Saturday, December 31, 2022

LAPORAN | PROGRAM URUS SETIA SAMBUTAN MAHASISWA BAHARU 2022 (USMB ’22)


LAPORAN | PROGRAM URUS SETIA SAMBUTAN MAHSAISWA BAHARU 2022 (USMB ’22) 
Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2022/2023

Rasulullah S.A.W bersabda: 

               "من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة " ، رواه مسلم ، وأصحاب السنن عن أبي هريرة.           
Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kehadiran mahasiswa/wi baharu ke Pelembahan Nil ini merupakan satu perkara yang menjadi kelaziman pada setiap tahun. Oleh itu, di peringkat Biro Pelajaran dan Ilmiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 telah menganjurkan satu program khas iaitu Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2022 (USMB ’22) yang bermula daripada 20 September 2022 sehingga 16 Disember 2022.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk menyambut kedatangan mereka ke bumi Mesir ini sekaligus menguruskan segala hal ehwal berkaitan dengan pengurusan tempat penginapan, kuliah, barang kendiri dan sebagainya. Dengan hadirnya bakal Azhari/ah ini, maka tema program iaitu “Mahasiswa Rabbani Penerus Legasi Azhari’ dijulang sebagai tema yang bakal menempat di hati dan jiwa mereka selaku penuntut ilmu di bumi Ardhil Kinanah ini.

Terdapat 5 objektif utama yang menjadi tunjang sepanjang perjalanan program ini. Pertama sekali, membentuk mahasiswa berthaqafah melalui penguasaan  ilmu turathi dan kontemporari. Seterusnya, mengukuhkan kesatuan KPIPM melalui pemerkasaan kebajikan mahasiswa baharu. Seterusnya, mengeratkan silaturahim antara mahasiswa baharu dan mahasiswa lama berkonsepkan ukhuwah islamiah. Selain itu, menerapkan serta mempraktikkan kefahaman Islam yang syumul berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Dan yang terakhir, meningkatkan kualiti pengurusan terhadap mahasiswa baharu.

Terbukanya tirai program setelah diadakan satu taklimat pengisian yang berbentuk secara maya iaitu Borak-Borak Santai bersama Pengerusi Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia Cawangan Perak iaitu Ustaz Zulhafeez bin Ahmad Zahidi. Taklimat pengisian ini telah diadakan pada 13 September 2022, jam 2:15 petang waktu Malaysia melalui aplikasi Google Meet. Antara pengisian yang diberi ialah taklimat persediaan ke Mesir, isu keselamatan dan kos sara hidup.

Pada 20 September 2022, hari yang dinanti-nantikan telah tiba setelah ketibaan mahasiswa baharu ke Ardhil Kinanah ini telah memecah suasana yang sunyi. Dengan kuantiti seramai 7 orang mahasiswa dan 4 orang mahasiswi baharu telah selamat menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Seterusnya, perjalanan mereka diteruskan ke Wisma Baitul Rahman sebagai tempat penempatan bagi mahasiswa baharu dan Wisma Baitul Ridzuan bagi mahasiswi baharu.

Pada 23 September 2022 hari Jumaat, peringkat program USMB ’22 telah mencorakkan langkahnya dengan melaksanakan Senat Fakulti bagi memberikan gambaran awal kepada mahasiswa baharu mengenai urusan-urusan di kuliah dan yang seumpama dengannya. Selain itu, turut dilaksanakan Kembara Talaqqi di sekitar kota pedalaman di Darasah yang terkenal dengan pusat-pusat pengajian yang dibimbing oleh para masyeikh yang terkemuka. Antara yang diperkenalkan ialah Mudhoyafah Syeikh Ismail Sodiq Adhawi dan Mudhoyafah Syeikh Imran Dah. Setelah itu, turut dilaksanakan iaitu pengenalan dan pembahagian muzakarah berkelompok di Masjid al-Azhar seterusnya menyempurnakan solat jumaat di sana.

Pada 27 September 2022, telah diadakan Hari Taklimat dan Silaturahim 2022 (RAHIM ’22). Majlis ini telah dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari selaku YDP KPIPM sesi 2022/2023 yang berlangsung selama 2 hari. Antara pengisian yang dijalankan adalah:
-Peranan al-Azhar dan Manhajnya
-Jom Belajar Dialek Mesir ! 
- Forum Kewajipan Pemuda Muslim
- Pengenalan KPIPM

Esoknya diadakan sukaneka di Hadiqah al-Dawliyah seterusnya disambung pada malam hari dengan majlis penutupan RAHIM ’22.

Pada27  Oktober 2022, telah diadakan Hubbul Quran : Pengenalan Tahsin al-Quran selepas Ehya al-Jum’ah dengan kerjasama Biro Dakwah dan Tarbiah. Pengisi yang dijemput bukanlah calang-calang orang, beliau ialah Syeikh Muhammad Ali al-Azhari yang terkenal dengan ketokohan dan keilmuannya terhadap Ulum al-Quran.Seterusnya, pada 30 Oktober 2022, telah dilaksanakan Ziarah Syeikh  di maktabah Syeikh Rifaat Fauzi. 

