Saturday, August 29, 2020

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN YANG DIIMPIKAN

 

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN YANG DIIMPIKAN
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2019/2020

        
     Menurut perspektif Islam, kemerdekaan bermakna kebebasan manusia dalam menikmati kehidupan sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman,mafhumnya:“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” (Al-Dzariyat: 56)

        Hidup merdeka ialah hak asasi setiap manusia di dunia ini. Hak asasi sebagai manusia berakal waras dan bebas melaksanakan keyakinan dengan fitrah di bawah landasan perintah dan larangan Allah SWT. Pada zaman kini, pemahaman tentang hak asasi manusia telah disalah tafsir oleh kebanyakan orang Islam. Kefahaman mereka bahawa hak asasi ini adalah menurut kehendak hati dan nafsu hingga menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan perkara halal. Kemerdekaan yang difahami mereka termasuk bebas berfikir, berkehendak dan bertindak melakukan sesuatu tanpa dibatasi sebarang peraturan, nilai atau undang-undang termasuk hukum syarak.

        Namun, disebalik istilah kemerdekaan ini ada makna yang jauh lebih penting untuk sama-sama kita hayati dan renungi, iaitu sebuah kemerdekaan atau kebebasan yang bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal semata, tetapi merdeka dari sudut Islam yang sebenarnya adalah mengeluarkan manusia daripada memperhambakan diri sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah SWT serta bermatlamat untuk meruntuhkan jahiliah yang merantai pemikiran umat Islam kini seperti mana yang diungkapkan oleh Rubaie bin Amir ketika menghadap panglima perang Parsi yang bernama Rustum:
 "Kami merupakan kaum yang diutuskan oleh Allah untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu memperhambakan diri kepada manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah yang Esa.."

        Maka marilah sama-sama kita merenung sejenak, adakah kita benar-benar merdeka mengikut Islam atau hanya atas kertas sahaja. Dalam surah Al-Maidah ayat 51, Allah SWT berfirman, mafhumnya:
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim". (Al Maidah:51)

        Ayat di atas merupakan larangan mengambil orang Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin. Hal ini kerana, sedalam manapun pertentangan dan permusuhan sesama mereka seperti British, Portugis dan Belanda tetapi dalam menghadapi Islam, mereka bersatu dan saling menyokong antara satu sama lain serta tidak akan rela sehingga umat Islam mengikut jejak langkah mereka seperti yang disebut dalam firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 10, yang mafhumnya:

"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad )sebelum engkau mengikuti agama mereka.." (Al Baqarah:120)

        Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani akan sentiasa berusaha mencari jalan untuk menyesatkan umat Nabi Muhammad SAW sehingga ke hari kiamat. Dendam terhadap agama ini telah membakar semangat mereka untuk mencengkam umat Islam pada ketika itu dengan bermatlamatkan 3G iaitu 'God, Gold, Glory'. Frasa 'God' dijadikan sebagai matlamat utama menunjukan bahawa cita-cita utama mereka adalah dengan menyebarkan kefahaman agama Kristian.

        Strategi demi strategi disusun demi menghancurkan umat Nabi Muhammad SAW. Antaranya adalah apabila mereka mendapat tahu bahwa negara Malaysia merupakan sebuah negara yang dipimpin oleh sultan yang berpegang dengan agama Islam dan melaksanakan perintah Allah SWT, maka mereka mula mencari jalan dalam menghantar agen-agen Yahudi dan Nasrani.

        Pada tahun 1511, mereka menghantar agen Yahudi dan Nasrani yang pertama iaitu Portugis bagi merebut kuasa pemerintahan negara Malaysia, kemudian diganti pula oleh penjajah Belanda pada tahun 1641, sehingga mereka berjaya mengaut segala kekayaan dan hasil bumi negara seterusnya menghancurkan dan memporak-perandakan umat Islam sendiri. Seorang demi seorang ulama’ dibunuh dalam memperjuangkan agama dan tanah air. Pada tahun 1824, pemerintahan diambil alih pula oleh penjajah British. Mereka memerangi pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdiri daripada para alim ulama antaranya Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Rentap dan senarainya begitu panjang sekali. Pada tahun 1941, negara kita dijajah pula oleh penjajah Jepun sehingga berakhirnya penjajahan ini dengan berlakunya peristiwa pengeboman di Nagasaki dan Hiroshima. Kemudian diambil alih semula kuasa penjajahan oleh British. Selama 446 tahun bumi Malaysia dijajah, diperintah dan diserang habis-habisan oleh puak Yahudi dan Nasrani.

        Kedatangan mereka bukan semata-mata ingin meluaskan tanah jajahan dan mengaut segala kekayaan dan hasil bumi, tetapi mereka turut memasukkan ideologi-ideologi atau pegangan dan cara hidup mereka iaitu ideologi Kristianisasi dalam negara kita dengan cara berusaha mengkristiankan umat Islam seramai yang mugkin. Namun pegangan agama umat Islam yang kuat menyebabkan mereka gagal dalam usaha memurtadkan umat Melayu Islam pada ketika itu. Inilah hasil daripada pentarbiahan para alim ulama yang sangat memainkan peranan dalam menanamkan aqidah yang kuat dalam jiwa umat Islam. Namun sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan umat Islam pada hari ini, yang tidak ubah seperti buih-buih di lautan. Jumlah umat Islam kini semakin ramai tetapi sangat lemah iman dan pengangan aqidahnya.

