Wednesday, February 28, 2018

LAPORAN WINTER SESSION DAURAH 2018 (WISDOM'18)

WINTER SESSION DAURAH 2018 (WISDOM’18)

KAHERAH - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program ilmiah selama empat hari bermula 18 Februari sehingga 22 Februari 2018 di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Program yang diberi nama Winter Session Daurah (WISDOM’18) diadakan bagi menambahkan thaqafah dan ilmu pengetahuan agama dalam kalangan ahli KPIPM.

Tema program pada kali ini adalah “Pemantapan Thaqafah, Teras Keizzahan Ummah” dan objektif yang telah digariskan ialah memperkasakan medium sebaran ilmu turathi dan kontemporari kepada ahli, memaksimumkan suasana ilmu di dalam Wisma Darul Ridzuan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli.

Program ini bermula selepas solat subuh pada hari Ahad, 18 Februari 2018 seawal 6.00 pagi dengan Pembacaan Kitab Hadis : الأربعون حديثا عبد الله بن سعيد محمد عبادي اللحجي yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz selaku Ketua Unit Taalim Muaalim Jabatan Fasilitator KPKM 2017/2018. Pada sebelah malamnya pula diadakan, Daurah Tafsir Surah al-Kahfi bersama Syeikh Habibullah Hasan Ahmad yang merupakan Pensyarah Kuliah Akidah dan Falsafah, Universiti Al-Azhar Kaherah.

Pada hari kedua bertarikh 19 Februari 2018, WISDOM’18 diteruskan dengan sambungan pembacaan kitab hadis :الأربعون حديثا عبد الله بن سعيد محمد عبادي اللحجي yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Faris bin Abdul Aziz selama 2 jam. Pada sebelah petang, pihak penganjur telah mengadakan pameran dan demonstrasi seni khat sempena WISDOM’18. Jutaan terima kasih diucapkan kepada Ustaz Muhd Khairi bin Jamaluddin dari PMUI dan Ustazah Fatin Hanani binti Mohd Zaid daripada KPKM atas kesudian menjadi pengisi bagi Demonstrasi Seni Khat WISDOM’18. Pada sebelah malam pula, sekitar jam 7.00 hingga 9.00 malam telah berlangsungnya pembentangan kertas kerja yang bertajuk “Inisiasi Feqh An-Nasru wa Tamkin dalam perspektif Al-Quran” disampaikan oleh Ustaz Muhammad Safwan bin Azzami, Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir sesi 2017/2018.

Pada hari berikutnya bertarikh 20 Februari 2018 seawal 6.00 pagi diadakan Pembentangan Kertas Kerja bertajuk “Feqh Khamsah” yang disampaikan oleh Ustaz Aiman bin Yahaya selaku Fasilitator Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018. Pada malamnya, telah berlangsung Diskusi Kitab “Tarbiyatul Awlad” yang telah dikupas oleh Ustaz Mohd Ainuddin bin Mohd Ishak, Pengarah Unit Baitul Muslim sesi 2017/2018 bermula jam 7.30 malam sehingga 9.30 malam.

Pada hari keempat program diteruskan lagi dengan sambungan pembentangan kertas kerja : “Feqh Khamsah” yang disampaikan oleh Ustaz Aiman bin Yahaya. Pada sebelah malamnya, berlansungnya Wacana Siswa : ” The Great Conquest” yang dikendalikan oleh moderator, Ustaz Muhammad Akmal Azri bin Ab Wahab bersama 2 ahli panel jemputan iaitu Ustaz Jasri Raimy bin Johari dan Dr. Amir Adham bin Johari. Setelah itu, program Winter Session Daurah 2018 ( WISDOM’18) diteruskan lagi dengan acara penyampaian hadiah bagi peserta pertandingan menulis khat sempana WISDOM’18.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita bersyukur ke hadrat Ilahi kerana program Winter Session DAURAH 2018 (WISDOM’18) pada sesi kali ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang diketengahkan. Pelbagai input-input menarik dan berguna telah diperoleh oleh ahli KPIPM sepanjang program ini. Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak yang terlibat bagi menjayakan program WISDOM’18 dan diharapkan program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.

