Saturday, October 13, 2018

TOGETHER WE UNITE

MINDA PIMPINAN : TOGETHER WE UNITE

Islam adalah satu-satunya agama yang benar, Nabi Muhammad sebagai nabi dan rasul terakhir, al-Quran pula sebagai kitab panduan sekalian umat. Hal ini telah ditegaskan Allah SWT di dalam firman-Nya :

إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ (٩٢)

Maksudnya : "Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Aku." [Surah al-Anbiya' : Ayat 92]

Kesatuan Islam adalah maqasid syar'iyyah yang paling penting dalam agama. Ia juga merupakan satu kemestian apatah lagi pada zaman yang memerlukan kepada perpaduan ini. Perkara ini jelas terlihat di dalam kisah Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat. Suatu hari Abdullah bin Mas’ud r.a berkata, “Rasulullah SAW membuat sebuah garis lurus bagi kami, lalu bersabda, ‘Ini adalah jalan Allah’, kemudian beliau membuat garis lain pada sisi kiri dan kanan garis tersebut, lalu bersabda, ‘Ini adalah jalan-jalan (yang banyak). Pada setiap jalan ada syaitan yang mengajak kepada jalan itu,’  kemudian baginda membaca ayat ini :

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٥٣)

Maksudnya : "Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa." [Surah al-An'am : Ayat 153]

Kesatuan inilah yang akan membawa kepada perlaksanaan perpaduan umat islam daripada ruang teori dan praktikal. Ia juga akan meleburkan perpecahan yang disebabkan ideologi serta menjadi penghapus kepada nafsu pimpinan diktator yang menzalimi rakyat demi kepentingan peribadinya.

Perbezaan tidak seharusnya membawa kepada perpecahan dan pergaduhan sesama manusia. Dengan menghayati tuntutan Islam, maka sudah tentu akan wujud tindak balas positif di dalam masyarakat apabila berlaku perbezaan atau pergaduhan. Perpecahan itu ibarat apabila lidi yang keluar dari ikatannya, maka hilanglah kekuatannya.

Allah SWT menyuruh kita semua memperkukuhkan kesatuan dan melarang untuk bercerai-berai. Firman Allah SWT :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (١٠٣)

Maksudnya : "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk." [Surah Ali-Imran : Ayat 103]

Demikianlah penegasan Allah tentang pentingnya sebuah kesatuan.

Agama Islam mementingkan kesatuan ummah demi membina sebuah daulah islamiah. Dengan kesatuan, manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Sewaktu kota Madinah dibuka, antara langkah awal penyatuan adalah pembinaan masjid sebagai pusat sosial masyarakat bagi golongan Ansar dan Muhajirin. Sesungguhnya manusia yang tidak mampu hidup tanpa bantuan yang lain, konsep tolong-menolong adalah perlu bagi menghasilkan suatu kehidupan yang dapat memenuhi keperluan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Selain itu, keamanan dan kedamaian juga tidak mungkin tercapai tanpa pengorbanan dan usaha ke arah mewujudkan dan mengekalkan sebuah kesatuan hinggalah ke generasi akan datang. Allah SWT telah berfirman :

 إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١١١)

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." [Surah at-Taubah : Ayat 111]

Semua ini adalah bukti yang menyatakan bahawa kesatuan Islam tidak akan terbentuk kecuali dengan pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka yang ikhlas di dalam gerakerja Islam.

Firman Allah SWT :

وَالْعَصْرِ (١) إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ (٢) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (٣)

Maksudnya : "Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian (2) kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran (3)." [Surah al-Asr : 1-3]

Jika kita perhatikan firman Allah SWT di atas yang bermaksud 'nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran', ia  adalah satu fenomena kesatuan. Kerana amar makruf nahi mungkar bukan tertumpu pada seorang individu sahaja malah memerlukan kepada suatu kelompok yang saling mengingatkan antara satu sama lain. Maka, jelaslah kepada kita tentang pentingnya gerakerja Amar Makruf Nahi Mungkar dilaksanakan secara kolektif (Jamaie).

Sebuah kesatuan mestilah atas dasar agama, aqidah dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Umat islam yang mempunyai kesatuan aqidah, kesatuan syariah dan kesatuan matlamat ini telah disatukan oleh kesejagatan ukhuwah yang berteraskan iman. Sesungguhnya, ukhuwah adalah salah satu dasar yang fundamental di dalam Islam.

Sabda Rasulullah SAW :

المسلم أخو المسلم لا يظلمه ولا يسلمه...

Maksudnya : "Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, dia tidak akan menzalimi saudaranya dan tidak akan menjatuhkannya (tidak akan membiarkannya).
-Riwayat al-Bukhari-

Justeru itu, kesatuan islam adalah perkara utama yang diseru Allah SWT dan Rasul-Nya, maka wajib bagi kita terus bersemangat untuk merealisasikannya. Disamping itu, Islam juga mengajar umatnya untuk bermuhasabah diri, Saidina 'Umar bin al-Khattab r.a berkata : "Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab". Oleh itu, kita haruslah mengoreksi diri supaya kita tetap berada di jalan Allah SWT dan melakukan ketaatan kepada-Nya.

Disediakan oleh :
Noor Atiqah binti Noor Hisham
(Ketua Biro Perumahan HEWI KPIPM sesi 2017/2018)

No comments:

Post a Comment

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIPM SESI 2024/2025

MAKLUMAN | DIREKTORI AHLI JAWATANKUASA TADBIR, AHLI JAWATANKUASA HEWI & ANGGOTA BADAN PENASIHAT KPIP...