        Selama 446 tahun dijajah dan diperintah, Yahudi dan Nasrani menggunakan modus operandi  mereka iaitu cara hidup mereka dan kemudian ditanam dalam pemikiran orang Melayu Islam iaitu kefahaman Sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan. Kefahaman inilah yang disebut dalam Al Quran surah Al Baqarah ayat 85, di mana mereka hanya berpegang dan beriman kepada sebahagian isi kitab Taurat dan mengingkari sebahagian yang lain. Itulah kefahaman yang ditanam oleh fahaman sekular.

        Tanpa disedari, akhirnya mereka telah berjaya memasukkan kefahaman dan budaya hidup mereka dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam ketika ini, antaranya adalah dengan menggunakan 5F iaitu Family, Funny, Fashion, Film, Food. Mereka akan berusaha agar agenda ini berjaya dengan memastikan bahawa setiap rumah tangga Muslim itu porak peranda, kemudian diperkenalkan hiburan demi hiburan yang melalaikan, pakaian yang tidak patuh syariah, cerita-cerita yang penuh dengan agenda yang tersurat dan tersirat serta makanan-makanan yang terdiri daripada unsur yang haram dan syubhah sehingga memberi kesan kepada kesucian hati dan pembentukan individu Muslim itu sendiri.

        Sabda Nabi Muhammad SAW "Kamu akan mengikut umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga mereka masuk kedalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka, kami berkata kepada Rasulullah SAW,"Adakah orang Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?", sabda Nabi SAW "Siapa lagi kalau bukan mereka".

        Sesungguhnya dendam mereka terhadap agama Islam yang suci ini akan terus membara sehingga ke hari kiamat. Dendam inilah yang membuatkan mereka tidak akan pernah berdiam diri sehingga kita benar-benar mengikuti jejak langkah agama mereka. Oleh itu, sama-samalah kita renungi, adakah kita benar-benar mencapai definisi kemerdekaan yang sebenar? Adakah kita benar-benar merdeka dari sudut penjajahan pemikiran dan kefahaman yang telah ditanam oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani?

        Justeru, jika kita hari ini sebagai seorang mahasiswa Islam yang merupakan ejen pembangunan sebuah negara haruslah kita bersama-sama berusaha mengambil peluang serta memainkan peranan dalam menyumbang pelbagai idea yang kreatif, kritis dan analitis untuk masa depan negara bagi mencapai kemerdekaan yang sebenar.

        Antara peranan mahasiswa dalam mencapai kemerdekaan sebenar adalah dengan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Ini adalah kerana penguasaan ilmu dalam sesuatu bidang akan mengangkat martabat sesuatu bangsa dan negara. Dengan ilmu yang diamalkan sebaik mungkin, ia boleh mengubah kehidupan dan nasib sesuatu negara bangsa untuk mendepani cabaran hidup dan zaman.

        Selain itu, mahasiswa juga dituntut bijak memilih pemimpin yang ideal menurut perspektif Islam. Pentingnya memilih pemimpin yang betul supaya terwujudnya sebuah negara yang makmur dan rakyat sejahtera. Contoh kriteria pemimpin ideal, hendaklah merujuk kepada Rasulullah SAW. Setidaknya ada empat sifat yang ditunjukkan Rasulullah SAW sebagai pemimpin, yakni siddiq (jujur), amanah, fathanah (cerdas), dan tabligh (aktif mengajak pada kebaikan).

        Seterusnya, mahasiswa berkewajipan dalam memahami Islam secara keseluruhan yakni memaknai hidup Islam dengan sebenar-benarnya. Sebagaimana Allah SWT berfirman:
"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu kedalam Islam secara keseluruhan..." (Al-Baqarah : Ayat 208).

Dalam tafsir Ibnu Katsir ayat ini diterjemahkan bahwa Allah memerintahkan kepada hamba-Nya yang beriman kepada-Nya dan membenarkan Rasul-Nya agar berpegang kepada tali Islam dan semua syariatnya serta mengamalkan semua perintahnya dan meninggalkan semua larangannya dengan segala kemampuan yang dimiliki. Untuk melaksanakan hal ini tentu kita harus memiliki pemahaman akan Islam secara benar. 

        Akhirnya, mahasiswa haruslah memainkan peranan serta bangkit dan mengkaji sejarah Islam supaya tidak mudah tertipu. Ini kerana di zaman yang serba canggih ini semua informasi dengan mudah boleh diperoleh melalui media sosial tetapi perlu berhati-hati kerana tidak semua informasi dan fakta yang kita dapat itu tepat jika sumbernya hanya dari internet. Maka, menjadi tugas mahasiswa untuk mengkaji semula sejarah Islam yang sebenar. Sejarah yang benar ini penting dalam mengobarkan semangat anak cucu untuk kembali mencari kebenaran. Dari situlah akan datangnya semangat untuk menjadi pendokong agama, bangsa dan negara.