“Pemantapan Thaqafah, Teras Keizzahan Ummah”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Setiausaha Winter Session Daurah 2018 (WISDOM’18) KPIPM sesi 2017/2018

 

SERANGAN DI TIMUR GHOUTA, SYRIA

ISU SEMASA | SERANGAN DI TIMUR GHOUTA, SYRIA
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2017/2018

Lebih 403 penduduk terbunuh di Timur Ghouta berikutan serangan udara rejim Bashar Al-Assad yang dibantu sekutunya, Russia, di kawasan yang dikuasai pergerakan pejuang, kata kumpulan pemantau.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 403 penduduk, termasuk 150 kanak-kanak terbunuh, manakala hampir 2,120 lagi cedera, dalam ‘serangan menggila’ rejim Syria bermula Ahad lalu.

"Ayah, ayah!"
"Ibu. Di mana ibu?"
"Ketika ayah masih hidup, ayah memberitahu saya yang dia sangat sayangkan saya dan adik saya. Tetapi mengapa ayah pergi membawa adik bersama, dan meninggalkan saya?"

Serangan rejim membunuh psikologi anak-anak kecil ini. Selepas rumah mereka runtuh, mereka akan didukung oleh pasukan penyelamat lalu terpisah dari ibu bapa mereka.

Ketika itu, mereka akan bertanyakan tentang ayah dan ibu mereka. Pasukan Syria Civil Defence - The White Helmets sedaya upaya cuba untuk menjawab dan menenangkan mereka. Kerana ketika itu, anak-anak perlu dibawa ke tempat yang lebih selamat.

"Situasi kemanusiaan di Timur Ghouta mengerikan. Oleh itu, kita memerlukan gencatan senjata bagi menghentikan pengeboman mengerikan di Timur Ghouta, serta serangan mortar ke arah Damsyik.

Maka sebagai mahasiswa/wi Islam perlulah mengambil cakna tentang isu saudara seakidah kita sejajar menjayakan objektif UPP pada sesi ini antaranya meningkatkan kecaknaan dan kefahaman yang jelas terhadap isu atau kupasa semasa kepada ahli.

Ayuh kita perbanyakkan doa dan qunut nazilah  untuk saudara kita kerana doa itu senjata yang paling kuat bagi orang mukmin.

"Manifestasi Informasi, Aspirasi Visi"

#Pray4Ghouta
#BersamaBersatuJayakanUsulYdp

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

LAPORAN PROGRAM HARI KELUARGA ANAK-ANAK PERAK DI MESIR 2018 (MESRA'18)

PROGRAM HARI KELUARGA ANAK-ANAK PERAK DI MESIR 2018 (MESRA’18)

KAHERAH - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018 dengan kerjasama Atase Pendidikan Negeri Perak telah menganjurkan program yang dinamakan Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir 2018 (MESRA’18). MESRA’18 kali ini berkonsepkan “Tradisional Kenegerian” yang telah berlangsung dengan jayanya selama lima hari bermula 8 Februari sehingga 13 Februari 2018 bertempat di Wisma Darul Ridzuan. Program yang bertemakan “Simpulan Ukhuwah, Citra Muhibah” ini melibatkan seluruh ahli KPIPM selari dengan objektif yang digariskan pada kali ini iaitu mengasah bakat ahli dalam bidang yang pelbagai, memaksimumkan medium ekonomi dan kebajikan ahli, meluaskan capaian pengetahuan ahli dalam ilmu kontemporari, menerapkan kefahaman islam yang syumul berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah seterusnya memperkukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir.

