Penubuhan Inspirasi anak Muda Malaysia atau singkatannya INSPIRASI
yang telah dilancarkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) pada
25 Mac yang lepas merupakan suatu perkara yang cukup positif. Penubuhan ini
jelas menunjukkan bahawa wujudnya kesedaran dalam diri anak muda khususnya
mahasiswa dalam mengemukakan pandangan, lontaran idea dan buah fikiran bagi
membantu proses pembangunan negara supaya berlaku dengan baik berdasarkan
kepada prinsip keadilan sejagat dan selaras dengan tuntutan syarak.
Melihat kepada realiti negara pada hari ini, PMRAM melihat enam
gagasan yang telah dikemukakan oleh INSPIRASI iaitu transformasi pendidikan,
keadilan undang-undang, ekonomi yang merakyat, jaminan kerjaya, politik
berintegriti, dan keharmonian sosial sebagai suatu perkara yang bersesuaian dan
tepat dengan apa yang berlaku pada negara kita hari ini. Kesemua enam gagasan
yang ditekankan di sini meliputi pelbagai aspek dan ianya jelas menunjukkan
bahawa mahasiswa merupakan golongan yang prihatin dan serius dalam mengambil
tahu proses pembangunan negara. Ianya tidak lain dan tidak bukan kecuali
bertujuan membangkitkan kesedaran, menambahkan pengetahuan dan meningkatkan
rasa tanggungjawab serta partisipasi anak muda terhadap agenda pembinaan negara
Malaysia yang lebih cemerlang.
Justeru, kerajaan perlu melihat pandangan dan lontaran idea yang
telah diberikan oleh kelompok mahasiswa ini sebagai salah satu usaha untuk
membantu pihak pentadbiran negara dalam mengubah dan melakukan penambahbaikan
terhadap sistem dan perjalanan pentadbiran sesebuah negara. Ini kerana golongan
mahasiswa merupakan golongan yang terpelajar dan memiliki intelektual yang
tinggi dan sewajarnya golongan seperti ini dilihat sebagai satu aset yang cukup
berharga yang perlu digunakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan negara
Malaysia di masa hadapan.
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang merupakan
kawan karib GAMIS di luar negara sentiasa mengikuti perkembangan semasa GAMIS
di Malaysia dan PMRAM menyokong penuh gagasan yang telah dibentangkan itu.
PMRAM mengharapkan agar GAMIS terus
optimis memperkasakan peranan yang dimainkan dan memimpin gerakan mahasiswa
yang berlatarbelakangkan pelbagai ideologi politik agar mampu untuk mewujudkan
permuafakatan di kalangan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan dan pendapat
mereka kepada semua pihak sama ada kerajaan yang memerintah mahupun parti
politik ke arah pentadbiran negara yang padu dan berkesan.
Syabas dan tahniah PMRAM ucapkan kepada seluruh mahasiswa
pendokong perjuangan GAMIS yang ternyata bertindak tepat pada waktunya dalam
menubuhkan Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI) ini sebagai sebuah gagasan
atau idea daripada komuniti anak muda terhadap pembentukan masa hadapan negara
yang lebih cemerlang untuk dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa dan
agama.
Sumber : pmram.org
No comments:
Post a Comment