Thursday, May 3, 2012

“Nabi Saw Tidak Pernah Lakukan” : Hujah Atau Tidak



Antara kefahaman yang salah dalam menilai sesuatu permasalahan untuk menentukan hukum ialah menjadikan alasan bahawa Nabi SAW tidak pernah melakukan perkara tersebut sebagai hujah untuk diharamkan.

Sebagai contoh perbahasan yang lepas iaitu hukum demonstrasi, terdapat pihak yang mengharamkan secara mutlak akan demonstrasi tersebut tanpa menilai dan mengkaji semata-mata berhujahkan bahawa demonstrasi tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW. 

Justeru, mereka memandang bahawa demonstrasi merupakan perkara yang haram dan bid’ah. Perbahasan mengenai hukum demonstrasi boleh rujuk dalam artikel MANHAL PMRAM yang lepas di http://www.manhal.pmram.org/2012/04/hukum-demonstrasi.html

Hasil daripada kefahaman yang sebegini, apa jua perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW maka ia merupakan bid’ah yang diharamkan. Akhirnya menjadikan masyarakat umum salah dalam memahami Islam yang sebenar serta konteks Islam dalam kehidupan adalah terlalu sempit.

Berlakunya kefahaman yang silap ini adalah disebabkan penilaian dan pemahaman mereka ke atas hadis mengenai bid’ah yang difahami secara zahir tanpa merujuk kepada perbahasan para ulama dan hikmah pensyariatan di dalam Islam ke atas sesuatu hukum.

Maka adakah apa yang tidak dilakukan oleh baginda SAW merupakan bi’dah dan menjatuhkan hukum haram secara mutlak?

Perbahasan Ulama Mengenai Bid’ah

Dalam membincangkan permasalahan mengenai bid’ah, maka ia merujuk kepada sabda-sabda baginda SAW yang menerangkan berkenaan bid’ah.

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

مَنْ أَحْدَثَ في أَمْرِنا هذا ما لَيْسَ مِنْه فَهُوَ رَدٌّ

Sesiapa yang melakukan sesuatu yang baharu dalam urusan kami (agama) ini maka perkara tersebut bukanlah daripada urusan agama, maka ia adalah tertolak”. – Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat lain oleh Muslim :

مَنْ عَمِلَ عَمَلا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنا فَهُوَ رَدّ

Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan dan ia bukan daripada urusan kami (dalam agama), maka ia tertolak.”

Daripada ‘Irbadh bin Sariyah, Nabi SAW bersabda :

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وسُنَّةِ الخُلَفاء الراشِدِين المَهْدِيِّين عَضُّوا عَليها بالنَواجِذ وَإِيّاكُم وَمُمْحَدثات الأُمُور فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَة ضَلالَة

Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku, dan sunnah sahabat Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mereka ini diberikan hidayah dan gigitlah ia dengan gigi geraham (berpgang teguh dengan sunnah tersebut), maka jauhilah kami daripada pembaharuan yang yang direka-reka (dalam agama), maka sesungguhnya setiap bid’ah tersebut adalah sesat.”  - Abu Daud dan At-Tirmizi

Maka dalam menerangkan perihal bida’ah menurut syara’, terdapat dua method penerangan mereka :

1-      Imam Al-Izz bin Abdul Salam mengatakan setiap perkara baharu yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi SAW maka ia dikira sebagai bid’ah. Namun begitu, bid’ah terbahagi kepada 5 bahagian iaitu bid’ah yang wajib, bid’ah yang haram, bid’ah yang sunat, bid’ah yang makruh dan bid’ah yang harus. Justeru, untuk menilai apakah hokum bagi sesuatu bid’ah tersebut maka ia mestilah merujuk kepada kaedah-kaedah tertentu dalam syara’. – kitab Qawaid Al-Ahkam Fi Masalih Al-Anam

Imam Nawawi juga menyatakan bahawa setiap perkara baharu yang tidak berlaku berlaku di zaman Nabi SAW merupakan bid’ah, dan ia terbahagi kepada dua samada bid’ah yang baik atau bid’ah yang buruk iaitu diharamkan. – kitab Fathul Bari

Kesimpulannya, dalam method yang penerangan yang pertama ini, ulama menyatakan maksud bid’ah dari sudut syara’ adalah sama dari sudut bahasa iaitu perkara yang baharu namun mereka tidak menjadikan kesemua perkara yang baharu adalah haram secara mutlak. Akan tetapi mereka membahagikan samada bid’ah tersebut diharuskan atau diharamkan mengikut kaedah-kaedah tertentu.

