Monday, January 16, 2012

Fatrah Imtihan : Siapa Kita



Percaya atau tidak, fatrah imtihan sebenarnya merupakan satu jangka waktu yang mampu memberi impak luar biasa dalam kehidupan kita samada dari sudut disiplin waktu, pengurusan diri mahupun tingkah laku.

Tak percaya?? Jom kita ‘kenali’ diri.

Apabila tibanya fatrah imtihan, golongan pertama akan berada dalam keadaan tertekan dan mula menyendiri. Mereka mula mengabaikan sahabat-sahabat di sekeliling dengan menggunakan alasan sibuk study untuk lari dari rutin kebiasaan seperti ‘giliran memasak’. Keadaan rumah mula kelihatan seolah-olah seperti gua dan yang paling kronik apabila makan dan minum sendiri kurang terjaga akibat daripada kesibukan menelaah. 

Golongan kedua pula berada dalam keadaan yang baik kerana mampu untuk mendisiplinkan diri dan  menjauhkan diri dari perkara-perkara yang ‘lagha’. Mereka mula menghentikan tabiat chatting dan menyahaktifkankan facebook serta mampu untuk stay up sehingga awal pagi untuk mengulangkaji. Tetapi malangnya, mereka telah melambatkan solat dan memendekkan bacaan Al-Quran untuk menghabiskan bab yang sedang dibaca. Rutin kebiasaan seperti bangun Qiamullail dan solat berjemaah semakin berkurang akibat kepenatan mengulangkaji. 

Manakala golongan ketiga berada dalam keadaan lebih baik dan tenang. Mereka mempergiatkan ibadah dan memperbanyakkan membaca Al-Quran. Mereka sentiasa berusaha untuk membantu sahabat-sahabat mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya walaupun dalam fatrah imtihan. Mereka sedar bahawa mereka perlu seimbangkan antara perkara dunia dan perkara akhirat.

Fikir balik, siapa kita apabila tibanya fatrah imtihan?

Adakah kita telah membawa diri kepada kerosakan tanpa kita sedar seperti golongan pertama? Atau kita telah mencuri masa ibadah untuk mengulangkaji dan berusaha untuk menambah ‘bekalan’ menghadapi   imtihan sehingga mengabaikan bekalan akhirat seperti golongan kedua? Ataupun kita telah berjaya meletakkan diri kita dalam golongan yang ketiga?  Satu golongan yang telah menjadikan fatrah imtihan    sebagai satu medan untuk menambah baik amalan dan mentarbiyah diri untuk sentiasa istiqamah dalam  melakukan perkara kebajikan walaupun setelah berlalunya fatrah tersebut.

Sebagai seorang muslim, semestinya kita ingin cemerlang dalam pelajaran. Akan tetapi biarlah  kecemerlangan itu diiringi dengan keberkatan dari Allah SWT. Manusia yang sekadar cemerlang dalam hal pelajaran tetapi tidak dihiasi dengan iman dan taqwa kepada Allah, adalah tanda-tanda manusia yang hilang keberkatan dalam menimba pelajaran. Kejayaan hidup manusia tidak diukur dengan kecemerlangan ‘exam’yang ditempuhi, akan tetapi kejayaan manusia yang sebenar di sisi Allah adalah ‘taqwa’. Apabila ‘taqwa’ kepada Allah didahulukan, yakinlah, kejayaan yang diimpikan pasti akan dicapai… InsyaAllah

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...