Kemeriahan MESRA’18 kian terasa dengan berlangsungnya perjumpaan rumah sukan ikhwah (4 Februari 2018) dan akhawat (31 Januari 2018) bertempat di Wisma Darul Ridzuan. MESRA’18 bermula pada hari Khamis, 8 Februari dengan Tazkirah Subuh bertajuk “Kesatuan Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Ainuddin bin Abu Jamil. Pada sebelah malamnya seawal jam 7.15 malam, diadakan pula Malam Perasmian dan Gimik Pelancaran Hari Keluarga Anak-anak Perak Di Mesir 2018 (MESRA’18). Program ini dirasmikan oleh Pembantu Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak, Encik Muhammad Fauzan bin Abdul Rahim selepas sahaja Ucapan Aluan daripada daripada Pengarah MESRA’18, Ustaz Muhammad Zulhafiz bin Jefri serta Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018 Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri. Majlis diteruskan lagi dengan pelancaran gimik perasmian MESRA’18 di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan serta tayangan video pengenalan MESRA’18. Kemudian program diteruskan dengan Forum Unit Bait Muslim “Syurgaku Impianku” yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Ainuddin bin Mohd Ishak dan Ustazah Afiqah Syuhaidah binti Abd Samad bermoderatorkan Ustaz Muhammad Amir bin Ghazali.

Pada hari kedua, Kemesraan MESRA’18 dihangatkan lagi dengan pertandingan Piala KPIPM dan Piala An-Nisa’. Pertandingan tersebut bertempat di Arena Champion bagi ikhwah dan Wafa Amal bagi akhawat. Perlawanan akhir telah berlangsung diantara pasukan Hussein Legend dan Sahabat FC. Kedua-dua pasukan telah berjaya menyamakan kedudukan dan perlawanan dilanjutkan kepada penalti. Akhirnya, Hussein Legend telah berjaya menjuarai perlawanan sekaligus merangkul Piala KPIPM pada sesi ini. Manakala untuk perlawanan akhir, pasukan Rabiatul Adawiyah berjaya menumbangkan pasukan lawan Shipuden dengan mata 8-4, sekaligus merangkul gelaran Juara Piala An-Nisa’pada sesi ini. Untuk anugerah pemain terbaik di menangi oleh Saudara Abdul Fattah bin Abd Razak dan penjaring terbanyak oleh Saudara Safwan daripada Shoubra sebanyak 10 jaringan. Bagi pemain terbaik Piala An-Nisa’ dimenangi oleh Saudari Nor Syakira bt Yusof manakala penjaring terbanyak dengan 18 jaringan dianugerah kepada Saudari Siti Nur ‘Amirah Athirah binti Md Natar. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

MESRA’18 diteruskan pada hari berikutnya iaitu hari ketiga dengan acara indoor ikhwah dan akhawat seperti hafazan, dam haji, gubahan buah, teh tarik, wau saya, lompatan ukhuwah, batu-batu harmoni dan bermacam-macam aktiviti menarik yang telah disusun oleh peringkat pengisian MESRA’18. Pada sebelah malam pula, program diteruskan dengan talkshow Perubatan yang bertajuk “Rasullullah is My Doctor “ yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim bin Yusuf dan Dr. Noha Nabila binti Mohamad Akhir yang bermoderatorkan Ustaz Muhamad Nur Hafiz bin Musri.

Pada hari keempat, program diteruskan lagi dengan aktiviti outdoor ikhwah dan akhawat. Antara aktiviti outdoor ikhwah adalah perbarisan, acara sukaneka dan balapan yang bertempat di Istad Abbasiah, manakala aktiviti outdoor akhawat berbentuk perbarisan, sukaneka dan  “Speaker Corner” yang bertajuk “My Country Depends On Our Hand” disampaikan oleh Ustazah Syariza binti Ayub bertempat di Hadiqah Atfal.

