Saturday, December 19, 2009

Petua Ustaz Abdullah Nasih Ulwan

Petua Kekalkan UkhwaFillah

Ini satu petua yang bagus (jika diamalkan) untuk mengekalkan solidariti sesama Muslim.
Petua untuk mengekalkan persahabatan:


1. Nyatakan rasa kasihmu kepada saudaramu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam :
"Jika seseorang itu kasih akan saudaranya, beritahulah kepadanya yang dia kasih kepadanya."
[Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

2. Mintalah supaya saudaramu mendoakanmu sebelum berpisah.

Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu berkata,
"Saya minta izin kepada Baginda SallaLlahu 'Alaihi Wasallam untuk mengerjakan umrah." Baginda SallaLlahu 'alaihi Wasallam membenarkan dan berpesan; "Jangan lupa bila berdoa untuk kami bersama."
[Riwayat Abu Daud dan Tarmidzi]

3. Bermanis muka ketika bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'Alaihi Wasallam:
"Janganlah kamu memandang hina terhadap kebaikan walaupun kecil, walaupun bermanis muka ketika bertemu dengan kawan-kawan."

4. Segeralah bersalam apabila bertemu.

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, maksudnya:
"Tiadalah dua orang Islam yang bertemu lalu bersalaman melainkan dosa mereka akan diampunkan sebelum berpisah."

5. Selalu menziarahi saudaranya dari masa ke semasa (satu tempoh yang tidak terlalu kerap dan tidakterlalu jarang).

Sabda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam, ertinya:
"Siapa yang mengunjungi orang sakit atau menziarahi saudara seagama dengannya, menyerulah penyeru (malaikat), engkau baik, perjalanan engkau juga baik dan engkau akan menduduki rumah di Syurga."
Sabdanya lagi di dalam riwayat yang lain:

"Ziarahilah saudaramu untuk menambahkah kasih sayang."

6. Memberi ucapan tahniah kepada saudaranya danmenyukakan hatinya.

"Siapa yang menemui saudaranya dengan apa-apa yang menyukakannya, nescaya Allah Azzawajalla akan menyukakannya pada hari kiamat."

7. Memberi hadiah kepada saudaranya ketika-ketika yang munasabah.

"Hendaklah kamu memberi hadiah, ia boleh membangkitkan kasih sayang dan menghapuskan rasa dendam di hati."
[Riwayat Dailami dari Anas]

8. Laksanakan tanggungjawab persaudaraan dengan sempurna.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam bersabda, maksudnya: "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan Akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat.
Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya."

[Riwayat Muslim]

:: Rujukan: Iman, Senjatan Menghadapi Cabaran Zaman karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan.

Imtihan dan Pengorbanan

Menjengah musim peperiksaan membuatkan hati makin sempit dan ketat untuk perkara-perkara lain yang membuang masa, selain daripada urusan menelaah pelajaran. Masa 24 jam yang dikurnia mahu diguna sepenuh dan semaksima mungkin untuk kepentingan diri bagi memastikan penguasaan pelajaran dicapai sepenuhnya. Fenomena ini adalah sesuatu yang positif lantas menjahkan perubahan kearah yang lebih berdisiplin dan teratur. Namun, sesuatu mahu diingatkan disini, tentang ukhuwah dan tentang indahnya i’brah sirah, untuk kita sama-sama fikir dan renung sejenak, mengapa kita ditempatkan bersama manusia-manusia lain hanya kita dan dunia kita semata.

Penghijrahan Baginda Nabi S.A.W bersama bapa ZaatuNitaqain meninggalkan mutiara-mutiara i’brah yang cukup berkilau. Keberaniaan gadis yang berusia muda terserlah apabila meredah kepekatan malam tanpa ditemani siapa-siapa demi menghantar bekalan makanan kepada Baginda Nabi S.A.W dan bapanya selama 3 malam. Apa yang difikirkan oleh gadis kecil ini? Semestinya dia sedang memikirkan tentang sumbangan yang perlu disumbangkan dalam peristiwa bersejarah ini, walau hanya sekadar menghantar makanan, bukannya membunuh musuh atau sumbangan lain yang lebih bermakna pada nisbah manusia. Lebih mengharukan bagaimana sanggup mengorbankan tali pinggangnya (yang ketika itu setiap gadis-gadis arab mesti memilikinya) untuk mengikat bekalan makanan buat perjalanan penghijrahan insan mulia.

Allah ta’ala yang Maha Penyayang tidak pernah membiarkan apa-apa amalan yang dibuat oleh hambanya sepi tanpa nilaian. Sekali pandang, sumbangan Saidatuna Asma’ adalah suatu yang biasa, seolah-olah nisbahnya dengan dunia perfileman atau drama rekaan manusia, dimana penonton sudah pasti hanya akan memandang watak utama tanpa sedikit pun melihat siapakah pembantu rumah yang sedang memasak, atau siapakah tukang sapu yang turut serta memenuhi watak-watak dalam drama atau filem tersebut. Disinilah indahnya Islam dan pengasihnya al-Khaliq terhadap hamba-hambanya. Biar kecil sumbangan yang dihulur, sedikit pun tidak dibiar tanpa anugerah hingga Saidatuna Asma’ dijanjikan dengan Nitaqain (dua tali pinggang dari syurga) diakhirat kelak.

Disinilah tujuan utama risalah ini ditulis, mahu dan ingin sekali menjemput pembaca budiman untuk sama-sama kita fikirkan tentang “ dimana juga situasi kita, lapang atau sempit, pupukkan dalam diri tentang mahu bertolong menolong dalam kebaikan dan tidak sama sekali bergandingan didalam kejahatan” bersesuaian dengan potongan dari surah al-Maidah ayat 2 diatas. Malu jika kita tahu tentang sejarah, malangnya sejarah itu menjadi sejarah lapuk dan berhabuk dalam diri tanpa ada istifadah bernilai ditepuk keluar. Dasar Islam menyeru kepada berjemaah jelas menuntut untuk kita saling bergandingan dan bantu membantu didalam kebaikan.

Gerakkan dalam diri untuk sentiasa berfikir apakah bentuk-bentuk pertolongan yang ingin kita sumbangkan dalam kebangkitan Islam, sebagaimana runsingnya hati Saidatuna Asma’ yang meronta ingin melakukan sesuatu yang boleh disumbang. Jangan sekali kita menunggu selepas tamat pengajian, atau ‘nanti-nantilah’. Bermulalah dari sekarang, biar kecil dan sedikit, tidak perlu difikir tentang itu, utamanya, kita sedang melakukan sesuatu untuk Islam, dan perlu diingat, umur kita tidak dijamin sampai esok.

Hakikatnya, kita memasak untuk teman-teman serumah, juga satu bentuk pertolongan ke arah kebaikan yang cukup besar. Biar masa telaah terbuang sedikit (itu akan diganti oleh Allah semestinya), namun kita telah bantu memudahkan urusan teman-teman yang lain didalam medan perjuangan mereka (dan hakikatnya kita berada dalam medan perjuangan yang sama -Allahumma amen). Niat dihati juga perlulah jelas dan tepat, ikhlas dan niatkan segalanya untuk Islam. Buat akhirnya, fatrah imtihan yang sedang kita lalui ini harapannya kita mampu membentuk hati dan mentarbiyah diri untuk sentiasa mahu memberi masa pada orang keliling ketika kita diperlukan untuk satu-satu masa dan satu-satu bentuk pertolongan. Potongan ayat suci dan Hadis diatas satu tasyji’ untuk kita pegang sebagai pemujuk hati. Mudah-mudahan hati sentiasa mengingat diri. Wallahua’lam. Bittaufiq
.

Tuesday, December 15, 2009

Fikirlah Sendiri

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (al-‘Asr: 1-3)

Islam agama yang syumul. Surah ringkas ini sudah cukup menggambarkan bahawa betapa mahalnya nilai masa dalam hidup manusia sehingga ia menjadi saksi terhadap untung atau ruginya manusia mengendalikan hidupnya sehingga bertemu noktah nihayah. Bernilainya masa dalam hidup manusia, namun ia tidak pernah meminta untuk dihargai. Bukan kerana ia tidak mempunyai suara, lantas ia tiada ruang dan peluang untuk merayu manusia menghargainya. Namun kitalah yang terlalu jahil menghargai setiap detik masa yang telah berlalu dan bakal berlalu. Kita jahil dalam mendalami kefahaman kita terhadap surah yang cukup ringkas dan padat ini. Kita terlupa mungkin, bagaimana caranya kita menghargai masa, begitu jugalah ia menjadi saksi dalam menghitung keberjayaan mahupun kegagalan kita dalam imtihan yang bakal menjelang ini.

Melihat kepada fenomena warga KPIPM khususnya, barangkali surah ringkas yang telah kita hafal dan ketahui maksudnya sedari kecil ini hanya sesuai dibaca seusai sesuatu majlis, perjumpaan dan mesyuarat sahaja. Lantaran kesibukan kita dalam menyusun atur hidup di bumi anbiya' ini, meralitkan kita untuk menilik kembali di darjat manakah telah kita letakkan masa sehingga akhirnya kita tergolong di kalangan mereka yang rugi dan menyesal dengan masa lalu?

Menyentuh tentang imtihan yang bakal tiba lebih kurang sebulan sahaja lagi...sekali pandang, kelihatannya masih jauh untuk kaki melangkah ke dewan imtihan. Seolahnya masih ada waktu untuk bertatih menelaah kitab, masih punya masa untuk berbual kosong. Masih, masih dan masih…dan akhirnya kita tersepit, maka kita mengharapkan masa yang ada melebihi dari 24 jam sehari. Kita lupa mungkin, dalam kepelbagaian jenis dan reka bentuk jam yang tidak mampu kita hitung, di sana terdapat sesuatu yang sama, sesuatu yang tetap iaitu 1 hari = 24 jam, 1 jam = 60 minit, 1 minit = 60 saat...lakukanlah apa sekalipun, ia tetap dan tidak akan berubah.

