Thursday, January 28, 2021

MAKLUMAN | PERTUKARAN JAWATAN & PELANTIKAN BAHARU ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2020/2021


MAKLUMAN | PERTUKARAN JAWATAN & PELANTIKAN BAHARU ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2020/2021 
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2020/2021 

Dengan ini dimaklumkan bahawa Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM sesi 2020/2021 telah bersetuju membuat pertukaran jawatan dan pelantikan baharu bagi Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2020/2021.

Oleh itu, pertukaran jawatan dan pelantikan baharu Anggota Badan Penasihat KPIPM sesi 2020/2021 adalah seperti berikut :

🔰Pengerusi Badan Penasihat : 
Ustaz Muhammad Fahmi bin Zakaria ▶️ Ustaz Mohamad Akmal Aliff bin Saleh 

🔰Setiausaha Badan Penasihat : 
Ustaz Mohamad Akmal Aliff bin Saleh ▶️ Ustaz Aiman bin Mohd Yusoff 

🔰Pelantikan Baharu AJK Badan Penasihat : 
Ustaz Muhammad Faiz bin Mohd Salim 

Semoga pemakluman ini mendapat perhatian daripada seluruh ahli KPIPM demi kemaslahatan kita bersama.

Siruu 'Alaa Barakatillah.

#KPIPMKeluargaKita 
#BersamaBersatuJayakanUsulYDP
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM 
BERILMU, BERAMAL,  IKHLAS 
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, January 26, 2021

PENA AZHARI | PERSEDIAAN MENGHADAPI IMTIHAN


PENA AZHARI | PERSEDIAAN MENGHADAPI IMTIHAN
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021

Penulis : Ustazah Fatin Zafirah Hanis binti Zainol Abidin
Tajuk : Persediaan Menghadapi Imtihan

Allah SWT berfirman:
وَاَنْ لَّيْسَ لِلْاِنْسَانِ اِلَّا مَا سَعٰىۙ * وَاَنَّ سَعْيَهٗ سَوْفَ يُرٰىۖ * ثُمَّ يُجْزٰىهُ الْجَزَاۤءَ الْاَوْفٰىۙ * وَاَنَّ اِلٰى رَبِّكَ الْمُنْتَهٰىۙ *
Maksudnya : Dan bahawa manusia hanya memperolehi apa yang telah diusahakannya, dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna, dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya (segala sesuatu)
[Surah An-Najm : Ayat 39-42]

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, Yang Maha Luas RahmatNya, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh ahli keluarga serta para sahabat baginda. 

Seringkali muncul persoalan berkenaan persediaan menghadapi imtihan yang baik dan cemerlang dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi apabila dibicarakan soal imtihan yang hampir tiba. 

Bagi menjawab persoalan ini, mahasiswa dan mahasiswi perlulah membuat persediaan yang jitu bagi memastikan tercapainya kecemerlangan dalam pengajian dan dibuktikan dengan kejayaan dalam imtihan serta menggenggam segulung ijazah yang akan di bawa pulang ke tanah air kelak. 

Rasulullah SAW  pernah bersabda: “Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah SWT akan memudahkan untuknya suatu jalan menuju syurga.”

Sukacitanya di sini, kita kongsikan beberapa tip persediaan menghadapi imtihan oleh Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah di dalam bukunya yang bertajuk Tip Menjadi Pelajar IPT Cemerlang.

Antaranya ialah:
1. Pemantapan Rohani.
Ilmu merupakan cahaya dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati yang bermaksiat. Terkaitnya maksiat dan ilmu sebagaimana Imam Syafie pernah mengadu kepada gurunya Waqi, tentang kesukarannya untuk mengingati pelajaran. Lantaran itu, gurunya berpesan agar meninggalkan perkara-perkara maksiat. Beliau kemudian menceritakan perisitiwa tersebut di dalam sebuah bait syair :
شَكَوْتُ إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي .. فَأرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ المعَاصي
وَأخْبَرَنِي بأَنَّ العِلْمَ نُورٌ .. ونورُ الله لا يهدى لعاصي
Maksudnya : "Saya mengadu kepada Waqi tentang kelemahan hafalan saya, lalu dia mengajarkan saya agar meninggalkan maksiat. Dia juga memberitahu saya bahawa ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya (ilmu) Allah SWT tidak akan memberikan petunjuk kepada orang yang melakukan maksiat."
Apabila seorang penuntut ilmu banyak melakukan maksiat, maka hal tersebut akan mengotori hatinya dan akan mendedahkan dirinya kepada akhlak yang buruk seperti ujub, hasad dan lain-lain. Justeru itu, para mahasiswa/wi mestilah sentiasa memantapkan kekuatan rohani melalui pengamalan ibadah-ibadah untuk mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Tingkatkan kualiti ibadah dan perlu bermujahadah dalam melaksanakannya.