Maka tibalah Majlis Penutupan Hari Keluarga Anak-anak Perak di Mesir 2018 (MESRA’18). Sebelum itu, disebelah petang, majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan diperingkat akhawat. Antaranya persembahan Dikir Barat, Tarian Piring, Tarian Zapin dan Nasyid daripada Usrah Khairatun Hisan. Kemudian, pada sebelah ikhwah pula diadakan aktiviti kebajikan. Antara perkhidmatan yang dibuat adalah berbekam, akupuntur dan refleksologi. Pada sebelah malam, majlis diteruskan lagi dengan pertandingan Persembahan Dikir Barat mengikut tradisional rumah negeri masing-masing. Majlis Penutupan MESRA’18 telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sesi 2017/2018, Ustaz Norhalim bin Lokman diikuti dengan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang sepanjang program MESRA’18. Pertandingan persembahan Dikir Barat dimenangi oleh Rumah Kuning. Pembarisan terbaik ikhwah dimenangi oleh Rumah Biru manakala disebelah akhawat dimenangi oleh Rumah Merah. Bagi perkampungan ikhwah dimenangi oleh Rumah Biru manakala bagi peringkat akhawat dimenangi oleh Rumah Merah. Markah tertinggi keseluruhan rumah sukan pada sesi kali2 ini telah disandang oleh Rumah Biru iaitu ‘’The Blue Panthera”. Tahniah diiucapkan kepada seluruh ahli rumah sukan di atas kejayaan yang diperoleh. Majlis berakhir sekitar jam 11.30 malam dengan tayangan video penutupan MESRA’18 dan sedikit jamuan ringan.

Maka berakhirlah sudah program MESRA’18 sesi 2017/2018. Diharapkan agar program ini dapat dapat mengeratkan tautan ukhwah islamiah serta memperkukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir. Sekalung penghargaan diucapakan kepada semua pihak yang menjayakan MESRA’18 dan semoga program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.

Simpulan Ukhuwah, Citra Muhibah”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
‘’MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN’’

Disediakan oleh :
Setiausaha MESRA’18 Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018

Tuesday, February 27, 2018

LAPORAN EXPLORE SINAI 2018 (EXPLORE'18) IKHWAH

EXPLORE SINAI 2018 (EXPLORE’18) IKHWAH

KAHERAH - Pada tarikh 29 Januari hingga 31 Januari 2018, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2108 telah mengadakan jaulah yang diberi nama sebagai EXPLORE SINAI 2018 (EXPLORE’18) khusus bagi peserta ikhwah. Jaulah ini diadakan adalah bersempena dengan cuti semester penggal pertama.

Pada tarikh 29 Januari, jam 3.00 pagi  semua peserta diminta untuk berkumpul diperkarangan Baitul Rahman untuk semakan nama dan taklimat yang telah disampaikan oleh Unit Disiplin. Antara yang ditekankan adalah berkenaan tentang etika dan keselamatan ketika aktiviti jaulah dilaksanakan. Bilangan peserta yang menyertai jaulah ini adalah seramai 49 orang.

   Alhamdulillah, pada jam 4.00 pagi, bas pun memulakan perjalanan ke destinasi yang ditetapkan. Kami singgah sebentar  di Nokhtah Hasanah bagi menunaikan solat subuh, sejurus selesai menunaikan solat perjalanan pun bersambung kembali.

Bagi memeriahkan suasana, Unit Pengisian telah mengadakan majlis perasmian yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018 (Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri) dan diselangi oleh Pengarah EXPLORE’18 (Ustaz Muhamad Amirul Syahmi bin Yusof). Setelah itu, para peserta diisi dengan penerangan yang telah disampaikan oleh musyrif penerangan yang bertugas iaitu Ustaz Amilrol Anua bin Osman, aktiviti taa’ruf dan lain-lain.

Pada hari pertama, pelbagai tempat yang menarik telah dilawati pada jaulah kali ini. Antaranya ialah Kubu Barleif (kubu perang Israel), Uyun Nabi Musa AS, Kesan lembu Samiri dan Maqam Nabi Harun AS. Setiap tempat yang dilawati akan diadakan sedikit penerangan dari peringkat musyrif penerangan sebagai input ilmu dan thaqafah bagi para peserta dalam mengambil ibrah dan pengajaran diatas setiap perkara yang telah terjadi .
                                                                          
Pada hari kedua, ekspedisi ini diteruskan dengan pendakian Jabal Nabi Musa A.S, aktiviti mendaki bermula jam 1.00 pagi dan mengambil masa selama 4 jam untuk sampai ke puncak bukit. Sejurus selepas sampai di puncak, kami pun menunaikan solat subuh secara berjemaah di sebuah masjid diatas puncak dan itu kami menikmati pemandangan matahari terbit dan terus diberikan pengisian mengenai sejarah Jabal Nabi Musa AS. Setelah selesai aktiviti pendakian, kami pun pulang bagi bersiap-siaga untuk ke destinasi seterusnya iaitu di Dahab.
        
