Sunday, February 28, 2010

KPIPM Akan Terus Memberi Komitmen Kepada PMRAM


28 FEB – Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir hari ini berkata bahawa beliau amat berbangga dengan komitmen yang diberikan oleh ahli KPIPM kepada PMRAM.

Ia adalah susulan daripada keterlibatan ahli KPIPM dalam menjadi Adhoc Program PESAT anjuran PMRAM semalam. KPIPM telah dipilih beberapa kali untuk berkhidmat di bahagian masakan dalam kebanyakan program PMRAM.

Antaranya ialah Jaulah Ke Semenanjung Sinai sebanyak dua kali pada tahun ini, anjuran HEWI PMRAM, dan Program PESAT yang diadakan semalam. Masakan untuk Jaulah ke Sinai diketuai oleh Ustaz Muhammad Zulfadli bin Zainal, manakala untuk PESAT ialah Ustaz Abdul Hadi bin AB Rahman

Namun, beliau agak kesal dengan kekurangan peserta dari kalangan ahli Perak di dalam program tersebut. Mungkin disebabkan kebanyakan daripada mereka terlibat sebagai adhoc.

Pada malam 27 Februari, PMRAM telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat PMRAM. Alhamdulillah ahli KPIPM telah turut menjayakan program tersebut.

Saturday, February 27, 2010

Biro Pelajaran dan Ilmiah Menyediakan Kenderaan Untuk Akhawat Ke Pengajian


27 FEB – Biro Pelajaran dan Ilmiah telah mula menyediakan perkhidmatan kenderaan untuk mahasiswi ke pengajian Syeikh Yusri di Muqattam.

Pengajian Sunan Abi Daud yang diadakan setiap pagi bermula selepas subuh sehingga jam 7.30 itu mendapat sambutan hangat di kalangan ahli PMRAM.

Kos setiap kepala yang menaiki kenderaan tersebut sekitar LE 4.00 sehari, pergi dan balik.

Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir, mengucapkan tahniah kepada Biro Pelajaran dan Ilmiah yang diketuai oleh Ustaz Mohammad Firdaus bin Aznan, di atas penekanan yang tinggi terhadap kepentingan ilmu.

Beliau menyifatkan bahawa usaha ini adalah untuk memudahkan mahasiswi untuk tekun di dalam bidang pengajian secara bertalaqqi. Seiring dengan itu, ia juga menjadi objektif utama pembawaan PMRAM pada tahun ini.

Maulid Nabi SAW di Rumah Perak


26 FEB – Hari ini, Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM telah mengadakan Sambutan Maulid Nabi SAW di Wisma Darul Ridzuan. Program ini diadakan selama 2 hari, iaitu pada 25 dan 26 Februari

Program bermula selepas Solat Maghrib berjemaah pada hari khamis. Ia disusuli dengan tazkirah jemputan khas, yang disampaikan oleh Ustaz Fairus bin Shoaib.

Pada keesokan harinya, program diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas, dan marhaban beramai-ramai. Marhaban telah dikepalai oleh Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin yang juga Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah, dan Ustaz Syahrul Rashid bin Ghazali. Marhaban selesai pada jam 7.35 pagi.

Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir, Yang Dipertua KPIPM mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu, dan mengharapkan agar ahli KPIPM dapat menghayati kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW, dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan.

Rumah Perak Dipecah Masuk


27 FEBRUARI – Satu insiden terjadi di Wisma Darul Ridzuan A, di mana dipecah masuk oleh seorang berbangsa Arab yang tidak dikenali. Insiden tersebut berlaku sebaik sahaja selesai Solat Jumaat, iaitu pada jam 1.15 tengahari.

Beberapa orang saksi memberitahu bahawa suspek sempat memasuki beberapa bilik dan mengambil beberapa barang untuk dicuri. Saksi yang lain pula berkata bahawa suspek membawa sejambak kunci untuk membuka pintu utama Wisma Darul Ridzuan A.

Setelah ditemui, beberapa orang saksi cuba menangkap suspek tersebut, namun gagal kerana sempat melarikan diri. Kerugian dianggarkan sebanyak LE 800.00.

Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir, Yang Dipertua KPIPM menyifatkan bahawa insiden ini adalah kali keempat yang berlaku di kedua-dua Wisma Darul Ridzuan. Beliau juga mengingatkan kepada semua, supaya berwaspada dalam masalah ini.

Friday, February 26, 2010

Menjawab Penentangan Terhadap Maulid Nabi SAW


Pendahuluan

1. Isu yang berlegar di sekitar kita, ketika tibanya Maulid Nabi Muhammad SAW. Iaitu isu tentang bid’ah. Sedikit coretan ringkas daripadaku, berkenaan dengan Maulid Nabi Muhammad SAW yang telah dituduh sebagai “ibadah yang bid’ah”.

2. Terbaca sebuah artikel yang telah dihantar oleh “Muhammad Solihin” di dalam Blog Idhamlim, tentang sejarah Maulid Nabi Muhammad SAW. Bukanlah niat di hati ini untuk meng”komplen” sesiapa, atau memanjangkan perbahasan tentang maulid, sebaliknya fokus saya cumalah berputar sekitar “hujah yang tidak membenarkan perayaan maulid”.

Secara Ringkas

1. Maulid Nabi Muhammad SAW diadakan untuk memperingati Baginda SAW. Ia adalah salah satu bentuk menerapkan kecintaan kepada Baginda SAW. Nabi SAW bersabda :

Tiga perkara, sesiapa memilikinya akan merasai kemanisan iman : Hendaklah Allah dan Rasul itu paling dicintai kepadanya berbanding yang lain. (kedua) Hendaklah dia menyayangi seseorang, tidak menyayanginya melainkan kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia membenci untuk kembali kufur, sepertimana bencinya dia dilemparkan ke neraka

( Imam Bukhari, Shahih Bukhari, cet. ke 3, Darul Ibnu Kathir, Beirut, tahqiq Dr Mustafa Dib al Bugho, bah. 1, ms 14, hadis no. 16 )

2. Jelas di dalam dalil ini, menunjukkan bahawa Maulid Nabi SAW yang bertujuan untuk memperingati Baginda SAW adalah satu acara yang digalakkan, dan tidak bercanggah dengan syara’.

