Sunday, May 27, 2012

Islam Dan Hiburan : Batasan Dalam Berhibur



Islam Meraikan Hiburan Yang Halal

Hiburan merupakan suatu perkara yang diminati oleh manusia secara fitrahnya. Bahkan hiburan merupakan satu eleman dalam kehidupan. Adapun konsep hiburan itu berbeza-beza dan minat seseorang juga berbeza-beza mengikut kecenderungan masing-masing.

Islam tidak memperincikan apa bentuk hiburan tersebut, ia terserah kepada kesesuaian individu, tempat dan masa yang sentiasa berubah-ubah. Apa yang pati hiburan adalah subjektif yang memberikan maksud sesuatu (perbuatan, benda dan sebagainya) yang memberikan kegembiraan dan menyukakan hati.[1] Maka hiburan tersebut adalah luas bentuknya samada dalam bentuk suara seperti nyanyian, gurindam, sajak atau perbuatan seperti tarian, berlakon, bersukan atau ia merupakan sesuatu benda / objek seperti alatan muzik, buku, alatan sukan dan sebagainya.

Justeru, apa jua yang menghiburkan hati atau menggembirakan hati itu dipanggil sebagai hiburan. Sehubungan itu tujuan hiburan adalah menggembirakan hati, berlawanan dengan segala perkara yang menyedihkan hati.

Dalam ilmu mantik, manusia juga dikategorikan sebagai hayawan dhahik (حيوان ضاحك) iaitu makhluk hidup yang boleh gelak. Takrifan ini membezakan dengan haiwan walaupun konsep bahasanya adalah hayawan. Hal ini demikian hayawan adalah pengklasan dari sudut makhluk yang bernyawa maka ia merangkumi manusia dan haiwan.

Dhahik pula pengklasan dari sudut jenis sifat, maka ini yang membezakan antara manusia dan haiwan disebabkan kerana haiwan tidak boleh gelak berbeza dengan manusia.[2]

Justeru, sifat itu yang ingin dimaksudkan ialah gembira iaitu mampu untuk berhibur dan berhajat kepada sesuatu yang menghiburkan hati. Maka dari sudut mantiknya pun membawa maksud bahawa hiburan merupakan perkara fitrah. Dan bertepatan dengan Islam yang merupakan agama fitrah maka sudah tentu Islam membenarkannya selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’.

Bahkan Nabi SAW juga berpesan kepada sahabatnya agar hidup dalam keadaan fitrah. Hal ini demikian kerana Islam itu agama fitrah. Disebabkan itu Islam melarang daripada hidup sebagaimana rahib yang tidak berkahwin, bahkan Islam mensyariatkan perkahwinan. Islam juga menyuruh manusia mencari rezeki sebagaimana dalam ayat Al-Quran berkenaan Solat Jumaat.

Firman Allah dalam Surah Al-Jumu’ah pada ayat ke-10 yang bermaksud :

“Apabila telah ditunaikan solat (Solat Jumaat dan umumnya), maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”

Islam tidak menghalang berniaga dan apa jua pekerjaan untuk mencari rezeki sebagaimana yang disebutkan dalam ayat Al-Quran di atas. Bahkan ayat di atas disebutkan bahawa selepas selesai melaksanakan solat (kewajipan kepada Allah) maka diperintahkan untuk bertebaran mencari kurniaan Allah samada perniagaan dan sebagainya. Hal ini demikian kerana Islam itu agama fitrah iaitu tidak menghalang kehendak manusia dari sudut kehidupan dunia selagimana ia tidak ditegah dan membelakangi kewajipan.

Bahkan inilah yang dikurniakan kepada manusia, namun Allah mengingatkan agar manusia menguruskan segala apa yang dikehendakinya itu selaras dengan Islam, tidak bertetangan dengan syara’. Hal ini demikian kerana apa yang disyariatkan Allah itu adalah sebaik-baiknya.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran pada ayat ke-14 yang bermaksud :

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Kisah sahabat yang bernama Hanzalah merupakan kisah yang masyhur bahawa Nabi SAW mengajar para sahabat agar hidup dalam keadaan yang normal iaitu tidak menolak fitrah semulajadi yang memerlukan kepada hiburan namun dalam batasan syara’. Hanzalah suatu ketika merasa gelisah sehingga merasakan seakan-akan bersifat sebagaimana orang munafik iaitu melakukan ibadah dalam satu masa, dan berhibur dalam satu masa. Namun bukanlah melakukan maksiat atau terjatuh dalam perkara haram. Lalu Nabi SAW bersabda kepada Hanzalah yang bermaksud :

