‘IBRAH DI SEBALIK SYA’BAN
Terdapat banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada dua peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Sya’ban,iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat dan terbelahnya bulan kepada dua.
Dalam peristiwa pertukaran arah kiblat, kita dapat lihat bagaimana Nabi Muhammad SAW dan para sahabat menunjukkan sikap bagaimana perintah Allah SWT itu hendaklah dilaksanakan serta-merta tanpa bertangguh. Tidak perlu menghabiskan solat yang sedang dilakukan dan menunggu solat yang berikut bagi menghadap ke arah qiblat yang baru. Berbeza sekali dengan sikap kebanyakan umat Islam hari ini yang suka bertangguh dan melakukan sesuatu perkara tanpa landasan Al-Quran dan As-Sunnah. Sungguh jauh ketinggalan akhlak kita berbanding akhlak yang ditunjukkan oleh baginda Nabi S.A.W serta para sahabat.
Nabi Muhammad SAW seperti mana yang ketahui,baginda sering disakiti dan diingkari oleh puak kafir kerana membawa kebenaran iaitu mentauhidkan Allah SWT. Ini termasuklah kejadian bulan terbelah dua, yang mempamerkan sikap buruk pihak musyrikin yang sukar menerima kebenaran yang terbentang. Mereka tetap dengan sikap degil mereka sedangkan mereka sendiri yang meminta baginda S.A.W menunjukkan bukti kebenaran kononya dengan bukti kebenaran tersebut mereka akan tunduk dan menyerah kalah.
Hakikatnya mereka mempunyai niat yang buruk terhadap baginda Nabi S.A.W, kononnya Rasulullah SAW tidak akan mampu menunjukkan sebarang bukti kerana yang diminta semuanya bersifat luar biasa dan tidak masuk akal. Andainya bukti tersebut gagal ditunjukkan oleh baginda S.A.W maka semakin galaklah mereka memusuhi dan mengeji baginda Nabi S.A.W. Namun baginda tetap bersabar dengan sikap mereka sehingga mereka mempercayai dan menyakini keagungan dan keesaan Allah SWT.
Lewat peristiwa ini, dapatlah kita mengambil pengajaran melalui kesabaran ketabahan Nabi SAW tanpa perlu berputus -asa dalam menyampaikan risalahNya dan memperjelaskan ketauhidan Allah SWT. Umat Nabi Muhammad SAW seharusnya menjauhi sikap yang ditunjukkan oleh puak kafir Quraisy yang mana mereka ini membutakan mata mereka sendiri setelah kebenaran di bentangkan di hadapan mereka. Janganlah sesekali kita menjadi seperti mereka yang sudah dibentangkan kebenaran tetapi sedaya-upaya mencari helah untuk membenarkan pegangan mereka yang tersasar itu.
Begitulah yang terjadi kepada sebahagian masyarakat yang sering mencari helah untuk menidakkan atau melarikan diri dari suatu perintah Allah SWT. Hakikatnya mereka tahu tetapi buat seperti orang yang tidak tahu, bahkan ada pula yang berani mencabar serta memperlekehkan sesebuah syariat tersebut. Tidak cukup itu, mereka dengan lantang dan biadapnya sanggup melabelkan ahli ulamak sebagai sesat, wahabi dan kafir.Tidakkah ini persis sikap puak-puak kafir Quraisy? Hal ini jelas menunjukkan akhlak dan perilaku buruk itu berulang kembali pada hari ini.
Sumber : Risalah Tinta Dakwah (8), Biro Dakwah & Tarbiah KPIPM 2014.
No comments:
Post a Comment