Hujah Yang Mengharamkan Maulid Nabi SAW

Sepertimana yang diceritakan, “Muhammad Solihin” telah menukilkan di dalam artikel beliau beberapa pandangan yang mengharamkan Maulid Nabi Muhammad SAW. Berikut antara pendapat yang menentang bersertakan hujah mereka:

1. Nabi Muhammad saw tidak pernah merayakan atau menyuruh umatnya untuk merayakan hari kelahirannya. Nabi saw telah menekankan agar jangan memperbesarkannya sepertimana orang kristian memperbesarkan Nabi Isa AS. Ini dijelaskan di dalam hadis riwayat Bukhari:
Baginda bersabda, Jangan memperbesarkan mengenai aku seperti Kristian memperbesarkan mengenai anak Maryam. Aku hanyalah hamba, jadi katakanlah, hamba Allah dan pesuruh Nya.(Al Qomar)

Apa yang telah disuruh Rasulullah saw hanyalah menyuruh umatnya menjadikan hari kelahirannya satu hari untuk beribadat yang mana berbeza dengan perayaan. Bertepatanlah dengan hadis di bawah:

Dalam sahih Muslim daripada Abi Qatadah al-Ansari berkata: Nabi (s.a.w.) telah ditanya tentang puasa pada hari Isnin lalu baginda bersabda: Di hari tersebutlah aku dilahirkan dan di hari tersebut jugalah aku diutuskan. Dan hendaklah kamu menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan , kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid'ah , dan setiap bid'ah itu adalah sesat. [Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud]

2. Para sahabat Rasulullah dan juga umat Rasulullah SAW pada 3 abad kemudian tidak pernah merayakannya walaupun merekalah orang yang lebih mencintai Rasulullah saw lebih dari umat terkemudian..

Hadis Imran bin Husain r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan sukakan kemewahan. Perayaan Maulid Nabi datang beberapa abad kemudian yang mana ciri-ciri Agama Islam yang sebenar sudah hilang dan bid'ah berleluasa.

3. Allah berfirman di dalam Al-Quran: Katakanlah, "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". Katakanlah, "Taatilah Allah dan Rasul-Nya; Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir". (QS. 3:31-32)

Ayat di atas menerangkan cara menunjukkan kasih sayang yang sebenar yang patut dilakukan kepada Rasulullah SAW. Ayat yang pertama di atas menjelaskan bahawa cinta itu hanyalah pengakuan, tetapi buktinya ialah menuruti apa yang Rasulullah SAW bawakan. Manakala ayat kedua menekankan kepentingan dalam menuruti kehendak Allah dan Rasul Nya. Allah menyudahi ayat di atas dengan ancaman yang keras bahawa sesiapa yang tidak mahu mentaati adalah kafir dan Allah tidak mencintai orang kafir.

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agamamu. (QS. 5:3)

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (QS. 33:21)

4. Kata-kata sahabat Rasulullah SAW : Huzaifah Ibnu Al-Yamaan ra berkata : "Setiap ibadah yg tidak dilakukan oleh sahabat Rasulullah SAW, maka janganlah melakukannya" Dan berkata Ibnu Mas'ud :"Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu - perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)"

...................................................................................

Inilah sebahagian artikel yang telah dicopy daripada tulisan “Muhammad Solihin” yang disiarkan di dalam Blog Idhamlim. Saya tidak berniat untuk mempersoalkan rujukannya, sebaliknya membuka perbincangan berdasarkan perspektif ilmiah.

Ulasan Tentang Hujah Golongan Yang Menentang

Hujah Pertama

1. Hujah pertama menyatakan bahawa “Maulid Nabi SAW” tidak pernah dilakukan oleh Baginda SAW, dan tidak pernah disuruh untuk mengadakannya.

2. Juga menceritakan tentang sabda Nabi SAW “Jangan kamu memperbesarkan aku sepertimana Kristian memperbesarkan Nabi Isa AS”

3. Menjelaskan tentang hadis Nabi SAW yang melarang kita daripada melakukan perkara-perkara bid’ah

Jawapan Terhadap Hujah Pertama

1. Sesuatu perkara yang tidak dilakukan atau disuruh oleh Baginda SAW terbahagi kepada 2 jenis :

a. Samada ia diharamkan. Dan sesuatu yang diharamkan hendaklah terdapat dalil pengharamannya. Sekiranya tidak, bagaimanakah kita boleh menghukumkannya sebagai haram.

Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan beberapa kewajipan, janganlah engkau mengabaikannya. Allah SWT juga telah meletakkan batasanNya, janganlah engkau melampaui batasan tersebut. Allah SWT juga telah mengharamkan beberapa perkara, janganlah engkau mengambilnya. Manakala sesuatu yang tidak disebut sebagai haram, maka ia adalah rahmat bagimu, bukanlah disebabkan Allah terlupa. Maka, janganlah engkau mencari-carinya. (ad Darqutni)

b. Samada ia makruh, contohnya Nabi SAW tidak menyuruh umatnya memakan bawang, dan Baginda SAW sendiri tidak memakannya. Maka hukumnya makruh, dan tidak diharamkan. Juga dijelaskan bahawa sebab Baginda SAW tidak menyukai bawang ialah baunya yang agak kuat. ( Ali bin Burhanuddin al Halabi, as Sirah al Halabiah Fi Siratil Aminil Ma’mun, cet Darul Makrifah 1400, Beirut, bah. 2, ms 751 )

c. Samada Nabi SAW “tidak terfikir” untuk melaksanakannya. Ini kerana, sekiranya Baginda SAW melaksanakannya, dikhuatiri ia dianggap sebagai satu kewajipan bagi umatnya. Contohnya Nabi SAW pernah meninggalkan Solat Terawih dikhuatiri ia menjadi satu kewajipan, sedangkan ia hanyalah ibadah sunat. ( Dr Abdul Ilah bin Husain al ‘Arfaj, Mafhumul Bid’ah Wa Atharuhu Fi Idhtirabil Fatawal Muasirah, cet. 1, 2009, Maktabah Darul Fath, ms 109 )

2. Kita membesarkan Nabi Muhammad SAW, tidak sama seperti Kristian memperbesarkan Nabi Isa AS. Nabi SAW melarang umatnya menganggap dirinya sebagai tuhan. Ini kerana qias daripada larangan terhadap golongan Kristian yang memperbesarkan Nabi Isa AS. Mereka menjadikan Nabi Isa AS sebagai tuhan, dan kadangkala menganggapnya sebagai anak tuhan.

Allah SWT berfirman

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah”, dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran? Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. (Surah at Taubah : 30 – 31)

Maka, tidak boleh disamakan Maulid Nabi SAW sebagai satu ibadat yang menjadikan seorang nabi sebagai tuhan. Selama ini, Maulid Nabi tidak pernah dianggap sebagai satu bentuk men“tuhan”kan Nabi Muhammad SAW.