Disediakan oleh :
Nirmin Wardah binti Mohd Ali Piah
Nuralya Faqihah binti Abdul Rahim
(Peserta Kelas Penulisan Pusat Sumber Tenaga (PESAT) KPIPM sesi 2019/2020)

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Friday, August 28, 2020

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN ERA PANDEMIK

 

ARTIKEL KEMERDEKAAN | KEMERDEKAAN ERA PANDEMIK
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2019/2020

Tahukah anda, sudah hampir 63 tahun Malaysia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan? Saban tahun rakyat Malaysia menyambut hari yang penuh bersejarah ini. Semangat dan kemeriahan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia amat berbeza daripada hari-hari lainnya. Seluruh rakyat Malaysia menyambut hari gemilang ini dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang mampu memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
 
Memandangkan tahun ini, tahun yang getir khasnya apabila segala kegiatan ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya terjejas, kemerdekaan kali ini menjadi kemerdekaan paling bersejarah buat kita semua kerana mengalami norma baharu. Apakah itu norma baharu? Norma baharu atau dikenali sebagai 'new norm' adalah peraturan baharu yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit.
 
Antara peraturan baharu yang ditetapkan oleh kerajaan ketika musim COVID-19 ini ialah Perintah Kawalan Pegerakan (PKP). Sebelum menyelam lebih dalam, marilah kita bersama-sama menghayati, apakah makna sebenar kemerdekaan dari segenap aspek kehidupan.
 
Kemerdekaan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka ialah keadaan bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan, berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
 
Erti sebuah kemerdekaan bukan hanya bebas daripada cengkaman fizikal penjajah, malah lebih daripada itu. Kemerdekaan yang telah kita kecapi ini hanyalah pada lahiriah sahaja. Adapun, serangan pemikiran dan budaya yang dilancarkan oleh penjajah sedikit sebanyak masih memberi kesan mendalam terhadap sebilangan rakyat Malaysia.
 
Kemerdekaan daripada perspektif Islam pula ialah kebebasan manusia untuk dapat menikmati kehidupan sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar penciptaannya oleh Allah SWT. Allah Taala berfirman :
 
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
 
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” [ Al-Dzariyat : 56 ]
 
Manusia yang merdeka hidup dalam keadaan fitrah, ketentuan dan pedoman penciptanya, sekaligus sesuai hak asasi sebagai manusia berakal waras dan bebas melaksanakan apa yang diyakininya dengan fitrah di bawah landasan perintah dan larangan Allah SWT. Malah hidup merdeka adalah hak asasi setiap penghuni alam semesta keseluruhannya.
 
Jika hanya sekadar mengenal akan makna kemerdekaan semata-mata, ianya tidaklah memadai bagi seorang anak merdeka melainkan didorong dengan semangat dalam menyambutnya. Maka, bagaimanakah cara menyuburkan rasa semangat dalam menyambut kemerdekaan kali ini dengan adanya norma baharu?
 
Antara cara bagi anak merdeka untuk menyambut kemerdekaan era pandemik adalah dengan mengukuhkan penghayatan sejarah asas kenegaraan serta perjuangan kemerdekaan tanah air. Sejarah-sejarah ini boleh didapati melalui pembacaan daripada pelbagai sumber seperti buku-buku atau penulisan ilmiah berkaitan asas bernegara serta tokoh-tokoh kemerdekaan tanah air. Melalui pembacaan yang beraneka sumber, kita boleh mengembangkan lagi idea, info atau trivia dengan menukilkan penulisan yang bermanfaat.
 
"Cintai aku dengan membaca, aku akan mencintaimu dengan menulis".
 
Selain penulisan, semangat cinta akan negara dapat dipupuk dengan menghasilkan karya-karya kreatif seperti pembikinan video, puisi, poster dan sebagainya. Ini secara tidak langsung membangkitkan semangat patriotisme dalam diri semua lapisan masyarakat.
 
Tambahan pula, era langit terbuka ini menyaksikan limpahan kemahiran yang berpotensi untuk dikomersialkan antaranya karya-karya kreatif anak-anak tempatan. Sebahagian penggiatnya terdiri daripada anak muda yang mahir dalam bidang masing-masing. Ini sekaligus dapat melahirkan modal insan yang bermutu dan berwawasan. Lebih-lebih lagi era pandemik ini, kita diarahkan untuk meminimumkan pergerakan serta sentiasa melakukan aktiviti berfaedah. Maka, tiada salahnya kita manfaatkan masa yang banyak terluang ketika COVID-19 ini dengan memberi pencerahan kepada dunia tentang kemerdekaan Malaysia.
 
Dalam pada itu, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) amat penting bagi kita semua dalam membantu memutuskan rantaian virus ini. Tanggungjawab ini terpundak di atas bahu seluruh rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang agama, bangsa mahupun politik. Tuntasnya, kebiasaan baharu inilah yang mengajar kita bagaimana membuktikan kecintaan kepada kesejahteraan negara. Kerjasama dan interaksi yang baik di antara kita mampu mengekang wabak ini daripada terus menular.
 