Jika kita seorang pemimpin, insan yang diamanahkan melayari bahtera KPIPM berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah, ke manakah kepadatan masa yang kita bicarakan selama ini telah kita laburkan atau mungkin juga kita sia-siakan? Tiada ertinya jika kita hebat di gelanggang persatuan tetapi amanah keluarga kita kesampingkan hingga ia menjadi tohmahan terhadap golongan pimpinan.

Jika kita hanya sebagai ahli, ke manakah perginya masa yang sewajarnya kita peruntukkan untuk merealisasikan sifar gagal? Barangkali masa yang kita miliki tidak mencukupi lantaran dalam sehari berbelas jam disia-siakan menonton movie, berchatting, berkhayal dan sebagainya.

Siapa pun kita, berlaku adillah dengan diri sendiri. Sekalipun tidak mampu berkata jujur pada orang lain, usahlah diri sendiri diperbodohkan. Jika selama ini mulut lantang bersuara memuhasabah rakan-rakan lain, ambillah sedikit waktu untuk memuhasabah diri sendiri. Koreksilah kembali diri…barangkali segala nasihat dan amanat yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada kita telah kita bakul-sampahkan disebabkan kebodohan dan kesombongan yang beraja di hati.

Inginkan kejayaan tanpa membayar dengan sejumlah besar pengorbanan, maka ia adalah sesuatu yang mustahil menurut perkiraan akal manusia. Jika tidak sanggup berkorban...silakan...kerana bukan siapa-siapa yang akan menolong kita jika bukan diri kita sendiri.

Mantan Presiden PMRAM, Us Hairul Nizam bin Mat Hussain, dalam blog beliau menyatakan.."Sepatutnya seorang pelajar hanya sepatutnya tidur dalam jangka masa 6 jam sehari. Baik, katakan mereka menyambut seruan ini untuk study sehari dalam masa 10 jam, ini bermakna ada 8 jam lagi buat mereka untuk dihabiskan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Persoalannya mengapa masih tidak mahu serius dalam study. Adakah satu hari hanya mahu study sejam sahaja atau 2 jam atau 3 jam? Kalau hanya itu waktu untuk study, saya pasti kawan-kawan tidak akan mampu untuk menggondol natijah Imtiyaz ataupun Jayyid Jiddan."

Jadi, apa lagi yang ditunggu...berkorbanlah untuk tidak terkorban. Korbankan masa kalian untuk mencedok sebanyak mungkin mutiara ilmu di sini agar di masa hadapan anda tidak menjadi mangsa korban atas kebodohan diri anda melaburkannya ke pelaburan yang sia-sia.

"Kejayaan adalah hasil usaha mereka yang gigih berusaha. Kecemerlangan merupakan usaha yang tidak putus asa. Kegembiraan adalah anugerah yang amat berharga bagi mereka yang berjaya."

Ya Allah, semoga kejayaan akan tertulis indah buat kami...amin Ya Rob!

Tuesday, December 1, 2009

Terima Kasih Atas Pengorbanan Sahabat-sahabat

KAHERAH : Pihak persatuan mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga bagi menjayakan sambutan Aidil Adha pada tahun ini. Bermula dengan giliran menjaga unta, kambing dan khoruf sehingga hari memasak, komitmen yang diberikan amat membanggakan. Jadual tugasan yang telah disusun oleh jawatankuasa program dilaksanakan dengan baik dan berlapang dada oleh mereka yang ditugaskan.

Terdapat juga dikalangan ahli yang bertugas membawa bersama kitab-kitab dan nota pelajaran mereka semasa bertugas. Jadual tugasan ini sedikitpun tidak menggangu pembelajaran mereka bagi menempuhi peperiksaan yang hampir menjelang.

Ustaz Aminuddin Bin Sadri dari Syaqah 9 yang ditemui ketika bertugas pada syif tengah malam (12.00 malam hingga ke 6.00 pagi) melahirkan perasaan bangga kerana dapat menjaga binatang korban tersebut.

“Walaupun sekarang ini musim sejuk, namun saya berasa seronok serta taajub dapat menjaga unta pada malam ini”

“Mudah-mudahan unta yang saya jaga ini dapat mendoakan kejayaan saya dalam peperiksaan yang akan datang” ujar beliau secara bergurau.

“Saya amat berharap agar semua sahabat yang berada di muhafazah (luar Kaherah) dapat turun beramai-ramai ke Kaherah untuk sama-sama menyambut hari raya di sini” tambahnya lagi. Beliau yang kini menuntut di Kuliah Syariah Tahun Dua, Kaherah menggunakan kesempatan berjaga malam ini untuk menelaah kitab-kitab pengajainnya.

Pagi Penyembelihan

Kehadiran anak-anak Perak dari seluruh bumi Mesir yang membanjiri perkarangan Wisma A telah menghidupkan kemeriahan suasana di pagi raya serta membangkitkan semangat gotong-royong melapah, memotong serta mengagihkan daging korban ke rumah-rumah ahli sekitar Kaherah.

Dua ekor unta telah disembelih oleh Ustaz Muhammad Mujahid Bin Mohammad Fadzil, Pengerusi Badan Penasihat KPIPM dan Ustaz Khairul Ashraf Bin Mohd Khir, YDP KPIPM. Dua ekor khoruf pula disembelih oleh Ustaz Fareez Izhar Bin Zainuddin, Pengarah Program dan Ustaz Mohd Zulfadhli Bin Zainal, AJK Badan Penasihat KPIPM manakala tiga ekor kambing telah disembelih oleh Ustaz Muhammad Bin Dolah, Ustaz Mohd Shahril Bin Mohd Nasir dan Ustaz Ahmad Shazwan Bin Khalid (pemilik panggu).

Proses melapah dan memotong daging berakhir sebelum azan Asar walaupun diselangi berhenti rehat untuk solat Jumaat. Selepas Asar, daging korban diedarkan ke rumah-rumah ahli.

Kerja Gotong-royong telah berlarutan hingga ke pagi berikutnya bagi merebus dan memasak daging korban tersebut.

“Kebersamaan ahli dalam menjayakan sambutan korban tahun ini membuktikan bahawa KPIPM merupakan wadah penyatuan terbaik untuk semua anak-anak Perak di bumi Mesir ini” kata Ustaz Khairul Ashraf Bin Mohd Khir, YDP KPIPM ketika ditemui oleh wartawan blog.

“Jangan lupa untuk datang beramai-ramai pada hari terbuka PMRAM Cawangan Perak esok” sambungnya lagi sebelum meninggalkan kami untuk membantu kerja gotong-royong.

Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian Dan Riadhah (BTKKR) menyatakan perasaan terharu di atas kerjasama yang telah diberikan. Beliau juga mengharapkan semangat kerjasama ini dapat berlangsung hingga ke masa-masa akan datang.

Friday, November 27, 2009

Kemeriahan Sambutan Aidil Adha 1430 H




KAHERAH : Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir di bawah Biro Tabung Kebajikan, Kesenian Dan Riadhah akan menganjurkan sambutan Hari Raya Aidil Adha 1430H pada 27 dan 28 November 2009 ini. Justeru pihak persatuan mengalu-alukan seluruh warga KPIPM yang berada di bumi Mesir untuk sama-sama menjayakan program tersebut.

Sebanyak dua ekor unta, tiga ekor kambing dan dua ekor kharuf akan dikorbankan pada hari raya pertama, manakala majlis rumah terbuka akan berlangsung pada hari raya kedua. Ustaz Fareez Izhar Bin Zainuddin, pengarah program sambutan tersebut ketika ditemui mengharapkan agar semua ahli Perak dapat memeriahkan majlis sambutan Aidil Adha pada kali ini.

“Kami amat mengharapkan semua ahli KPIPM yang berada di sini baik pengajian Islam mahupun perubatan, Kaherah ataupun cawangan dapat hadir memenuhi Wisma A pada majlis tersebut” kata beliau.

“Sumbangan tenaga sahabat-sahabat amat ditagih semasa program ini berlangsung. Kita akan sama-sama melapah, memotong daging dan memasak secara gotong-royong. Kerja-sama seperti ini akan dapat meningkatkan ukhuwwah sesama kita” tambah beliau lagi.

Masalah penempatan bagi sahabat-sahabat yang berada di luar Kaherah tidak perlu dibimbangkan. Dengan adanya dua buah wisma (A dan B) banyak membantu mengurangkan masalah penempatan.

“Sahabat-sahabat terutamanya akhawat yang berada di luar Kaherah tidak perlu risaukan masalah rumah untuk transit. Kedua-dua wisma kita mampu untuk menampung dan selesa untuk penempatan sahabat-sahabat” ujar Ustazah Siti Salamah Binti Hamzah, Ketua HEWI KPIPM pula.

Beliau mewakili seluruh barisan kepimpinan KPIPM menjemput semua ahli agar dapat menghadiri majlis sambutan hari raya korban pada tahun ini. Beliau yang ditemui selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tadbir semalam mengucapkan jutaan terima kasih semua pihak yang telah menyumbang baik berbentuk kewangan ataupun tenaga untuk menjayakan sambutan ini.

Wednesday, November 25, 2009

KPIPM dan PMRAM


Generasi muda yang terpelajar adalah merupakan pelapis pemimpin masa hadapan. tidak dapt tidak segala pandangan dan pendapat mereka bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng.tetapi sebaliknya harus difikirkan secara releven untuk dilaksanakan. Begitu jugalah realitinya kini, apa yang telah berlaku terhadap seluruh mahasiswa al azhar di perlembahan nil ini.

Kpipm juga menyokong DESAK iaitu sebuah organisasi yang dibentuk bagi mendesak Jabatan Penuntut Melaysia Kaherah ke atas tiga perkara untuk dilunaskan iaitu membersihkan nama PMRAM secara rasmi di peringkat Al-Azhar, memohon maaf secara rasmi dan mengadakan dialog terbuka bersama seluruh mhasiswa di Mesir.