3. Hadis yang melarang daripada melakukan bid’ah begitu banyak, dan ia tidak perlu disebut di sini. Tetapi Nabi Muhammad SAW tidak menyebut bahawa sambutan kelahirannya merupakan bid’ah. WaLlahua’lam.

Dr Abdul Ilah bin Husain al Arfaj menyenaraikan sebanyak 9 ciri-ciri bid’ah yang ditegah oleh syara’ ( Dr Abdul Ilah bin Husain al ‘Arfaj, Mafhumul Bid’ah Wa Atharuhu Fi Idhtirabil Fatawal Muasirah, cet. 1, 2009, Maktabah Darul Fath, ms 369 ) :

a. Pegangan yang bertentangan dengan Akidah yang sebenar, seperti menyamakan Allah dengan makhlukNya, dan sebagainya.

b. Mengubahsuai bentuk ibadat yang telah disepakati keshahihannya. Contohnya menambah rakaat dalam solat Isya’ dan sebagainya.

c. Mengubah waktu ibadat atau tempatnya yang telah disyariatkan, seperti mengerjakan solat bukan pada waktunya, dan melaksanakan tawaf bukan di ka’bah.

d. Mendakwa kelebihan pada sesuatu tempat, masa, individu atau apa sahaja tanpa sebarang dalil yang shahih.

e. Mencipta sesuatu ibadah tertentu seperti ia disyariatkan. Contohnya mendirikan Solat Asyura, Solat Nisfu Sya’ban dengan 100 rakaat dan 1000 bacaan Surah al Ikhlas, dan sebagainya.

f. Mengadakan perhimpunan untuk melakukan ibadah tertentu, di satu tempat dan masa yang ditentukan, sedangkan ia tidak disyariatkan. Ini kerana dianggap tempat atau masa tersebut mempunyai fadhilatnya tertentu, tanpa sebarang dalil.

g. Menentukan bilangan, ukuran, waktu atau tempoh tertentu tanpa sebarang dalil. Contohnya mengubah ukuran zakat, rakaat dalam solat qasar dan sebagainya.

h. Sebarang amalan yang tiada sebarang sandaran dalil syara’. Maulid Nabi SAW mempunyai sandaran dalil yang cukup banyak sepertimana yang disebutkan.

Maka, daripada kesemua ciri-ciri ini, Maulid Nabi SAW tidak dikatakan sebagai bid’ah. “kecuali” sekiranya “aktiviti” di dalamnya mengandungi amalan bid’ah, seperti mendirikan solat mengadap makam Nabi SAW atau sebagainya. Sekiranya tidak, maka dipersilakan.

Hujah Kedua

Ia tidak dilakukan oleh para sahabat RA, ataupun 3 kurun selepas mereka, yang dikatakan sebagai kurun yang terbaik. Bahkan mereka lebih mencintai Rasulullah.

Jawapan Terhadap Hujah Kedua

1. Sepertimana yang telah disebutkan, “tidak melakukan”, bukan bermakna sesuatu tersebut haram. ( Dr Abdul Ilah bin Husain al ‘Arfaj, Mafhumul Bid’ah Wa Atharuhu Fi Idhtirabil Fatawal Muasirah, cet. 1, 2009, Maktabah Darul Fath, ms 109 )

2. Sebelum ini telah disebutkan secara ringkas, berkemungkinan sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda SAW itu disebabkan ia belum difikirkan lagi ketika itu. Maka huraiannya akan diperincikan. Sesuatu amalan yang tidak dilakukan oleh Baginda SAW terbahagi kepada ( Dr Abdul Ilah bin Husain al ‘Arfaj, Mafhumul Bid’ah Wa Atharuhu Fi Idhtirabil Fatawal Muasirah, cet. 1, 2009, Maktabah Darul Fath, ms 105-108 ) :

a. Haram, contohnya Baginda SAW tidak melakukan perkara haram, walaupun ia tidak terdapat pada zaman Baginda SAW. Bahkan, sesuatu itu dikatakan sebagai haram sekiranya Nabi SAW melarangnya. Sekiranya tidak, sudah pasti ia dibenarkan, kerana Nabi SAW tidak akan membiarkan amalan haram itu berlaku.

b. Harus, contohnya Baginda SAW tidak mengembala lembu atau menternak itik. Tetapi ia diharuskan, dan dibenarkan. Selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya, maka ia dihalalkan. Contohnya menternak itik curi, ia diharamkan sebab “mencuri”, bukan sebab menternak itik.

c. Makruh, contohnya telah disebutkan sebelum ini tentang pemakanan bawang. Kadangkala Nabi SAW melarangnya, dan kadangkala Nabi SAW memakannya. Larangan tersebut ketika hendak mengerjakan solat jemaah, dan hukum makruh mengerjakan solat jemaah sedangkan mulut berbau. ( Muhammad bin Abdullah al Hakim, Mustadrak Ala as Shahihain, cet 1, 1990, Darul Kutub Ilmiah Beirut, tahqiq Mustafa Abdul Qadir Ato, bah. 4, ms 150, no. 7189 )

3. Apa yang pastinya, sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda SAW bukanlah satu perkara yang wajib. Ini kerana tidak mungkin sesuatu yang wajib, sedangkan ia tidak dilakukan oleh Baginda SAW. ( Dr Abdul Ilah bin Husain al ‘Arfaj, Mafhumul Bid’ah Wa Atharuhu Fi Idhtirabil Fatawal Muasirah, cet. 1, 2009, Maktabah Darul Fath, ms 110 ). Maka, mewajibkan (secara syara’) sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda SAW adalah haram.

4. Para Sahabat RA sememangnya paling mencintai Rasulullah SAW. Tetapi mereka tidak pula mengadakan sambutan Maulid Nabi SAW. Sekiranya terdapat seseorang mengadakan Maulid Nabi SAW pada zaman mereka, berkemungkinan Para Sahabat RA menyambutnya, dan berkemungkinan melarangnya. Tetapi hakikatnya ia tidak terjadi di zaman tersebut. Maka tidak boleh kita mengukurnya sebagai satu perkara yang “haram”.

Hujah Ketiga

1. Hujah ketiga mendatangkan ayat al Quran, Surah Ali Imran ayat 31-32, yang menceritakan bentuk kecintaan kepada Rasulullah.

2. Juga disertakan Surah al Ma’idah ayat 3 dan Surah al Ahzab ayat 21.

Jawapan Kepada Hujah Ketiga

1. Di dalam ayat 31-32 Surah Ali Imran, diturunkan kepada satu kaum ketika zaman Baginda SAW. Mereka berkata kepada Baginda SAW, “Wahai Muhammad, Demi Allah, kami lah orang yang paling mencintai Allah”. Maka turunlah ayat ini.

