Thursday, May 3, 2012

Imtihan : Pecutan Akhir




Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”  (Surah al-Ankabut : Ayat 2-3)

Fatrah  imtihan telah tiba. Ada yang tenang dan ada yang gelisah menantikan kehadirannya. Bahkan tidak kurang juga ada yang tidak merasakan apa-apa dengan kehadirannya. Yang pasti, semua manusia yang dikurniakan akal yang sihat pasti mengharapkan natijah cemerlang yang bakal diraih dan dinikmati.

Ya, tidak dinafikan setiap orang ingin berjaya dalam menuntut ilmu, tetapi kebanyakan mereka tidak sampai kepada ilmu tersebut kerana tidak mengetahui jalan yang harus ditempuhnya. Sebagaimana kata seorang tokoh falsafah Barat: “Kamu gagal dengan seribu cara yang telah dilakukan bukan bererti kamu tidak layak untuk berjaya, akan tetapi kamu belum menjumpai satu jalan terbaik untuk kamu berjaya".

 Begitu juga kisah Ibnu Mas’ud bersama orang-orang yang bertasbih dengan kerikil. Mereka berkata: “Wahai Abu Abdir Rahman, kami tidak menginginkan kecuali kebaikan”. Ibnu Mas’ud berkata: “Dan berapa banyak orang-orang yang menginginkan kebaikan tetapi tidak tercapai.” . Kerana dia belum berjalan pada jalan dan manhaj yang telah ditentukan. Ulama’  telah menggariskan beberapa perkara yang sepatutnya dimiliki oleh setiap orang penuntut ilmu bagi memperoleh kejayaan sebenar dalam menuntut ilmu.

Pertama : ذكاء (Cerdas). Kecerdasan merupakan syarat pertama yang harus dipenuhi oleh penuntut ilmu. Imam Ghazali pernah mengatakan bahawa orang yang pintar adalah orang yang mengetahui bahawa dia tidak tahu akan sesuatu dan kerana itulah dia mahu belajar.

Kedua : حرص (Tamak). Seseorang yang tamak terhadap apa sahaja, tidak akan pernah membiarkan walau satu detik pun waktunya berakhir dengan sia-sia. Detik demi detik akan tersusun rapi sehingga cita-cita berhasil diraih dengan sempurna. Maka sebagai seorang penuntut ilmu haruslah benar-benar menjaga efisien waktu, kerana waktu adalah umur.

Ketiga : افتقار (Memerlukan). Seorang penuntut ilmu harus terus berasa perlu terhadap ilmu, jika ia merasa telah cukup maka itulah awal kegagalannya. Oleh kerana itu, ketika penuntut ilmu menguasai sesuatu ilmu, maka  tidak boleh merasa bahawa dia telah menguasai sesuatu. Tetapi harus selalu merasa kurang dan terus memerlukan ilmu orang lain. Ketika dia merasa sudah tidak memerlukan orang lain, maka pada saat itulah dia akan mengalami kerugian yang sangat banyak.

Keempat : غربة (Asing). Asing disini memiki dua makna. Makna yang pertama ialah rehlah dalam menuntut ilmu. Meninggalkan keluarga, rumah, kampung halaman hanya untuk satu tujuan iaitu menuntut ilmu. Erti kedua ialah tidak bergaul dengan orang lain kecuali dengan orang-orang yang satu tujuan (penuntut ilmu) dengannya. Dengan erti kata lain tidak menggunakan waktu untuk bergelumang dengan perkara-perkara yang tiada hubungan dengan ilmu pengetahuan.

Kelima : تلقين أستاذٍ. Menghadiri muhadharah para masyayaikh atau ustaz-ustaz merupakan syarat ke 5 dari 6 syarat berjaya dalam menuntut ilmu. Yang menghadiri kuliah akan mendapat sekurang-kurangnya tiga manfaat. Pertama ialah menjimatkan waktu. Kedua ialah mengislah pemahaman yang salah dan yang ketiga ialah beradab.

Keenam :  طول زمان (Waktu yang panjang). Oleh kerana ilmu itu sangat luas dan tidak memiliki akhir, maka sudah tentu amat memerlukan waktu yang sangat lama. Pepatah Arab mengatakan: “Tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad".

Atas dasar inilah seseorang itu perlu berusaha bersungguh-sungguh dengan memenuhi kesemua kriteria yang telah digariskan oleh ulama’. Setiap detik waktu hendaklah dimanfaatkan semaksima mungkin. Sufian at-Tsauri pernah berkata: “Sesiapa yang tidak beradab dengan waktu, maka waktunya sangat hina dan marah padanya”. Al-Imam Dr Yusuf al-Qaradhawi juga pernah mengatakan: “Jenayah yang paling besar buat umat Islam ialah membazir masa”.

Benarlah, kadang-kadang kita terlampau suka memenatkan pemikiran kita dengan memikirkan persoalan dan natijah  masa depan yang belum pasti, sedangkan kita tidak berusaha sedaya mungkin untuk menempuhi perkara tersebut. Apa yang pasti, kejayaan itu mampu dimiliki dan lakukan pecutan terakhir dengan masa yang masih berbaki.

Berusahalah semaksima mungkin selagi mana belum menjejakkan kaki ke dewan peperiksaan. Sebagai akhirnya, renungkanlah kata-kata dari Ibrahim bin Adham yang bermaksud :-

“Seseorang itu tidak akan mencapai darjat orang soleh sehinggalah dia menempuh enam rintangan:

        1) Hendaklah dia mengunci pintu kemuliaan dan membuka pintu kehinaan.
        2) Hendaklah dia mengunci pintu nikmat dan membuka pintu kesempitan.
        3) Hendaklah dia mengunci pintu kerehatan dan membuka pintu kesungguhan.
        4) Hendaklah dia mengunci pintu tidur dan membuka pintu berjaga malam.
        5) Hendaklah dia mengunci pintu kekayaan dan membuka pintu kefaqiran.
        6) Hendaklah dia mengunci pintu cita-cita dan membuka pintu persediaan.”

“Sesungguhnya hikmah itu adalah barang yang tercicir, dan barangsiapa  yang  menjumpainya, maka dialah yang berhak ke atasnya.” - Hukama’.

“MEMARTABAT  KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN”

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...