Saturday, February 20, 2021

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN TUNJANG KESATUAN

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN TUNJANG KESATUAN

Firman Allah SWT: 
((يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ارْكَعُوْا وَاسْجُدُوْا وَاعْبُدُوْا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ ۚ۩))
                                            
Maksudnya: 
“Wahai orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah dan sembahlah Tuhanmu dan berbuatlah kebaikan, agar kamu beruntung.”
(Surah al-Hajj : ayat 77)

  Kebajikan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke-4 bermaksud perbuatan yang mendatangkan kebaikan ataupun jasa. Berbuat kebajikan merupakan fitrah dalam diri setiap manusia yang perlu diselarikan dengan panduan Syariat Islam. Umat manusia dianugerahkan oleh Allah SWT satu naluri yang sangat mulia dan naluri ini tidak ada pada makhlukNya yang lain iaitu naluri keinginan berbuat baik terhadap orang lain. 

  Menjadi tabiat manusia hari ini ketika mana melihat seseorang individu itu ditimpa kesusahan atau berada dalam kesempitan pasti akan ada golongan-golongan yang akan tampil dan sukarela membantu dalam apa jua keadaan sekalipun. Mereka ini sangat beruntung kerana diberi kesempatan untuk berbuat kebajikan sebagaimana yang telah disebutkan dalam ayat al-Quran sebentar tadi iaitu ((…agar kamu beruntung)).

Sahabat-sahabat sekalian,

  Sikap berbuat baik ini perlu diterapkan dalam diri setiap generasi pada hari ini, lebih-lebih lagi golongan yang bergelar mahasiswa. Janganlah dijadikan alasan untuk tidak berbuat kebajikan dengan sebab sibuknya belajar sehinggakan tidak berpeluang untuk mengambil tahu dan cakna keadaan orang sekeliling. 

  Sudi untuk saya kongsikan beberapa kepentingan atau keperluan melaksanakan kebajikan ketika kita bergelar Tholibul Ilmi ini :
1. Menerapkan nilai kasih sayang dan simpati antara satu sama lain.
2. Melatih diri berkorban demi kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.
3. Membantu dalam meringankan dan memudahkan urusan orang lain. Dalam makna kata lain, setiap manusia khususnya pelajar mempunyai masalah tersendiri, maka dengan bantuan kebajikan yang diberikan sedikit sebanyak mampu menolongnya.
4. Menunaikan hak orang lain ke atas diri kita. Setiap diri kita ini mempunyai hak terhadap orang lain yang perlu diselesaikan. Menjadi tanggungjawab ke atas kita untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

Mahasiswa/wi yang dirahmati Allah SWT,

  Akhir sekali, memetik kata-kata Saidina Ali bin Abi Talib : “Bahawa apabila kita dapat korbankan sesuatu yang paling berharga untuk orang lain, kelebihan yang akan kita peroleh nanti lebih daripada apa yang dikorbankan”.
Kita yang bergelar Tholibul Ilmi ini juga perlu faham konsep pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh Islam kepada khalayak sejagat. Pengorbanan ini jelas ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW yang mengajarkan kita untuk sentiasa mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi atau dengan makna kata lain melebihkan kepentingan masyarakat dan jemaah daripada kepentingan diri sendiri sebagaimana pesanan Imam As-Syafie Rohimahullah Taala, “Jika terdapat banyak keperluan yang perlu dipenuhi, maka mulailah kepentingan yang terpenting dan mendesak”.

  Jadi, jelaslah bahawa kebajikan dan pengorbanan adalah dua elemen yang tidak boleh dipisahkan. Tanpa pengorbanan mustahil untuk kita melakukan kebajikan dan begitu juga sebaliknya. Antara bentuk pengorbanan yang boleh dilakukan oleh penuntut ilmu adalah berkorban tenaga dan masa dalam membantu gerak kerja dakwah Islam serta mengorbankan sebahagian harta pada jalan Islam secara umumnya atau membantu sahabat-sahabat di sekeliling kita khususnya.

  Dalam berbicara tentang kebajikan, sudah pasti akan timbul persoalan dalam pemikiran kita iaitu “Bagaimanakah mereka yang suka hidup bersendirian dan tidak turun terlibat dengan masyarakat mampu memberi kebajikan kepada orang lain?”. Jadi, jelas bahawa mereka yang tidak meletakkan diri mereka dalam masyarakat ataupun tidak bersosial tidak akan mampu untuk melaksanakan hak kebajikan terhadap orang lain. Hal ini kerana, untuk melaksanakan konsep kebajikan, tidak dapat tidak seseorang itu perlu terjun ke dalam masyarakat dan mestilah mencampuri dan bergaul dengan setiap jenis manusia.