Ayat ini menjelaskan tentang mereka yang mengatakan bahawa mereka cintakan Allah, tetapi tidak mahu mengikut Nabi SAW, dan apa yang ditetapkan oleh Baginda SAW. ( Dr Wahbah az Zuhaili, at Tafsir al Munir Fil Aqidah, Wasy Syariah Wal Manhaj, cet ke 2, 1418, Darul Fikr, bah 3, ms 206 )

Bahkan ayat ini menggalakkan kita supaya mencintai Nabi Muhammad SAW, dan tiada sebarang bentuk yang menunjukkan Maulid Nabi SAW adalah satu amalan sesat yang terlarang.

2. Surah al Maidah ayat 3, menceritakan bahawa syairat sudah lengkap. Maka, tiada sebarang penambahan lagi yang diperlukan dalam agama. Manakala di dalam persoalan Maulid Nabi SAW, ia bukanlah bentuk penambahan bagi sesuatu kekurangan, tetapi ia adalah “mencantikkan” sesuatu yang sedia ada.

Maka, mencantikkan sesuatu yang sedia ada bukanlah bermaksud “syariat baru”. Bahkan “mencantikkan” tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan Islam. Sekiranya bercanggah, maka ia turut termasuk dalam istilah bid’ah.

Hujah Keempat

Kata-kata sahabat Rasulullah SAW : Huzaifah Ibnu Al-Yamaan RA berkata : "Setiap ibadah yg tidak dilakukan oleh sahabat Rasulullah SAW, maka janganlah melakukannya" Dan berkata Ibnu Mas'ud : "Ikutlah (sunnah) dan jangan menambah, dan telah cukup bagi kamu - perbuatan yg lama (kekal dengan cara lama)"

Jawapan Terhadap Hujah Keempat

1. Kalam daripada Huzaifah al Yamani telah disebutkan di dalam Abdul Rahman bin Ismail Abu Syamah, al Ba’ith Fil Ingkar al Bida’i Wal Hawadith, cet pertama, Darul Huda 1938, tahqiq Uthman Ahmad Anbar, bah. 1, ms 16.

2. Maksud sebenar daripada kedua-dua ayat ini ialah larangan daripada melakukan ibadah selain daripada apa yang dilakukan oleh Para Sahabat RA. Perkara ini tidak menunjukkan Maulid Nabi SAW merupakan satu perkara yang dilarang. Ini kerana ia bukanlah bentuk “ibadah” yang khusus. Ia hanyalah perayaan atau sambutan untuk memperingati Baginda SAW.

3. Sambutan sesuatu perayaan bukanlah satu bentuk ibadah. Tetapi memperingati Baginda SAW adalah satu ibadah. Perayaan yang berbentuk ibadah, diharamkan sekiranya bercanggah dengan syara’.

Kesimpulan

1. Memperingati Nabi SAW adalah satu bentuk ibadah yang digalakkan. Di sana terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk memudahkan kita memperingati Baginda SAW. Cara-cara tersebut hendaklah tidak bercanggah dengan syara’. Ini berdasarkan kaedah :

Matlamat tidak menghalalkan cara

( Muktamar Islam di Jeddah, Majalah Majma’ al Fiqh al Islami, bah 9, ms 1643 )

2. Manusia hari ini menghalalkan sambutan hari jadi bagi anak-anak mereka. Bahkan di dalam kalendar tertulis “keputeraan sultan” yang sudah biasa pada pandangan kita. Kenapakah kita perlu membid’ahkan sambutan Maulid Nabi SAW, sedangkan manusia di seluruh dunia menyambut sambutan hari jadi anak mereka.

3. Mereka yang mengatakan cinta kepada Baginda SAW, tetapi mengharamkan sambutan Maulid Baginda SAW. Bukankah ia nampak pelik? Tujuan mengadakan Maulid Nabi SAW adalah untuk memperingati Baginda SAW. Sekiranya terdapat cara lain untuk memperingati Baginda SAW, silakan. Terpulang dengan cara anda, asalkan tidak bercangah dengan syara’.

4. Tidak dilakukan oleh Baginda SAW atau para sahabat RA, bukanlah bermaksud perbuatan tersebut diharamkan. Bahkan, larangan Baginda SAW juga mempunyai dua kemungkinan. Samada larangan tersebut adalah haram, atau makruh. ( Dr Abdul Ilah bin Husain al ‘Arfaj, Mafhumul Bid’ah Wa Atharuhu Fi Idhtirabil Fatawal Muasirah, cet. 1, 2009, Maktabah Darul Fath, ms 103 - 107 )

kiriman :

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
ibnuirfadzil.blogspot.com

Pemain Skuad Yob FC

Berikut adalah senarai pemain yang bakal mewakili Skuad Yob FC untuk Kejohanan Piala Presiden PMRAM 2010 :
1. Muhamad Husairi Bin Mohd Wildan (Ketua Pasukan)
2. Abdul Hadi Bin Ab Rahman
3. Muammar Eusouffi Bin Zainal Abidin
4. Mohammad Zulfiqar Bin M. Akram
5. Mohd Khairul Anuar Bin Zulkarnain
6. Muhammad Alif Bin Ahmad Mahir
7. Mohamad Atiq Bin Mohd Johari
8. Zool Ihsan Bin Abdul Latif
9. Mohamad Zakiyudin Bin Abdul Aziz
10. Mohd Qamadirul Nur Bin Kamarudin
11. Mohd Zahid Bin Abu Bakar
12. Ibn Abbas Bin Azizuddin
13. Mohd Qutaibah Bin Abd Halim
14. Mohd Arif Bin Abdul Hamid
15. Megat Mohd Zaid Bin Megat Azamudin
16. Mohd Aliff Hadi Bin Mohd Radzi
17. Mohamad Bin Hamzah
18. Mohd Fadlullah Bin Mohd Yusof

Thursday, February 25, 2010

Kembara Sinai (KASIH 10)


Program Kembara Sinai 2010 (KASIH) yang bertemakan " Ilmu digali, Ukhwah Terjalin " telang berlangsung dengan jayanya di bawah anjuran Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah pada 16 - 18 Februari yang lalu. Ianya melibatkan seramai 30 orang peserta termasuk 3 pasangan mutazawwijin.Al-fadhil Ustaz Khairul Asyraf b. Mohd Khir selaku Ydp KPIPM melahirkan rasa bangga kerana 'anak bongsu' beliau Ulya Nur Qaisara bt Ezmir Hafizi yang baru berusia hampir 4 bulan turut sama menyertai program merungkai sirah Anbiya' ini.Program KASIH pada kali ini telah dikelolai oleh Al-fadhil Ustaz Ahmad Hasni b. Shuhaibi selaku musyrif.