Seperti sedia maklum, pekara ini berlaku oleh kerana pihak Jabatan Penuntut telah menghantar surat pembatala untuk menggunakan dewan Al-Azhar bagi menjayakan majlis pembacaan kitab hadis disamping mendakwa PMRAM sebagai sebuah pertubuhan parti politik pembangkang. Ini sekaligus membuka mata ramai pihak bahawasanya mahasiswa-mahasiswa mempunyai keberanian untuk bersuara menyatakan hak mereka.

PMRAM yang merupakan sebuah pertubuhan pelajar yang berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir sudah lama bertapak hingga menjangkau hamper 79 tahun. Selama itulah segala kebajikan, keselamatan dan pendidikan mahasiswa Malaysia di Perlembahan Nil ini disediakan melalui beberapa platform dan medium sejajar dengan arus peningkatan kualiti
pembelajaran. Mana mungkin PMRAM mengabaikan warga azhari dalam meningkatkan thaqafah dan mencurahkan bakti kepada masyarakat Malaysia kelak.Oleh kerana itu, program majjlis pembacaan kutub sittah direncanakan sebagai salah satu wasilah untuk memastikan mahasiswa Al-Azhar sentiasa di hadapan.

Perkara ini mendapat perhatian masyarakat di malaysia sehingga diperbahaskan di
dewan parlimen baru-baru ini. Ternyata, isu ini merupakan salah satu bukti bahawa hak mahasiswa harus diketengahkan dan bukan lagi sebagai satu isu tempelan yang tidak diendahkan. Perkara ini juga mendapat liputan yang meluas di dada akhbar tidak terkecuali media massa di mesir itu sendiri.

Thursday, November 19, 2009

Ramah Mesra Bersama Pengerusi Yayasan Perak Dato' Haji Nazdri bin Ismail

RABU - 18 November bertempat di Dewan Syeikh Sya’rawi ,Wisma Darul Ridzuan Hayyu Sabe’ telah diadakan Majlis Ramah Mesra bersama Pengerusi Yayasan Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi.Majlis dimulakan selepas solat Isya’ dengan ucapan aluan daripada Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2009/2010 Al-Fadhil Ust Khairul Ashraf bin Mohd Khir.

Diantara harapan beliau adalah mengharapkan hubungan pihak persatuan dan Yayasan Perak sebagai titik permulaan yang baik bagi memastikan kebajikan anak-anak Perak di Mesir ini terus dipelihara dari masa ke semasa.Kemudian majlis diteruskan lagi dengan ucapan daripada YB Dato’ Haji Nazdri bin Ismail seterusnya sesi soal jawab.Beliau dalam kalamnya menerangkan fungsi penubuhan Yayasan Perak sebagai salah satu agensi yang dapat membaik pulih kemudahan sedia ada terutamanya dalam memasikan kelangsungan taraf pendidikan rakyat Perak. Majlis ini diakhiri dengan penyerahan replika cek daripada YB Dato’ kepada persatuan dengan jumlah RM 10,000.

Monday, October 19, 2009

KPIPM Mendekati Golongan Remaja Melalui Kem Remaja Luqman


LENGGONG, 18 OKT – Seramai 72 orang remaja berusia antara 16 hingga 30 tahun dari sekitar daerah Grik dan Pengkalan Hulu telah menyertai Kem Remaja LUQMAN.Program anjuran bersama Pejabat Pentadbiran Agama Daerah Pengkalan Hulu dan Grik dan Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) telah berlangsung dengan jayanya selama 3 hari 2 malam bertempat di Nur Lembah Lenggong.

Objektif kem ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada remaja tentang halatuju hidup dan membina jatidiri serta mendekatkan remaja kepada cara hidup yang lebih harmoni berlandaskan ajaran islam.Disamping itu kem ini adalah bertujuan membetulkan amalan ibadah dan membentuk akhlak harian remaja.Kem ini juga dapat menyemai rasa kasih dan mesra sesame rakan-rakan sekeliling.

Majlis perasmian telah bermula pada pukul 4.30 petang setelah ketibaan para peserta dan Pegawai Agama.Dan telah disempurnakan oleh A.F.Us Joshuade Reza bin Mohd Zaini yang merupakan Pegawai Tadbir Agama Pengkalan Hulu dan dipengerusikan oleh Us. Zulhafeez bin Ahmad Zahidi.

Pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat sepanjang program telah disusun oleh pihak pelaksana Kem Remaja LUQMAN.Antara pengisian yang telah dilaksanakan ialah talk show ”We must be like Him(Rasulullah), kursus ibadah dan forum perdana bertajuk “Hubungna kekeluargaan dalam pembentukan Masyarakat” yang disampaikan oleh dua panel hebat Us. Ahmad Munawir bin Salehuddin dan Us. Mujahid Mohd Fadzil. Forum Perdana ini telah dijalankan di Masjid Jamek Lenggong dan dibuka kepada orang ramai. Terdapat juga aktiviti riadah atau outdoor yang mencuri tumpuan iaitu Flying Fox.

Kem Remaja LUQMAN telah berakhir pada 18 oktober setelah 3 hari berprogram. Majlis perasmian penutup diserikan dengan ucapan daripada Pegawai Tadbir Agama Grik A.F.Us Azhar bin Ahmad,dan telah disempurnakan oleh ucapan Pengarah JAIPk, Dato Syeikh Mohd Nor Mansur al Hafiz dan gimik perasmian. Disamping itu Pengarah JAIPk juga telah sudi menyampaikan sijil, cenderahati, dan hadiah kepada para peserta.

Pihak KPIPM tidak ketinggalan untuk menghadiahkan cenderamata kenang-kenangan kepada Pejabat Agama Daerah Grik dan Pengkalan Hulu. Majlis penyerahan cenderamata tersebut telah disempurnakan oleh Us Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, Pengerusi Penasihat KPIPM, diiringi oleh Ustaz Meor Shahrizan bin Mohd Rethuan, Timbalan Pengarah 1 Kem Remaja Luqman.

Setelah majlis selesai, para peserta dan adhoc pelaksana telah merakamkan gambar kenangan bersama Pengarah JAIPk dan kesemua pegawai agama yang terlibat. Majlis juga diakhiri dengan jamuan hari raya aidilfitri dan makan tengahari dan tamat pada pukul 2.00 petang.

Monday, October 12, 2009

Mesyuarat Kali Terakhir Kem Remaja Luqman


GRIK, 11 OKTOBER – Sepertimana yang telah dirancang, KPIPM dengan kerjasama Pejabat Agama Pengkalan Hulu dan Grik akan mengadakan Kem Remaja Luqman, yang telah diubah namanya. Kem tersebut melibatkan semua remaja berumur 18 hingga 30 tahun, yang diadakan di Nur Lembah Lenggong, pada 16, 17 dan 18 Oktober.

Hari ini, mesyuarat penyelarasan kali terakhir telah diadakan di Pejabat Agama Islam Grik, dan ia dikendalikan oleh Ustaz Khairul Basri, Penolong Pegawai Tadbir Agama Daerah Grik, merangkap pengarah program.

Mesyuarat bermula pada jam 11.10 pagi. Mesyuarat dihadiri oleh adhoc-adhoc dikalangan ahli KPIPM,iaitu Ustaz Meor Shahrizan bin Mohd Hazime sebagai Timbalan Pengarah 1, Ustazah Hurriyyah binti Abdul Mokti sebagai Timbalan Pengarah 2, Ustaz Mohd Nazirul bin Saberi, Ustaz Abdul Hadi bin AB Rahman, Ustazah Dzulyalyna binti Ahmad Zahidi, Ustaz Mohd Faizal bin Jaafar, Ustaz Azizul Hafiz bin Ameruddin, Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi, Ustaz Mohd Faiz bin Hassan, Ustaz Muhammad Sayuti bin Mohammad Zawahib, Ustaz Amin bin Yahya, Ustaz Abdullah bin Damanhuri, Ustazah Rashima binti Mohd Ramli, Ustazah Akmal Hafizah binti Mohammad Fuad, Ustazah Noor Azimah binti Mohd Yazi, Ustazah Nurain binti Yaacob, Ustazah Nurul Aimi binti Mohd Razi dan Ustazah Saidah binti Abdul Mokti.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Kadi Daerah Grik, Ustaz Azhar, Naib Kadi Daerah Pengkalan Hulu, Ustaz Abdul Mokti bin Ayob dan Mantan Yang Dipertua KPIPM 2008/2009 Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil dan beberapa orang lagi dari kalangan wakil Pejabat Agama Daerah.

Antara perbincangan di dalam mesyuarat tersebut ialah penyelarasan bidang tugas dan gerak kerja setiap adhoc, pembentangan laporan, masalah yang dihadapi dan sebagainya.

Di akhir mesyuarat, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, selaku Mantan Yang Dipertua, merangkap Pengerusi Badan Penasihat KPIPM, berpesan kepada ahli mesyuarat agar program ini dapat dilaksanakan dengan cemerlang, dan meminta ahli mesyuarat membuat Solat Hajat sempena kelancaran program.

Mesyuarat berakhir pada jam 1.30 petang, dan ahli mesyuarat menjamu selera.

Sunday, October 4, 2009

Tahniah Kepada Mahasiswa/wi Baru

KAHERAH 3 OKTOBER-Hari Taklimat dan Silaturrahim atau (HIKMAT) telah berlabuh tirainya dengan harapan bahawa mereka mampu menghadam segala pengisian yang diberikan untuk sama-sama melihat generasi ini mampu menghadapi cabaran yang mendatang.Program yang dianjurkan oleh Unit Sambutan Mahasiswa Baru KPIPM 09 ini dengan melibatkan seramai 67 orang mahasiswa baru ini telah berlangsung selama tiga hari bermula dari 3 OKTOBER sehingga 5 OKTOBER ini telah diisi dengan pengisian yang padat.Majlis ini telah dirasmikan oleh Badan Pengurus PMRAM iaitu ust Azlan b Alias.Ucapan beliau yang bertemakan ‘Satu Fikrah Satu Amal’ telah menggamatkan Dewan Syeikh Sya’rawi dengan kelantangan suara beliau di samping berjaya menarik perhatian para peserta untuk terus bersama-sama menyertai HIKMAT sehingga ke penghujungnya.

