Islam Meraikan Hiburan Yang Halal
Hiburan merupakan suatu perkara yang
diminati oleh manusia secara fitrahnya. Bahkan hiburan merupakan satu eleman
dalam kehidupan. Adapun konsep hiburan itu berbeza-beza dan minat seseorang
juga berbeza-beza mengikut kecenderungan masing-masing.
Islam tidak memperincikan apa bentuk
hiburan tersebut, ia terserah kepada kesesuaian individu, tempat dan masa yang
sentiasa berubah-ubah. Apa yang pati hiburan adalah subjektif yang memberikan
maksud sesuatu (perbuatan, benda dan sebagainya) yang memberikan kegembiraan
dan menyukakan hati.[1] Maka hiburan tersebut adalah luas bentuknya samada
dalam bentuk suara seperti nyanyian, gurindam, sajak atau perbuatan seperti
tarian, berlakon, bersukan atau ia merupakan sesuatu benda / objek seperti
alatan muzik, buku, alatan sukan dan sebagainya.
Justeru, apa jua yang menghiburkan
hati atau menggembirakan hati itu dipanggil sebagai hiburan. Sehubungan itu
tujuan hiburan adalah menggembirakan hati, berlawanan dengan segala perkara
yang menyedihkan hati.
Dalam ilmu mantik, manusia juga
dikategorikan sebagai hayawan dhahik (حيوان ضاحك) iaitu makhluk hidup yang boleh gelak.
Takrifan ini membezakan dengan haiwan walaupun konsep bahasanya adalah hayawan.
Hal ini demikian hayawan adalah pengklasan dari sudut makhluk yang bernyawa
maka ia merangkumi manusia dan haiwan.
Dhahik pula pengklasan dari sudut
jenis sifat, maka ini yang membezakan antara manusia dan haiwan disebabkan
kerana haiwan tidak boleh gelak berbeza dengan manusia.[2]
Justeru, sifat itu yang ingin dimaksudkan
ialah gembira iaitu mampu untuk berhibur dan berhajat kepada sesuatu yang
menghiburkan hati. Maka dari sudut mantiknya pun membawa maksud bahawa hiburan
merupakan perkara fitrah. Dan bertepatan dengan Islam yang merupakan agama
fitrah maka sudah tentu Islam membenarkannya selagimana ia tidak bertentangan
dengan syara’.
Bahkan Nabi SAW juga berpesan kepada
sahabatnya agar hidup dalam keadaan fitrah. Hal ini demikian kerana Islam itu
agama fitrah. Disebabkan itu Islam melarang daripada hidup sebagaimana rahib
yang tidak berkahwin, bahkan Islam mensyariatkan perkahwinan. Islam juga
menyuruh manusia mencari rezeki sebagaimana dalam ayat Al-Quran berkenaan Solat
Jumaat.
Firman Allah dalam Surah Al-Jumu’ah
pada ayat ke-10 yang bermaksud :
“Apabila telah ditunaikan solat
(Solat Jumaat dan umumnya), maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah
kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.”
Islam tidak menghalang berniaga dan
apa jua pekerjaan untuk mencari rezeki sebagaimana yang disebutkan dalam ayat
Al-Quran di atas. Bahkan ayat di atas disebutkan bahawa selepas selesai
melaksanakan solat (kewajipan kepada Allah) maka diperintahkan untuk bertebaran
mencari kurniaan Allah samada perniagaan dan sebagainya. Hal ini demikian
kerana Islam itu agama fitrah iaitu tidak menghalang kehendak manusia dari
sudut kehidupan dunia selagimana ia tidak ditegah dan membelakangi kewajipan.
Bahkan inilah yang dikurniakan kepada
manusia, namun Allah mengingatkan agar manusia menguruskan segala apa yang
dikehendakinya itu selaras dengan Islam, tidak bertetangan dengan syara’. Hal
ini demikian kerana apa yang disyariatkan Allah itu adalah sebaik-baiknya.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran
pada ayat ke-14 yang bermaksud :
“Dijadikan indah pada (pandangan)
manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita,
anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan,
binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia,
dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”
Kisah sahabat yang bernama Hanzalah
merupakan kisah yang masyhur bahawa Nabi SAW mengajar para sahabat agar hidup
dalam keadaan yang normal iaitu tidak menolak fitrah semulajadi yang memerlukan
kepada hiburan namun dalam batasan syara’. Hanzalah suatu ketika merasa gelisah
sehingga merasakan seakan-akan bersifat sebagaimana orang munafik iaitu
melakukan ibadah dalam satu masa, dan berhibur dalam satu masa. Namun bukanlah
melakukan maksiat atau terjatuh dalam perkara haram. Lalu Nabi SAW bersabda
kepada Hanzalah yang bermaksud :
“Wahai Hanzalah, sekiranya kamu
berterusan dengan (syadid) dalam keadaan kamu sekarang ini (ibadah semata-mata
tanpa rehat dan berhibur seketika) nescaya malaikat akan mengiringi ke mana
sahaja kamu lalu (fadhilat yang besar terhadap ibadah yang sahih di lakukan),
akan tetapi satu masa dan satu masa.”[3]
Apa yang ingin dimaksudkan ialah
dalam kehidupan ini tidak perlu terlalu syadid tanpa melihat ibadah umum yang
lebih luas. Disebabkan itu Nabi SAW sebut “satu masa dan satu masa” maksudnya
ada masa untuk fokus ibadah yang khusus dan ada masa untuk rehat, berhibur,bersama-sama
dengan masyarakat dan sebagainya selagimana dalam ruang lingkup yang harus
bukannya haram atau maksiat.