Zahirnya, pandemik yang melanda kini telah merencatkan pergerakan institusi di kebanyakan negara termasuk negara kita sendiri, Malaysia. Pelbagai institusi berdepan halangan untuk melaksanakan perancangan yang telah dirangka. Institusi pendidikan tinggi menghadapi kesulitan untuk meneruskan pembelajaran akibat PKP yang telah dikuatkuasakan. Begitu juga dengan agensi-agensi perdagangan yang terlibat dalam pertumbuhan ekonomi negara turut terjejas akibat pandemik COVID-19.
 
Walaupun demikian, semangat cinta akan negara di dalam diri warga Malaysia tidak seharusnya luntur bahkan harus sentiasa mekar bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Generasi muda khususnya mahasiswa telah menunjukkan sikap yang positif dan berwibawa. Pelbagai inisiatif yang telah diusahakan oleh para mahasiswa ketika masih berada di universiti dalam tempoh PKP. Tamsilnya, fakulti-fakulti di kebanyakan universiti di Malaysia bekerjasama menghasilkan alat pelindung muka (face sheild) bagi kegunaan barisan hadapan yang merawat pesakit COVID-19.
 
Prakarsa ini telah mempamerkan sikap yang perlu dicontohi oleh golongan mahasiswa. Jika tidak cinta akan negara, mana mungkin jasad mereka mahu mengerah wang, masa dan tenaga untuk membasmi penyebaran wabak yang berlaku. Maka jelaslah bahawa mahasiswa sememangnya nadi kepada sesebuah negara.
         
Dek kerana COVID-19 yang melanda ini, banyak hikmah dan pengajaran yang dapat kita singkapi antaranya, para pemimpin bersatu dalam memainkan peranan yang sangat penting dalam melawan virus ini. Pelbagai bantuan dan pelan yang diwartakan oleh kerajaan sebagai inisiatif kebajikan bagi mereka yang terkandas rentetan virus durjana ini. Tidak sekadar itu, rakyat yang cakna juga berperanan meringankan beban sesama kita. Ikhtiar ini bagi membantu mereka yang amat memerlukan di samping merealisasikan tema kemerdekaan pada tahun ini iaitu "Malaysia Prihatin".
 
Seterusnya, sumbangan keringat barisan hadapan Malaysia seperti petugas kesihatan dan keselamatan yang terdiri daripda KKM, ATM, PDRM, sukarelawan tanah air dan ramai lagi yang tidak mampu diungkap. Mereka adalah sosok yang hebat dalam memastikan Malaysia terputus dari belenggu virus COVID-19. Tanpa mereka, mungkin ramai lagi nyawa yang akan terancam akibat jangkitan virus ini. Terima kasih kami ucapkan!
 
Pengajaran yang sangat penting di sini adalah kita dapat melihat bagaimana interaksi yang jitu di antara rakyat dengan kepimpinan negara. Berganding bahu, saling membantu mencurahkan kerjasama dalam mengekang kemaraan pandemik COVID-19 dari terus merebak. Allah menegaskan melalui firman-Nya :
 
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)." [ Al-Ma'idah : 2 ]
 
Inilah cara kita mengekalkan keharmonian dan semangat kenegaraan di dalam diri setiap lapisan masyarakat. Jika dulu kita berjuang menentang penjajah yang menjarah watan, kini kita berjuang memelihara negara daripada penularan wabak demi kesejahteraan bersama!
 

Biar dirobek jiwa dan hati,
Takku endah walau dicalarkan,
Aku bertahan demi pertiwi,
Moga tak tergadai maruah watan.

Tugu negara jadi kebanggaan,
54 tahun usia dicipta,
Malaysia Prihatin tema kebangsaan,
Bersatu hati elakkan sengketa.

 

Disediakan oleh :
Muhammad Muiz bin Abdul Malek
Abdul Muiz bin Mohamad Razali
(Peserta Kelas Penulisan Pusat Sumber Tenaga (PESAT) KPIPM sesi 2019/2020)

 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

 

Friday, August 21, 2020

ARTIKEL | TAZKIRAH JUMAAT


BEKALAN PARA DAIE 

Hidup sebagai seorang pendakwah penuh dengan ranjau dan duri-duri yang datang silih berganti . Samada disebabkan diri sendiri atau orang lain sama ada sesama Islam sendiri atau musuh-musuh Islam. Demikianlah ketentuan Allah SWT.

Dalam menghadapi perjalanan panjang yang penuh cabaran dan ranjau ini, mereka perlu kepada bekalan yang amat penting sebagai penentuan sejauh mana keteguhan pendirian mereka dalam meneruskan perjuangan. Bekalan penting tersebut adalah pertolongan dan bimbingan daripada Allah SWT. Hal ini jelas jika kita meneliti sirah dan perjuangan Rasulullah SAW.

Apabila Allah SWT memilih Nabi Muhammad SAW untuk memikul amanah Islam, Allah SWT telah mempersiapkan Baginda dengan kelengkapan, persiapan dan bimbingan yang rapi bagi membolehkan Baginda memikul amanah menyampaikan risalah Islam di samping membentuk sebaik-baik umat.