Sahabat-sahabat sekalian,

  KPIPM merupakan satu wadah yang begitu luas dan mampu memberi peluang kepada seluruh pelajar khususnya yang berada di Mesir dalam merealisasikan aspek kebajikan. Tidaklah KPIPM ini hanya tertumpu kepada aspek kesatuan atau akademik semata-mata, bahkan lebih luas lagi iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan seorang muslim. Usaha dalam menjaga kebajikan ini telah lama dilakukan sejak dari generasi terdahulu sehingga generasi hari ini. Perjuangan dalam melaksanakan kebajikan yang dibawa oleh KPIPM bukanlah retorik semata-mata tetapi ada usaha yang jitu dalam merealisasikannya. Hal ini jelas, apabila kita lihat dalam matan usul YDP KPIPM sesi 2020/2021 iaitu “Mengoptimumkan peranan KPIPM sebagai persatuan induk anak-anak Perak dengan memperkasakan kebajikan dan sumber tenaga” dan Pembawaan KPIPM sesi 2020/2021 yang pertama iaitu “Memaksimumkan medium kebajikan serta menekankan aspek keselamatan dalam kalangan anak-anak Perak”. 

  Sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “ Sesiapa yang tidak mengambil berat diatas urusan orang muslimin maka bukanlah dia dari kalangan mereka. Dan sesiapa yang pada hari mengutamakan perkara selain daripada agama Allah maka bukanlah dia daripada golongan orang yang diredai Allah. ” (Riwayat at-Tabrani).

  Kesimpulannya, jadikanlah KPIPM ini batu loncatan buat kita untuk melaksanakan segala bentuk kebajikan yang digariskan Islam. Tanamkanlah sikap mendahulukan kepentingan umum daripada kepentingan diri sendiri. Jangan kita jadikan belajar sebagai satu alasan untuk tidak menunaikan hak diri ke atas orang lain. Contohilah semangat para pejuang Islam yang sanggup berkorban apa-apa sahaja dan sentiasa terkehadapan dalam usaha menjaga kepentingan dan kebajikan Islam. Sebagai seorang Tholibul Ilmi, tidak sepatutnya kita hanya memikirkan hal peribadi, bercampurlah dengan masyarakat dan bersosial kerana ia merupakan salah satu medan tarbiah untuk kita berhadapan dengan pelbagai jenis dan ragam masyarakat kelak.

#KPIPMKeluargaKita
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Nukilan daripada :
Muhammad Nur Ilham bin Shamsuddin
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2020/2021

Tuesday, February 2, 2021

ARTIKEL | CELIK EKONOMI ISLAM

ARTIKEL | CELIK EKONOMI ISLAM
Biro Ekonomi KPIPM sesi 2020/2021

TAJUK: HUKUM FOREX TRADING ONLINE


،بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد الله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

قال رسول الله - صلى الله عليه وسلم  
الذهب بالذهب والفضة بالفضة, والبر بالبر, والشعير بالشعير والتمر بالتمر, والملح بالملح مثلا بمثل، سواء بسواء يدا بيد, فمن زاد أو استزاد فقد أربى
[HR Muslim]    
                                               
Apabila kita berbicara mengenai Forex ,ia bukanlah suatu yang asing dalam dunia ekonomi kini. Namun, yang sering menjadi persoalan kepada kita khususnya sebagai orang Islam adakah ia merupakan suatu platform yang menepati syarak?

Bagi mengetahui hukumnya, suatu kajian yang mendalam berkenaan Forex mesti dilakukan. 

Antara perkara yang perlu diketahui adalah:
Apakah yang dimaksudkan dengan Forex?
Bagaimanakah perlaksanaan Forex itu sendiri?
Hukum-hukum Muamalah Islam yang berkaitan dengan Forex?
Pandangan Badan Berautori Fatwa berkaitan Forex.

MAKSUD FOREX
Forex adalah singkatan bagi Foreign Exchange yang bermaksud Pertukaran Mata Wang Asing.
Forex mempunyai pelbagai jenis, contohnya pertukaran wang asing yang biasa dilakukan oleh pelancong yang melancong ke negara lain melalui Money Exchanger. Itu adalah merupakan satu contoh Forex yang dibenarkan dalam Islam.
Forex yang akan kita bincangkan adalah Forex Trading Online. Ia adalah suatu pasaran tukaran asing yang merupakan pasaran yang terbesar dan paling cair di pasaran dunia. Pasaran ini beroperasi selama 24 jam sehari dan dibuka selama lima hari dalam seminggu bermula dari hari Isnin hingga Jumaat. Semua pihak boleh melibatkan diri dalam pasaran tukaran asing ini termasuklah orang perseorangan, syarikat-syarikat tempatan, syarikat-syarikat multinasional dan bank pusat.
Tukaran asing ini melibatkan urusniaga satu mata wang kepada mata wang yang lain. Peniaga-peniaga mata wang asing mendapat keuntungan melalui perbezaan harga beli dan harga jual sesuatu mata wang.