Di antara pengisian yang diberikan ialah Al-Azhar dan peranannya yang disampaikan oleh us Khairi b Abdullah,slot berbahasa arab yang disampaikan oleh us Juzaili b Juhan.Sementara slot untuk KPIPM melibatkan pengisian “kita dan perlembagaan,taklimat borang zakat serta dialong mengenai hisbah dan bait muslim.Demi membakar semangat untuk terus mengejar mutiara ilmu,p;ihak pengisian telah menyusun untuksahabat-sahabat baru ini segmen motivasi kecemerlangan yang telah disampaikan oleh Graduan dan Graduanita Mithali Perak pada tahun ini iaitu us Ahmad Arifin b Zakariya dan ust Rohayati bt Abdullah Habali.Selain itu pembentangan Prospektus Al-Azhar oleh Us Muhammad Firdaus b Aznan Selaku Exco Pelajaran dan Ilmiah Perak telah banyak membantu sahabat-sahabat ini untuk sama-sama bersemangat mencurah keringat di medan ilmu ini.

Tidak ketinggalan untuk pihak USMB melakukan pengisian jasmani dan rohani.Para fasilitator dan adhoc pelaksana program telah turun bersama-sama peserta untuk sama-sama mencari nikmat beribadah dikeheningan malam sebanyak dua kali yang berlangsung di Wisma B.Riadhah menjadi aktiviti yang dinanti-nantikan dengan aktiviti yang telah disusun untuk menjadikan para peserta ini cergas dan sihat untuk terus menamatkan misi ini.
GKB telah disusun sebanyak 6 kali sepanjang program ini yang diuruskan oleh fasilitator yang terdiri daripada ikhwah dah akhawat yang terdiri daripada 10 kumpulan.Dengan tema Ukhuwwah,Kenali Diri,Biah Solehah,Kepimpinan,Kesatuan dan Penerangan Syukbah telah menjadi intipati GKB pada kali ini.

Majlis ini diakhiri dengan ucapan penutup yang telah disampaikan oleh Ketua HEWI KPIPM 09 ust Salamah bt Hamzah yang penuh dengan warna warni melihat adik-adik ini mampu untuk menyanyikan lagu tema untuk kali terakhirnya pada kali ini dengan penuh semangat.

Saturday, September 19, 2009

Rombongan Maut

Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.

Hadith Rasulullah s.a.w.. menerangkan:
Yang bermaksud: "Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan Syaitan di waktu maut."

Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3
Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepadabinatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4
Akan datang Syaitan merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya.

Rombongan 5
Akan datang Syaitan merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan danminuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan, berkata dengan rayu-merayu "Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga."Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia:
"Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu."
Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata:
"Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut:
"Aku tidak tahu."Berkata ulamak Syaitan:
"Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t. hendaklah kamu patuh kepada kami."
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut).
Kemudian orang yang sedang dalamsakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu:
"Bagaimanakah Zat Allah?"
Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena .Lalu berkata ulamak palsu: "Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. "Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu,maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.Berkata Syaitan:
"Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah."
Berkata orang yang dalam sakaratul maut:
"Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini."
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Nabi Muhammad s.a.w. bahawa umat Nabi Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut.
Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Writing by :Hannie

Terima Kasih Kepada Penyumbang


KAHERAH, 18 SEPTEMBER – Sempena Syawal yang menjelma ini, KPIPM telah menerima beberapa sumbangan daripada pelbagai pihak dan individu. Sumbangan-sumbangan ikhlas ini berbentuk wang, makanan, keperluan asasi dan sebagainya.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar, Ketua Biro Tabung Kebajikan Kesenian dan Riadhah, memberitahu wartawan blog bahawa sumbangan yang diterima bukan sahaja di Mesir, bahkan KPIPM juga menerima sumbangan daripada Malaysia.

Beliau berkata lagi, sumbangan yang diterima di Malaysia telah disalurkan kepada ahli KPIPM yang menjadi wakil di Malaysia. Antara sumbangan yang diterima ialah melalui kuliah-kuliah Ramadhan yang disampaikan oleh beberapa orang ahli KPIPM yang pulang bercuti di Malaysia.

“Dalam masa yang sama, KPIPM di Mesir juga menerima sumbangan-sumbangan berbentuk juadah berbuka puasa, keperluan asasi dan kewangan” Katanya.

Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir, Yang Dipertua, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang-penyumbang ikhlas tersebut. Beliau juga berharap agar beberapa individu yang lebih ramai dapat menampilkan diri bagi membantu ahli-ahli KPIPM di sini.

KPIPM Bersama Masyarakat Di Malaysia


LENGGONG, 18 SEPTEMBER – KPIPM pada tahun ini telah melebarkan sayapnya apabila mengambil kesempatan mengadakan beberapa pertemuan dan program bersama masyarakat di Malaysia.

Wartawan blog telah menemui Us Muhammad Sayuti bin Mohammad Zawahib, Setiausaha Agung, yang kini berada di Malaysia. Beliau memberitahu bahawa pada hari ini, telah diadakan mesyuarat bagi pelaksanaan sebuah program kemasyarakatan, hasil kerjasama dengan Pejabat Agama Pengkalan Hulu.

Program tersebut dinamakan sebagai Kem Remaja Luqman, yang akan diadadakan pada pertengahan bulan Oktober 2009.

Beliau berkata lagi, sebelum ini telah diadakan mesyuarat sebanyak dua kali iaitu pada 2 dan 9 September di Pejabat Agama Daerah Pengkalan Hulu, bagi membincangkan tentang pelaksanaan program tersebut.

Selain itu, pada waktu yang sama, KPIPM telah bekerjasama dengan Generasi Ilmuan Perak United Kingdom dan Ireland (GEMARAK) untuk melaksanakan sebuah program motivasi untuk sekolah menengah. Program tersebut telah diadakan di Sri Iskandar. Wakil KPIPM ke prprogram tersebut ialah Ustaz Abdul Hadi bin AB Rahman, mantan Setiausaha Agung KPIPM.

Mengulas lanjut tentang perkara ini, Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Asyraf bin Mohd Khir sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak atas nama kebajikan masyarakat.

“Alhamdulillah, anak-anak Perak Mesir masih lagi mendapat tempat di mata masyarakat, dan masyarakat hari ini sememangnya memerlukan kita”, katanya kepada wartawan blog.

Beliau juga berterima kasih kepada Pegawai Tadbir Daerah Pengkalan Hulu, Ustaz Joshuade Reza bin Mohd Zaim, yang bersama-sama KPIPM bagi menjayakan program Kem Remaja Luqman tersebut. Tidak ketinggalan kepada ahli-ahli KPIPM yang sudi membantu KPIPM untuk menaikkan nama KPIPM di mata masyarakat Malaysia.

Thursday, August 27, 2009

Mahasiswa/wi Baru Selamat Tiba Di Kaherah


KAHERAH, 26 OGOS - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir hari ini menerima kedatangan adik-adik baru bagi sesi 2009/2010. Mereka yang menaiki pesawat Qatar Airlines, tiba di lapangan terbang Kaherah pada jam 3.30 petang selepas transit di Doha untuk beberapa ketika.

Ketibaan mereka telah disambut oleh AJK Pelaksana Unit Sambutan Mahasiswa Baru (USMB)yang diketuai oleh Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi, Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Khairul Ashraf Mohamad Khir, Ketua HEWI, Ustazah Siti Salamah binti Hamzah, serta wakil daripada badan pengurus PMRAM, Ustaz Taufiq bin Dahlan.

Kehadiran seramai 64 orang mahasiswa sekurang-kurangnya menambah lagi golongan pelapis yang akan menerajui Negara dengan berlandaskan alQuran dan Sunnah. Mereka terdiri daripada 41 orang mahasiswa dan 23 mahasiswi dengan 3 orang daripadanya merupakan mahasiswi perubatan.

Kesemuanya dibawa terus ke Wisma Darul Ridzuan Baru dengan menaiki dua buah bas. Perjalanan yang mengambil masa hampir 45 minit itu diisi dengan ucapan aluan dan pengenalan oleh wakil KPIPM dan PMRAM.

Keterlibatan anak-anak perak yang menanti ketibaan mereka di Wisma Darul Ridzuan Baru, melicinkan lagi kerja-kerja pengagihan penempatan. Mereka kemudiannya dibawa masuk ke dewan untuk taklimat keselamatan sebelum dibenarkan beristirehat dalam bilik masing-masing.

Keberadaan mahasiswa baru di bumi anbiya' ini, akan diberi pengisian oleh usmb sebelum urusan kuliah bermula. Mereka dijangkakan untuk mengikut pengisian dan program-program yang telah dirancangkan oleh pihak USMB sehingga bulan November.

Thursday, August 20, 2009

Kepimpinan Islam

Selama ini begitu banyak kekeliruan pemahaman mengenai erti kepimpinan. Pada umumnya orang melihat pemimpin adalah satu kedudukan atau posisi semata-mata. Akibatnya, ramai orang mengejar untuk menjadi seorang pemimpin dengan menghalalkan pelbagai cara demi mencapai tujuan tersebut. Akibat dari perkara tersebut maka lahirlah pemimpin yang tidak dicintai, tidak disegani, tidak ditaati malah dibenci. Pemimpin seperti ini akan mempergunakan kekuasaannya untuk mengarah, memperalat atau menguasai orang lain, supaya orang lain mengikutinya.