Bagi bulan November pula,  pada 1 November 2022 di peringkat akhawat  seramai 3 orang dalam kalangan penggerak telah turun membantu mahasiswi USMB melakukan urusan ke kuliah bagi memudahkan urusan kuliah pada tahun tersebut. Seterusnya, telah dianjurkan juga Forum Mahasiswa dengan kerjasama Jabatan Fasilitator (JATA) pada 10 November 2022. Seterusnya, Mimbar Ilmu USMB ’22 diadakan selama 5 hari iaitu pada 12, 13, 16, 19, 20 November 2022 dan Winter Rush Jaulah Abou Ila untuk mahasiswi pada 14 November 2022 manakala mahasiswa pada 15 November 2022.

Pada bulan Disember 2022, telah diadakan Ziarah Maqam pada 9 Disember 2022 di sekitar Kaherah dan 16 Disember 2022, telah berlangsungnya  Majlis Malam Penutupan USMB ’22 di Wafa El-Amal dengan kerjasama JATA dan Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2022/2023.

Akhir kalam, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas nikmatNya yang tidak terhitung terutamanya nikmat ukhuwah dan nikmat kesatuan yang dikecapi. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program USMB ’22 secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan setiap gerak kerja dan bantuan yang dihulurkan menjadi bekalan untuk dibawa di akhirat kelak dan diterima olehNya. Insya-Allah.

“Mahasiswa Rabbani Penerus Legasi Azhari”

#USMB ‘22
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh:
Ustaz Muhammad Basyir bin Nazri 
Setiausaha (Promosi),
Program Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baharu 2022 (USMB ’22),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.

Wednesday, December 14, 2022

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR 
Lembaga Tabung Ithar, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023 

Firman Allah SWT:

اِنَّ الْمُصَّدِّقِيْنَ وَالْمُصَّدِّقٰتِ وَاَقْرَضُوا اللّٰهَ قَرْضًا حَسَنًا يُّضٰعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ اَجْرٌ كَرِيْمٌ

Maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang yang membenarkan (Allah dan Rasul-Nya) baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah peminjaman yang baik, nescaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak". 

(Surah al-Hadid : ayat 18)

Ithar bermaksud melebihkan orang lain di saat diri memerlukan dan juga merupakan tingkatan tertinggi di dalam ukhuwah islamiah. Ithar juga merupakan tingkatan tertinggi di dalam tingkatan ukhuwah islamiah yang merupakan tingkatan yang sukar untuk dicapai.

Sifat ithar telah dipuji oleh Allah SWT di dalam Al-Quran pada surah al-Hashr ayat ke sembilan. 
Firman Allah SWT :

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ 

Maksudnya:"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya."

Sejarah telah menceritakan kisah yang begitu indah dan menakjubkan pada zaman dahulu ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Penghijrahan kaum Muhajirin ke bumi Madinah telah disambut baik oleh kaum Ansar. Kaum Ansar saling berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan terhadap saudara baharu yang hadir ke kota Madinah. Ada yang mampu menghadiahkan rumah. Ada juga yang sanggup menghadiahkan ladang kurma dan banyak lagi yang ingin disumbangkan atas dasar jalinan ukhuwah islamiah yang diterapkan di dalam diri kaum Ansar. Ini adalah perkara yang menakjubkan. Walaupun ada antara kaum Ansar yang serba kekurangan, mereka tetap berusaha untuk memberikan apa sahaja yang mereka ada demi kebaikan kaum Muhajirin.

Tanpa iman di hati, mana mungkin pengorbanan akan dapat dilakukan. Iman dan ukhuwah ada kaitan yang sangat rapat. Ukhuwah itu terjalin kerana akidah yang satu. Tanpa akidah, apakah akan wujudnya ukhuwah?

Ithar bukanlah suatu perkara yang muncul dan akan kekal dengan tiba-tiba, ithar perlu dilatih secara berterusan dan pengorbanan adalah natijah daripada ithar tanpa sedar. Bermula dari paksaan lalu berubah kepada sebuah kerelaan yang akhirnya diri sendiri tidak mengapa susah, jangan saudara yang lain merasai susah.

Sikap cakna terhadap saudara yang lain perlu diterapkan di dalam diri sebagain umat Islam. Diciptakan Allah SWT golongan yang susah supaya adanya medan bagi golongan yang senang untuk beribadah dengan cara membantu saudara yang susah. Hal ini tidak disedari oleh sebahagian masyarakat kini, asalkan diri sendiri sudah senang, saudara yang lain tak perlu diendahkan. Jangan sampai kesenagan ditarik oleh Allah SWT asbab ketidakcaknaan terhadap saudara seislam yang lain.