Tatkala sampai sahaja di Dahab, kami terus singgah ke pantai awam untuk makan tengahari dan aktiviti pantai yang disusun oleh Unit Pengisian dengan beberapa aktiviti yang sangat mencuit hati para peserta. Kemudian, kami pun pulang ke tempat penginapan iaitu Hotel Octopus dan Hotel Happyland. Selepas makan malam, para peserta diberi keizinan untuk melakukan aktiviti bebas samada membeli cenderamata atau menikmati makanan laut (seafood) di kedai-kedai yang berhampiran. Semua pulang ke bilik masing-masing jam 11:00 malam.                                                                                                      
Pada hari ketiga, seusai menunaikan solat Subuh, aktiviti diteruskan lagi dengan menaiki ATV Quard Bike. Kami singgah sebentar di suatu bukit yang diberi nama Canyon bagi menikmati sarapan pagi dan berjalan-jalan disekitar bukit tersebut. Setelah selesai, peserta pun bergerak pulang ke penginapan untuk urusan checkout dari hotel masing-masing. Sebagai penutup, para peserta disajikan aktiviti Glassboat sebagai tanda mensyukuri keindahan ciptaan Allah disamping mengambil gambar kenang-kenangan disepanjang aktiviti ini.

Setelah itu, eksepedisi ini pun memulakan perjalanan pulang ke Kaherah. Kami singgah sebentar di sebuah masjid di Sharm El-Sheikh untuk menunaikan solat, makan tengah hari dan mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada YDP KPIPM, Musyrif Penerangan dan Unit Makanan sebagai tanda penghargaan diatas bantuan dan kerjasama yang telah diberikan.

Sebelum sampai ke Kaherah, Unit Pengisian meneruskan aktiviti didalam bas dengan mengadakan aktiviti pertukaran hadiah, sambungan ta’aruf dan majlis penutup yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri. Kami selamat tiba di perkarangan Mahkamah Hayyu Sabik pada jam 12.30 malam. Alhamdulillah.           

Akhir sekali, besarlah harapan kami, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018 agar aktiviti sebegini dapat menambahkan thaqafah serta mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah islamiah dalam kalangan anak-anak Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik daripada semua peringkat sama ada secara langsung atau tidak langsung, kami dahulukan dengan ucapan "Jazakumullahu khairan kathira".

“Explore The Nature, Enhance Our Knowledge”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Setiausaha EXPLORE'18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018

Monday, February 26, 2018

LAPORAN EXPLORE SINAI 2018 (EXPLORE'18) AKHAWAT

EXPLORE SINAI 2018 (EXPLORE’18) AKHAWAT

Kaherah - Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) pada sesi kali ini telah berjaya menganjurkan jaulah ke Semenanjung Sinai di peringkat akhawat bermula dari 27 Januari sehingga 29 Januari 2018. Aktiviti ini dibawah anjuran Ketua Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) dengan seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI. Antara tujuan utama jaulah ini adalah mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli HEWI KPIPM selain daripada mengambil ibrah daripada sunnah mengembara.

Explore Sinai 2018 ini telah berjaya mengumpulkan ahli HEWI KPIPM seramai 82 orang yang terdiri daripada semua peringkat ahli samada mahasiswi baru mahupun mahasiswi lama.

Perjalanan telah bermula pada 27 Januari 2018, jam 3.00 pagi dengan menaiki 2 buah bas. Pembacaan doa telah diketuai oleh Ustaz Mohamad Farhan bin Mohd Ariff selaku wakil AJKT bagi jaulah kali ini.
 
