Sunday, May 27, 2012

Kepimpinan Berkualiti Melahirkan Masyarakat Integriti



Dalam menentukan hala tuju pembangunan modal insan yang berkualiti, maka perkara pertama yang menjadi kayu ukur adalah kepimpinan dalam komuniti sesebuah masyarakat. Oleh yang demikian, memastikan kepimpinan di kalangan orang yang selayaknya adalah satu keperluan untuk dilaksanakan dengan adil dan telus.

Terdapat beberapa garis panduan yang telah digariskan di dalam kitab Al-Ahkamul Sultaniah karangan Imam Mawardi, antaranya adalah :

1- Bersikap adil
2- Berilmu
3- Sempurna pancaindera
4- Sempurna anggota tubuh badan
5- Mempunyai idea yang baik dalam pengurusan untuk memastikan kepentingan negara terjaga
6- Mempunyai keberanian serta kekuatan dalam melindungi negara.

Kriteria yang dinyatakan ini perlu ada dalam diri seorang pemimpin bagi memastikan pentadbirannya dapat dijalankan dengan sebaiknya. Keadilan seorang pemimpin bukanlah hanya daripada sudut pandang pengurusan sahaja, bahkan merangkumi seluruh aspek samada kebajikan, pendidikan dan seumpamanya. Secara tidak langsung rakyat dapat merasai kemanisan keadilan yang diaplikasikan tanpa mengira latar belakang darjat dan persepsi.

Ketinggian ilmu berkualiti perlu dimiliki oleh pemimpin apabila berhadapan dengan sesuatu isu dan krisis yang memerlukan jalan penyelesaian segera. Ikon pemimpin di kalangan ilmuan membuatkan rakyat akan menjadikannya sebagai tempat rujukan sekaligus memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa pemimpin ini selayaknya diberikan peluang dan ruang untuk terus mentadbir negara.

Namun begitu, ironinya kini kebijaksanaan tidak cukup untuk menjamin ketelusan dalam pentadbiran sekiranya masih wujud sikap mementingkan diri sendiri dengan mempunyai agenda tersendiri.

Atas dasar inilah, keilmuan diperolehi perlu seiring dengan kefahaman Islam dalam memerintah agar setiap perkara yang berlaku mampu dinilai daripada acuan syariat Islam berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Kesempurnaan pancaindera dan anggota tubuh badan juga adalah satu keperluan bagi seorang pemimpin untuk bergerak dalam memastikan sistem pentadbiran dan pemerintahan bergerak seiring dengan perancangan yang telah disusun.

Memiliki akal yang waras dalam berfikir bagi menentukan halatuju pentabiran negara juga adalah satu kelebihan pada seorang pemimpin. Kewarasan berkualiti dapat diaplikasikan dengan meniliti dan mengkaji sejauh mana sistem yang dipraktikkan berada di atas landasan Islam.

Mentaliti seorang pemimpin sudah pasti mesti berjiwa rakyat dan memahami akidah perjuangan Islam sebenar. Ini kerana apabila tiada penghayatan Islam yang cukup mendalam, pelbagai kesan negatif dan tindakan yang bakal dilaksanakan tersasar daripada matlamat sebenar seterusnya hanya demi kepentingan individu semata-mata.

Berpaksikan dengan kefahaman Islam yang jelas serta mengetahui betapa besarnya tanggungjawab sebagai seorang pemimpin sudah pasti segala pelaksanaan dijana berteraskan kepentingan rakyat bukannya peribadi.

Keseimbangan dalam kepimpinan mengikut neraca syarak semestinya menjanjikan sesuatu yang bermanfaat bukan sahaja kepada rakyat bahkan bagi pemimpin sendiri itu. Pasak corak kepimpinan Islam tidak dapat tidak memberikan gambaran kepada rakyat nilai keharmonian gaya hidup Islam yang melengkapi segala keperluan dan tuntutan semasa samada ibadah, muamalat, munakahat, dan syakhsiah diri.

Sebuah gambaran sifat pimpinan ketika legasi Abbasiyyah telah dinukilkan oleh seorang penyair yang bermaksud :

Pandangannya secara spontan
dan pemikirannya adalah sama sahaja,
padahal orang lain sudah tepu memikirkannya..

Selamanya tabah dan tenang
walaupun orang lain lemah menghadapinya..

Berlapang dada menghadapi segala derita
sedangkan orang lain resah menanggung musibah..

Pengiktirafan Islam telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran yang bermaksud : "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam". Ini secara jelas memberikan kita satu isyarat bahawa dengan mengamalkan Islam, maka natijah yang kita perolehi kelak adalah keredhaan Allah SWT.

Persoalannya bagaimanakah tahap keyakinan kita untuk mengamalkan Islam secara keseluruhan yang merangkumi segenap aspek kehidupan?, sewajarnya kita perlu memikirkan bersama persoalan ini .

Tugas rakyat pula dalam memastikan pemimpin negara merupakan fardu ain dan wajib menjalankannya dengan amanah ini seiring dengan kewarasan berakidahkan janji Allah SWT dan baginda Rasulullah SAW. Sekiranya memilih pemimpin kerana hanya mempunyai tujuan tertentu, mana mungkin pemimpin tersebut dapat melakukan amanah yang bakal diberikan andai dipilih demi kepentingan tertentu sahaja.

Ruang dan peluang untuk menentukan nilai kualiti pentadbiran negara terletak kepada rakyat bagi menentukan keadaannya samada menjadi lebih baik ataupun sebaliknya. Apa yang pasti, akhir natijahnya akan memberikan kesan kepada rakyat sendiri.

Selagimana mampu untuk mengubah senario pentadbiran dunia agar kembali kepada  fitrah ketamadunan Islam dengan kegemilangan Khilafah Islamiah maka sayugianya dimanfaatkan peluang yang ada kerana peluang hanya datang sekali dan sukar diulangi.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Zulhafeez bin Ahmad Zahidi
Timbalan Presiden
[Lajnah Perancang & Panitia]
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...