Saturday, May 19, 2012

Momentum Ukhuwwah Dalam Perjuangan




Pepatah Melayu ada berbunyi "Air Dicincang Takkan Putus" dan perumpamaan " Bagai Isi Dengan Kuku " memberikan gambaran bahawa nilai keakraban dalam kehidupan begitu bernilai dan bermakna.

Ukhuwwah dalam perjuangan seumpama ikatan kekeluargaan didasari dengan keimanan dan kefahaman untuk memperjuangkan Islam. Oleh yang demikian, ikatan ukhuwwah begitu dititik beratkan untuk menghadapi ranjau perjuangan mendatang kerana apa yang pasti ianya bukan selalunya indah.

Dalam memastikan panji-panji Islam dikibarkan dengan gemilang maka pendokong Islam sendiri perlu mempunyai kesediaan semaksima mungkin terutama di kalangan rakan sekerja.

Saling melengkapi dan memahami antara satu sama lain adalah tunjang kepada melahirkan momentum yang cukup bertenaga dalam medan perjuangan sekaligus bersedia melaksanakan gerak kerja Islam di setiap posisi.

Ironinya apabila ikatan ukhuwwah semakin pudar dan lusuh, sudah pasti memberi ruang kepada pihak-pihak tertentu mengaburi keindahan dan kepentingan ukhuwwah dengan pandangan yang begitu dangkal dan jelek.

Kesannya kualiti kefahaman dalam berukhuwwah disalah tanggap dan menjadikan keadaan lebih parah apabila wujudnya krisis "Gunting Dalam Lipatan". Kebersamaan dalam menghadapi setiap krisis dan berlapang dada menerima pendapat akan menatijahkan keadaan yang lebih baik dan harmoni.

Sesungguhnya kebenaran Islam tidak mungkin tertegak dengan usaha individu namun sebaliknya dimartabatkan hasil kerjasama dan gerak kerja bersama apabila momentum ukhuwwah dijana dengan semaksima mungkin.

Ancaman luaran yang seringkali menunggu peluang seperti menangguk di air keruh sekali-kali tidak mampu memugarkan kesatuan ukhuwwah yang dibina dibawah lembayung Islam dan keyakinan jitu pada janji Allah Rabbul Izati.

Landasan ukhuwwah tidak mengira darjat dan pangkat kerana perjuangan Islam diamanahkan kepada seluruh pendokong Islam daripada latar belakang yang pelbagai. Samada kepimpinan mahupun ahli, binalah satu kesatuan persaudaraan yang kukuh dalam membantu perjuangan Islam dan penyambung risalah kenabian untuk generasi masa depan.

"PMRAM Untuk Semua"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"


Zulhafeez bin Ahmad Zahidi
Timbalan Presiden
Lajnah Perancang dan Panitia
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...