Bas tiba di Nokhtah Hasanah sekitar jam 6.00 pagi. Untuk makluman, Nokhtah Hasanah adalah merupakan sebuah perhentian rehat untuk kenderaan sebelum memasuki Terowong Ahmad Hamdi bagi melintasi Terusan Suez. Disini, para peserta diberi penerangan oleh musyrif penerangan yang bertugas iaitu Ustaz Muhammad Faiz bin Mohd Salim dan Ustaz Muhamad Ridhuwan bin Mohamad Noor.

Terowong ini dibina bagi menyambung bumi Mesir yang terpisah kepada dua benua iaitu Benua Afrika di sebelah Barat dan Benua Asia di sebelah Timur. Sementara itu, nama terowong ini pula diambil bersempena dengan nama Panglima Perang yang mencetuskan idea penggalian terowong ini.

Setelah selesai solat Subuh secara berjemaah, perjalanan diteruskan dengan melalui Terowong Ahmad Hamdi. Kebanyakan peserta berasa teruja kerana dapat melalui terowong yang berada di bawah dasar laut Terusan Suez. Peserta difahamkan bahawa panjang keseluruhan Terusan Suez adalah163 KM yang menghubungkan Teluk Suez dibahagian Selatan dan Laut Tengah dibahagian Utara. Manakala lebar terusan ini adalah antara 120 meter sehingga 200 meter. Terusan Suez ini telah dibina pada tahun 1859 oleh Ferdinand de Vicomte de Lesseps daripada Perancis dan mengambil masa selama 10 tahun kemudian dan mula digunakan secara rasmi pada tahun 1870.
 
Selesai melintasi terowong, kami terus menuju ke destinasi pertama iaitu Kubu Barlief yang merupakan tapak peninggalan kubu Israel yang datang menjajah Sinai pada tahun 1967. Kemudian, perjalanan diteruskan lagi dengab melawat Uyun Nabi Musa A.S yang terletak hanya kira-kira 500 meter dari kubu Barliev. Peserta Explore diberitahu bahawasanya di sinilah terdapat 12 telaga yang telah digali oleh 12 puak dari kalangan Bani Israel dan disinilah kami melakukan sesi perasmian EXPLORE'18 dan sarapan pagi.
            
Kemudian, kami bertolak pula ke Jabal Musa A.S (St.Catherina). Pada jam 3.00 petang, para peserta mengambil peluang untuk berdoa dan bertawassul di Maqam Nabi Harun A.S serta bergambar kenangan di bukit Batu Kesan Lembu Samiri. Bukit Batu Kesan Lembu Samiri ini merupakan kesan pancaran cahaya matahari terhadap patung emas samiri yang dicipta oleh kaum Bani Israel ketika Nabi Musa A.S bermunajat kepada Allah SWT di Tur Sina' (Jabal Musa A.S).

Setelah itu, kami terus ke tempat penginapan di Wadi Muqaddas untuk menunaikan solat, makan dan berehat. Kemudian, taklimat keselamatan dan pembahagian kumpulan telah dijalankan sebagai persediaan untuk pendakian Jabal Nabi Musa A.S.

Pada jam 12.00 pagi, kesemua peserta bersiap sedia bagi menaiki bas untuk ke kaki Jabal Musa A.S. Setelah selesai membuat pendaftaran kepada polis yang menjaga Jabal Musa A.S, semua peserta terus mengikut kumpulan yang telah ditetapkan. Dan tepat jam 12.45 pagi, ekspedisi pendakian Jabal Musa A.S pun bermula. Jabal ini mencapai ketinggian sehingga 2 285 meter dari paras laut.

Alhamdulillah, sekitar sebelum azan Subuh pada jam 6.00 pagi, kesemua peserta telah selamat tiba di puncak Jabal Musa A.S. Selesai Solat Subuh berjemaah, para peserta duduk secara berhimpit bagi mengekalkan haba untuk memanaskan badan masing-masing sementara menunggu matahari terbit. Kesemua peserta dihimpunkan dan diberi sedikit penerangan oleh musyrif penerangan.