Para peserta berkumpul diperkarangan Wisma Darul Ridzuan A sebelum bertolak sekitar jam 3.00 pagi dan singgah di salah sebuah perhentian untuk menunaikan solat Subuh sebelum merentasi terowong Ahmad Hamdi yang menjangkau hampir 300 meter. Terowong ini menempatkan Terusan Suez diatasnya yang turut menyimpan sejarah tersendiri. Ianya telah dibina sekitar 1859-1869 bagi memendekkan perjalanan antara Timur dan Barat.Juga turut digunakan untuk kepentingan penjajah Barat bagi menguasai tanah umat Islam dan kini telah menjadi laluan terpenting dalam sektor pengangkutan.Antara tempat lain yang telah dilawati pada hari pertama ini ialah Uyun Musa, Wadi Arba'in serta tempat penternakan arnab gunung.

Fox Camp menjadi pilihan untuk berehat sebelum mendaki Jabal Musa sekitar jam 2.00 pagi. Waktu pendakian tersebuat sudah agak keterlewatan namun para peserta sempat tiba di puncak untuk menunaikan solat Subuh sebelum menyaksikan sendiri keindahan matahari terbit. Para peserta dibahagikan untuk penempatan di Dahab sebelum menikmati hidangan tengah hari pada jam 2.00 petang. Aktivi snorkeling di pantai Dahab menjadi pilihan sebilangan peserta pada petang itu sebelum menikmati hidangan laut dan membeli belah pada sebelah malamnya.

Kubu Salahuddin Al-Ayubi menjadi destinasi lawatan seterusnya pada keesokan hari setelah bertolak ke Taba pada jam 9.30 pagi.Keindahan pantai dan keunikan pemandangan gunung-ganang ciptaan Yang Maha Kuasa dapat dinikmati dari bahagian atas kubu ini.Keterbatasan waktu membuatkan para peserta tidak sempat untuk melawat sempadan antara Jordan dan Israel namun aktivi bergambar sempat menjadi pilihan sebagai kenangan.Pekan Nakhil menjadi destinasi seterusnya untuk singgah bagi mengisi perut yang ternyata telah kekosongan.Akibat keterbatasan waktu juga, para peserta hanya sempat solat jama' takhir di perjalanan sebelum tiba di Pekan Nakhil jam 6.30 malam.

Peserta akhirnya tiba di Kaherah jam 10.30 malam setelah menikmati pelbagai kenangan pahit manis yang pasti tidak dapat dilupakan. Tema Kembara Sinai 2010 (KASIH) diharapkan dapat dicapai dan mengukuhkan lagi kekuatan ukhwah dikalangan ahli KPIPM sendiri.

"JULANG THAQAFAH,BAKTI DICURAH"

Tuesday, February 23, 2010

Program ما أسعد النساء


KAHERAH - Program ما أسعد النساء di bawah anjuran Ketua Hewi telah diadakan pada 16 dan 17 Februari bertempat di Rumah Perak Wisma A.Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran pentingnya wanita dalam Islam, mengeratkan hubungan silaturrahim di antara ahli dan memberi pendedahan tentang kesihatan wanita. Tentatif program bermula pada jam 9.30 pagi dengan dirasmikan oleh Ustazah Samihah Bt Abdullah, Naib Setiausaha(Unit Pendaftaran ) HEWI PMRAM 2009 . Antara pengisian menarik di dalam program tersebut adalah Klinik Hewi KPIPM yang disampaikan oleh Dr. Nattrah Bt Mohd Kamil, slot “ Alangkah Bahagianya Wanita ” disampaikan oleh Ustazah Nurul Izzati Farhana bt Mahadzir ,kaunter Medical Check up juga telah dibuka untuk peserta. Sambutan daripada ahli amat memberangsangkan. Selain itu, pihak penganjur juga mengambil inisiatif untuk memahirkan lagi penggunaan Bahasa Arab di kalangan ahli dengan mengadakan aktiviti menonton, memahami dan menjawab soalan melalui tayangan Bahasa Arab. Slot ’ The Excellent Women’ diperkenalkan untuk mencungkil bakat peserta dalam menguruskan wang dengan bijak dan menguji keprihatinan peserta terhadap barangan boikot dan syubhah.
Hari kedua pula diadakan perlawanan bola jaring diantara kumpulan ( Piala Mahabbah ) dan sukaneka yang bertempat di Hadiqah Athfal Hayyu Thamin. Majlis Penutup dan penyampaian hadiah diteruskan setelah selesai semua acara.

Sunday, February 21, 2010

Jamuan sempena Walimatul Urus.

Kaherah 15 Febuari- Kenduri sempena meraikan pasangan dua mempelai Mohd Al Hafidz b Ramli dan Sharifah Syaeirah binti Syed Safian telah berlansung di Wisma Darul Ridzuan A.Pasangan yang telah selamat dijabkabulkan semalam diraikan pada majlis kenduri di bawah kelolaan Biro Tabung kebajikan,Kesenian dan Riadhah KPIPM.

Majlis gotong royong telah bermula sejak petang semalam dengan dihadiri oleh ahli KPIPM. Gotong royong untuk memotong bahan-bahan masakan telah dilaksanakan oleh ajk pelaksana program dengan diketuai oleh ust Mohd Hidayat b Azizan selaku ketua Unit Masakan pada kali ini. Gotong royong bersambung di sebelah malamnya dengan kerja-kerja masakan. Para akhawat pula sibuk dengan perhiasan di bilik pengantin bagi memeriahkan majlis ini.

Majlis jamuan makan telah bermula pada pukul 12.00 tengah hari.Para jemputan telah disambut oleh pasangan pengantin sendiri dengan penuh ramah dan mesra.Dewan Syeikh Sya’rawi telah dijadikan sebagai bilik jamuan bagi meraikan seluruh tetamu ikhwah yang hadir.Manakala para akhwat telah ditemptkan di Syaqah 3 dan 4. Majlis pemotongan kek telah diadakan di syaqah 7 khusus untuk para ustazah yang hadir.

Majlis disebelah malamnya dimulakan dengan pengajian kitab oleh Habib Zain.Majlis ini diteruskan dengan bacaan Ayat-ayat suci Al-Quran bagi memberkati majlis yang diadakan.Ucapan dari YDP KPIPM 2009/2010 iaitu ust Khairul Ashraf b Mohd Khir dan pengarah program pada kali ini ust Abd Hadi b Ab Rahman menyusul selepas itu.

