Friday, November 30, 2018

MINDA PIMPINAN | KESATUAN

MINDA PIMPINAN | KESATUAN
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam, Selawat dan Salam ke Hadrat Baginda Nabi Muhammad S.A.W  penghulu sekalian nabi.

 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُوْلِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ اْلآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيْرًا

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, yaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berdzikir kepada Allah.” [ QS. Al-Ahzab: 21 ]

Ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita setiap tatacara, peribadi dan perjuangan yang dibawa Rasulullah S.A.W mestilah diikuti. Antara Sunnah terbesar yang dibawa oleh Baginda dengan menyebarluaskan Islam ke seluruh pelusuk dunia dengan mengupayakan umat Islam berada dalam kesatuan berlandaskan akidah sebenar.

Kesatuan Islam merupakan salah satu kunci kejayaan terpenting bagi kemuliaan dan kemenangan Islam dari pelbagai bidang samada dari aspek sosial hingga siasah. Sebaliknya, perselisihan dan perpecahan hanya menghasilkan kelemahan dan ketidakberdayaan umat Islam. Potensi sumber daya Muslim yang besar terbuang percuma, dan umat Islam hidup dalam suasana tiada kesatuan, hanya berada dalam  kelompok sosial dan hidup dengan kecenderungan politik masing-masing.

Allah Ta’ala berfirman,

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [ QS. Al-Baqarah: 120 ]

Allah mengkhabarkan kepada Rasul-Nya, bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha sampai kita mengikuti ajaran mereka. Kerana mereka akan terus mengajak untuk mengikuti ajaran mereka dan mereka menganggap itulah sebagai al-huda (petunjuk). Jadi, petunjuk Allah adalah ajaran yang dibawa Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam, itulah petunjuk yang sebenarnya. Maka dari itu mereka yakni musuh Islam mengubah konsep mengikuti agama mereka daripada memaksa umat Islam untuk mengucapkan kalimah kufur kepada penguasaan ruang global samada dalam bidang pengurusan antarabangsa, sistem ekonomi, corak sosial manusia sehingga menekan umat Islam mengikut telunjuk mereka dan menghujum kaedah yang Islam bawa tidak lagi relevan untuk digunapakai pada masyarakat hari ini.

Seandainya umat Islam menjadi pak turut kepada musuh Islam maka kelak Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong kepada kita melalui firman Allah S.W.T :

وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُمْ بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [ QS. Al-Baqarah: 120 ]

Dalam konteks kita selaku Mahasiswa/wi Islam Perak di Mesir khususnya, antara bentuk kesatuan yang dibawa bertepatan dengan konsep amal ijtima’ie ialah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) yang telah ditubuhkan pada tahun 1964 dibawah kepimpinan Ustaz Ahmad Jais. Kesatuan ini berusaha sedaya upaya meningkatkan kefahaman ahli bagi mengamati Islam secara syumul melalui menitikberatkan segala perintah Allah dan Rasul-Nya serta menggerakkan Amar Ma’ruf Nahi Munkar sebagaimana firman Allah S.W.T :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung. [ QS. Ali Imran : 104 ]

Selain itu, kemudahan dan kebajikan ahli yang kita terima hari ini hasil usaha daripada kesatuan ini seperti usaha mendapatkan kedua-dua buah wisma Perak daripada kerajaan negeri, dermasiswa kepada semua anak-anak Perak, memperkemaskan kualiti pembelajaran ahli serta banyak lagi sekalipun berbagai tohmahan dan penafian yang diterima demi merealisasikan ayat di atas.

Berbalik kepada kesatuan umat Islam melalui konsep amal Jama’ie maka perlu difahami apakah tujuan sebenar umat manusia berhajat kepada kesatuan antaranya :

1. Kesatuan umat Islam yang benar-benar memperjuangkan Islam tidak akan dapat disesatkan oleh musuh kerana mereka sentiasa dilindungi oleh ajaran Al-Qur’an dan Hadis Nabi SAW.

 Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang memecahbelahkan, maka ia bukan dari kalangan kami. Rahmat Allah   berada bersama-sama dengan jemaah, dan sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang menyendiri”

Sabda Nabi SAW lagi: “Hendaklah kamu berjemaah kerana sesungguhnya jemaah itu adalah rahmat dan perpecahan itu merupakan azab”

2. Kesatuan merupakan jalan pelaksanaan cita-cita Islam untuk memakmurkan bumi Allah ini, berlandaskan kaedah usul fiqh.

“Tidak sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya maka ia adalah wajib.”

3. Menambahkan keutuhan hubungan antara mukmin dengan mukmin yang lain. Mereka juga saling mempercayai, menyayangi serta bekerjasama dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kemungkaran.

 Firman Allah S.W.T :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan mengelluarkan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah” [ QS. At Taubah : 71 ]

4. Sebagai pembentuk masyarakat yang berakhlak. Sesungguhnya kekuatan sesebuah kesatuan Islam bukan hanya bergantung kepada pencapaian dalam bidang ekonomi, politik, teknologi, perhubungan dan sebagainya bahkan juga bergantung kepada kekentalan semangat beragama dan akhlak mulia. Seringkali organisasi yang tidak berasaskan keredhaan Allah mengalami kehancuran akibat keruntuhan moral ahli-ahlinya seperti pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Kesatuan Islam adalah pemangkin masyarakat ke arah melahirkan masyarakat yang bermoral.

Akhlak ialah budi pekerti, perangai, tingkah laku, atau tabiat. Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak, seperti sabda Baginda bermaksud:
 "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia." [ HR al-Hakim ]

Perutusan Baginda adalah untuk menyempurnakan budi pekerti mulia dalam jiwa umatnya dan seluruh manusia, sekaligus menghendaki kita supaya bermuamalah dengan akhlak baik, tidak dengan aturan lain.

Kesatuan dalam kesatuan itu perpecahan, maka dari itu pelajarilah ibrah daripada pemecatan Saidina Khalid Al-Walid R.A yang merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan telahpun dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab R.A. Sememangnya kepercayaan masyarakat Islam pada waktu tersebut amat tinggi terhadap kebolehan dan kehebatan Saidina Khalid Al-Walid R.A sehingga membuatkan masyarakat tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan beliau dan bukan kerana bantuan Allah S.W.T. Setelah berita tersebut sampai kepada Saidina Umar Al-Khattab R.A, maka beliau dilucutkan jawatan daripada panglima perang bagi menyelamatkan akidah umat Islam dan mengelakkan daripada berlaku fitnah besar kepada agama. Secara terbuka beliau menerima pemecatan jawatan tersebut kerana memahami mafsadah yang lebih besar yang akan berlaku dan tiada sebarang pemberontakan yang ditonjolkan. Sedia menerima posisi yang diletakkan oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A tanpa mewujudkan sebarang kesatuan yang baru dan persepsi.

Justeru itu, harapan saya kepada seluruh mahasiswa/wi Islam Perak di Mesir khususnya. Kita selaku umat Islam yang mendasari Al-Quran dan As-Sunnah haruslah berada di dalam kesatuan Islam yang tidak dapat tidak ianya bertujuan bagi mengelakkan diri daripada masuk jerangkap  musuh yang mencelarukan pemikiran umat Islam sehingga mengikuti telunjuk kaum yahudi dan nasrani secara tidak sedar.

Disediakan oleh :
Muhamad Amirul Syahmi bin Yusof
Bendahari Kehormat KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...