Sunday, May 13, 2012

Hindari Politik Fitnah Dan Maki Hamun



Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan beberapa isu politik yang membabitkan adegan dan peristiwa yang sungguh memalukan negara. Belum reda isu yang berkaitan dengan paparan laporan lucah di muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei yang lalu, timbul pula isu melibatkan tuduhan sebagai 'Bapa Kafir' kepada seorang tokoh agama yang tersohor di negeri Kelantan. Bahkan tohmahan tersebut ditujukan kepada seorang pemimpin yang disanjungi oleh rakyatnya.

Melihat kepada sikap kurang matang segelintir golongan cerdik pandai rakyat negara kita ini, PMRAM merasa terpanggil untuk menyatakan pendirian dan pandangan selaku gerakan mahasiswa Islam yang sentiasa memerhati perkembangan dan situasi terkini negara Malaysia. Tuduhan tersebut telah dilemparkan oleh mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Setia Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'bapa kafir' menurut sumber (gambar).

Bagaimanpun Tan Sri Rahim Noor menafikan beliau membuat kenyataan sedemikian. Pemberita yang namanya tersiar sebagai salah seorang penulis berita itu, Rahmah Ghazali juga menafikan beliau  menulis berita itu.

Walau daripada siapa sekalipun tuduhan ini datang, ia tidak sepatutnya terjadi bahkan ahkbar New Strait Times perlu meneliti terlebih dahulu laporan yang ingin dipaparkan agar tidak menimbulkan fitnah dan kebencian oleh rakyat. Akhbar New Strait Times telah kerap kali mengguris hati umat Islam dan kesilapan ini tidak sepatutnya berulang.

Tuduhan tersebut telah menimbulkan pelbagai tanggapan dan persepsi negatif serta meningkatkan lagi api kemarahan rakyat terhadap pihak-pihak terbabit. Islam mengajar Umatnya agar sentiasa menjaga akhlak dan tingkah laku dalam kehidupan lebih-lebih lagi apabila di sana terdapat perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan Umat Islam. Islam tidak mengajar Umatnya bertindak diluar daripada apa yang telah digariskan oleh syarak sama ada dari segi perbuatan mahupun perkataan.

Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat ke-148 yang bermaksud :
" Allah tidak menyukai akan perkataan buruk (yang di ucapakan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ".

Justeru, sebagai seorang muslim kita seharusnya berwaspada daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat dan boleh menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi kalimah yang dikeluarkan itu ditujukan kepada golongan Ulama ataupun mereka yang hampir kepada Allah SWT. Bukan itu saja, bahkan tidak salah sekiranya saya menyatakan bahawa isu mengkafirkan orang ini adalah melibatkan isu akidah dan pegangan kita terhadap agama Islam. Kita sebagai hamba Allah SWT tidak layak untuk menentukan seseorang itu adalah kafir di pandangan mata kasar kita sekalipun kita melihat mereka itu melakukan kemungkaran dan kemaksiatan.

PMRAM mengharapkan agar seluruh ahli politik tanah air  bersedia untuk berdebat dan berdialog secara matang dengan hujah dan fakta bukannya menfitnah dan memaki hamun orang lain apabila tidak sehaluan dan tidak sependapat. Islam telah meletakkan garis panduan yang terbaik dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang membabitkan pelbagai pandangan.

Begitu juga dengan pihak media dinasihatkan jangan sesekali mengeluarkan berita tanpa diketahui asal-usulnya. Jadilah media yang adil dan matang dalam melaporkan sesuatu isu, bukan memanaskan lagi semarak kebencian rakyat dan mendatangkan fitnah yang menambah celaru.

Kami sebagai golongan anak muda mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menggunakan pendekatan yang lebih mesra dalam menyelesaikan sesuatu konflik dan masalah bukannya menggunakan politik maki hamun, fitnah, politik lucah dan sebagainya yang boleh mengeruhkan dan memburukkan lagi keadaaan dan suasana harmoni kehidupan rakyat Malaysia.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Abdul Aziz Bin Ali,
Presiden,
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...