Umumnya pemimpin seperti ini suka menekan. Tetapi, alam diciptakan dengan hukum keseimbangan. Setiap sesuatu diciptakan berpasang-pasangan sesuai dengan neraca keadilan. Begitu jugalah dengan pemimpin dan pengikut. Mungkin kita masih mengingati makanisme ‘per’. Apabila ‘per’ ditekan, maka ‘per’itu akan mengeluarkan daya lenting atau daya dorong sebesar tekanan yang dikeluarkan untuk mencapai titik keseimbangannya kembali.

Begitu juga dengan jiwa manusia, apabila ditekan maka jiwa itu akan mengeluarkan energi atau daya untuk mencapai titik keseimbangannya kembali. Energi itulah yang akan timbul dalam bentuk perjuangan, perlawanan atau revolusi. Tentu kita masih ingat sejarah Hitler, Mussolini dan Kaisar Hirohito yang telah cuba menekan dan menjajah dunia. Namun, akhirnya mereka hancur akibat daya perlawanan yang sangat dasyat yang harus dihadapinya.

Jadi, pastilah setiap individu muslim ingin berada dibawah kepimpinan yang tidak melanggar ajaran Al-quran dan sunnah nabi Muhammad s.a.w. Tapi yang menyedihkan masih ramai lagi manusia yang tidak menyukai apabila dipimpin. Hakikatnya, setiap umat yang wujud di muka bumi ini, pasti Allah s.w.t telah mengutuskan bagi umat itu seseorang untuk mengkoreksi akidahnya da meluruskan penyimpangan umat tersebut. Ini telah dibuktikan dengan firmannya:

Maksudnya :-

Dan sesungguhnya kami telah mengutus seorang rasul pada setiap umat (untuk menyerukan) Sembahlah Allah SWT (semata-mata)dan jauhilah Thagut itu.

Jadi, makna sebenar kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khalifah di muka bumi, demi mewujudkan kebaikan dan proses islah. Nabi s.a.w memerintahkan kepemimpinan walaupun dalam kumpulan yang berjumlah sedikit atau sasarannya sederhana.

Baginda bersabda seperjuangan.:

“Jika tiga orang keluar dalam suatu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang antaranya sebagai pemimpin.”

Jadi, apatah lagi jika kita berada di dalam kelompok yang besar dan sasarannya tinggi. Pemimpin dan pengikut mempunyai jalur pengaruh antara satu sama lain. Definasi pemimpin yang sebenar adalah seseorang individu apabila ditaklifkan, dia mempunyai semangat sebagai khalifah. Manakala, pengikut adalah semua orang yang berada dibawah kepimpinan dan membantu supaya kepimpinan sentiasa berada dalam landasan yang betul.

Oleh itu, adakah kita sebagai mata rantai perjuangan Rasululullah s.a.w hanya menjadi pemerhati tanpa memberi sumbangan kepada kepimpinan yang mewarisi risalah nabi tercinta. Malah, kita menjadi penyumbang kepada kehancuran. Fikir-fikirkanlah wahai sahabat..


Oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah,

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir,
2008/2009

Mesyuarat Tahunan HEWI Kali Ke 22 Dan Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM Kali ke 43


KAHERAH, 19 OGOS - Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke 43 telah digabungkan dengan Mesyuarat Tahunan HEWI sepertimana yang telah biasa dilakukan.

Pada tahun ini, Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke 22 telah diadakan pada 18 Ogos, manakala Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah diadakan pada keesokan harinya.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah bermula seawal jam 8 pagi sepertimana yang telah tertera di dalam surat panggilan. Namun, mesyuarat masih belum dapat dijalankan kerana menunggu bilangan ahli sidang mencukupi korum yang telah ditetapkan.

Ahli KPIPM yang masih berada di Mesir ketika ini adalah seramai 409 orang. Oleh itu korum untuk mencukupi bilangan satu perdua ialah 205 orang.

Namun, pada jam 8.40 pagi, ahli sidang yang hadir telah mencadangkan supaya Mesyuarat Agung Tahunan dimulakan dengan bilangan korum seramai seperempat ahli. Cadangan tersedbut telah disokong sepertimana yang telah disebut di dalam perlembagaan sendiri.

Mesyuarat dimulakan pada jam 9 pagi dengan bilangan ahli sidang seramai 115 orang ketika itu.

Pada permulaannya, mesyuarat telah dikendalikan oleh Yang Dipertua sendiri bagi melantik Pengerusi dan Setiuasaha Sidang, dan pengira undi.

Mesyuarat pada sebelah pagi telah dikendalikan oleh Ustaz Khairul Azri manakala sebelah petang dikendalikan oleh Ustaz Azizuddin bin Abdullah.

Pada sesi pagi, mesyuarat dimulakan dengan pembentangan minit mesyuarat oleh Timbalan Setiuasaha Agung, dan telah dicadangkan dan disahkan oleh ahli sidang pada jam 9.21 pagi.

Program diteruskan lagi dengan perkara-perkara berbangkit dan pembentangan laporan aktiviti tahunan setiap jabatan dan biro.

Pada jam 10.40 pagi, ahli sidang mencadangkan supaya mesyuarat ditangguhkan bagi menikmati sarapan pagi.

Program diteruskan lagi pada jam 11 pagi dengan pembentangan laporan aktiviti tahunan setiap jabatan dan biro sehingga jam 12.35 tengahari.

Mesyuarat ditangguhkan sekali lagi kerana memberi laluan makan tengahari dan solat fardhu Zohor.

Program disambung kembali dengan pembentangan laporan kewangan pada jam 1.30 petang. Laporan kewangan telah dibentangkan oleh Bendahari Kehormat, Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman.

Pada jam 2.10 minit petang, mesyuarat diteruskan lagi dengan pembentangan usul bertulis oleh Ustaz Fareez Izhar bin Zainuddin tentang pindaan perlembagaan. Usul ini telah disokong oleh Ustaz Ahmad Faisal bin Mehamod.

Usul bertulis kedua pula tentang menolak anasir perpecahan dan pemerkasaaan biah solehah yang telah dibentangkan oleh Ustaz Khairul Asyraf bin Muhammad Khir. Usul ini telah disokong dengan usul tergempar yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Aminuddin, dan beberapa ahli sidang yang lain.

Ia diteruskan lagi dengan pembentangan usul tergempar yang meminta supaya dibenarkan menggunakan komputer dan internet di dalam bilik-bilik. Usul ini telah dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Saiful Ammar bin Ismail.

Usul tergempar ini telah diadakan undian, dan majoriti ahli sidang tidak bersetuju dengan usul tergempar ini.

Program ditangguhkan pada 5.24 petang bagi memberi ruang kepada ahli sidang mendirikan solat fardhu Asar.

Pada jam 5.56 petang, mesyuarat diteruskan lagi dengan membuka ruang untuk cadangan dari semua ahli sidang untuk meningkatkan prestasi KPIPM. Terdapat 19 cadangan lisan yang telah dikemukakan dan dua cadangan bertulis yang telah diterima di dalam mesyuarat kali ini.

Mesyuarat diteruskan lagi dengan pelantikan 2 orang pemeriksa kira-kira bagi sesi 2009/2010. Pemeriksa kira-kira yang telah dilantik ialah Ustaz Mohamad Azizuddin bin Aznan dan Ustaz Khairul Jamal.

Mesyuarat diteruskan lagi dengan ucapan setiap AJKT dan barisan penasihat. Seterusnya ucapan penangguhan yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, dan membubarkan kepimpinan sesi 2008/2009.

Majlis telah diserahkan sepenuhnya dibawah kendalian Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya bagi membentangkan keputusan pilihanraya.

Setalah selesai Solat Fardhu Maghrib, Pengarah AJKKPR, Ustaz Muhamad Ibrahim bin Mansor telah mengumumkan seramai 8 calon AJKT yang telah memenangi pilihanraya tersebut.

Mereka ialah Muhammad Firdaus bin Aznan, Mohd Zahid bin Abu Bakar, Muhd Syazwan bin Khalid, Muhd Ridhwan bin Othman, Muhammad Hafizuddin bin Zakariya, Mohd Aliff Hadi bin Mohd Razi Ibnu Abbas bin Azizuddin dan Mohammad Omar bin Adam.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang dalam pilihanraya ini, dan mengumumkan bahawa bilangan pengundi seramai 230 orang, yang merupakan bilangan teramai setakat ini.

Manakala Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah dihadiri seramai 221 sepertimana yang telah tercatat di dalam buku kehadiran MAT.

Tuesday, August 18, 2009

Kemeriahan Majlis Kesyukuran Dan Anugerah Cemerlang


KAHERAH, 17 OGOS - Majlis Kesyukuran dan Anugerah Cemerlang KPIPM adalah salah satu program tahunan yang bertujuan meraikan kecemerlangan ahli KPIPM dalam segenap bidang.

Pada tahun ini, majlis yang gilang gemilang ini telah diadakan pada hari ini, yang juga menjadi perasmian bagi Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke 22 dan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43.

Majlis bermula pada jam 9.05 malam dengan dimulakan dengan alunan Nasyid Asma al Husna dan Lagu PMRAM.

Majlis Perasmian telah bermula pada jam 9.15 minit dengan dimulakan dengan ucapan Pengarah Program, Ustaz Ahmad Faisal bin Mehamod.

Kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Majlis perasmian telah disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime, Timbalan Presiden PMRAM. Ia disusuli pula dengan gimik perasmian dan tayangan slide.

Program diteruskan lagi dengan penyampaian beberapa anugerah. Antara anugerah-anugerah tersebut ialah Qudwah Hasanah yang telah disandang oleh Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar dan Ustazah Nufhafsah binti Awaluddin.

