Wednesday, May 26, 2021

LAPORAN | PROGRAM RIANG RIA AIDILFITRI 2021 (RIANG'21)

KAHERAH – Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG ’21) anjuran Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021 bertemakan “Lebaran Disambut, Ukhuwah Terpaut ” yang diadakan di Baitul Rahman dan kediaman ahli masing-masing.
   Program RIANG'21 pada kali ini bermula pada 29 Ramadan sehingga 3 Syawal 1442 Hijrah bersamaan 12 Mei sehingga 15 Mei 2021 Masihi. Walau bagaimanapun, RIANG’21 pada kali ini dijalankan agak sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan ujian wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia membataskan pelaksanaan aktiviti berbentuk perkumpulan.

   Objektif utama program RIANG’21 dianjurkan adalah bagi mengukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli KPIPM. Menghidupkan kemeriahan hari Raya Aidifitri di bumi Mesir. Mengetengahkan bakat ahli melalui konsep kesenian Islam yang sebenar. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, RIANG’21 pada kali ini telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi semua mahasiswa dan mahasiswi di bulan Syawal dengan mengikut norma baharu.

   Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri kian terasa dengan aktiviti Gotong-Royong di kediaman rumah masing-masing pada 12 Mei jam 4.00 petang. Pada sebelah malamnya, jam 7.00 malam takbir raya mula berkumandang. Tirai program Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG’21) dibuka dengan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh En. Mohammed Tasyreef bin Mohamd Tarmizi, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak  pada 12 Mei 2021, Rabu, 8.30 malam yang diadakan secara langsung di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir. Turut ditayangkan Persembahan Live nasyid oleh Usrah al-Muhazzirun selepas daripada majlis Perasmian RIANG'21.
   Pada Hari Raya Pertama, 13 Mei 2021 seawal jam 5.15 pagi ahli KPIPM menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di masjid berhampiran rumah masing-masing. Seterusnya, RIANG’21 diteruskan dengan “Raya Cara Kita“ iaitu menikmati juadah bersama ahli rumah masing-masing pada jam 8.30 pagi berserta dapat mendengar Dendang Perantauan RIANG’21 dan pelbagai pengisian menarik sepanjang siaran tersebut berlangsung. Pada sebelah petang jam 1.00 petang, Peringkat Program Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG’21) mengadakan edaran Syantah Syawal dan kuih raya kepada semua anak-anak Perak di Wisma Baitul Rahman. Pada sebelah malamnya pula, Siaran Langsung Forum Perdana RIANG’21 telah dijalankan di Youtube Rasmi Laman KPIPM yang bertajuk “Nirmala Lebaran Dinoda Jangan” pada jam 8.30 malam.
  Pada hari raya kedua,14 Mei 2021 telah diadakan Tazkirah Subuh Khas Raya secara siaran langsung pada jam 4.30 pagi. Tazkirah Subuh Khas Raya ini bertajuk “Tabir Syawal Gerbang Kesatuan” telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Munawwir al Masyadi bin M. Syukrimun Yang Dipertua (YDP) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir sesi 2020/2021. Selepas itu pengisian raya berbentuk manhaj daripada kitab (Maza ba’da Ramadan) telah disampaikan oleh para nuqoba kepada ahli KPIPM.
   
   Pihak program mengambil manfaat melalui media massa dengan mengadakan pengisian-pengisian berbentuk poster, video dan menyarankan kepada semua ahli untuk menonton siaran langsung yang dijalankan di YouTube Rasmi Laman KPIPM. 

   Pada kali ini, Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG’21) melabuhkan tirai dengan Majlis Penutupan program secara langsung di Laman KPIPM sebagai aktiviti terakhir RIANG’21 yang berlangsung pada jam 8.30 malam 15 Mei 2021. Majlis dimeriahkan lagi dengan tayangan video pemenang pertandingan, Cover Music Video Usrah al-Muhazzirun serta video penutup RIANG’21.

   Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu mengukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli KPIPM dan menghidupkan kemeriahan hari Raya Aidifitri di bumi Mesir tercapai. Semoga melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti RIANG’21 pada kali ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli KPIPM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPIPM.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD ZUHAIRI BIN KHARUDDIN,

Setiausaha (Promosi) Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG'21),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021

Thursday, May 20, 2021

LAPORAN | PROGRAM IHYA' TARBAWI RAMADAN 2021 (IHTIRAM'21)

 

KAHERAH – Ihya' Tarbawi Ramadan 2021 (IHTIRAM ’21) anjuran Biro Dakwah dan Tarbiah & Biro Pelajaran Dan Ilmiah , Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021 bertemakan “Tarbiah Ramadan, Membentuk Ketakwaan” yang diadakan di Baitul Rahman dan kediaman ahli masing-masing.

