimik pelancaran yang disempurnakan oleh perasmi dan kata-kata penutup oleh pengerusi majlis.

  Pelbagai aktiviti telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan al Mubarak ini. Antaranya Raudhatul Muttaqin pembacaan kitab ayyuhal walad yang disampaikan oleh ketua Unit Talim Muallim KPKM  iaitu Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz, dan pembacaan kitab ini telah diadakan sebanyak selama 5 siri.

  Antara yang lain adalah program Madinah Ramadhan  iaitu pembentangan kertas kerja dan  kuliah subuh. Madinah Ramadhan 1 membentangkan kertas kerja pengurusan jenazah yang dibentangkan oleh Pengarah Unit Baitul Muslim JYDP KPIPM sesi 2018/2019 Ustaz Mohammad Akmal Aliff bin Saleh dan kuliah subuh bertajuk “Badar Kubro dan Kesatuan Islam” disampaikan oleh Ustazah Najihah binti Azizuddin selaku Ketua Hewi KPIPM sesi 2018/2019. Seterusnya pada Madinah Ramadhan 2 pembentangan kertas kerja “Al-Azhar dan Peranannya” disampaikan oleh Ustaz Syed Ridhwan bin Sayed Md Zain, selaku Anggota Lembaga Penasihat KPKM sesi 2018/2019 manakala kuliah subuh disampaikan oleh YDP KPKM sesi 2018/2019 Ustaz Muhammad Asrol Hasnan bin Mohd Zin yang bertajuk “Ibrah Fathu Makkah: Kemenangan dan Ketegasan”.

   Di samping itu, TAQWA’19 juga telah mengadakan "Bersama Imam Terawih Jemputan" dengan menjemput imam khusus daripada pelajar Maahad Qiraat Shoubra. Antara perkongsian yang diberikan adalah pembacaan qiraat, sanad, ulama' qiraat dan lain-lain. Antara imam khusus daripada Shoubra yang bertugas adalah Ustaz Abdul Hakim bin Marzuqi. Beliau merupakan imam jemputan dengan bacaan qiraat riwayat Imam Abu Jaafar. Seterusnya, Ustaz Muhammad Nur Mustaqim bin Marzuki bagi qiraat riwayat Ruwais’an Yaakub dan Ad-Dauri’an Abi Amru. Dan seterusnya Ustaz Syed Ubaidillah bin Syed Hashim riwayat Warsy An Nafi’.

   Tambahan lagi, turut diadakan moreh yang mana menyediakan juadah moreh seperti kuih muih, makanan ringan, air dan sebagainya untuk ahli.
   Selain itu, telah diadakan "Dari Masjid ke Masjid" khusus bagi mahasiswi Perak untuk melaksanakan solat sunat terawih di masjid. Antara masjid yang terpilih adalah Masjid Azhar, Masjid Mosyeer Tantawi dan Masjid Syurtoh. Seterusnya, diadakan aktiviti edaran Syantah Ramadan iaitu edaran kurma selepas asar yang melibatkan YDP dan Barisan AJKT, Ketua HEWI dan Barisan AJK HEWI serta adhoc pelaksana TAQWA'19 dengan mengedarkannya kepada ahli KPIPM di wisma, rumah sewa bujang, mutazawijin dan warga mesir. Aktiviti menarik yang lain pula adalah pertandingan gambar mobilegraphy sempena Ramadan yang terbuka kepada semua ahli KPIPM. Objektif pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kemahiran dan thaqafah ahli sekaligus memeriahkan lagi taqwa’19.
Pada 4 Jun 2019, telah diadakan Majlis Khatam al-Quran dan Malam Perutusan Aidilfitri bersama Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohammad Ishak selaku Yang Di-pertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019. Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, takbir raya, alunan qasidah dan diteruskan dengan majlis khatam al quran yang dipimpin oleh 22 orang ahli KPIPM. Majlis diteruskan lagi dengan perutusan hari raya aidilfitri oleh ustaz Muhammad Abrorr bin Mohamad Ishak. Majlis diakhiri dengan tayangan video ucapan hari raya dari pengerusi ILMAM Perak Ustaz Zulhafeez Ahmad Zahidi dan Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2018/2019.

Pada 5 Jun 2019, telah diadakan Rumah Terbuka Aidilfitrii khusus bagi anak-anak perak bermula jam 11 pagi sehingga 5 petang dan pada sebelah malam pula diadakan malam penutup TAQWA’19 yang dimulai dengan ucapan pengarah TAQWA’19  iaitu Ustaz Ahmad Azri Fauzan bin Zoolcaphly , ucapan Ketua Hewi KPIPM sesi 2018/2019 Ustazah Najihah binti Azizuddin dan ucapan YDP KPIPM sesi 2018/2019 Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohamad Ishak, majlis diserikan lagi dengan menyampaian hadiah kepada para pemenang. Untuk pemenang diperingkat ikhwah dimenangi oleh Usrah Uwais Al-Qarni, tempat kedua dimenangi Usrah Al-Muwahhid, manakala tempat ketiga disandang oleh Usrah Saidina Hamzah.
Kemudian penyampaian hadiah diperingkat akhawat, tempat pertama dimenangi oleh Usrah Zinnirah,tempat kedua oleh Usrah Saidatina Khadijah dan tempat ketiga dimenangi oleh Usrah Zainab Al-Ghazali. Tayangan video penutup mengakhiri malam penutup TAQWA’19.
Besarlah harapan daripada pihak kami, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019 agar program sebegini dapat mengeratkan hubungan sillaturahim dan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik daripada semua peringkat sama ada secara langsung atau tidak langsung kami ucapkan jazakumullahu khairan kathira.