Anugerah Mahasiswa/wi kreatif pula disandang oleh Ustaz Muhammad Saiful Ammar bin Ismail dan Ustazah Aisah binti Nasaruddin. Anugerah peserta EGP PMRAM yang terbaik pula telah disandang oleh Ustaz Mohd Omar bin Adam, dan Ustazah Zahidah binti Wafir.

Manakala pemenang bagi pertandingan Baiti Jannati telah disandang oleh Bait Bujang dan Darul Muttaqin. Usrah Terbaik pula dimenangi oleh Usrah Saidina Omar, yang dikendalikan oleh Ustaz Hanif bin Musa, dan Usrah Saudah Zam'ah bagi akhawat.

Seterusnya Anugerah Yang Dipertua KPIPM yang disempurnakan oleh beliau sendiri kepada 16 orang penerima anugerah tersebut.

Biro Terbaik untuk sesi ini ialah Biro Dakwah dan Tarbiah, dan program anjuran biro/jabatan terbaik ialah Program Rabi' Camp dan KPIPM Cup.

Acara terakhir pada majlis kali ini ialah persembahan nasyid oleh kumpulan al Muhazzirun dan diteruskan lagi dengan persembahan daripada Ahli Jawatankuasa Tadbir sendiri.

Program tamat pada jam 11.35 malam.

Monday, August 17, 2009

Majlis Pengenalan Calon Menyerlahkan Persaingan Sihat


16 OGOS - Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya KPIPM semalam telah mengumumkan bahawa pada hari ini akan dilangsungkan Majlis Pengenalan Calon, seterusnya menjadi permulaan bagi tempoh berkempen.

Majlis Pengenalan Calon ini telah berlangsung pada jam 9.45 malam dengan dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Ibrahim bin Mansor, Pengarah Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya KPIPM 2008/2009.

Seramai 12 orang calon telah diperkenalkan, dan masing-masing diberi peluang untuk memperkenalkan diri, menyatakan misi dan visi.

12 calon tersebut ialah, Muhammad Husairi bin Mohamed Wildan, Muhammad Firdaus bin Aznan, Mohd Zahid bin Abu Bakar, Muhd Syazwan bin Khalid, Muhammad Hafiz bin Shamsuddin, Jamaluddin Hafiz bin Abdullah Aisha, Muhd Ridhwan bin Othman, Muhammad Hafizuddin bin Zakariya, Fakhruddin bin Daud, Mohd Aliff Hadi bin Mohd Razi Ibnu Abbas bin Azizuddin dan Mohammad Omar bin Adam.

Ia diselang seli dengan pengenalan calon HEWI yang telah menang tanpa bertanding. Mereka ialah Norzihan binti Mohd Rafidi, Huzaifa binti Hassan, Dzulyalyna binti Ahmad Zahidi, Nurul Aimi binti Muhamad Razi, Nuraimi Jalwati binti Mohd Rani, Noor Shuhada binti Zolkafli, Nur Syuhada binti Hashifuddin, Saidatul Yuhanis binti Dahwani dan Hazila binti Abdul Hamid.

Pengenalan terakhir ialah calon Yang Dipertua yang juga telah menang tanpa bertanding, Muhammad Khairul Asyraf bin Muhd Khir.

Peluang calon memperkenalkan diri ini selesai pada jam 11.20 malam.

Kemudian disambung kembali dengan kempen beberapa penyokong bagi mana-mana individu yang dicalonkan.

Setelah selesai slot ini, AJKKPR mengambil kesempatan menerangkan tentang etika berkempen dan mengundi yang akan diadakan pada 19 Ogos nanti.

Sunday, August 16, 2009

Program Penutup DUAT Menilai Prestasi KPIPM Selama Setahun


KEHERAH, 15 OGOS - Program Pemantapan DUAT (PEMANDU) yang telah diadakan sebanyak 7 siri, akhirnya ditutup pada hari ini. Majlis penutupan DUAT kali ini disifatkan sebagai slot esklusif bersama Yang Dipertua, dan pimpinan KPIPM.

Program kali ini dinamakan sebagai Penjelasan Tentang Isu-Isu KPIPM, dan bertemakan "Santai Bersama Pimpinan".

Majlis bermula pada jam 9.25 malam, dengan dipengerusikan oleh Ustazah Rasyidah binti Arzemi sebagai pemangku Timbalan Pengarah PEMANDU.

Ia dimulakan dengan alunan nasyid asma' al husna dan bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Ustaz Ibnu Abbas bin Azizuddin, johan pertandingan tilawah peringkat PMRAM dalam program EGP '09.

Pada jam 9.40 malam, majlis diserahkan kepada Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil untuk mengendalikan slot.

Panel dalam slot ini ialah Yang Dipertua sendiri, Ketua HEWI Ustazah Nor Azlina binti Idris, Pengerusi Badan Penasihat Ustaz Ahmad Arifin bin Zakariya dan Ustazah Asma binti Mohammad Aziz sebagai pemangku Badan Penasihat.

Di dalam slot ini, ia lebih membincangkan tentang muhasabah sepanjang sesi pemerintahan 08/09, cadangan, pandangan, lontaran idea dan sebagainya. Program diakhiri dengan menikmati jamuan yang disediakan pada jam 11.25 malam.

Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil menyifatkan bahawa pertemuan pada malam ini lebih berbentuk suara hati ke hati, untuk membincangkan masalah-masalah yang boleh diselesaikan bersama dalam KPIPM sendiri.

Beliau mengharapkan agar masalah-masalah yang disuarakan dapat diselesaikan segera dan tidak berulang. Beliau juga mengharapkan agar semua ahli dapat bersama-sama di dalam Mesyuarat Agung Tahunan nanti, dan bersama-sama turun mengundi.

Saturday, August 15, 2009

Program Bakti Siswa 09 Berjalan Lancar


KUALA KANGSAR, 14 OGOS - Program Bakti Siswa al Azhar yang sekian lama telah dirancang, akhirnya terlaksana juga. Program dijalankan pada 31 Julai sehingga 2 Ogos bertempat di Dewan Orang Ramai, Sayong, Kuala Kangsar, Perak.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal bagi persediaan mereka yang bakal menyambungkan pelajaran ke Mesir. Program PBSA kali ini telah diketuai oleh Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Rahman, Setiausaha Agung KPIPM, sebagai pengarah program.

Program yang disertai seramai 56 orang, 37 orang ikhwah, dan 19 orang akhawat, telah bermula dengan pendaftaran pada Hari Jumaat, 31 Julai, pada jam 4.30 petang.

Pada sebelah malamnya, telah diadakan majlis perasmian. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Shu'ib bin Din, Mantan kepimpinan KPIPM.

Pada keesokan harinya, selepas selesai tazkirah, peserta dihidangkan dengan slot pengenalan tentang KPIPM pada jam 8 pagi. Ahli panel yang terlibat dalam slot ini ialah, Ustaz Hadi bin Abdul Rahman sebagai Setiausaha Agung KPIPM, Ustazah Nurul Afifah binti Syed Ahmad Shah sebagai Anggota Badan Penasihat KPIPM, dan Ustazah Azura binti Rahim sebagai pengerusi majlis.

Pada jam 10 pagi, peserta dihidangkan pula dengan slot pengenalan Universiti al Azhar. Panel yang terlibat dalam slot ini ialah Ustaz Hadi bin Abdul Rahman sebagai Panel Kuliah Syariah, Ustazah Syahidatul Akmal binti Dahalan sebagai Panel Kuliah Usuluddin, dan Ustazah Nurul Ain binti Yaacob sebagai panel Kuliah Bahasa.

Pada jam 11 pagi pula, telah diadakan ceramah motivasi yang bertajuk "al Azhar Digeruni dan Menggerunkan". Ceramah disampaikan oleh Ustaz Sofiuddin bin Ahmad Farid, Sarjana Muda Universiti al Azhar.

Program diteruskan lagi dengan slot ceramah umum pada jam 3 petang, dengan tajuk "Persediaan Pelajar Ke Mesir Dari Segi Mental dan Fizikal" yang disampaikan oleh Ustaz Salehuddin bin Ahmad Zabidi.

Pada sebelah malamnya, penceramah yang sama telah memberi pengisian pula tentang "Mesir dan Suasana", pada jam 8 malam.

Pada hari yang terakhir, seawal pagi lagi peserta dihidangkan dengan "Slot Madu Tiga" pada jam 8 pagi. Panel jemputan pada slot kali ini ialah, Ustaz Nabil, Ustazah Suzana binti Ali, dan Ustazah Nasuha. Ketiga-tiga mereka adalah Sarjana Muda, Universiti al Azhar.

Pada jam 2 petang, tirai program semakin berlabuh. Program Perasmian Penutup telah berlangsung dengan dirasmikan oleh Ustazah Nurul Afifah binti Syed Ahmad Shah, Anggota Badan Penasihat KPIPM.

Pengarah program, Ustaz Abdul Hadi bin Abdul Rahman memberitahu bahawa program secara keseluruhannya berjalan lancar dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta amat memberansangkan.

Mengulas tentang usaha pelaksanaan program ini, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, Yang Dipertua, mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Adhoc dan AJK yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Tidak dilupakan juga kepada mereka yang telah memberi sumbangan dan bantuan dalam pelaksanaan program ini.

Wednesday, August 12, 2009

Ingatlah, insafilah

Peringatan Besar buat Kaum Wanita

Dipetik dari Kitab Muhimmah karangan Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathoni 1384 Hijrah(mafhumnya)

Diceritakan oleh Sayyidina Ali RA;
Pada suatu hari aku masuk ke dalam rumah Nabi SAW. Dan bersamaku isteriku, Siti Fatimah RA. Maka apabila aku dekat dengan pintu, Nabi SAW bersabda:

"Siapa yang dipintu itu?"

Maka sahut Siti Fatimah:
"Kami dengan suami kami, Ali. Hamba datang untuk menghadap engkau ya Rasulullah".