   Program IHTIRAM ’21 pada kali ini bermula pada 29 Syaaban sehingga 28 Ramadan 1442 Hijrah bersamaan 11 April sehingga 10 Mei 2021 Masihi. Walau bagaimanapun, IHTIRAM ’21 pada kali ini dijalankan agak sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan ujian wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia membataskan pelaksanaan aktiviti berbentuk perkumpulan.

   Objektif utama program IHTIRAM ’21 dianjurkan adalah bagi menjana pembinaan thaqafah dan nilai rohani mahasiswa/wi Perak melalui pentarbiahan madrasah Ramadan. Meningkatkan penghayatan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli KPIPM. Memperkukuh aspek kebajikan kepada anak-anak Perak & warga tempatan. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, IHTIRAM ’21 pada kali ini telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi semua mahasiswa dan mahasiswi di bulan Ramadan dengan mengikut norma baharu.

   Tirai program Ihya Tarbawi Ramadan 2021 (IHTIRAM ’21) dibuka dengan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh AF Ustaz Abdul Hadi bin Abd Razak, Setiausaha Kedua (Hal Ehwal Agama) Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada 12 April 2021, Isnin, 4.30 petang yang diadakan secara langsung di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir.

   Antara aktiviti-aktiviti IHTIRAM ’21 yang dapat dilaksanakan pada kali ini ialah syantah Ramadan, agihan iftar, pertukaran juadah dan tadarus al-Quran.

   Selain itu, IHTIRAM ’21 juga telah berjaya melaksanakan beberapa aktiviti mingguan seperti Ribat Sufi, Raudhatul Muttaqin, Tafaqquh an-Nisa’ dan Kembara Sahur. Kembara Sahur mempunyai kelainan berbanding Ramadan sebelumnya iaitu rumah sewa yang menyertai kembara sahur ini bersahur di rumah sewa ahli yang lain pada setiap hari Jumaat.

   Pihak program mengambil manfaat melalui media massa dengan mengadakan pengisian-pengisian berbentuk poster, video fazakkir dan menyarankan kepada semua ahli untuk menonton siaran langsung Ribat Sufi yang diadakan pada setiap hari Khamis di Laman KPIPM. Pengisi yang dijemput khas dari Malaysia  merupakan mantan ahli KPIPM.

   Seterusnya, IHTIRAM ’21 juga ada melaksanakan aktiviti bulanan seperti menyediakan edaran iftar kepada ahli-ahli yang tinggal di wisma
dan diagihkan kepada rumah ahli yang tinggal di sabiek, asyir, darasah dan rabaah.

   Pada kali ini, Ihya Tarbawi Ramadan (IHTIRAM ’21) melabuhkan tirai dengan Majlis Khatam al-Quran secara langsung di Laman KPIPM sebagai aktiviti terakhir IHTIRAM’21 yang berlangsung pada 10 Mei 2021 selepas solat sunat tarawih. Majlis dimeriahkan lagi dengan tayangan video pemenang pertandingan serta video penutup IHTIRAM’21.

   Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu menjana pembinaan thaqafah dan nilai rohani mahasiswa/wi Perak melalui pentarbiahan madrasah Ramadan tercapai. . Semoga melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti IHTIRAM ’21 pada kali ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli KPIPM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPIPM.

Disediakan oleh:
DANIAL ISKANDAR BIN  ZAINI,

Setiausaha (Promosi) Ihya Tarbawi Ramadan 2021 (IHTIRAM ’21),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir 2020/2021.








Sunday, May 16, 2021

MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 2


MAKLUMAN | PENANGGUHAN PROGRAM KPIPM FASA 2

Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Firman Allah S.W.T :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

[ Surah Al-Mujadalah, Ayat 11 ]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Iman dan Islam serta menjadikan kita sentiasa dalam naungan-Nya. Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) merupakan sebuah kesatuan yang menaungi anak-anak Perak di Mesir sejak tahun 1964. Kesatuan ialah sebuah keluarga yang sentiasa berperanan dalam menjaga kebajikan ahli dalam segenap aspek. Selain itu, bertepatan dengan ayat al-quran dari Surah Al-Mujadalah, KPIPM sentiasa menitikberatkan kemenjadian ahli dalam aspek akademik. 