2-      Ulama mengkhusus maksud bid’ah dari sudut syara’ ialah perkara baharu yang tercela sahaja. Maka sekiranya perkara baharu yang tidak tercela dan diharuskan dalam Islam maka ia tidaklah tergolong dalam lingkungan bid’ah. Justeru, bid’ah ialah perkara yang baharu yang diharamkan sahaja.

Imam Ibnu Rajab Al-Hambali berkata bahawa yang dimaksudkan dengan bid’ah ialah sesuatu yang baharu dan tidak mempunyai nas dalam syara’ yang mengharuskan perkara tersebut. Adapun sekiranya terdapat nas yang mengharuskan perkara tersebut maka ia bukanlah bid’ah sekalipun dari sudut makna bahasa ia merupakan bid’ah iaitu perkara baharu.

Berdasarkan kepada 2 method penerangan ulama berkenaan bid’ah dari sudut syara’ maka ulama bersepakat bahawa hakikat bid’ah yang diharamkan adalah bid’ah yang tidak mempunyai nas-nas dalam syara’ yang mengharuskan perkara tersebut. Adapun jika ia tidak tercela iaitu mempunyai nas-nas yang mengharuskan ia bukanlah menghalang untuk umat Islam melaksanakannya kerana ia tidak termasuk dalam kategori bid’ah yang sesat.

Imam Al-Ghazali menyebutkan bahawa bukanlah setiap perkara yang baharu adalah ditegah dan diharamkan, bahkan perkara baharu yang diharamkan ialah sekiranya ia bertentangan dengan sunnah yang telah dithabitkan. – kitab Ihya’ Ulumiddin
Perbahasan Mengenai Kaedah Asal Bagi Ibadah Dan Adat

Imam As-Syatibi meletakkan garis panduan asas yang cukup penting dalam membezakan antara perkara yang berkaitan dengan konteks ibadah dan adat atau urusan keduniaan. Di dalam kitab beliau Al-Muafakat maka dinyatakan bahawa :

-          Hukum asal bagi ibadah ialah kita mengabdikan diri tanpa melihat kepada sesuatu hikmah dan maksud. Contohnya seperti solat fardhu Zohor diwajibkan pada tempoh sekian, bilangan 4 rakaat dan dalam keadaan bacaan yang perlahan. Maka mengapa perkara tersebut diwajibkan sebegitu, tidak akan dapat dijawab melalui akal dan tidak cukup dengan hikmah yang zahir semata-mata. Apa yang pasti umat Islam wajib melaksanakan sedemikian walaupun tidak tahu apakah hikmahnya diwajibkan sedemikian melainkan hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.

-          Hukum asal bagi adat (urusan keduniaan) adalah melihat kepada tujuan dan hikmah. Contohnya, kewajipan zakat ke atas wang ringgit sedangkan di zaman Nabi SAW ia dikenakan ke atas emas dan perak. Justeru, penggunaan emas dan perak merupakan bentuk dalam urusan keduniaan disebabkan itu melihat kepada hikmah atau tujuan kewajipan zakat ke atas wang rasmi tempatan ialah memberikan hak lebihan orang kaya kepada orang fakir miskin dan golongan yang layak. Justeru, walaupun di zaman sekarang penggunaan wang sudah berubah kepada wang kertas namun tetap merealisasikan tujuan zakat ke atas wang. Hal ini demikian kerana penggunaan wang tadi merupakan dari urusan dunia dan ia berubah mengikut tujuaanya yang dikehendaki. Justeru, kewajipan tetap terjaga dengan pendekatan cara yang berbeza mengikut kesesuaian zaman yang berubah.

Justeru, hukum asal bagi sesuatu perkara yang melibatkan urusan keduniaan adalah diharuskan selagimana tidak terdapat nas-nas yang mengharamkannya. Hal ini demikian kerana ia melihat kepada hikmah dan tujuan. Sekiranya tujuan dan hikmah tersebut tidak bercanggah dengan syariat maka ia diharuskan. Contohnya, skim pinjaman yang ada pada hari ini dengan pelbagai nama yang tidak pernah wujud di zaman Nabi SAW. Maka sekiranya skim pinjaman yang ditawarkan tersebut tidak mengandungi unsur riba dan perkara-perkara yang bercanggah dengan syara’ maka ia dibolehkan walaupun dengan nama-nama skim yang ditawarkan tidak pernah wujud sebelum ini.