2. Pengurusan Diri dan Pembahagian Masa yang Seimbang.
الوقت كالسيف فإن قطعته وإلا قطعك، ونفسك إن لم تشغلها بالحق وإلا شغلتك بالباطل
“Waktu laksana pedang. Jika engkau tidak menggunakannya, ia yang malah akan memotongmu. Dan dirimu jika tidak tersibukkan dalam kebaikan, pasti akan tersibukkan dalam hal yang sia-sia.”
Sebagai mahasiswa/wi seharusnya mempunyai jadual pengurusan diri dalam kehidupan seharian. Masa yang dibahagikan untuk makan, berehat, beriadah, belajar, ibadah dan lain-lain haruslah disusun secara teratur agar masa dapat diuruskan dengan bijak dan efektif. Seterusnya, penting untuk mahasiswa/wi menjaga masa dengan tidak bertangguh dalam sesuatu perkara. Sekiranya mempunyai masa yang terluang, segeralah menyelesaikan segala tugas-tugas yang diamanahkan.

3. Teknik dan Strategi Menghadapi Peperiksaan yang Berkesan.
Teknik dan strategi belajar yang berkesan adalah sangat penting bagi setiap mahasiswa/wi dalam usaha mencapai kejayaan yang cemerlang dalam imtihan. 

Antara teknik dan strategi belajar yang berkesan dan boleh dipraktikkan ialah :
 - Memastikan tarikh dan masa peperiksaan yang tepat untuk semua subjek yang berkaitan serta membuat jadual belajar misalnya secara harian atau mingguan.
- Melakukan ulang kaji sekurang-kurangnya sebulan sebelum tempoh peperiksaan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan. Mahasiswa/wi haruslah tahu memilih masa, tempat dan suasana yang baik semasa mengulang kaji pelajaran.
- Mengkaji contoh dan bentuk soalan tahun-tahun sebelumnya dan sekiranya tamat membaca silibus pelajaran lukiskan apa yang dibaca dalam bentuk nota peta minda sebagai rumusan.
- Memastikan kesihatan berada pada tahap yang terbaik terutama mengelakkan rasa lesu, mengantuk, letih, tegang urat dan sakit-sakit badan yang akan menganggu proses pembelajaran kita.

Selain itu, tawakal yang tinggi kepada Allah SWT dan usaha haruslah seiring supaya dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang.

5. Mengulang Kaji Pelajaran dengan Berkesan
Mengulang kaji secara berterusan dan berkesan merupakan formula kejayaan dalam pelajaran. Ulang kaji boleh dibuat dengan pelbagai cara seperti membaca buku kuliah, membuat latihan, merujuk kepada nota-nota dan berbincang secara berkumpulan. 

Antara panduan untuk mengulang kaji ialah :
- Mengenal pasti keutamaan subjek, yang perlu didahulukan dan perlu diberikan lebih perhatian serta mengenal pasti semua tajuk yang perlu dibaca secara umum dan setelah itu barulah mengkaji setiap tajuk secara lebih terperinci.
- Menghasilkan nota yang efektif, jangan terlalu ringkas hingga meninggalkan fakta-fakta penting, atau terlalu panjang sehingga sukar untuk membaca.
- Menghasilkan peta minda yang menarik dan berkesan dengan menggunakan bentuk-bentuk dan warna yang jelas dan terang.
- Melatih diri menerangkan setiap tajuk dengan hanya berpandukan kepada peta minda, dan lakukannya secara berulang kali bersama kawan-kawan, di hadapan cermin atau di kawasan lapang, serta boleh berlatih bersyarah dan berpidato dengan cara yang sama.
- Melatih diri untuk menjawab soalan-soalan tahun sebelumnya dan mengulang kaji sekurang-kurangnya 5 jam sehari.
Oleh yang demikian, persoalkan dalam diri selaku mahasiswa dan mahasiswi Kuliah Pengajian Islam di Universiti al-Azhar,  apakah sudah cukup persediaan yang dibekalkan untuk dibawa masuk ke dalam dewan peperiksaan kelak? Bagaimanakah kita meneliti tempoh yang berbaki kurang daripada sebulan ini untuk dimanfaatkan sebaiknya? Jawapannya ada pada diri masing-masing.
Firman Allah SWT di dalam Surah ar-Ra'd ayat 11:
لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ
Maksudnya, Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah SWT menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.
Selagi mana kaki kita belum lagi melangkah ke dalam dewan peperiksaan, maka di sana kita masih lagi mempunyai waktu dan ruang untuk berusaha sebaiknya.
Akhir sekali, dalam kesibukan membuat persediaan dalam menghadapi imtihan, usahlah kita lupa dan mengabaikan segala hak-hak dan tanggungjawab yang perlu kita tunaikan. Antara tanggungjawab yang perlu kita laksanakan adalah selaku hamba Allah SWT, anak, sahabat dan sebagainya. Rebutlah peluang yang ada dan bersedia untuk menjadi keluaran al-Azhar yang cemerlang, gemilang dan terbilang dan yang bakal menerajui dunia baru Islam! 