Namun bagaimana pula keadaan para pendakwah yang datang selepas Baginda? Siapakah yang akan mempersiapkan dan memberikan bekalan-bekalan yang sewajarnya dalam menempuh jalan perjuangan yang penuh liku-liku dan ranjau ini?

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW telah menyatakan tentang bekalan yang sepatutnya dibawa oleh para pendakwah di dalam perjalanan mereka ini.

Nabi SAW bersabda kepada Abu Zar RA dalam nada pertanyaan :

“Sekiranya engkau akan mengembara, apakah engkau akan membuat persiapan?” Jawab Abu Zar “Ya!”. “Bagaimana pula dengan pengembaraan menuju hari kiamat? Mahukah engkau mendengar sekiranya aku memberitahu kepadamu tentang bekalan yang berguna untuk menghadapi hari tersebut?” Jawab Abu Zar “Bahkan mahu wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku”.

Mendengar jawapan Abu Zar itu, Baginda pun bersabda:

· Berpuasalah di hari yang panas terik demi menghadapi hari kebangkitan

· Sembahyanglah dua rakaat di tengah gelap gelita demi menghadapi kesunyian dan kegelapan kubur

· Tunaikan haji demi menghadapi cabaran-cabaran besar yang menanti

· Hulurkan sedekahmu untuk si miskin

· Ungkapkanlah sentiasa kalimah yang benar

· Diam dan hindarkanlah diri dari bertutur dan melafazkan perkataan-perkataan yang tercela dan buruk.

1 . Berpuasalah di Hari Yang Panas Terik Demi Menghadapi Hari Kebangkitan

Inilah anjuran dari Rasulullah SAW bagi mereka yang merentasi perjalanan mencari keredhaan Allah SWT di kalangan orang-orang yang beriman dan para pendakwah. Anjuran ini adalah satu cara yang praktikal dalam Tarbiah Rohani. Latihan seperti ini dapat menjadikan pendakwah Islam seorang hamba yang benar-benar patuh dan tunduk kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW :

تخوشنوا فإن النعم لا تدوم 

Maksudnya: "Biasakan diri dengan kesusahan kerana nikmat kesenangan hidup tidak akan kekal selama-lamanya."

Maka hendaklah para pendakwah bermujahadah terhadap dirinya dengan berpuasa. Sesungguhnya ia merupakan suatu amalan yang begitu kuat dan penting untuk pembersihan diri (tazkiyah al-nafs) agar kelak ia mampu untuk merentasi hari kiamat dan mendapat pemeliharaan Allah yang berterusan.

2. Sembahyang Dua Rakaat di Tengah Gelap Gelita demi Menghadapi Kesunyian dan Kegelapan Kubur

Anjuran Rasulullah SAW yang kedua adalah menggalakkan umatnya sembahyang malam. Sembahyang malam membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan hebatnya. Itulah kurniaan dan pemberian Allah SWT.

Kenyataan ini diperkuatkan oleh firman Allah SWT :

إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيْلِ هِىَ أَشَدُّ وَطْـًٔا وَأَقْوَمُ قِيلًا 

Maksudnya: "Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya."

(Surah al-Muzammil : Ayat 6)

Maka jelaslah kepada kita bahawa sembahyang malam dapat membentuk para pendakwah menjadi hamba Allah yang “Rabbani", kerap berhubung dengan Allah SWT, berjiwa cerah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta daya fikiran yang kritis.

3. Tunaikan Ibadat Haji Demi Menghadapi Cabaran-Cabaran Besar Yang Menanti

Anjuran Rasulullah SAW yang ketiga bagi para pendakwah Islam dalam perjalanan mereka menuju akhirat adalah melaksanakan ibadat haji di Baitullah. Ibadat ini dapat melahirkan tenaga dan potensi iman yang hebat dalam diri pendakwah Islam serta dapat membersihkan jiwa dari sifat jahiliah dan angkara nafsu syahwat.

Rasulullah SAW bersabda :

يَقولُ: منْ حجَّ فَلَم يرْفُثْ، وَلَم يفْسُقْ، رجَع كَيَومِ ولَدتْهُ أُمُّهُ. متفقٌ عَلَيْهِ 

Maksudnya: "Barangsiapa yang menunaikan haji dan ia tidak melakukan perkara yang membatalkan dan tidak bersikap derhaka, nescaya dia pulang (dalam keadaan suci bersih dari dosa) seperti dia dilahirkan oleh ibunya."

Para pendakwah di jalan Allah wajar mengenang hikmah-hikmah ibadat sepanjang menjadi tetamu Al-Rahman seperti ibadat sa'i, tawaf, wukuf di Arafah dan lain-lain lagi.

Melontar batu adalah salah satu ibadat sewaktu menunaikan haji. Ia membayangkan tekad para pendakwah untuk memerangi syaitan dan kesungguhan menghindarkan diri dari tarikan nafsu serta istiqamah menurut syariat Allah.

4. Hulurkan Sedekah Sambil Merahsiakan

Anjuran keempat yang dipesan oleh Rasulullah SAW ialah bersedekah dan merahsiakan sedekah tersebut. Infaq fisabilillah (pada jalan Allah) dan berjihad dengan harta adalah bukti yang menunjukkan jiwa yang bersih dan sihat. Manakala sikap kikir, bakhil dan enggan memberi bantuan adalah sebagai bukti jiwa yang buruk dan sakit.