Sedia maklum, pihak Universiti Al-Azhar telah mengumumkan tarikh bagi pelaksanaan imtihan bagi fasa yang kedua secara rasmi. Oleh itu, KPIPM telah memutuskan bahawa penangguhan semua program di peringkat KPIPM bermula 16 Mei 2021 melainkan program yang berbentuk ilmiah, motivasi dan tarbiah. 

Hal ini bagi memberi peluang kepada mahasiswa/wi membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi imtihan yang terdekat ini. 

Peringkat kami mengharapkan semua ahli dapat membuat persediaan dengan sebaiknya, bertungkus lumus serta berusaha  mengulangkaji pelajaran, menghadiri kelas tutorial dan sebagainya bagi memperoleh kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan.

Disamping itu, pihak KPIPM berharap agar mahasiswa/wi sentiasa menguatkan hubungan dengan Allah S.W.T dan memperbanyakkan doa sesama kita yang merupakan kunci-kunci kejayaan bagi seorang individu muslim. Pihak KPIPM juga berharap agar anak-anak Perak dapat menjaga kesihatan dan keselamatan sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah agar segala usaha dan amal yang kita lakukan diterima oleh Allah seterusnya menatijah keputusan yang terbaik bagi imtihan ini. Doakan juga segala ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan kita dapat mengamalkannya sampai bila-bila serta mampu membimbing masyarakat ke jalan yang Allah redhai. Semoga kejayaan yang diperoleh menjadikan kita bertambahnya ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Siiruu 'Ala Barakatillah

Ammar Rushdi bin Jamaluddin

Yang Dipertua

Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021


#KPIPMkeluargakita

#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM 

#BersamaMenjayakanKempenMohNajahBersama 


BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, May 4, 2021

PENA AZHARI | TARBIAH RAMADAN, MEMBENTUK KETAKWAAN

 


PENA AZHARI | TARBIAH RAMADAN, MEMBENTUK KETAKWAAN

Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

وبعد،

Alhamdulillah, sekali lagi kita dijemput menjadi tetamunya yakni Ramadan, yang menjadi satu kegembiraan buat orang yang beriman. Ini kerana mereka ini dijadikan khusus oleh Allah SWT menjadi tetamuNya di bulan yang mulia ini.

Sesungguhnya ibadah puasa merupakan suatu kewajipan sejagat dan suatu ibadah yang sempurna, dengannya boleh dijadikan wasilah kepada kemanisan iman. Lebih-lebih lagi ibadah ini adalah antara ibadah yang sangat penting, kerana melaluinya dapat mendekatkan diri seseorang hamba kepada Tuhannya.

Dalam satu Hadis Qudsi yang berbunyi:

 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: قال الله عز وجل : كل عمل ابن آدم له إلا الصيام . هو لي وأنا أجزي به

Maksudnya:

“Rasulullah SAW bersabda: Firman Allah Azza Wa Jalla: Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran padanya secara langsung.”

Sahabat sekalian,

Takwa menjadi tujuan utama berpuasa. Tujuan ini ditegaskan dengan jelas dan nyata oleh Allah SWT pada Al-Quran Al- Karim dan perlaksanaan puasa adalah dengan cara yang telah ditetapkan olehNya, mengikut kemampuan makhluk.

Firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ﴿ ١٨٣ ﴾

”Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

[Surah Al-Baqarah, Ayat 183]

Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh di sini bahawa kedudukan di sisi Allah SWT bukanlah terletak pada pangkat, harta, paras rupa dan sebagainya. Akan tetapi pada ketakwaannya. Para ilmuwan mendefinisikan Takwa ini sebagai sikap dalam diri seseorang yang melahirkan rasa perhambaan kepada Allah SWT dan takut kepadaNya, sehingga menggerakkan dirinya melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Seorang ilmuwan yang bernama Sheikh Soleh Al-Ja’fari Rahimahullah Taala pernah menyebut dalam kitabnya:

“Takwa ini merupakan perjalanan setiap kebaikan yang dapat dicapai oleh seseorang kepada kebaikan dan kebahagian dunia dan akhirat”.