Siiru 'Ala Barakatillah.

Sumber rujukan : 
- Buku Tip Menjadi Pelajar IPT Cemerlang (Dato' Dr. Hj. Mohd. Fadzilah Kamsah)

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Sunday, January 3, 2021

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR

MAKLUMAN | PEMBUKAAN PEMBAYARAN WANG ITHAR 
Lembaga Tabung Ithar, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2020/2021


Pengertian sebenar Ukhuwah Islamiah dapat kita fahami dan renungkan melalui sirah perjuangan dakwah Baginda Nabi Muhammad SAW bersama dengan para sahabat yang boleh kita ambil pengajarannya sehingga hari ini. 

Imam Hassan Al-Banna telah menggariskan 3 peringkat dalam Ukhuwah Islamiah dan Ithar, merupakan tingkat yang tertinggi.

Allah SWT berfirman, 
وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Maksudnya :
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
(Surah Al-Hashr : Ayat 9)

Definisi Ithar adalah mengutamakan sahabat yang lain lebih daripada keperluan diri sendiri. Sebagaimana ibrah yang boleh kita dapati daripada tadabbur ayat diatas, kisah penghijrahan kaum Muhajirin dan kaum Ansar yang disatukan oleh Rasulullah SAW dengan ukhuwah yang jitu berteraskan aqidah Islamiah. 

Dan antara kisah yang sering kita dengar berkenaan dengan dua sahabat yang dipersaudarakan oleh Baginda SAW iaitu Abdurrahman bin Auf dan Saad bin Rabi' . Sahabat Ansar ini menawarkan separuh hartanya dan sanggup untuk mentalakkan salah seorang isterinya untuk Abdurrahman bin Auf, akan tetapi, dengan rendah hati tawaran itu ditolak dan Abdurrahman bin Auf meminta untuk ditunjukkan pasar kepadanya.

Rasulullah SAW bersabda :
 لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

Maksudnya : “Tidak beriman seseorang di antaramu hingga kamu mencintainya seperti kamu mencintai dirimu sendiri.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, KPIPM sebagai sebuah Badan Kebajikan Anak Negeri bertanggungjawab bagi memupuk sifat Ithar yang telah diajarkan oleh Rasulullah 
SAW ini supaya tertanam dalam diri dan jiwa seluruh anak Perak di bumi Mesir ini.

Maka dengan itu, peringkat ahli Lembaga Tabung Ithar pada sesi kali ini diteruskan dengan harapan bukan sahaja nilai ini dapat diamalkan, bahkan dapat membantu sahabat-sahabat lain yang berkemungkinan memerlukan bantuan dan pertolongan. 

Oleh itu, saya selaku Pengerusi Lembaga Tabung Ithar KPIPM sesi 2020/2021 menyeru kepada seluruh ahli KPIPM agar kita sama-sama menyumbang kepada Tabung Ithar bagi membantu rakan seperjuangan kita yang menghadapi kesulitan atau kesusahan agar sedikit sebanyak kita mampu meringankan beban mereka dan menyuburkan nilai Ithar dalam diri kita semua.

Semoga segala sumbangan kita dihitung oleh Allah SWT sebagai amal jariah dan menjadi syafaat bagi kita mendapatkan syurga Allah SWT di hari akhirat kelak.

"Ithar Menyemai Keikhlasan"

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...