Ucapan yang ditunggu-tunggu oleh semua hadirin pada malam tersebut tertunai dengan ust Mohd Al Hafidz b Ramli memberikan sedikit ucapan bagi meraikan para hadirin yang turut hadir malam tersebut.

Majlis Akad Nikah


Kaherah 14 Febuari-Sepasang mempelai selamat diijabkabulkan pada majlis yang diadakan di Dewan Syeikh Sya’rawi wisma Darul Ridzuan. Pasangan Mohd Al Hafidz b Ramli dan Sharifah Syaeirah binti Syed Safian diijabkabulkan oleh pegawai Negeri Johor iaitu ust Hanif.

Majlis yang bermula pada pukul 10.30 pagi ini turut dihadiri oleh Encik Zainuddin selaku wakil dari Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah,seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Tabdir KPIPM sesi 2009/2010 serta sahabat terdekat pasangan pengantin terbabit.

Majlis dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab seterusnya dengan khutbah nikah yang berlangsung selama 10 minit. Majlis akad nikah ini sempurna dengan hanya sekali lafaz sahaja dari pihak lelaki dengan senaskah Al-Quran menjadi mahar perkahwinan mereka. Majlis seterusnya diteruskan dengan acara bergambar untuk kedua-dua belah pihak. Para hadirin seterusnya menjamu selera.

Majlis serba ringkas ini berakhir pada pukul 11.30 pagi.kenduri untuk meraikan pasangan ini akan diadakan pada keesokkan harinya. Para Ahli KPIPM dijemput hadir beramai-ramai bagi meraikan pasangan pengantin ini. Jamuan makan akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari dan akan berakhir pada pukul 4.00ptg.

Thursday, February 18, 2010

19 Hadis Tentang Perempuan

1-Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2-Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3-Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

4-Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5-Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6-Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

7-Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8-Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9-Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10-Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11-Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12-Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Ibunya".

13-Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14-Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15-Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16-Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17-Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18-Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19-Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

Wednesday, February 17, 2010

Katakan Tak Nak Pada Hutang

Keadaan umat Islam menjadi memilukan apabila, aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini, ia mungkin tidak pelik bagi mereka yang tidak berkemampuan, tetapi ia telah menjadi kaedah dan teknik yang terbaik bagi mencapai keuntungan dan mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.

Maka lahirlah ramai individu yang berkemampuan untuk membuat pembayaran secara tunai, tetapi masih lagi suka berhutang dalam membeli sesuatu barangan. Inilah satu fenomena kurang sihat yang telah di anggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat berkenaan bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" (Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" (Riwayat Al-Bukhari, 2/83)

Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat Islam agar berdoa dilepaskan dari hutang iaitu :

Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah?; Baginda menjawab : "Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" (Riwayat Al-Bukhari, 1/214)

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu yang boleh.

Beberapa tindakan perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Janganlah hanya ingin nampak bergaya kita sanggup berhutang. Seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Orang yg berhutang, apabila diberikan amanah dia khianat, apabila dia berjanji dia mungkir, apabila dia bercakap dia berbohong".

Memang betul. Majoriti orang yg berhutang tak kiralah samada kawan sendiri, saudara sendiri atau sesiapapun tiga ciri-ciri yang Nabi sebutkan ini akan
mula wujud wujud dalam diri penghutang tersebut.

Nasihat saya kepada mereka-mereka yang berhutang, bayarlah hutang anda itu. Jika sudah ada duit, dahulukanlah duit anda itu untuk langsaikan hutang anda. Jangan fikir nak enjoy saja. Ingat sahabat-sahabat, jika di dunia kita terlepas di akhirat kelak pasti menanti kita untuk dihisab.


Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
Sesi 2008/2009

Tuesday, February 16, 2010

Kasih Sayang Pemangkin Kekuatan

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”. ( Al-Hujrat : 10 )

Ukhwah merupakan anugerah Allah yang sangat manis kepada hambaNYA yang ikhlas menjadi penolong kepada agamaNYA, juga sentiasa membersihkan jiwa kerana Allah. Antara golongan yang mendapat tempat istimewa di akhirat kelak ialah golongan yang menjalinkan hubungan persahabatan berlandaskan cinta kepada Allah tanpa ada sifat pentingkan diri sendiri dan nafsu.

Setiap persahabatan yang utuh sehingga lebih mengutamakan kepentingan orang lain dari kepentingan diri sendiri, dapat memelihara ikatan persahabatan sebaiknya dan dapat memperbaiki kekurangan sahabat. Tapi malangnya, semua itu kini kian pudar malah sebaliknya yang berlaku.

Menurut Assyahid Imam :

“Martabat ukhwah yang paling rendah ialah bersangka baik terhadap saudara seIslam dan yang paling tinggi ialah memgutamakan kepentingan orang lain melebihi dari diri sendiri. Peliharalah sikap berlapang dada terhadap saudara-saudaramu dan bermujahadah
lah bersama sahabat-sahabatmu untuk sampai ke tahap ithar, cuai atau meniggalkan rukun ini samalah hukumnya dengan meninggalkan jihad yang memberi kesan buruk”.


Sejarah Islam telah membuktikan kepada kita persahabatan yang berlandaskan
cinta kepada Allah telah berlaku semasa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Persahabatan yang unggul terjalin utuh apabila nabi SAW telah menyatukan ikatan persahabatan antara kaum Ansar yang terdiri daripada orang-orang Islam Madinah dan kaum Muhajirin Mekah yang berhijrah bersama Rasulullah. Kita dapat lihat betapa ukhwah islamiah yang yang ditunjukkan oleh para sahabat baginda, yang kita tidak mampu untuk realisasikan tanpa ada sikap ithar dalam jiwa dan hati nurani masing-masing.

Begitulah nilai persahabatn yang ditunjukkan oleh para sahabat yang dipimpin oleh Rasulullah SAW.

Kekuatan iman yang kukuh dikalangan sahabat berteraskan sifat kasih sayang, lemah lembut, bertolak ansur dan berkerjasama.Ukhwah juga satu perkara yang melazimi iman kerana tiada ukhwah tanpa iman dan tidak sempurna iman tanpa ukhwah. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang yang beriman bersaudara" ( al-Hujurat : 10 )

Begitu juga tiada persahabatan tanpa taqwa dan tiada taqwa tanpa persahabatan. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud :

“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa" ( al-Zukhruf : 67 )

Kesedaran untuk memuhasabah diri perlu kepada kita untuk mempertingkatkan ukhwah dikalangan masyarakat Islam terutama azhari dan azhariah yang semesti lebih mengetahui makna dan kepentingan ukhwah itu sendiri.. Kita perlu menitikberatkan nilai ukhwah didalam usaha untuk menepati sasaran utama kita iaitu meninggikan kalimah Allah di mukabumi ini.