Maka, boleh disimpulkan disini mereka yang tidak mempunyai takwa di sisi, tiada bagi mereka kebahagian dan kebaikan.

Sahabat yang dirahmati Allah SWT,

Namun menjadi persoalan disini, apakah ciri-ciri mereka yang disebutkan sebagai orang yang bertakwa ini ?. Maka, sudah tentulah mereka yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam segenap aspek, baik urusan keduniaan mahupun urusan akhirat.

Firman Allah SWT:

ذَ ٰلِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ ﴿ ٢ ﴾

”Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”

[Surah Al-Baqarah, Ayat 2]

Jika dilihat pada sudut yang lain, menjadi suatu hikmat besar turunnya Al-Quran pada bulan Ramadan sebagai petunjuk kepada sekalian manusia.

Firman Allah SWT:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah

Al-Baqarah, Ayat 185

Sahabat sekalian,

Selain itu, kedatangan Ramadan menjadi makanan buat ruh dan jasad hambaNya yang beriman. Dua elemen penting ini  yang menjadi keutamaan seseorang untuk terus melakukan tugasan beribadat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

 

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ ﴿ ٥٦ ﴾

”Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

[Surah Adh-Dhariyat, Ayat 56]

Tugasan ini tidak terpundak kepada makhluk lain seperti haiwan tanpa akal. Bahkan akal menjadi sebahagian besar daripada aspek rohani. Maka, seandainya seseorang hamba ini tidak mahu melakukan tugasan ini, maka mereka itu lebih hina daripada haiwan kerana mereka ini dianugerahkan oleh Allah SWT akal yang sempurna.

 

Firman Allah SWT:

 

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبࣱ لَّا یَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡیُنࣱ لَّا یُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانࣱ لَّا یَسۡمَعُونَ بِهَاۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ ﴿ ١٧٩ ﴾

 

”Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

[Surah Al-A'raf, Ayat 179]

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT,

Seterusnya, suka untuk kita datangkan peristiwa-peristiwa kemenangan Islam yang bersejarah, yang berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya, kemenangan umat Islam di perang Badar, manakala kemenangan Ain Jalut mengalahkan bala tentera kaum Tatar yang paling ganas dan pernah menghancurkan Kota Baghdad. Puncanya, Kota Baghdad hancur ketika itu kerana menganggap hal itu mustahil berlaku kesan lemahnya iman. Malahan, banyak lagi sejarah kemenangan Islam yang telah di lakar mereka yang terdahulu. Semua kemenangan itu, bukan hanya terletak kepada bilangan dan kelengkapan lengkap, akan tetapi dengan berbekalkan kekuatan iman sehingga pertolongan Allah SWT turun dan dapat mengalahkan musuh.

Justeru, kesimpulannya disini antara hikmat Ramadan adalah memberikan tarbiah jihadiyah kepada umat Islam, sehingga mereka berjaya melawan nafsu untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan mendapat kemenangan dalam menghadapi musuh-musuhnya. Maka demikianlah begitu banyak hikmah yang dapat dikecapi pada bulan yang mulia ini. Sentiasalah muhasabah diri setelah berpuasa sepanjang Ramadan. Janganlah hanya sia-sia berlapar dan letih tanpa menanam sifat takwa agar dapat menentukan hikmah sebenar daripada Ramadan.

Tarbiah Ramadan, Membentuk Ketakwaan.

#IHTIRAM21
#KPIPMKeluargaKita

#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

 

Nukilan daripada :

Ahmad Fariez Izwan bin Fauzi

Pengarah Unit Biah Solehah KPIPM sesi 2020/2021


Monday, May 3, 2021

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN SETIAUSAHA HEWI KPIPM SESI 2020/2021


MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN SETIAUSAHA HEWI KPIPM SESI 2020/2021
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021

Berikut merupakan pemakluman pemangkuan jawatan Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2020/2021. Pemangkuan adalah seperti berikut :

Ustazah Nurul Huwaida binti Alias
Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2020/2021
📞 +201090398515
📧 kpipmsuhewi64@gmail.com

▶️ Dipangku oleh :

Ustazah Syahidatul Aimi binti Khairuddin
Ketua HEWI KPIPM sesi 2020/2021
📞 +201014253101
📧 kpipmkhewi64@gmail.com

Sebarang urusan yang berkaitan, boleh merujuk kepada pemangku yang telah dilantik.

#KPIPMkeluargakita

#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS 

"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...