Maksud “Kamu Lebih Mengetahui Urusan Keduniaan Kamu”

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA bahawa suatu hari Nabi SAW berjalan ke suatu tempat di Madinah yang terdapat di situ satu kaum yang sedang menanam pokok tamar lalu mereka bertanya kepada baginda SAW mengenai cara yang sebenar dalam membiakkan pokok dengan lebih banyak dan baik. Lalu sabda baginda SAW :

أَنْتُم أَعْلَمُ بِأُمُورِ دُنْياكُم

Kamu lebih mengetahui akan urusan keduniaan kamu.” – Muslim

Maka berdasarkan kepada hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa dalam urusan keduniaan, Nabi SAW menyerahkan kepada umatnya mengikut kemampuan dan kesesuaian zaman mereka. Walaupun baginda SAW tidak pernah melakukan, namun ia bukanlah menjadi hujah sebagai menghalang perkara-perkara baharu yang dilakukan dalam konteks urusan keduniaan. Hal ini demikian kerana wasilah adalah mengikut kesesuaian. Adapun perkara yang ditetapkan oleh nas maka ia mesti dilaksanakan.

Sebagai contoh, Allah mensyariatkan berperang kepada pihak musuh yang menzalimi dan menhalang dakwah Islam bagi memastikan kalimah Allah sentiasa tinggi. Adapun dari konteks urusan keduniaan dalam peperangan seperti jenis senjata, bentuk peperangan tidak ada ditetapkan malahan bergantung kepada kesesuaian zaman. Islam hanya meletakkan garis panduan agar umatnya tidak terlalu sempit dan terlampau. Islam tidaklah terlalu sempit dengan mewajibkan apabila berperang mestilah menggunakan panah, sekiranya menggunakan pistol maka ia dilarang. Islam mengawal agar tidak terlalu melampau sehingga apabila berperang boleh membunuh nyawa yang tidak berdosa. Senjata merupakan wasilah bagi pensyariatan berperang iaitu mempertahankan hak daripada kezaliman dan menjaga dakwah Islam.

Begitu juga dalam konteks urusan keduniaan yang lain jika diqiaskan seperti perubatan, pertanian, pemakaian dan sebagainya.

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang telah diperbincangkan, para ulama bersepakat bahawa “apa yang Nabi SAW tidak lakukan” bukanlah menjadi hujah untuk meghukumkan haram melainkan jika terdapat nas-nas yang memang mengharamkan perbuatan tersebut.
Al-Allamah As-Said Abdullah bin Sidiq Al-Ghamari menulis syair berkenaan permasalahan ini di awal syairnya bahawa :

apa yang Nabi SAW tinggalkan (tidak lakukan) bukanlah menjadi satu hujah dalam syariat kita. Ia tidak menjatuhkan hukum haram mahupun wajib”

Justeru, dalam displin ilmu, maka dapat kita ketahui bahawa penghujahan di atas alasan “apa yang Nabi SAW tidak lakukan” adalah tidak boleh dijadikan hujah. Maka penilaian ke atas sesuatu permasalahan yang berlaku dalam melihat kepada hukumnya mestilah dilihat kepada rujukan-rujukan dalam Islam, samada yang sepakati oleh ulama iaitu 4 rujukan iaitu Al-Quran, hadis, ijma’ dan qias, atau rujukan-rujukan yang ulama berselisih mengenainya seperti istihsan, istishab, kalam sahabat, perbuatan penduduk madinah, hadis mursal dan sebagainya.

Sehubungan itu, apabila berhadapan dengan permasalahan yang tidak pernah timbul di zaman Nabi SAW seperti sistem demokrasi, demonstrasi, pilihanraya dan sebagainya maka tidak boleh untuk terus menolaknya dengan beralasan kepada “apa yang Nabi SAW tidak lakukan”. Ekoran itu ia mestilah dikaji dengan sumber-sumber yang menjadi rujukan sebagaimana dinyatakan sebentar tadi.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012


Rujukan :
1-      Al-Mutasyaddidun, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Dar Al-Muqattam Lil An-Nasyri Wa At-Tauzi’
2-      Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Dar Al-Muqattam Lil An-Nasyri Wa At-Tauzi’
3-      Jami’ Al-Ulum Wa Al-Hikam, oleh Ibnu Rajab Al-Hambali, cetakan Muassasah Ar-Risalah Nasyirun
4-      Dirasah Fi Fiqh Maqasid As-Syariah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar Al-Syurouk
5-      As-Sunnah Masdar Lil Makrifah Wa Al-Hadharah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar Al-Syurouk

Sumber : manhal.pmram

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...