Ini adalah kerana, fitrah manusia dijadikan untuk hidup berjemaah. Tanpa penyatuan atau kumpulan menjadi satu kemustahilan untuk merealisasikan segala yang diimpikan. Kerana kekuatan seorang tidak sama dengan kekuatan seribu orang.


Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009

Sunday, February 14, 2010

Perlawanan Persahabatan Bersama BKAN Lain

Dua perlawanan persahabatan telah diadakan dengan Negeri Selangor dan juga Wilayah Persekutuan sempena cuti musim sejuk. Perlawanan ini diatur oleh Biro Tabung Kebajikan,Kesenian dan Riadhah KPIPM dengan kerjasama Badan Kebajikan Anak-anak Selangor serta Badan Kebajikan Wilayah Persekutuan.

Perlawanan ini bermula pada pukul 9.00pagi bertempat di stadium belakang Arma.Pada perlawanan ini,pihak KPIPM melalui Biro Tabung Kebajikan,Kesenian dan Riadhah telah menghantar skuad Yob Fc sebagai perlawanan pemanas badan sebelum menjelang kejohanan Piala presiden yang bakal menjelang.

Pada perlawanan ini skuad Yob FC telah berjaya memenangi perlawanan dengan Wilayah Persekutuan 1-0 serta seri dengan pasukan Selangor 1-1. Selain sebagai perlawanan pemanas badan, perlawanan ini juga digunakan oleh jurulatih pasukan untuk memilih pemain-pemain baru untuk skuad Yob FC dalam kejohanan Piala Presiden 2010 yang akan di adakan pada 1-4 Mac ini.

“Dari segi keseluruhan, mutu permainan Skuad Yob FC kali nampak banyak peningkatan dari tahun lepas dengan penampilan muka-muka baru yang bakal membarisi pasukan kita tahun ini” ujar Ustaz Abdul Hadi Bin Ab Rahman, pemain tengah ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Beliau juga berpandangan bahawa pasukan kali ini bakal member saingan yang sengit kepada semua pasukan yang bertanding.

“Harapan saya agar masalah kekurangan stamina tidak akan menghantui barisan kita pada kejohanan kali ini” ujar beliau lagi.

Daurah Thaqafiah Mendapat Sambutan

6 Febuari KAHERAH-Daurah Thaqafah sempena Cuti Imtihan musim sejuk telah selesai diadakan.Program dibawah kelolaan Biro pelajaran dan Ilmiah ini telah berlangsung bermula pada 6 – 13 februari.

Alhamdulilah untuk program kali ini, pihak Biro Pelajaran dan Ilmiah telah berjaya mengkhatamkan kitab تعليم المتعلم طريق التعلمkarangan الامام برهان الاسلام الزرنوجي dan juga matan سفينة الصلاة yang dibimbing oleh ust Mohd Nazrul b Nasir serta kitab الوجيز في شرح القواعد الفقهية karangan الدكتور عبد الكريم زيدان yang dibimbing oleh ust Helimy b Aris.

Program yang berlangsung selama seminggu ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan sesi kedua yang bermula selepas solat maghrib. Daurah yang diadakan pada kali ini telah menarik minat hampir seratus orang mahasiswa dan mahasiswi samada dari dirasah islamiah sendiri dan juga mahasiswa dan mahasiswi perubatan.

Biro pelajaran dan Ilmiah telah mengambil inisiatif dengan menjual kitab-kitab yang terlibat untuk program ini dan membuat rakaman sepanjang proses pengajian berlansung untuk kemudahan dan keselesaan bagi mereka yang hadir.

Jesteru itu, pihak Biro pelajaran dan Ilmiah mngucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada tenaga pengajar yang sudi untuk meluangkan masa dan tenaga untuk menjayakan program ini. Kepada mereka yang hadir, pihak KPIPM meminta maaf atas segala kekurangan yang berlaku sepanjang program berlangsung.

Semoga dengan apa yang telah kita perolehi ini mampu membantu kita di dalam menghidupkan kembali suasana menuntut ilmu selepas mana kita menumpukan segenap perhatian kita terhadap imtihan yang telah selesai.

Thursday, February 11, 2010

Sepatutnya Kita Gembira Apabila Diuji

Nabi SAW bersabda :
.

“Apabila Allah SWT menyayangi sesuatu kaum itu, Allah akan menguji mereka” (Jami' as Saghir : 354)

Allah SWT berfirman
.
Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu. (Surah Muhammad : 31)

Pernahkah kita menyedari bahawa kita sentiasa diuji oleh Allah SWT. Tanpa mengira waktu, kita kerap diuji, hatta kita membuat kebaikan, semakin banyak diuji oleh Allah SWT. Semakin banyak kebaikan dibuat, semakin banyaklah ujian anda!

Tanda Kasih Sayang Allah SWT

Mengapa perlu bersedih ketika diuji? Bukankah ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita? Lihatlah kepada seorang anak murid yang taat, kerap kali ditengking dan dimarahi oleh gurunya, sebagai tanda menguji anak muridnya. Begitu juga si ibu, turut melakukan perkara yang sama untuk mendidik. Apakah dia tidak sayangkan anaknya?

Satu ketika, si ibu melihat anaknya melakukan satu perbuatan yang dipandang jelek, lalu dimarahinya. Inilah kasih sayang ibu untuk mendidik anaknya supaya tidak melakukan perbuatan yang sama berulang kali. Apakah kita hanya tersenyum apabila anak kita melakukan suatu perbuatan jelek di hadapan anda?

Begitu juga Allah SWT, apabila melihat anda semakin hari, semakin sibuk dengan urusan dunia, Allah SWT menguji mereka supaya mereka tidak alpa dengan dunianya. Bukankah apabila kita ditimpa kesusahan (diuji), barulah kita menyedari siapakah kita di sisi Allah SWT.

Kenapakah apabila semakin banyak membuat kebaikan, kita semakin diuji?

Sebelum mendalami lebih jauh, persoalan yang timbul ialah, benarkah kita benar-benar membuat kebaikan atau di“kepil”kan dengan bangga diri, sombong dan sebagainya?

Apabila kita melakukan sesuatu bukan kerana Allah SWT, sudah pasti selayaknya kita mendapat ujian, bahkan kutukan!

Kenapakah kita mempersoalkan apabila diuji ketika melakukan kebaikan? Bukankah ini menunjukkan terdapat segelintir rasa bangga pada hati? Apabila kita tidak mempersoalkan tentang ujian Allah SWT, itulah yang sebenarnya.