“Keberkatan Ramadan Dicari, Kehadiran Syawal Dirai”
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”








LAPORAN DAURAH ALAMIAH 2019

LAPORAN | DAURAH ALAMIAH 2019
Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2018/2019

Kaherah- Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program ilmiah yang diberi nama Daurah Alamiah 2019 (DAWAM'19) selama empat hari bermula 16 Februari 2019 sehingga 21 Februari 2019 yang bertempat di kedua-dua wisma iaitu Dewan Syeikh Idris Al Marbawi ,Baitul Ridzuan dan di Dewan Syeikh Sya'rawi,Baitul Rahman. Tema program pada kali ini ialah "Ilmuan Melestari Generasi Rabbani". Antara objektif yang telah digariskan ialah memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan ahli, memaksimumkan suasana ilmu dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswa Perak dan juga meningkatkan kualiti penjanaan thaqafah ahli dalam pelbagai bidang.

Pada hari sabtu 16 Februari 2019, program telah dimulai dengan pembentangan kertas kerja" Mabadi' Asyarah fi Ilmi Tauhid" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Ilmam bin Ismail selaku Fasilitator KPKM sesi 2018/2019. Program tersebut bermula selepas subuh pada jam 6 pagi. Tujuan diadakan kelas ini ialah memberi pengenalan berkenaan ilmu aqidah yang merupakan ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap muslim. Pada hari yang sama juga,pihak penganjur telah membuka penyertaan pertandingan kuiz kepada mahasiswa dan mahasiswi hingga 21 Februari 2019.

Pada hari kedua bertarikh 17 Februari 2019, DAWAM'19 diteruskan lagi dengan daurah kitab "Fiqh Jabirah" Yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Bukhari bin Abdullah selaku Pengerusi Badan HISBAH KPIPM sesi 2018/2019. Kelas tersebut bermula pada jam 6.00 pagi hingga 8 pagi, pengisian tersebut mendapat sambutan yang ramai daripada kalangan ahli KPIPM. Terdapat ahli daripada BKAN lain turut serta dalam program ini. Pengisian ini diadakan bagi menghilangkan kemusykilan yang telah menjadi tanda tanya  masyarakat pada masa kini.pada sebelah malam pula,sekitar jam 7.00 hingga 9.00 malam telah berlangsungnya pembacaan hadis fitan yang telah disampaikan oleh Sheikh Abdul Basit. Pengajian ini bertujuan mengingatkan para ahli berkenaan dengan peristiwa akhir zaman.

Pada hari berikutnya bertarikh 18 Februari 2019,pihak penganjur telah mengadakan pembentangan kertas kerja "Fiqh Nikah" berkenaan tajuk Khitbah yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mu'aaz bin Ramli selaku Fasilitator KPIPM sesi 2018/2019 yang telah bermula sekitar jam 6.00 pagi hingga 8.00 pagi. Para ahli telah menumpukan perhatian sepenuhnya ketika program berlangsung. Antara tujuan diadakan pengajian ini ialah memberi pendedahan kepada ahli bagaimana cara mengkhitbah seseorang dengan cara yang dibenarkan oleh syara'. Pada sebelah malam pula,DAWAM'19 telah diteruskan lagi dengan sambungan pembacaan hadis fitan yang disampaikan oleh Sheikh Abdul Basit bermula pada jam 7.00 malam hingga 9.00 malam.

Pada hari keempat bertarikh 20 februari 2019, pihak penganjur telah mengadakan satu forum ilmiah bertajuk "Syariat Islam Antara Kejahilan dan Peranan " yang dikendalikan oleh moderator,Ustaz Muhammad Ikhwan Firdaus bin Tohari bersama dua ahli panel jemputan ,iaitu  Ustaz Mohd Shahrul bin Malek sebagai ahli panel yang pertama dan Ustaz Mohd Sayuti bin Mohd Sofien selaku panel yang kedua, forum tersebut telah berlangsung sekitar 2 jam bermula 7.00 malam hingga 9.00 malam.

Pada hari kelima iaitu hari terakhir program bertarikh 21 Februari 2019,telah berlangsungnya pembacaan kitab tafsir surah Al kahfi yang disampaikan oleh al Fadhilatussheikh Habibullah Hasan Ahmad,selaku Pensyarah Aqidah dan Falsafah yang telah diadakan di Dewan sheikh Sya'rawi,Baitul Rahman pada jam 7.00 petang. Pada malam itu juga,pihak penganjur telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz DAWAM'19.

Akhir kalam,marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat ilahi kerana program Daurah Alamiah 2019 DAWAM'19, pada sesi kali ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang diketengahkan. Pelbagai input-input yang penting dan berguna telah diperoleh oleh ahli KPIPM sepanjang program ini. Sekalung penghargaan dan ucapam ribuan terima kasih kepada pihak yang turut serta menjayakan program DAWAM'19. Semoga program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

"ILMUAN MELESTARI GENERASI RABBANI"

BERILMU, BERAMAL IKHLAS

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

DISEDIAKAN OLEH:
SETIAUSAHA DAURAH ALAMIAH 2019(DAWAM'19)







MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...