Jihad dengan harta amat sukar bagi jiwa yang terpaut dengan dunia, takut miskin dan bimbang untuk menderma.

Firman Allah SWT :

إِنَّ ٱللَّهَ ٱشْتَرَىٰ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَٰلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلْجَنَّةَ 

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin nyawa mereka dan harta mereka dengan bayaran syurga."

( Surah Al-Taubah : Ayat 111)

Sebagai pendakwah Islam, di samping mereka menyampaikan kata-kata nasihat yang baik melalui hati dan lisan, mereka hendaklah menyahut panggilan jihad dengan harta, menghulurkan sumbangan dari saku mereka sendiri supaya bertautlah dua bentuk jihad, iaitu jihad Al-Nafs dan Al-Mal (jihad dengan jiwa dan jihad dengan harta).

5. Tuturkanlah Kebenaran atau Berdiam Diri dari Mengungkapkan Kebatilan

Anjuran kelima dan terakhir dari Rasulullah SAW kepada Abu Zar RA berhubung dengan lisan dan lidah, walaupun ia merupakan anggota yang paling kecil jika dibandingkan dengan anggota-anggota lain yang terdapat pada diri manusia, akan tetapi bencananya amat besar seandainya ia tidak dikekang dengan sifat taqwa.

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت 

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata dengan perkataan yang baik atau berdiam diri.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Para pendakwah Islam ialah orang yang paling wajar menjaga lidah daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang haram, syubhat atau perkataan-perkataan yang berdosa serta dapat menjatuhkan martabat diri mereka sendiri.

Mereka hendaklah menguasai lidah daripada mengumpat orang lain, mengelakkan sikap menjadi “batu api" serta menghindarkan perbuatan menghina dan memperolok-olokan orang lain. Mereka juga mestilah memastikan perkataannya benar dan sentiasa khuatir kalau-kalau mengatakan perkara yang tidak benar.

Lidah para pendakwah yang sentiasa basah dengan zikrullah tentulah tidak layak bergerak menuturkan hal-hal yang dimurkai oleh Allah SWT. Manakala mulut yang hendak dijadikan oleh Allah sebagai gedung ilmu, punca perkataan-perkataan yang baik dan bersih, wajiblah dilindungi oleh pendakwah daripada tercemar lantaran perkataan yang buruk.

Justeru, selaku seorang pendakwah mestilah mempersiapkan diri dengan bekalan-bekalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW agar dapat menjadi pendakwah yang kental berhadapan dengan sebarang mehnah dan tribulasi serta istiqamah di medan jihad sehingga mereka mendapat kemenangan gugur syahid sepertimana Rasulullah dan para sahabat serta mujahidin terdahulu.

"Usrah Pencetak Generasi Tarbawi"

Disediakan oleh: Setiausaha Jabatan Fasilitator, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2019/2020.


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

**Sumber rujukan :
Kitab Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah karangan Sheikh Fathi Yakan
Bahagian ke-3 (Bekalan Para Daie)

Monday, August 10, 2020

LAPORAN | PROGRAM TAUTAN KASIH AIDILADHA 2020 (TAZKIYAH‘20)

LAPORAN | PROGRAM TAUTAN KASIH AIDILADHA 2020 (TAZKIYAH‘20)
Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah dan Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak


KAHERAH - Pada 29 Julai 2020 hingga 2 Ogos 2020 Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020 telah berjaya menganjurkan program Hari Raya Aidiladha bagi seluruh anak-anak Perak di Mesir iaitu program Tautan Kasih Aidiladha (TAZKIYAH‘20). Program ini dibawah seliaan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah dan Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020 dengan kerjasama Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak yang bertemakan “Eratkan Jalinan, Sesuci Pengorbanan".

    TAZKIYAH`20 telah bermula pada pada 8 Zulhijjah 1441H bersamaan 29 Julai 2020 pada hari Rabu yang mana telah dimulai dengan tazkirah yang bertajuk Tangisan di Hari Arafah. Tazkirah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Hussaini bin Mohamed Hussain secara live bermula jam 9 malam.

    Program diteruskan dengan Majlis Perasmian dan Perutusan TAZKIYAH'20 pada 9 Zulhijjah 1441H bersamaan dengan 30 Julai 2020 pada jam 9 malam di Mesir, jam 3 pagi waktu Malaysia. Perutusan tersebut disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria selaku Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020.

    Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang program ini berlangsung. Antaranya ialah pengisian berbentuk tazkirah yang disampaikan oleh pengisi daripada anak Perak. Tazkirah ini bertujuan untuk meningkatkan thaqafah ahli melalui penghayatan Hari Raya Aidiladha dalam keadaan norma baharu iaitu secara live di Laman KPIPM.

    Pada 30 Julai 2020 juga telah diadakan gotong-royong membersihkan kawasan halaman Wisma Baitul Rahman bagi kegunaan aktiviti melapah esok harinya. Gotong-royong tersebut disertai oleh beberapa ahli KPIPM yang berkenaan bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 12 tengahari. Kerja-kerja memasang khemah, penghadang dan mengasah pisau juga dilakukan.