Batasan-Batasan Dalam Berhibur
Majoriti ulama menghukumkan bahawa
hiburan adalah diharuskan dengan syarat hiburan tersebut tidak mengandungi
sebarang unsur-unsur maksiat yang haram dan apa jua bentuk yang bertentangan
dengan syara’.
Lihat ketika mana peristiwa hijrah,
apabila Nabi SAW bersama-sama dengan Abu Bakar sampai di Madinah, baginda SAW
disambut oleh penduduk Madinah dengan kegembiraan melalui nyanyian dan paluan
gendang serta bertepuk tangan. Kesemua ini merupakan hiburan yang menzahirkan
mereka gembira dengan kehadiran Nabi SAW, bahkan Nabi SAW tidak menghalangnya
dan membiarkannya dengan bersabda kepada Abu Bakar yang bermaksud :
“Biarkan mereka wahai Abu Bakar,
sehingga orang yahudi ketahui bahawa agam kita (Islam) itu lapang / luas
(meraikan fitrah)”[4]
Saidatina Aisyah RA meriwayatkan
bahawa ketika beliau mengiringi seorang wanita Ansar ke rumah suaminya (majlis
menyambut tetamu), lalu baginda SAW bersabda kepadanya :
“Wahai Aisyah, tidak adakah
bersama-sama kamu akan hiburan? Sesungguhnya kaum Ansar mereka teruja / suka
akan hiburan.”[5]
Dalam kisah ini, Nabi SAW tidak
menghalang akan hiburan yang disukai oleh kaum Ansar dalam majlis perkahwinan
mereka selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’. Hal ini demikian kerana,
sebarang perkara yang tidak bertentangan dengan syara’ dan tidak dihukumkan
akan haram maka hukumnya adalah harus.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maidah
pada ayat ke-4 yang bermaksud :
“Mereka menanyakan kepadamu:
"Apakah yang dihalalkan bagi mereka?." Katakanlah: "Dihalalkan
bagimu yang baik-baik”
Justeru, apa yang tidak diharamkan
dan dilarang oleh syara’ adalah perkara yang baik. Disebabkan itu hiburan yang
menurut Islam yang tidak mengandungi unsur-unsur yang haram adalah diharuskan.
Firman Allah SWT dalam Surah Yunus
pada ayat ke- 59 yang bermaksud :
“Katakanlah: "Terangkanlah
kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan
sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal." Katakanlah: "Apakah Allah
telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja
terhadap Allah ?"
Firman Allah SWt dalam Surah Al-A’raf
ayat ke-32 yang bermaksud :
“Katakanlah: "Siapakah yang
mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk
hamba-hamba-Nya dan (siapa pula yang mengharamkan) rezki yang baik?"
Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam
kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah
Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.”
Berdasarkan ayat Al-Quran di atas,
Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar berfatwa sesuatu perkara itu tidaklah diharamkan
semata-mata ia menghiburkan atau menyeronokkan akan tetapi ia diharuskan
berdasarkan qias kepada perkara-perkara baik melainkan adanya illah yang menunjukkan ia adalah haram.[6]
Justeru, hukum asal bagi hiburan
adalah diharuskan dengan syarat menjaga batasan-batasan yang telah ditetapkan
oleh Islam sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama yang menghukumkan
hiburan itu adalah harus, iaitu :
1-
Dari sudut jenaka atau lawak, pastikan tidak menipu dan menghina atau
menjatuhkan maruah seseorang serta tidak melampau sehingga terlalu banyak
gelak.
Nabi SAW bersabda :
“Celakalah bagi mereka yang berkata
kemudian menipu untuk menggelakkan sesuatu kaum (menghina), celakalah baginya,
celakalah baginya.”[7]
Abu Hurairah RA meriwayatkan Nabi SAW
bersabda :
“Berjenakalah, dan jangan kamu
bercakap melainkan perkara yang benar.”[8]
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat
ayat ke-11 yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi
yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan
perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih
baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan
gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang
buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.”
Nabi SAW bersabda :
“Janganlah kamu banyak dalam
bergelak, kerana sesungguhnya banyak dalam bergelak mematikan hati.”[9]
Saidina Ali bin Abi Talib menyebut :
“Masukkan dalam kalam akan jenaka,
dengan kadar memasukkan garam dalam makanan.”[10]
2-
Tidak mengandungi unsur perjudian dan sebagainya yang diharamkan dalam
konteks kewangan Islam.