“Wahai Hanzalah, sekiranya kamu berterusan dengan (syadid) dalam keadaan kamu sekarang ini (ibadah semata-mata tanpa rehat dan berhibur seketika) nescaya malaikat akan mengiringi ke mana sahaja kamu lalu (fadhilat yang besar terhadap ibadah yang sahih di lakukan), akan tetapi satu masa dan satu masa.”[3]

Apa yang ingin dimaksudkan ialah dalam kehidupan ini tidak perlu terlalu syadid tanpa melihat ibadah umum yang lebih luas. Disebabkan itu Nabi SAW sebut “satu masa dan satu masa” maksudnya ada masa untuk fokus ibadah yang khusus dan ada masa untuk rehat, berhibur,bersama-sama dengan masyarakat dan sebagainya selagimana dalam ruang lingkup yang harus bukannya haram atau maksiat.

Batasan-Batasan Dalam Berhibur

Majoriti ulama menghukumkan bahawa hiburan adalah diharuskan dengan syarat hiburan tersebut tidak mengandungi sebarang unsur-unsur maksiat yang haram dan apa jua bentuk yang bertentangan dengan syara’.

Lihat ketika mana peristiwa hijrah, apabila Nabi SAW bersama-sama dengan Abu Bakar sampai di Madinah, baginda SAW disambut oleh penduduk Madinah dengan kegembiraan melalui nyanyian dan paluan gendang serta bertepuk tangan. Kesemua ini merupakan hiburan yang menzahirkan mereka gembira dengan kehadiran Nabi SAW, bahkan Nabi SAW tidak menghalangnya dan membiarkannya dengan bersabda kepada Abu Bakar yang bermaksud :

“Biarkan mereka wahai Abu Bakar, sehingga orang yahudi ketahui bahawa agam kita (Islam) itu lapang / luas (meraikan fitrah)”[4]

Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa ketika beliau mengiringi seorang wanita Ansar ke rumah suaminya (majlis menyambut tetamu), lalu baginda SAW bersabda kepadanya :

“Wahai Aisyah, tidak adakah bersama-sama kamu akan hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar mereka teruja / suka akan hiburan.”[5]

Dalam kisah ini, Nabi SAW tidak menghalang akan hiburan yang disukai oleh kaum Ansar dalam majlis perkahwinan mereka selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’. Hal ini demikian kerana, sebarang perkara yang tidak bertentangan dengan syara’ dan tidak dihukumkan akan haram maka hukumnya adalah harus.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-4 yang bermaksud :

“Mereka menanyakan kepadamu: "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?." Katakanlah: "Dihalalkan bagimu yang baik-baik”

Justeru, apa yang tidak diharamkan dan dilarang oleh syara’ adalah perkara yang baik. Disebabkan itu hiburan yang menurut Islam yang tidak mengandungi unsur-unsur yang haram adalah diharuskan.

Firman Allah SWT dalam Surah Yunus pada ayat ke- 59 yang bermaksud :

“Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal." Katakanlah: "Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah ?"

Firman Allah SWt dalam Surah Al-A’raf ayat ke-32 yang bermaksud :

“Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.”

Berdasarkan ayat Al-Quran di atas, Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar berfatwa sesuatu perkara itu tidaklah diharamkan semata-mata ia menghiburkan atau menyeronokkan akan tetapi ia diharuskan berdasarkan qias kepada perkara-perkara baik melainkan adanya illah  yang menunjukkan ia adalah haram.[6]

Justeru, hukum asal bagi hiburan adalah diharuskan dengan syarat menjaga batasan-batasan yang telah ditetapkan oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang menghukumkan hiburan itu adalah harus, iaitu :

1-   Dari sudut jenaka atau lawak, pastikan tidak menipu dan menghina atau menjatuhkan maruah seseorang serta tidak melampau sehingga terlalu banyak gelak.