    Pada hari ketiga iaitu 31 Julai 2020, jam 5.30 pagi seluruh ahli KPIPM menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di rumah masing-masing seterusnya beberapa orang ahli KPIPM menyertai aktiviti gotong royong melapah dan merewang di Wisma Baitul Rahman. Seramai 10 orang hadir ke pusat penyembelihan bagi melicinkan pergerakan menghantar haiwan sembelihan ke Wisma Baitul Rahman. Sekitar jam 10 pagi aktiviti melapah dan gotong-royong dimulakan. Perayaan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini berbeza dengan sebelum ini, yang mana aktiviti penyembelihan dilakukan oleh warga arab mesir di kawasan penyembelihan, namun tidaklah ia menjadi suatu masalah besar tetapi pengalaman baru buat kami sebagai pelajar Azhar di sini.

    Aktiviti agihan daging korban bermula selepas solat asar iaitu diagihkan ke setiap rumah dengan dihadiri ketua rumah masing-masing. Pihak KPIPM juga mengagihkan daging korban kepada pengerusi masjid yang berhampiran iaitu Ustaz Mustafa. Seterusnya, pada 1 Ogos 2020 , jam 1 petang , program diteruskan dengan aktiviti edaran agihan makanan kepada setiap rumah dan turut dihantar ke kawasan Shoubra, Medan Geish dan Sayyidah Zainab.

    Selain itu, pada hari Ahad, 2 Ogos 2020 bersamaan 12 Zulhijjah 1441H aktiviti pengisian diteruskan dengan tazkirah yang bertajuk Madrasah Aidiladha: Permata Yang Dicari secara live di Laman KPIPM . Tazkirah tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Nur Ikhwan bin Shamsuddin pada jam 4 petang.

    TAZKIYAH‘20 hampir ke penghujungnya. Malam Penutupan TAZKIYAH‘20 telah diadakan secara live di Laman KPIPM bermula pada jam 9 malam. Program dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis dan host iaitu Ustaz Muhammad Muiz bin Abdul Malek bagi aktiviti Sembang Santai bersama Pengarah. Aktiviti tersebut turut dihadiri dua watak yang dibawakan sepanjang beberapa video promo TAZKIYAH`20 yang telah ditayangkan. Selepas itu, diteruskan dengan ucapan penutupan oleh Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2019/2020, Ustaz Ammar Rushdi bin Jamaluddin. Kemudian, diakhiri dengan video penutup dan pengumuman pemenang bagi Pertandingan Sayembara Penulisan Anekdot dan Pertandingan Pantun Jawi.

    Maka berakhirlah sudah program Tautan Kasih AidilAdha 2020 (TAZKIYAH`20). Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar dan diharapkan agar program ini dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama kita. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak yang sudi bekerjasama dalam menyumbang seekor lembu bagi haiwan korban dan kewangan program serta semua pihak yang menjayakan TAZKIYAH`20 secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Sekian, terima kasih.

“Eratkan Jalinan, Sesuci Pengorbanan”
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
‘’MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN’’


Disediakan oleh :
Khairul Naim bin Mohd Razali
Setiausaha,
Tautan Kasih Aidiladha 2020 (TAZKIYAH ’20),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2019/2020.













Friday, August 7, 2020

ARTIKEL | TAZKIRAH JUMAAT

MENGAPA PERLU BEKERJA DAN MENGGABUNGKAN DIRI DENGAN ORGANISASI ISLAM?


Penggabungan diri dan bekerja dengan organisasi Islam bukanlah hanya semata-mata mendaftar sebagai ahli, bukan semata-mata menghadiri program-program serta aktiviti-aktiviti yang dianjurkan, bukan juga hanya membantu ahli-ahli lain dalam kesusahan sahaja, tetapi pengertian dan penggabungan diri yang sebenar adalah lebih jauh daripada perkara tersebut.

Penggabungan diri yang sebenar dengan organisasi Islam yang perlu ditanamkan oleh seseorang amilin adalah sejauh mana kemantapan akidah yang diperjuangkan dan kekuatan ikatan fikrah bersama organisasi tersebut.

1) PENGGABUNGAN AQIDAH

Perlu difahami, perkara yang perlu diukur apabila menggabungkan diri dengan organisasi Islam adalah dari sudut aqidah.

Ini kerana, Islam tidak mengajar berintima' (penggabungan) diri dengan sesebuah organisasi disebabkan individu seperti yang berlaku pada pertubuhan lain yang mementingkan penerajuan aspek-aspek kepimpinan sahaja, dan inilah menjadi parasit-parasit dalam sesebuah organisasi Islam.

Jadi, penggabungan yang utama sesebuah organisasi Islam adalah dengan agama Islam itu sendiri. Penggabungan ini seterusnya menuntut kita mentaati perintah Allah SWT dan mengharapkan rahmat serta keredaan-Nya. Kesan daripada penggabungan ini akan menatijahkan kekuatan ikatan aqidah seseorang dengan sesebuah organisasi kepada Allah SWT dan tidak akan terjejas sekiranya berlaku kematian ataupun lucutan jawatan pimpinan kepada seseorang yang berpengaruh di dalam medan dakwah. Berkata Saidina Abu Bakar R.A. : "Sesiapa yang menyembah Muhammad sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati".