HUKUM YANG BERKAITAN DENGAN FOREX TRADING ONLINE
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menegaskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik adalah melibatkan item ribawi (iatu mata wang) dan dari sudut fiqhiyyah ia tertakluk di bawah hukum Bay al-Sarf yang perlu dipatuhi. Syarat-syarat umum jual beli dan syarat-syarat khusus bagi Bay al-Sarf adalah seperti berikut: 

Syarat-syarat umum jual beli:
Pihak yang berakad mestilah mempunyai kelayakan melakukan kontrak (Ahliyyah al-Ta’aqud).
Harga belian hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad.
Item belian hendaklah suatu yang wujud dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual serta boleh diserahkan kepada pembeli.
Sighah akad hendaklah menunjukkan keredaan kedua-dua pihak, tidak ada unsur penempohan, sighah ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.

Syarat-syarat khusus Bay al-Sarf:
Berlaku taqabbudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam platform forex sebelum kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi berpisah daripada majlis akad.
Jual beli matawang hendaklah dijalankan secara lani dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Akad jual beli al-sarf mesti bebas daripada khiyar al-Syart.

PANDANGAN BADAN-BADAN BERAUTORITI FATWA BERKAITAN FOREX TRADING ONLINE
1. Majlis Fatwa Kebangsaan (HARAM)
2. Majlis Fatwa Negeri Sembilan (HARAM)
3. Majlis Fatwa Negeri Perlis (HARAM)
4. Majlis Fatwa Negeri Sabah (HARAM)

SEBAB-SEBAB FOREX TRADING ONLINE DIHARAMKAN
1. Ketiadaan berlaku serahan milik oleh kedua belah pihak secara tunai dan serta-merta (التقابض) sama ada secara hakiki ataupun hukmi (konstruktif). Dalam perdagangan forex online, broker tidak akan mengkreditkan serta merta mata wang yang dibeli ke dalam akaun.

2. Kewujudan unsur riba iaitu pada kemudahan leverage (pinjaman tunai) oleh platform yang mensyaratkan dilakukan perdagangan mata wang dengan caj berbayar hanya dengan platform yang sama. Di sini berlaku penggabungan jual beli dan pinjaman. Hal ini bertentangan dengan hadis Nabi Muhammad SAW: لا يحل سلف وبيع
Ertinya: Tidak halal mengumpulkan salaf (pinjaman) dan jual beli. Riba juga berlaku pada overnight charge (caj semalaman) ke atas pinjaman yang tidak dilangsaikan pada hari yang sama. 

3. Kewujudan unsur gharar (ketidaktentuan) iaitu pada identiti penyedia platform, undang-undang yang menyelia perdagangan tersebut serta keabsahan transaksi yang dilakukan.

4. Kewujudan unsur maisir (judi) yang mendedahkan pihak pedagang kepada peluang untung atau risiko kerugian kerana bergantung kepada spekulasi (ramalan) pergerakan nilai mata wang yang berada di luar kawalan, usaha dan pengaruh pihak yang berurus niaga. Ini sama seperti meletakkan wang pertaruhan yang mengakibatkan salah satu pihak mengaut keuntungan atas kerugian pihak lain yang mana untung dan rugi bergantung kepada nasib. Spot forex dari satu sudut amat menguntungkan, tetapi ia juga berisiko tinggi untuk mengalami kerugian.

Sebagai tambahan lain, Syeikh Taqi Uthmani yang merupakan Shariah Board of the Bahrain-based Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) berkata bahawa duit tidak sepatutnya dijadikan komoditi (barang yang diperdagangkan).

KESIMPULAN:
Berdasarkan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Badan-badan Berautoriti Fatwa dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar Ekonomi Islam, maka jelaslah bahawa Forex Trading Online adalah haram dan terbukti bertentangan dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan Syara’.
Maka, sewajarnya sebagai hamba Allah yang meletakkan Allah SWT sebagai pemerintah mutlak seluruh alam, mestilah menjauhi daripada terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti ini dan berusaha untuk menasihati saudara-saudara Islam yang lain untuk meninggalkannya.

Rujukan:
1) Syeikh Dr. Mustafa al-Khin, Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan Syeikh Dr. Ali al-Syarbaji. Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhabil al-Syafie. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.
2) http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/3
3) http://www.zaharuddin.net/images/forextradingjakim.pdf?fbclid=IwAR3H0u-qPZPEl87jeKzRmGX16e1T3cpJ7Z6JvSUFA4ZG-Iioev7Y6CjL4-I
4)http://www.zaharuddin.net/images/forexjakim2.pdf?fbclid=IwAR2KbsKNivi1bWqiE1QeMFLNHQkxYbcpBseQrbM7FfkMW_igTLU0Y78Sr4c
5) https://prpm.dbp.gov.my/
6) https://youtu.be/Zc95hCHNHo4

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...