Maka tatkala Rasulullah membuka pintu, tiba-tiba kami dapati Nabi dalam keadaannya menangis, sungguh-sungguh menangis. Maka kataku(Sayyidina Ali RA.) baginya:

"Penebusmu adalah aku, engkaulah bapaku dan ibuku Ya, Rasulullah. Apakah yang menyebabkan engkau menangis?"

Maka sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya aku telah lihat pada malam mikraj, beberapa perempuan di kalangan umatku di dalam seksa yang amat sangat. Disebabkan sangat salahnya pekerjaan mereka itu. Kerana itulah yang menyebabkan aku menangis melihatkan keadaan mereka yang diseksa".

Berkata Sayyidina Ali RA :

"Ya, Rasulullah, bagaimanakah engkau lihat keadaan mereka itu?

"Maka sabda Rasulullah SAW:

"Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dengan dua kakinya dalam keadaan terikat lagi terlipat dan telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa itu dengan dua tangannya daripada pihak belakang lalu dilumurkan minyak tanah pada badannya dan dituangkan air panas ke dalam lehernya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk ke dalam lehernya. (Buah zaqqum itu adalah buah kayu di dalam neraka yang amat pahit dan apabila ahlii neraka yang memakannya, nescaya menggelegak (mendidih) segala isi perut mereka, otak dan gusi mereka dan keluar lidah apinya daripada mulut mereka),

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan dia memakan dagingnya sendiri sedangkan api neraka dinyala-nyalakan dibawahnya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dan sekalian malaikat menambat dua kakinya kepada dua susunya dan kemudian ditambatkan pula dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan diatas badannya ada beberapa ekor ular dan kala yang mana ular dan kala itu akan memakan daging dan meminum darahnya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaannya buta, tuli dan kelu. Di dalam kerongkongnya ada api neraka yang menyebabkan keluar otak daripada kepalanya lalu mengalir pula ke dalam hidungnya.Disebabkan itu badannya berbau teramat busuk dan dia menggelupur seperti terkena penyakit yang dahsyat,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan dipotong segala daging di setiap anggota badannya dengan menggunakan gunting api neraka,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan hitam mukanya dan dua susunya dan api memakan isi perutnya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan di atasnya itu beribu-ribu warna daripada azab,

Aku melihat pula seorang perempuan berupa anjing dan api neraka masuk daripada bawah duburnya dan keluar api daripada mulutnya dan sekalian malaikat memukul kepala dan badan mereka dengan pemukul api neraka.

Mendengarkan kisah itu, berdirilah Siti Fatimah RA disisi Nabi SAW lalu berkata:

"Hai kekasihku dan cahaya mataku, khabarkan kepadaku apakah dosa-dosa mereka itu sehingga mereka diseksa sedemikian rupa?"

Nabi SAWbersabda:

"Perempuan yang digantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang tidak mahu menutup rambutnya didepan lelaki yang haram memandangnya,

Perempuan yang digantung dengan lidah dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya;ini adalah seksaan bagi perempuan yang menyakiti hati suaminya.

Perempuan yang digantung dengan dua susunya dan buah zaqqum dituangkan ke dalam lehernya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang memberikan air susunya kepada bayi lain tanpa izin suaminya.

Perempuan yang yang digantung dengan dua kakinya dan di dalam kerongkongnya api nereka; ini adalah seksaan bagi perempuan yang keluar rumah tanpa izin suaminya.

Perempuan yang digantung dalam keadaan dia memakan dagingnya sendiri sedangkan api neraka dinyala-nyalakan di bawahnya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang memperhiaskan dirinya didepan orang lain bukan didepan suaminya.

Perempuan yang digantung, sekalian malaikat menambat dua kakinya kepada dua susunya dan ditambat pula dua susunya kepada ubun-ubunnya,dijadikan atas badannya beberapa ekor ular dan kala yang mana ular dan kala itu akan memakan daging dan meminum darahnya; ini adalah seksaan bagi mereka yang tidak mahu bersuci daripada mandi junub, haid dan nifas dan bagi mereka yang meringan-ringan sembahyang.

Perempuan yang digantung dalam keadaan buta, tuli dan kelu. Dan di dalam kerongkongnya ada api neraka;ini adalah seksaan bagi perempuan yang berzina sehingga mendapat anak lalu mengatakan bahawa anak itu adalah anak suaminya.

Perempuan yang digantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai;ini adalah seksaan bagi perempuan yang suka mengadu domba/batu api) dan banyak berdusta.

Perempuan yang berupa anjing, api masuk ke dalam mulutnya dan keluar dari duburnya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang suka mengungkit-ungkit pemberian dan pertolongannya kepada orang lain dan juga bagi mereka yang suka dengki- mendengki.


~Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kami mohon perlindungan-Mu dari segala azab yang memedihkan. Berikanlah taufiq dan hidayah-Mu. Amin Ya Rabb...

Saturday, August 8, 2009

Majlis Ramah Mesra Bersama Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah


ISKANDARIAH, 7 OGOS - Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Perak yang tiba pada 5 Ogos lalu, meneruskan perjalan ke Iskandariah. Kali ini, KPIPM mendapatkan keizinan PMRAM untuk menggunakan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah untuk mengadakan Majlis Ramah Mesra.

PMRAM sebagai tuan rumah, mengalu-alukan kedatangan tetamu Malaysia, tanpa mengira parti politik.

Rombongan Delegasi tiba di Iskandariah pada 6 Ogos, jam 6.30 petang. Pada hari ini, Rombongan Delegasi telah menemui mahasiswi Iskandariah sepertimana yang telah diaturkan sebelum ini.

Pada jam 9.30 pagi, Rombongan Delegasi tiba di perkarangan Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah dengan diiringi oleh Yang Dipertua, dan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Ustaz Abdul Mu'izz bin Mohamad.

Majlis ramah mesra dimulakan pada jam 9.43 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Dato' Kapten (B) Najimuddin bin Elias al Hafiz, dan majlis taaruf yang turut dikendalikan oleh beliau.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Kemudian disusuli oleh ucapan Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Ustaz Abdul Mu'izz bin Mohamad, sebagai tuan rumah.

Majlis diteruskan lagi dengan amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Seterusnya ucapan ramah mesra yang disampaikan oleh Dato' Dr Abdul Rahman bin Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati daripada PMRAM dan JPMK kepada tetamu, dan sumbangan daripada kerajaan negeri.

Selesai majlis ramah mesra, para tetamu dan ahli DPMI menjamu selera. Majlis tamat pada jam 12.15 tengahari.

Proses Perpindahan Selesai Sepenuhnya


KAHERAH, 7 OGOS - Setelah perasmian rumah perak berlangsung pada 5 Ogos, semua ahli bertungkus lumus menyambung semula aktiviti pemindahan yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali. Ini disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Pada hari ini, semua perpindahan telah berjaya disempurnakan. Kesemua barang dan keperluan telah dipindahkan, dan ahli mula mendiami rumah perak secara sepenuhnya.

Susunan ahli di bilik-bilik telah ditentukan sebelum ini, dan telah dimaklumkan melalui beberapa saluran promosi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Thursday, August 6, 2009

Kemeriahan Di Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Baitur Ridhwan


KAHERAH, 5 OGOS - Majlis Perasmian Baitur Ridhwan bermula pada jam 6 petang dengan ketibaan para dif kehormat, yang baru sahaja merasmikan Baitur Rahmah.

Para tetamu disambut dengan persembahan Tradisional Arab yang sangat menarik.

Majlis Perasmian pada kali ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Muhammad Hafizul Akhbar bin Abd Rahman.

Majlis telah dimulakan dengan nasyid Asma'ul Husna dan Bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Qari Mesir jemputan.

Kemudian ia dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Kemudian, disusuli pula dengan ucapan oleh Ustaz Abdul Mu'izz bin Mohammad, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, sebagai wakil kepada semua mahasiswa/wi di seluruh Mesir.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Perasmian Rumah Perak Baitur Ridhwan oleh Dato Dr Abdul Rahman bin Hashim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri. Majlis Ramah Mesra yang ditangguhkan sebentar tadi, disambung selepas ucapan perasmian ini.

Gimik perasmian telah disempurnakan oleh Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Negeri Perak. Upacara penyerahan kunci telah dilaksanakan dengan penyerahan daripada Mr Khaled Awny al Attal kepada Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, kemudian diserahkan kepada Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Majlis diteruskan lagi dengan agenda menandatangani Surat Perjanjian. Majlis Menandatangani Baitur Ridhwan telah disempurnakan oleh Mr Khaled Awny al Attal, Dato' Syeikh Muhd Nor Mansur al Hafiz selaku Setiausaha MAIAMPk, dan Dato Ir Dr Safry Kamal bin Haji Ahmad selaku Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak.

Setelah selesai majlis menandatangi dokumen perjanjian, majlis diceriakan lagi dengan lawatan para tetamu melihat Rumah Perak (Baitur Ridhwan). Kemudian majlis disudahi dengan majlis menjamu selera bersama semua ahli.

Majlis tamat pada jam 8.50 malam.

Majlis Perasmian Baitur Rahmah Ceria


KAHERAH, 5 OGOS - Ketibaan rombongan delegasi kerajaan Negeri Perak pada pagi hari ini, telah diceriakan dengan Majlis Ramah Mesra yang diadakan pada jam 3.20 petang.

Program Delegasi diteruskan lagi pada petang itu dengan Majlis Perasmian dan Penyerahan Rumah Perak Lama. Rumah Perak Lama (Wisma Darul Ridzuan) telah diberi nama Baitur Rahmah.

Pada jam 5.40 petang, ucapacara gunting reben telah disempurnakan oleh Dato Dr Abdul Rahman bin Hashim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Majlis tersebut disambung dengan lawatan melihat bangunan keseluruhannya.

Pada jam 6 petang, Rombongan Delegasi meneruskan aktiviti dengan perasmian Rumah Perak baru yang dinamakan sebagai Baitur Ridhwan.