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ ٱللَّهَ يَدُ ٱللَّهِ فَوۡقَ أَيۡدِيهِمۡۚ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَىٰ نَفۡسِهِۦۖ وَمَنۡ أَوۡفَىٰ بِمَا عَٰهَدَ عَلَيۡهُ ٱللَّهَ فَسَيُؤۡتِيهِ أَجۡرًا عَظِيمٗا

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar." (Surah Al-Fath: Ayat 10)

Adalah tidak betul sekiranya seseorang menggabungkan diri dengan organisasi Islam hanya semata-mata atas kepentingan mahupun ingin mendapatkan keuntungan peribadi. Justeru itu, seseorang yang menggabungkan diri dengan organisasi Islam mestilah mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya, menyerahkan kepentingan diri kepada kepentingan organisasi serta berintima' dengan seluruh ruang lingkup gerak kerjanya.

2) PENGGABUNGAN UNTUK MASA DEPAN SESEBUAH ORGANISASI

Ianya bermaksud keterikatan masa depan bersama organisasi Islam tidak kira susah mahupun senang. Penggabungan masa depan tidak mengira tua ataupun muda, bujang mahupun berkahwin, miskin ataupun kaya, susah ataupun senang, akan tetapi penggabungan ini adalah kekal abadi sehinggalah ia kembali bertemu dengan Allah SWT. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh bahkan perkara ini ditegaskan di dalam Al-Qur'an, di dalam firman-Nya:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَعۡبُدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ حَرۡفٖۖ فَإِنۡ أَصَابَهُۥ خَيۡرٌ ٱطۡمَأَنَّ بِهِۦۖ وَإِنۡ أَصَابَتۡهُ فِتۡنَةٌ ٱنقَلَبَ عَلَىٰ وَجۡهِهِۦ خَسِرَ ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةَۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡخُسۡرَانُ ٱلۡمُبِينُ

Maksudnya: "Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah SWT dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata."(Surah Al-Hajj, Ayat 11)

Amilin yang berintima' dengan organisasi Islam mestilah berbeza dengan orang lain daripada segenap sudut iaitu sudut akhlak, amalan harian, penampilan dan lain-lain lagi. Berpegang kepada prinsip yang telah digariskan oleh Islam serta mengutamakannya berbanding prinsip peribadi. Begitulah juga bergerak dalam medan dakwah, mengutamakan prinsip dakwah adalah lebih penting berbanding kepentingan peribadi dan elakkan bersifat "ananiah". Sifat-sifat yang disebutkan tadi tidak akan terpancar di dalam diri seseorang melainkan setelah melalui proses penyucian serta pembersihan diri yang panjang, pertarungan yang perit sepertimana yang disebut didalam firman Allah SWT :

فَأَمَّا ٱلزَّبَدُ فَيَذۡهَبُ جُفَآءٗۖ وَأَمَّا مَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ فَيَمۡكُثُ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ كَذَٰلِكَ يَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ

Maksudnya: "Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan." (Surah Ar-Ra'd: Ayat 17)

Banyaknya mehnah dan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya itu adalah untuk memastikan hamba-Nya bersedia serta berhak memikul tanggungjawab serta amanah yang dipikul selaku khalifah di atas muka bumi ini.

Ujian yang menimpa para pendakwah itu terbahagi kepada dua :

PERTAMA : Pendakwah akan diuji dalam bentuk kekayaan, kemegahan, kekuasaan serta pangkat yang tinggi agar mereka berpaling dari prinsip-prinsip yang diperjuangkan.

KEDUA :
 Pendakwah akan diuji dengan ugutan, tekanan, penyeksaan dimana mereka dipenjara dan dibunuh dengan kejam. Disekat sumber rezeki mereka. Dan dalam keadaan inilah mereka haruslah bersabar serta teguhkan pendirian dan yakin dengan pertolongan dan ketentuan Allah SWT.

وَلَنَبۡلُوَنَّكُمۡ حَتَّىٰ نَعۡلَمَ ٱلۡمُجَٰهِدِينَ مِنكُمۡ وَٱلصَّٰبِرِينَ وَنَبۡلُوَاْ أَخۡبَارَكُمۡ

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu." (Surah Muhammad: Ayat 31)

Yakinlah pada janji Allah SWT iaitu kemenangan kepada para mujahidin dan ganjaran pahala kepada orang yang melakukan amal kebaikan.

Semoga kita tergolong di dalam golongan yang menegakkan agama Allah SWT sepertimana para sahabat serta mujahidin terdahulu ketika mana berjuang.

"Usrah Pencetak Generasi Tarbawi"

**Sumber rujukan :
Kitab Apa Ertinya Saya Menganut Islam karangan Sheikh Fathi Yakan
Bahagian ke-2 (Bab kelima : Saya memahami sejauh manakah penggabungan saya dengan organisasi Islam)


Disediakan oleh: Setiausaha Jabatan Fasilitator, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM sesi 2019/2020.

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...