Nabi SAW bersabda :

“Celakalah bagi mereka yang berkata kemudian menipu untuk menggelakkan sesuatu kaum (menghina), celakalah baginya, celakalah baginya.”[7]
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda :

“Berjenakalah, dan jangan kamu bercakap melainkan perkara yang benar.”[8]

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat ke-11 yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Nabi SAW bersabda :

“Janganlah kamu banyak dalam bergelak, kerana sesungguhnya banyak dalam bergelak mematikan hati.”[9]

Saidina Ali bin Abi Talib menyebut :

“Masukkan dalam kalam akan jenaka, dengan kadar memasukkan garam dalam makanan.”[10]

2-   Tidak mengandungi unsur perjudian dan sebagainya yang diharamkan dalam konteks kewangan Islam.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-90 yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

3-   Tidak lalai sehingga mengabaikan kewajipan seperti solat fardhu dan sebagainya.

Firman Allah dalam Surah Al-Asr yang bermaksud :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam keadaan yang rugi. Melainkan mereka yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Firman Allah dalam Surah Al-Mukminun pada ayat ke-3 yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna”

Iaitu mereka yang lalai dengan perkara keduniaan sehingga luputnya kewajipan yang sepatutnya dilakukan.

4-   Tidak mendatangakan mudharat samada mencederakan diri sendiri atau mencederakan pihak lain.

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ pada ayat ke-29 yang bermaksud :

“Janganlag kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah maka pengasihi dengan kamu (hamba-hamba-Nya).”

Abi Said Al-Khudri, meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

“Tidak ada (haram melakukan) mudharat dan membalas kemudharatan (dengan mudharat)”[11]

5-   Tidak mendedahkan aurat, berlaku percampuran yang terlarang / pergaulan bebas serta fitnah dari sudut syahwat yang menjurus ke arah zina

Firman Allah dalam Surah An-Nur pada ayat ke-30 dan 31 yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.(30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”

Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ pada ayat ke-32 yang bermaksud :

“Janganlah (haram) kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.”

Dan boleh rujuk pada artikel-artikel yang lepas berhubung isu aurat dan berkaitan dengannya di :

http://www.manhal.pmram.org/2011/01/hukum-bersalaman-antara-lelaki-dengan.html

http://www.manhal.pmram.org/2010/11/perbahasan-melihat-aurat-sesama-jenis.html

Kesimpulan

Islam tidak menghalang umatnya daripada berhibur bahkan ia diraikan selagimana tidak bercanggah dengan syara’. Konsep berhibur hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebagaimana yang telah dibentang di atas.

Justeru, mana-mana hiburan yang bercanggah dengan syara’ adalah diharamkan dan mesti dicegah agar tidak merosakkan masyarakat bermula dari akar umbi.

Pihak kerajaan mestilah mengambil sikap cakna yang serius dalam membangunkan modal insan di kalangan rakyat samada Islam atau non muslim. Hal ini demikian kerana kejatuhan moral menunjukkan sesebuah masyarakat tersebut tidak bertamadun.

Bahkan pihak-pihak berwajib juga bertanggungjawab dalam memastikan pencegahan keruntuhan moral terutama dalam bab hiburan ini dibendung.

Akhir sekali, pihak kerajaan dan terbabit mestilah merangka program-program yang memberikan manfaat samada dari sudut kerohanian, pemikiran, sosial, dan sebagainya kepada masyarakat terutama golongan belia yang bertepatan dengan syara’ serta tidak bercanggah dengan Islam.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :

1-   Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, jilid ke-2 oleh Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah Wahbah
2-   Al-Islam Wa Al-Fan, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-   Fiqh Al-Lahw Wa At-Tarwih, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
4-   Fiqh Al-Ghina’ Wa Al-Musiqi Fi Dhaui Al-Quran Wa As-Sunnah, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
5-   Al-Fath Al-Mubin, oleh Imam Ibnu Hajar Al-Haithami S-Syafie, cetakan Dar Al-Minhaj
6-   Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan Muqattam Li An-Naysr Wa At-Tauzik


________________________________________
[1] rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4

[2] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 20
[3] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 29
[4] Tafsir Al-Qurtubi. Lihat kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 355
[5] Sahih Bukhari, jilid ke-5, cetakan Dar Ibnu Kathir. Lihat kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 350
[6] Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, m/s250
[7] Ahmad no 20073 dan Ad-Darimi no 2707
[8] At-Tirmizi no 1990
[9] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi, m/s 40
[10] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr Yusuf Al-Qardhawi, m/s 40
[11] Ibnu Majah no 2340

Sumber : manhal.pmram

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...