Oleh itu, sukacita dimaklumkan Lembaga Tabung Ithar KPIPM sesi 2022/2023 membuka ruang seluas-luasnya kepada seluruh ahli KPIPM untuk menghulurkan bayaran wang ithar sebanyak LE100.00 atau sebarang sumbangan semampunya pada sesi ini.

KPIPM sebagai sebuah Badan Kebajikan Anak Negeri mengambil ruang dan inisiatif untuk memupuk sifat Ithar yang digalakkan oleh Islam dalam kalangan ahli KPIPM.

Maka diwujudkan satu dana yang dinamakan Tabung Ithar dan diuruskan oleh ahli lembaga yang telah dilantik. Secara rasminya tabung ini telah dilancarkan pada tanggal 20 Februari, tahun 1998 oleh Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Ustaz Ahmad Bukhori Ghazali.

Saya selaku pengerusi Lembaga Tabung Ithar KPIPM sesi 2022/2023 menyeru dan mengajak seluruh ahli KPIPM untuk menyumbang kepada Tabung Ithar pada sesi ini demi memudahkan dan menggembirakan sahabat-sahabat kita yang ditimpa kesusahan dan kesulitan sekaligus dapat membenihkan Ithar di dalam diri kita, insya-Allah.

Segaris senyuman, semanis harapan.

Bayaran dan sumbangan boleh disalurkan kepada Bendahari Lembaga Tabung Ithar :

[IKHWAH]
🤵🏻‍♂ Ustaz Amir Hamzah bin Abdul Talib
🌐 http://www.wasap.my/+201144169109
📞 +201144169109

[AKHAWAT]
🧕🏻 Ustazah Ainun Fathiah binti Ahmad Kemunchak
🌐 http://www.wasap.my/+201554278245
📞 +201554278245

Semoga Allah SWT menerima segala amal kebaikan kita.

"Ithar Menyemai Keikhlasan"

Ustaz Abdul Muiz bin Mohamad Razali
Pengerusi Lembaga Tabung Ithar, 
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023

#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Friday, December 9, 2022

کڽاتاءن راسمي | معلومن ڤنڠݢوهن ڤروݢرم KPIPM فاسا ١

کڽاتاءن راسمي | معلومن ڤنڠݢوهن ڤروݢرم KPIPM فاسا  ١ 
اونيت ڤنرڠن دان ڤنربيتن کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر سيسي ٢٠٢٢/٢٠٢٣

فرمان الله تعالى : 
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

مقصودڽ : “دان اورڠ٢ يڠ برسوڠݢوه٢ (برجواڠ) د (جالن) کامي٫ کامي اکن بنر٢ منونجوقکن جالن کامي. دان سسوڠݢوهڽ الله برسام اورڠ٢ يڠ بربوات کباءيقن”. 

 (سورة العنكبوت : ايات ٩٦)

سڤرتي سديا معلوم ٫سيسي ڤڠاجين فاسا ساتو باݢي سيسي ٢٠٢٢/٢٠٢٣ کيني براد دالم ڤرسدياءن منوجو ک موسيم ڤڤريقساءن. سموا مهاسيسوا/وي سدڠ برسياڤ سديا ممبوات ڤرسدياءن امتحان باݢي ممڤراوليهي کجاياءن يڠ چمرلڠ دالم ڤڤريقساءن اکن داتڠ اين.  

سهوبوڠن ايت٫ کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر سيسي ٢٠٢٢/٢٠٢٣ دڠن اين ممعلومکن بهاوا برمولا  ٩  دسمبير  ٢٠٢٢ سباݢاي تاريخ ڤنڠݢوهن ڤروݢرم ميݢ دڠن ڤڠچوالين ڤروݢرم يڠ بربنتوق علميه٫ موتيۏاسي دان تربيه سهاج .ايا برتوجوان ممبري ڤرسدياءن دان سماڠت يڠ جيتو کڤد مهاسيسوا/وي دالم مڠهادڤي ڤڤريقساءن يڠ اکن تيبا تيدق لاما لاݢي. 

اوليه يڠ دمکين، کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر مڠهارڤکن سلوروه مهاسيسوا/وي داڤت ممنفعتکن ستياڤ ڤلواڠ يڠ اد دان ممبريکن سڤنوه ڤرهاتين دالم ڤلاجرن. ڤريڠکت کلوارݢ ڤلاجر٢ إسلام ڤيرق مصر جوݢ مندعاءکن اݢر سموا مهاسيسوا/وي مراءيه کجاياءن دالم ڤڤريقساءن ستروسڽ داڤت ممنفعتکن علمو يڠ دميليقي کڤد مشارکت. إنشاءالله.

#KPIPM_کلوارݢ_كيت
#KPIPMجاݢ_کلوارݢ_كيت_كيت
#برسامبرساتوجاياكن_ڤمباواءن_KPIPM 

برعلمو، برعمل، إخلاص
"ممورنيكن ڤميكيرن، مليستاريكن كساتوان"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...