Allah SWT sengaja menguji kita sehingga kita sendiri tidak mempersoalkan sebarang ujian yang ditimpakan ke atas kita. Bahkan semakin suka apabila diuji kerana menyedari bahawa inilah tanda kasih sayang Allah kepadanya.

Allah SWT berfirman
.
sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang –orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); (Surah Muhammad : 31)

Semakin hebat ujian, semakin tinggi kasih sayangNya

Semakin diuji, adakah kita merasa semakin tertekan dengan ujian tersebut, atau suka? Adakah apabila kita diuji dengan kematian orang yang tersayang, kita merasa suka?

Inilah apa yang diertikan sebagai redha. Inilah dia tanda tabahnya kita menghadapi ujiannya. Adakalanya kita merasa kehilangan tersebut satu perkara biasa, setiap benda yang hidup pasti akan mati.

Apabila seorang suami sangat menyayangi isterinya, kemudian dia dimatikan. Apakah perasaan si suaminya kalau bukan sedih? Tetapi apabila difikirkan, bukankah Allah SWT tidak mahu kita lalai disebabkan isteri kita? Begitu juga si isteri yang kematian suami.

Bagaimanakah pula sekiranya isteri atau suami yang mengingatkan kita kepada Allah? Tidakkah kita ketahui bahawa setiap yang hidup pasti mati, dan setiap pertemuan pasti ada perpisahan? Tidakkah kita sedar tentang hakikat ini?

Sedarlah, kita diuji hanya sedikit jika hendak dibandingkan dengan mereka yang lebih teruk diuji. Setahap manakah tingginya kesabaran kita menghadapi ujian?

Allah SWT berfirman
.
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya (Surah al Mulk : 2)
.
(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (Surah al Baqarah : 156)

Inilah kayu ukurnya. Kita diuji oleh Allah supaya kita menyedari tahap kesabaran kita supaya ia mampu ditingkatkan. Sekiranya kita tidak diuji, kita merasakan bahawa amalan kita sudah cukup bagus, sedangkan apabila diuji barulah kita menyedari rendahnya kita di sisi Allah.

Tidak sedar diuji?

Siapakah yang tidak sedar bahawa dirinya sedang diuji? Inilah satu perkara yang perlu dihindarkan. Setiap hari kita diuji oleh Allah SWT, setiap detik dan ketika. Namun ramai yang tidak menyedari dan memikirkan tentang perkara tersebut.

Seseorang yang tersepak batu mengeji batu tersebut, sedangkan dia tidak pula memikirkan bahawa batu itu telah menjalankan perintah Allah. Bukankah batu itu cuba memberitahu bahawa kamu hendaklah menjalankan perintah Allah?

Kadangkala kita menganggap ujian ini hanyalah menyusahkan sahaja, inilah kerugian yang nyata. Setiap ujian dari Allah SWT perlulah difikir dan disedari, kerana ada hikmah disebaliknya.

Seorang raja yang diuji dengan seekor lalat yang kerap menghinggapi hidungnya telah bertanya kepada penasihatnya. “Apakah gunanya Allah menciptakan lalat?” Penasihat tersebut menjawab “untuk memberitahu tuanku supaya tidak sombong”. Bukankah lalat yang hinggap tanpa mengira tempat busuk atau najis.

Sangat rugilah seseorang itu apabila gagal dengan ujian sekecil itu! Sangat rugilah bagi mereka yang tidak sedar diuji.

Oleh :
Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil

Tahun 4, Kuliah Usuluddin,
Jabatan Akidah dan Falsafah,
Universiti al Azhar,

Tuesday, February 2, 2010

Pesanan Imam Ghazali

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Al-Ghazali bertanya...

1 - "Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?". Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." ( Surah Ali Imran 185 )

2 - Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. "Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama.

3 - Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu". Justeru nafsu yang menguasai diri, menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal, mata, telinga dan hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan kebenaran. Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api neraka Jahanam .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." (Surah Al A'araaf 179)

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .

4 - Pertanyaan keempat adalah, "Apa yang paling berat di dunia ini?"
Ada yang menjawab baja, besi dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang paling berat adalah "memegang amanah"

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah Al Ahzaab 72)

Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak boleh memegang amanahnya.

5 - Pertanyaan yang kelima adalah, " Apa yang paling ringan di dunia ini?". Ada yang menjawab kapas, angin, debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling ringan di dunia ini adalah “meninggalkan solat”. Gara-gara pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan solat.

6 - Lantas pertanyaan ke enam adalah, " Apakah yang paling tajam di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghazali, tapi yang paling tajam adalah "lidah manusia". Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri

Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

Amalkan 10 Tips Ini

Lakukan 10 tips meraih kebahagiaan



1- Duduk sambil beristighfar pada waktu sahur.
والمستغفرين بالأسحار
…dan orang yang memohon ampun diwaktu sahur. (surah Ali Imran : 17)
2- Menyendiri untuk bertafakkur
ويتفكرون فى خلق السموات والأرض
…dan mereka bertafakkur tentang penciptaan langit dan bumi (surah Ali Imran :191)

3-Menjalin hubungan dengan orang-orang soleh
واصبر نفسك مع الذين يدعون ربهم
Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya…(Al-Kahfi :28)

4-Perbanyakkan zikir
اذكروا الله ذكرا كثيرا
…berzikirlah kalian dengan meyebut nama Allah sebanyak-banyakknya.)surah Al- Ahzab : 41)

5-Melakukan solat sunat dua rakaat dengan khusyuk
الذبن هم فى صالاتهم خشعون
Iaitu orang-orang yang melaksanakan solat dengan khusyuk.(surah Al-Mukminun : 2)

6-Bacalah Al-Quran dan renungkanlah isinya
افلا يتدبرون القرءان
Apakah mereka tidak mahu mentadabbur(menghayati isi )Al-Quran. (surah An-Nisa’ :2)

7-Berpuasa sunatlah walaupun pada hari yang panas
يدع طعامه وشرابه وشهوته من اجلي
Ia meninggalkan makanan,minuman dan syahwat kerana Aku.(Hadith)

8-Bersedekahlah secara sembunyi-sembunyi
حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه
Hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.(Hadith)

9-Meringankan beban seorang muslim yang tengah dalam kesulitan
من فرج عن مسلم كربة من كربة الدنيا فرج الله عنه كربة من كرب يوم القيامة
Barangsiapa meringankan kesusahan seorang muslim didunia maka Allah akan membebaskan kesulitannya kelak di hari Kiamat (Hadith)

10-Usahakan menjalani hidup didunia dengan zuhud
والأخرة خير وابقى
Sedangkan kehidupan akhirat itu jauh lebih baik dan lenih kekal (surah Al-A’la : 17)

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...