Dipuncak tersebut terdapat beberapa tanda kebesaran Allah SWT. Antaranya adalah tapak gunung yang hancur apabila Allah SWT menunjukkan zatNya setelah diminta oleh Nabi Musa A.S, juga terdapat satu lubang yang merupakan tempat Nabi Musa A.S bermunajat kepada Allah SWT ketika peristiwa menerima wahyu berupa Kitab Taurat. Selain itu, terdapat satu batu besar yang menyelamatkan (asbab) Nabi Musa A.S daripada impak letupan gunung yang meletup itu. Dikisahkan juga, terdapat kesan tapak kaki Buraq yang menjadi tunggangan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa isra’.

Selesai slot penerangan, para peserta ekspedisi mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai untuk kenang-kenangan. Kemudian, aktiviti menuruni Jabal Musa pun bermula dengan melalui tapak perkampungan Nabi Ilyas A.S. Setelah hampir 3 jam perjalanan, maka kesemua peserta selamat tiba di kaki Jabal Musa A.S pada jam 10.30 pagi.

Setelah itu peserta Explore terus pulang ke tempat penginapan dan bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan ke Dahab.
Alhamdulillah, kami tiba di Pantai Awam Dahab pada jam 3.00 petang.

Untuk makluman, Dahab ini adalah berasal daripada perkataan bahasa Arab iaitu (zahab) yang bermaksud emas. Seluruh pantai Dahab akan kelihatan kekuning-kuningan seperti keemasan pada sebelah petang apabila matahari mula melabuhkan tirainya. Disana, kami menunaikan solat dan makan sambil menikmati pemandangan di tepi pantai.

Semasa makan, seramai 30 orang peserta (kumpulan 1) diminta untuk melakukan aktiviti belayar menaiki Glass Boat bagi melihat pelbagai spesis batu karang dan hidupan laut, adapun yang berbaki (kumpulan 2) diminta untuk berehat. Pelayaran ini mengambil masa selama satu jam. Pelbagai reaksi boleh dilihat daripada peserta ekspedisi sepanjang pelayaran ini yang seterusnya mengikat lagi ikatan ukhuwah antara satu sama lain.

Setelah selesai, pada jam 5.30 petang kami bergerak ke Hotel Octopus yang terletak berhampiran dengan pantai Dahab. Pantai ini adalah salah satu pantai yang menjadi tumpuan mahasiswa Malaysia untuk mengadakan aktiviti antaranya sukan ATV Quard Bike dan pelayaran Glass Boat bagi melihat batu karang dan ikan yang memenuhi pantai Dahab.

Seusai mendirikan solat, kesemua peserta mengambil peluang berjalan-jalan di Pasar Dahab yang banyak menjual pakaian sejuk dan cenderamata kenang-kenangan.

Pada keesokan hari, ekspedisi ini diteruskan dengan aktiviti ATV Quard Bike (motosikal tayar empat) oleh kumpulan 1. Manakala kumpulan kedua pula bergerak ke Pantai Awam Dahab bagi menaiki Glassboat. Alhamdulillah, peluang yang tidak diduga, peserta dapat melihat seekor ikan lumba-lumba berenang berhampiran dengan glassboat. Setelah semuanya selesai, kami pun pulang ke tempat penginapan untuk berehat dan mengemas barang sebelum checkout dari Hotel Octopus.
 
Tepat jam 1.00 petang, EXPLORE'18 pun telah memulakan perjalanan pulang ke Kaherah. Di dalam perjalan, kami singgah sebentar di Masjid Mustafa di pinggir bandar Sharm El-Sheikh bagi menunaikan solat menikmati makanan tengahari. Setelah itu perjalanan diteruskan sehinggalah tiba di Wisma Baitul Rahman sekitar jam 12.00 pagi. Alhamdulillah sepanjang program ini berjalan, tiada sebarang masalah yang timbul dan semoga tema EXPLORE'18 pada kali ini berjaya diterapkan kepada seluruh peserta. Moga ukhuwah  ini terus berkekalan hingga ke akhirnya.

“Explore The Nature, Enhance Our Knowledge”

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Setiausaha EXPLORE'18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...