Tuesday, January 2, 2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-57 (MAT-57)

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-57 (MAT-57) 
KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2022/2023

KAHERAH:-  Program Mesyuarat Agung Tahunan kali Ke-57 (MAT-57) sesi 2022/2023   anjuran Jabatan Setiausaha Agung Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023 dengan bertemakan “Syura Tunjang Kesatuan Islam”.

Program Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-57 (MAT-57) ini bermula pada 14 Oktober 2023 bersamaan 29 Rabiul Awal 1444H sehingga 15 Oktober 2023 bersamaan 30 Rabiul Awal 1444H bertempat di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Wisma Baitul Ridzuan. Program ini telah diadakan saban tahun tidak lain dan tidak bukan merupakan satu medium muhasabah dan cadangan dari ahli keluarga KPIPM bertujuan untuk menambahbaik segala kekurangan sepanjang tampuk kepimpinan ini bergerak.

Objektif utama yang ingin dicapai di peringkat program Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-57 (MAT-57) ini adalah menambahbaik penyusunan gerak kerja Ahli Jawatankuasa Tadbir KPIPM seperti menerima maklum balas antara pimpinan dan ahli mengenai gerak kerja yang telah dijalankan sepanjang tahun. Objektif seterusnya yang digariskan ialah mengeratkan Ukhuwah Islamiah antara pimpinan dan ahli dengan saling berinteraksi sepanjang program berlangsung dan saling bantu membantu meneruskan perjalanan majlis yang diadakan bersama-sama. Di samping itu, dapat memaksimumkan medium penerangan kepada ahli tentang perjalanan KPIPM dengan saling melontarkan idea yang bernas bagi meneruskan kelangsungan pergerakan persatuan ini.

Sebelum menunggu hari program Mesyuarat Agung Tahunan kali-57 (MAT-57) ini dilangsungkan, pihak penggerak program telah mengadakan Riadah  Ambang MAT-57 pada 6 Oktober 2023 bersamaan 21 Rabiul Awal 1444H bagi setiap ahli KPIPM menerusi Muzakarah Berkelompok Gabungan bagi ikhwah dan akhawat. Bagi belah ikhwah telah diadakan di Padang Champion Safarat. Antara aktiviti yang menarik yang telah diadakan ialah Speaker Corner yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Uzair bin Muhamad Zakuan, Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2023/2023 bagi menyemat utuh thaqafah dan ilmu pengetahuan ahli. Selain itu, pihak program juga mengadakan aktiviti sukan futsal bagi mengeratkan lagi hubungan sesama ahli selain melatih kemahiran dan teknik bagi meneruskan keberjayaan pasukan ahli KPIPM untuk menjuarai liga-liga yang akan diadakan nanti.

Bagi sebelah Akhawat, pihak program telah diadakan di Padang Nadi Alam Riyadi. Antara aktiviti yang menarik adalah Speaker Corner yang disampaikan oleh Ustazah Fatin Hakimah binti Marzlidin, Fasilitator KPIPM sesi 2022/2023. Selain itu, Aktiviti Sukan Rakyat juga diadakan bertujuan meningkatkan stamina para ahli di samping menggamit memori ketika kecil. Antara permainan yang dimainkan adalah Tuju Guli, Lompat Tikus dan Lompat Pepsi-Cola. Kita raikan bersama memori kecil ahli walaupun terdapat perbezaan kenangan dan zaman yang dilalui. Syukur kehadrat ilahi kerana aktiviti-aktiviti yang diadakan telah berjaya menambat hati dan disambut baik oleh mereka.


Seterusnya hari yang dinanti-nanti oleh ahli KPIPM ialah hari pertama Program Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-57 (MAT-57) pada hari Sabtu, 14 Oktober 2023 bagi melontarkan ucapan, muhasabah sepanjang sesi dan cadangan penambahbaikan untuk kelangsungan perjalanan KPIPM bagi sesi yang akan datang. Antara agenda besar mesyuarat yang dibawakan adalah Ucapan Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023, pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-56, pembentangan laporan gerak kerja Jabatan dan Biro KPIPM sesi 2022/2023, pembentangan dan pengesahan laporan kewangan KPIPM sepanjang satu sesi, penyampaian Wang Ithar kepada penerima yang layak, pembentangan dan perbahasan usul, dan seterusnya majlis bersurai selepas solat isyak secara berjemaah dan juadah ringan diagihkan kepada semua perwakilan dan pemerhati.

Program diteruskan lagi pada hari kedua Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-57 iaitu pada hari Ahad, 15 Oktober 2023, dimulakan dengan pengisian Sembang Santai yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Haziq bin Hussin yang digandingan dengan Ustaz Muhammad Anas bin Ahmad Sopuan. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan pelancaran Kitab Terjemahan Biro Pelajaran Ilmiah KPIPM yang dirasmikan oleh Ustaz Muhammad Syafiq bin Zahari, Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023 diiringi Ustaz Muhammad Uzair bin Muhamad Zakuan selaku Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2022/2023. Antara Agenda besar hari kedua ialah sambungan perbahasan usul, muhasabah dan cadangan ahli kepada pimpinan, penyampaian hadiah bagi setiap biro dan anugerah khas KPIPM pada sesi kali ini, ucapan wakil Badan Penasihat KPIPM sesi 2022/2023, ucapan Ketua Hewi KPIPM sesi 2022/2023 dan ucapan penangguhan sesi oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2022/2023.

Majlis melabuhkan tirainya dengan pengisytiharan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan Ahli Jawatankuasa  HEWI KPIPM sesi 2023/2024 oleh Jawatankuasa Khas Pilihanraya seterusnya ucapan Ustaz Muhamad Naqib Ajwad bin Ismail selaku Yang Dipertua KPIPM sesi baharu iaitu 2023/2024. Majlis diakhiri dengan jamuan ringan serta solat isyak.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan oleh kepada para perwakilan, pemerhati serta seluruh barisan kepimpinan yang bantu melancarkan perjalanan program. Tiada daya dan tiada upaya melainkan Allah SWT yang menggerakkan hati-hati kita semua agar bersatu menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Pihak program sangat berharap pelaksanaan mesyuarat pada kali ini dapat menuaikan hasil yang terbaik dan membuahkan natijah yang sempurna di mata sisi Islam. Di samping itu, kami juga mendoakan semoga pelayaran kapal yang akan dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Tadbirdan Ahli Jawatankuasa HEWI KPIPM sesi akan datang agar dapat berlayar dengan baik.



"Syura Tunjang Kesatuan Islam"
#KPIPMKeluargaKita
#KeluargaKitaKitaJaga
#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM
 
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
 
Disediakan oleh :
Ustaz Muhammad Basyir bin Nazri,
Setiausaha (Unit Promosi & Pendaftaran) Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-57 (MAT-57)
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2022/2023.

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...