Sistem
pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah
diperkenalkan oleh kerajaan semenjak tahun 1997 tidak dinafikan merupakan satu
usaha yang baik untuk membantu meringankan bebanan kewangan mahasiswa yang
tidak berkemampuan tetapi memiliki kelayakan untuk menyambung pengajian mereka
di institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta.
Namun
hari ini, pelaksanaan sistem pinjaman PTPTN ini mendapat kritikan dan kecaman
hebat daripada pelbagai pihak yang melihat kaedah yang diguna pakai dalam
sistem pinjaman PTPTN ini sebenarnya adalah bertujuan untuk mengaut
keuntungan semata-mata dengan dengan alasan kewujudan PTPTN ini adalah untuk
membantu mahasiswa. Ini kerana setiap peminjam PTPTN ini perlu membayar pinjaman
mereka beserta dengan kadar faedah yang telah ditetapkan. Bahkan kadar faedah
ini akan meningkat dari tahun ke tahun sekiranya peminjam gagal untuk
menjelaskan atau melunaskan pinjaman mereka dalam tempoh tertentu.
Hasil
daripada sistem pinjaman yang tidak mesra pelanggan ini menyebabkan pelbagai
bentuk demonstrasi dan tunjuk perasaan diadakan oleh kelompok mahasiswa sejak
kebelakangan ini sebagai langkah memprotes perlaksanaan sistem pinjaman
PTPTN yang ternyata membebankan mahasiswa. Ini kerana disebalik kemudahan
pinjaman wang yang diberikan kepada mahasiswa, hakikatnya mereka sebenarnya
terpaksa menanggung bebanan hutang yang berlipat kali ganda hasil daripada
pinjaman tersebut yang terpaksa dibayar selepas tamat pengajian di institusi
pangajian tinggi masing-masing.
PMRAM
melihat isu ini sebagai suatu perkara yang tidak boleh dipandang sinis oleh
pihak pentadbiran negara, pihak kerajaan khususnya perlu meneliti dan menilai
semula kaedah perlaksanaan pinjaman PTPTN ini agar ianya selari dengan tuntutan
syarak. Tindakan mengenakan faedah bagi setiap peminjam PTPTN ini bukan sahaja
membebankan mahasiswa bahkan sistem ini sama sekali bercanggah dengan syariat
agama Islam kerana terdapat unsur-unsur riba di dalamnya yang jelas diharamkan
oleh Islam.
Bahkan
lebih baik lagi jika sistem pinjaman PTPTN ini diteruskan untuk memberi khidmat
kepada mahasiswa dengan melakukan perubahan terhadap pelaksanaannya tanpa
dikenakan sebarang faedah kepada peminjam. Perkara ini boleh dilakukan
sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN)
yang tidak mengenakan sebarang faedah kepada peminjam dan pinjaman tersebut
bertujuan kebajikan semata-mata.
Justeru,
Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati di seluruh dunia seharusnya
bebas daripada tindakan-tindakan dan sistem-sistem yang bertentangan dengan
tuntutan agama Islam. PMRAM sebagai sebuah persatuan yang mendokong prinsip
al-Quran dan as-Sunnah ini, mengharapkan agar tindakan segera di ambil oleh
pihak kerajaan di bawah pentadbiran YB Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak
dalam menyelesaikan isu ini.
PMRAM
akan sentiasa menyokong dan bersama-sama dengan gerakan mahasiswa dalam
menyuarakan pandangan dan pendapat mereka berhubung isu-isu hak dan mahasiswa
demi kebaikan bersama.
Abdul
Aziz Bin Ali,
Presiden,
Persekutuan
Melayu Republik Arab Mesir 2012.
sumber
: pmram.org
No comments:
Post a Comment