Firman Allah dalam Surah Al-Maidah
pada ayat ke-90 yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman,
sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib
dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah
perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”
3-
Tidak lalai sehingga mengabaikan kewajipan seperti solat fardhu dan
sebagainya.
Firman Allah dalam Surah Al-Asr yang
bermaksud :
“Demi masa. Sesungguhnya manusia
dalam keadaan yang rugi. Melainkan mereka yang beriman, beramal soleh, dan
berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Firman Allah dalam Surah Al-Mukminun
pada ayat ke-3 yang bermaksud :
“Dan orang-orang yang menjauhkan diri
dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna”
Iaitu mereka yang lalai dengan
perkara keduniaan sehingga luputnya kewajipan yang sepatutnya dilakukan.
4-
Tidak mendatangakan mudharat samada mencederakan diri sendiri atau
mencederakan pihak lain.
Firman Allah dalam Surah An-Nisa’
pada ayat ke-29 yang bermaksud :
“Janganlag kamu membunuh diri kamu
sendiri, sesungguhnya Allah maka pengasihi dengan kamu (hamba-hamba-Nya).”
Abi Said Al-Khudri, meriwayatkan
bahawa Nabi SAW bersabda :
“Tidak ada (haram melakukan) mudharat
dan membalas kemudharatan (dengan mudharat)”[11]
5-
Tidak mendedahkan aurat, berlaku percampuran yang terlarang / pergaulan
bebas serta fitnah dari sudut syahwat yang menjurus ke arah zina
Firman Allah dalam Surah An-Nur pada
ayat ke-30 dan 31 yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada
orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka
(daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang
demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya
tentang apa yang mereka kerjakan.(30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan
yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram),
dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”
Firman Allah dalam Surah Al-Isra’
pada ayat ke-32 yang bermaksud :
“Janganlah (haram) kamu menghampiri
zina, sesungguhnya ia perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.”
Dan boleh rujuk pada artikel-artikel
yang lepas berhubung isu aurat dan berkaitan dengannya di :
http://www.manhal.pmram.org/2011/01/hukum-bersalaman-antara-lelaki-dengan.html
http://www.manhal.pmram.org/2010/11/perbahasan-melihat-aurat-sesama-jenis.html
Kesimpulan
Islam tidak menghalang umatnya
daripada berhibur bahkan ia diraikan selagimana tidak bercanggah dengan syara’.
Konsep berhibur hendaklah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan
sebagaimana yang telah dibentang di atas.
Justeru, mana-mana hiburan yang
bercanggah dengan syara’ adalah diharamkan dan mesti dicegah agar tidak
merosakkan masyarakat bermula dari akar umbi.
Pihak kerajaan mestilah mengambil
sikap cakna yang serius dalam membangunkan modal insan di kalangan rakyat
samada Islam atau non muslim. Hal ini demikian kerana kejatuhan moral
menunjukkan sesebuah masyarakat tersebut tidak bertamadun.
Bahkan pihak-pihak berwajib juga
bertanggungjawab dalam memastikan pencegahan keruntuhan moral terutama dalam
bab hiburan ini dibendung.
Akhir sekali, pihak kerajaan dan
terbabit mestilah merangka program-program yang memberikan manfaat samada dari
sudut kerohanian, pemikiran, sosial, dan sebagainya kepada masyarakat terutama
golongan belia yang bertepatan dengan syara’ serta tidak bercanggah dengan
Islam.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1-
Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, jilid ke-2 oleh
Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah Wahbah
2-
Al-Islam Wa Al-Fan, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
3-
Fiqh Al-Lahw Wa At-Tarwih, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah
Wahbah
4-
Fiqh Al-Ghina’ Wa Al-Musiqi Fi Dhaui Al-Quran Wa As-Sunnah, oleh Dr
Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah
5-
Al-Fath Al-Mubin, oleh Imam Ibnu Hajar Al-Haithami S-Syafie, cetakan Dar
Al-Minhaj
6-
Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan, oleh Syeikh Ali Jumaah, cetakan
Muqattam Li An-Naysr Wa At-Tauzik
________________________________________
[1] rujuk Kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka edisi ke-4
[2] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih,
Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 20
[3] kitab Fiqh Al-Lahwi Wa At-Tarwih,
Dr Yusuf Al-Qardhawi m/s 29
[4] Tafsir Al-Qurtubi. Lihat kitab
Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 355
[5] Sahih Bukhari, jilid ke-5,
cetakan Dar Ibnu Kathir. Lihat kitab Al-Bayan Lima Yashghulu Al-Azhan,oleh
Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir m/s 350
[6] Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi
Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, Al-Marhum Syeikh Atiyah Saqar, m/s250
[7] Ahmad no 20073 dan Ad-Darimi no
2707
[8] At-Tirmizi no 1990
[9] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr Yusuf
Al-Qardhawi, m/s 40
[10] kitab Al-Lahw Wa At-Tarwih, Dr
Yusuf Al-Qardhawi, m/s 40
[11] Ibnu Majah no 2340