Majlis Ramah Mesra Bersama Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Perak


KAHERAH, 5 OGOS - Ketibaan Rombongan Delegasi Kerajaan Negeri Perak yang diketuai oleh Dato Dr Abdul Rahman bin Hashim pada pagi tadi jam 7.20 telah disambung dengan beberapa aktiviti.

Setelah ketibaan rombongan yang disambut oleh wakil daripada KPIPM sendiri, para delegasi menjamu selera di Asrama Rumah Melayu Abbasiah.

Kemudian, pada jam 3 petang, telah diadakan Ramah Mesra sepertimana yang telah dirancang. Ramah Mesra tersebut juga diadakan di ARMA.

Majlis Ramah mesra tresebut telah dipengerusikan oleh Ustazah Nurhajar Nefeah binti Zuber. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al Quran oleh Yang Berhormat, Dato Kapten (B) Najimuddin bin Elias al Hafiz, dan majlis taaruf yang dikendalikan oleh beliau.

Kemudian majlis diteruskan dengan ucapan Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan oleh Prof Dr Jamil bin Hashim, selaku Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah.

Kemudian ia diteruskan lagi ucapan Dato Syeikh Muhd Nor Mansur al Hafiz, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

Majlis diteruskan lagi dengan amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Dato Seri Haji Harussani bin Zakaria, Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sesi soal jawab terpaksa ditangguhkan ke Majlis Perasmian Rumah Perak selepas itu. Di dalam majlis ini, KPIPM telah menerima sumbangan sebanyak RM 10,000 sebagai tabung kebajikan persatuan daripada kerajaan Negeri, USD 5000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebagai kewangan peruntukan program, dan USD 1500 sebagai sumbangan khas daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak.

Majlis yang dimulakan pada jam 3.20 petang itu, berakhir pada jam 5 petang. Majlis diteruskan lagi dengan menjamu selera.

Tuesday, August 4, 2009

Prosess Pemindahan Hampir Selesai


KAHERAH, 3 OGOS - Proses perpindahan yang bermula sejak 28 Julai lagi, dilihat semakin selesai sedikit demi sedikit. Semalam, 2 Julai, proses perpindahan bersambung semula setelah ia ditangguhkan selama sehari untuk proses pembungkusan.

Semalam, proses perpindahan bermula pada jam 12.14 tengahari. Hampir kesemua barang telah dipindahkan. Pada jam 2.50 petang, proses perpindahan telah selesai, dan akan disambung pada keesokan harinya. Semua yang terlibat menjamu selera selepas itu.

Pada hari ini, proses disambung semula pada jam 1.30 petang. Kesemua barang telah dipindahkan kesemuanya, dan masih berbaki barang-barang yang akan ditinggalkan. Proses selesai pada jam 4 petang.

Pada jam 5.35 petang, sebuah lori tiba dengan membawa tilam untuk dipasang. Namun, pada malam itu, Wisma Darul Ridzuan masih belum siap kelengkapannya sepenuhnya.

Pada hari ini juga, ahli terpaksa mendiami rumah sementara buat kali terakhir, dalam keadaan serba keperluan. Insya Allah, perpindahan sepenuhnya akan berjalan pada esok hari.

Friday, July 31, 2009

Proses Pemindahan Barang Dihiasi Dengan Suasana Ceria


KAHERAH, 30 JULAI - Setelah ditangguhkan pada 28 Julai lalu, akhirnya sepertimana yang dijanjikan, pada hari ini proses pemindahan barang pun bermula. Peringkat pertama pemindahan ini tidak berapa sukar dengan kehadiran ahli-ahli yang bersama-sama menjayakan usaha ini.

Proses bermula seawal jam 9.30 pagi lagi dengan penantian beberapa orang ahli yang tinggal di luar. Namun, kehadiran lori pengangkutan begitu lambat sehinggakan proses terpaksa tertangguh lagi sehingga jam 12.05 tengahari.

Pemindahan peringkat pertama ini memerlukan dua kali pusingan sebuah lori bersaiz jumbo. Sedikit demi sedikit barang diangkat dan diagihkan ke bilik-bilik dan stor sementara.

Bilangan ahli yang hadir dalam menjayakan proses ini sekitar 24 orang ikhwah. Proses ini dihiasi dengan senyuman dan suasana yang ceria. Proses pemindahan dan pengagihan barang selesai pada jam 2.50 petang, dan semua yang terlibat dijamu dengan makananan tengahari.

Us Ahmad Faisal Mehamod, Pengarah Unit Bertindak Urusan Perpindahan memberitahu bahawa proses akan disambung pada 1 hingga 2 Ogos untuk proses pembungkusan dan pengemasan. Manakala pada 3 Ogos, akan dipindahkan barang-barang tersebut.

Us Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, Yang Dipertua, mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dan beliau mengharapkan supaya proses pemindahan untuk akan datang dapat disertai lebih ramai ahli.

Wednesday, July 29, 2009

Bacaan Hanya Untuk Peperiksaan?


Penurunan wahyu pertama Allah s.w.t kepada Baginda Nabi s.a.w sudah jelas menggambarkan peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam permulaan sesuatu amalan atau pekerjaan hatta kepada misi kenabian itu sendiri. Apabila diperhatikan dalam sudut yang lain pula, wujud anjuran daripada Allah Taala supaya menambahkan ilmu pengetahuan dan melipatgandakannya.

Ibnu Qayyim Al-Jauziah Rahimahullah berkata: Cukuplah ayat ini menerangkan kemulian ilmu dan suruhan kepada nabiNya supaya menambahkan ilmu. Juga turut dikatakan, sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyuruh para Rasulnya menambahkan dalam sesuatu perkara kecuali dalam menambahkan ilmu. Sekiranya kita menyoroti perjalanan sirah-sirah Rasul terdahulu, wujudnya teladan dalam menuntut ilmu yang ditunjukkan oleh rasul-rasul sendiri, seperti yang dirakamkan dalam surah Al-Kahfi, kisah Nabi Musa a.s menuntut ilmu pengetahuan daripada Nabi Khidir a.s.

Nah, sekarang sudah jelas kepada kita akan kepentingan ilmu dan kepentingan mengayakan diri dengan ilmu. Walaupun peperiksaan kita sudah berakhir, jangan pula kita lalai,leka,lembik,lesu,lemah,longlai dan lelah untuk terus menuntut ilmu dan membaca kitab-kitab. Banyak lagi yang kita tidak tahu kan?? Ataupun sahabat-sahabat dah rasa hebat,mantap dan kejap dengan tahap ilmu yang kita ada sekarang?? Tanyalah diri masing-masing. Nilailah diri masing-masing. Timbanglah diri masing-masing. Marilah sama-sama kita ambil iktibar daripada beberapa kisah ulama-ulama terbilang kita dalam usaha dan kesungguhan mereka dengan ilmu.

Suatu hari Ibnu Taimiyyah rahimahullah terlantar sakit tenat lalu berkata seorang tabib kepadanya: “Sesungguhnya ulangkajimu dan bacaanmu yang terlampau akan menambahkan sakit kamu,” maka Ibnu Taimiyyah rahimahullah menjawab: “Sesungguhnya aku tidak boleh sabar dengan ilmu, dan aku mahu bertanyakan satu perkara kepadamu, berdasarkan kepada ilmu kamu bukankah sakit seseorang akan berkurang apabila hati berasa senang dan gembira??” Jawab tabib tersebut: “Ya bahkan benar sekali,”. Lalu Ibnu Taimiyyah menjawab : “Maka aku berasa senang dan gembira dengan ilmu,”.

Berkata Abu Syaamah al-Maqdisi, menceritakan mengenai al-Hafiz Abdul Ghani al-Maqdisi: “Sesungguhnya matanya telah menjadi kabur dan tidak jelas disebabkan terlalu banyak membaca dan menangis. Tidak ada orang setanding beliau dalam ilmu hadis pada zamannya,”.

Dikatakan bahawa Ibnu Mubarak radhiallahu `anhu tidak banyak bergaul dengan orang ramai, maka ditanyakan kepadanya:” Kenapakah kamu selalu sendirian dirumah??”. Beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak bersendirian, sedangkan Baginda Nabi sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabatnya berada dirumahku..” (iaitu kitab-kitab dan tulisan ilmu)

KISAH-KISAH BACAAN PARA ULAMA

Khatib Baghdadi rahimahullah membaca kitab Sahih Bukhari dalam 3 kali majlis.

Al-Imam al-`Iz Abdul Salam rahimahullah membaca kitab Nihayatul Mathlab dalam masa 3 hari.

Al-Hafiz al-Mizzi rahimahullah membaca al-Mu’jam al-Kabir dalam 60 majlis.

Imam Zahabi rahimahullah membaca sirah Ibnu Hisyam dalam 6 hari sahaja.

Al-Hafiz Zainuddin al-Iraqi rahimahullah membaca Sahih Muslim dalam 6 majlis. Membaca kitab Al-Musnad dalam 30 majlis.

Imam Sirajuddin Bulqini rahimahullah membaca kitab Feqah dalam semua masalah dalam masa 1 hari sahaja.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

> membaca sahih Bukhari dan Sunan Kubra dalam masa 10
majlis dan sahih Muslim dalam masa 5 majlis.
> membaca Sunan Ibnu Majah dalam masa 10 majlis
> membaca al-Mu’jam as-Soghir dalam masa 1 majlis

Oleh itu, marilah sama-sama kita meneruskan pengajian dan pembacaan kita sehari-hari tanpa sebarang ikatan peperiksaan ataupun sebagainya. Sekiranya ingin menjadi ulama’ maka perlulah ikut thariq ulama’. Apapun kita menuntut ilmu hanya semata mencari Redha Allah s.w.t. Ikhlaskan kembali niat asal kita semua kesini. Moga kita semua dibawah inayah dan nusrah Allah s.w.t.

Disediakan oleh :
Biro Dakwah dan Tarbiah
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir
2008/2009

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...