Saturday, December 8, 2018

KANTA SISWA | ICERD : PEDULIKAH KITA

KANTA SISWA | ICERD : PEDULIKAH KITA?
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

ICERD merupakan singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination. Dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.

Secara faktanya, konvensyen ini telah dibuka untuk ditandatangani serta diratifikasi sejak 21 Disember 1965 dan dikuatkuasakan bermula 4 Januari 1969. Uniknya, Malaysia merupakan satu daripada 15 buah negara yang tidak meratifikasi konvensyen tersebut sehingga ke hari ini.

⭕ ICERD DAN PERLEMBAGAAN

Dalam konteks negara Malaysia, sekiranya konvensyen ini disahkan, ia mampu memberi implikasi yang besar terhadap perpaduan kaum yang telah terbina sekian lamanya di tanah air ini dalam erti kata lain perjanjian ini mampu mengundang perpecahan kaum.

ICERD juga mampu mengganggu-gugat serta menjejaskan peruntukan perlembagaan negara khususnya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan Hak-hak Keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Hal ini kerana ICERD yang kononnya berperanan membawa aspirasi kesamarataan yang menjadi tunjang idea liberalisme juga membasmi segala bentuk diskriminasi yang berlegar sekitar negara-negara anggota menganggap pemberian keistimewaan kepada sesebuah kumpulan adalah satu bentuk diskriminasi yang mesti dihapuskan.

Hakikatnya, ICERD itu sendiri mempunyai unsur diskriminasi yang tersendiri dengan nilai kesamarataan serta tidak menghormati kewujudan perbezaan agama dan bangsa yang menjadi perjuangan utama golongan liberalis. Jika menerimanya sebagai solusi diskriminasi, bererti membuka ruang tuntutan pihak tertentu bagi mendapat lesen sehingga melanggar sempadan agama, hak bumiputera serta keadilan terhadap semua kaum yang mesti dipertahankan.

⭕ KEDUDUKAN ISLAM

Keamanan telah wujud di negara ini dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan halangan mendiskriminasi kelompok bukan Islam dengan berkonsepkan hak keadilan dan persamaan yang semestinya sudah memenuhi keperluan masyarakat majmuk di negara ini dan pastinya peruntukan ini lebih baik berbanding ICERD. Tinggal saja, aspek pelaksanaannya perlu diperkemas dan diperkasakan dengan cara kita sendiri melalui pihak berautoriti tanpa melibatkan campur tangan luar.

Lebih parah apabila ICERD juga sebenarnya mampu mengancam kedudukan Islam di Malaysia dengan dasarnya yang pincang dan tidak adil menganggap perjuangan Islam sebagai satu unsur rasisme (perkauman). Kewajipan-kewajipan yang terpundak ke atas umat Islam seperti menutup aurat, berhijab, ikhtilat, membanteras ajaran sesat, menghalang agama lain disebarkan kepada umat Islam dan sebagainya dilihat sebagai rasisme dan diskriminasi agama.

Begitu juga hukum-hakam Islam yang melibatkan perbezaan jantina dalam ibadah seperti pembahagian faraid dan sebagainya turut akan dipersoal yang akhirnya menggugat kedudukan Islam. Lebih besar lagi jika diratifikasi ICERD ini, undang-undang yang termaktub di dalam artikel perlembagaan, akta serta enakmen bersifat Islamik turut terjejas malah diklaim juga sebagai rasisme.

Terjejas dengan maksud sekiranya artikel perlembagaan berkaitan undang-undang, akta atau enakmen yang melibatkan kepentingan umat Islam dibawa ke badan kehakiman antarabangsa yang diketahui menganggap agama sebagai satu bentuk rasisme dan penindasan yang bercanggah dengan resolusi ICERD tersebut, tidak dapat tidak undang-undang Malaysia berisiko untuk dipinda.

Sungguh, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan Malaysia manakala hak beragama lain telah termaktub melalui kontrak sosial yang telah disepakati semua wakil kaum di Malaysia. Menjadi kewajipan bagi umat Islam menolak idea dan konsep liberal yang ingin menyamakan kedudukan semua agama, secara tidak langsung menafikan sifat beragama yang akhirnya menghakis naluri manusia untuk beragama.

⭕ PERANAN UMAT

Jelas kepada kita isu agama dan bangsa ini terlebih dahulu diurus dengan baik oleh Malaysia sebelum tercetusnya ICERD pada 1965. Apakah keperluan untuk mencedok idea penjajah ini yang pastinya menatijahkan keuntungan bagi poket mereka sendiri lalu terus dengan sifat penindas ke atas negara-negara jajahan mereka?

Rakyat Malaysia seharusnya menutup serapat-rapatnya pintu yang sebenarnya akan memakan diri kita sendiri apabila ICERD ini cuba diketengahkan atas slogan pembasmian diskriminasi, hakikatnya ia adalah raksasa sebenar yang bermaharajalela melakukan penindasan sewenang-wenangnya.

Bersikap bisu dan memekakkan telinga terhadap isu ini bukanlah tindakan yang bijak. Ironinya, umat Islam, umat beragama dan semua bangsa perlu bersatu dengan tegas menentang agenda ICERD sebagai simbol kecintaan kepada negara yang juga dituntut di dalam Islam. Ini kerana konsepnya yang sebenar tidak beragama dan tiada nilai kemanusiaan.

Tambahan pula, ia digagaskan oleh pihak-pihak berhati binatang seperti barat yang sudah terbukti gagal membawa keadilan hakiki setelah meninggalkan agama dan etika kemanusiaan yang sebenarnya. Menerimanya mengakibatkan pembukaan pintu campur tangan luar ke dalam negara kita.

⭕ DI SEBALIK TOPENG ICERD

Sayogia kita perlu lebih berwaspada dengan tidak bermudah-mudah menerima masuk pengaruh bersifat jahiliah serta berunsur penjajahan yang memperbodohkan minda masyarakat. Maka, kita mesti bersolidariti dan berpadu tenaga menyatakan penolakan dan pengharaman terhadap ICERD yang diragui autoritinya dalam melindungi umat sejagat dari penindasan. Malah kita meyakini ia menuju ke arah kerosakan agama, bangsa dan negara yang sebenarnya sejajar dengan agenda parasit, Freemason.

Kita perlu menyedari usaha ini bukan sekadar menyelamatkan komuniti kecil, tetapi ia merupakan usaha mempertahankan kebenaran serta menyelamatkan kedaulatan umat dan negara yang menjadi sunnah perjuangan.

Ayuh ! Nyatakan bantahan anda.

"Memacu Legasi Berinformasi"

Disediakan oleh:
Unit Pengkajian dan Informasi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"


No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...