Saturday, June 14, 2014

AZHARI ACUAN AKHLAK MUHAMMADIAH




Kehidupan yang indah adalah kehidupan yang dihiasi oleh nilai-nilai akhlak yang menjadi asas kepada apa jua aktiviti dalam kehidupan. Islam sebagai agama dan cara hidup yang syumul menekankan umatnya agar menjalani kehidupan berasaskan akhlak dan perilaku yang baik dan mulia seperti junjungan besar Nabi Muhammad SAW.Ia juga merupakan misi terpenting dalam risalah para Nabi . Sabda Nabi SAW mafhumnya :

Ada seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw : Ya Rasulullah, bagaimana kami hendak mengenal pasti seseorang itu penghuni syurga? Maka Nabi saw menjawab : Kamu lihatlah seseorang yang lebih condong kepada kebaikan daripada condong ke arah kejahatan. Apabila kita lihat pada hadis tersebut, betapa bernilainya akhlak sehingga Nabi Muhammad saw menyebut dalam sebuah hadis yang bersabda :

إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق

" Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ." Akhlak yang dimulakan oleh Nabi Allah Adam as sehingga berakhir dengan Nabi Allah Isa as dan disempurnakan oleh akhlak Nabi Muhammad saw."

Begitu tinggi akhlak Nabi saw sehingga Allah Taala  memuji Nabi Muhammad sallahu'alaihi wasallam dalam firman-Nya :
وإنك لعلى خلق عظيم

" Sesungguhnya engkau ( Ya Muhammad ) sungguh berada di atas akhlak yang paling agung "

Ilmu, iman dan amal merupakan faktor penting dalam pembinaan dan pembentukan akhlak.

Kalam ulama' sufi  : Ilmu adalah makhluk Allah yang ego, jika kita beri sedikit perhatian, maka dia akan beri sedikit tetapi bilamana kita memberi sepenuh perhatian dan cinta maka dia akan beri sepenuhnya.

Apakah kepentingan kepada kita sebagai mahasiswa dan mahasisiwi mencari ilmu? Adakah sekadar ingin mendapat sijil atau sekadar ingin dilihit hebat di mata manusia? Sedarlah bahawa ilmu itu adalah perisai kepada kejahilan diri. Kata penyair dalam bait-bait syair yang indah :

تعلم فليس المرء يولد عالما  #  وليس أخو علم كمن هو جاهل
وأن كبير القوم لا علم عنده  #  صغير إذا التفت عليه الجحافل
وإن صغير القوم إن كان عالما  #  كبير إذا ردت إليه المحافل

Belajar, sesungguhnya seseorang itu tidak dilahirkan alim # dan tiadalah orang berilmu menyamai orang yang jahil.
Sesungguhnya pembesar kaum yang tiada ilmu # menjadi kecil bila dikerumuni bala tenteranya ( meminta pandangan )
Seseorang yang berilmu sekiranya berilmu # ia akan menjadi besar bila dikerumuni orang ramai ( ingin belajar )

Melalui bait- bait syair ini dapatlah kita lihat bahawa seseorang itu akan dilihat dan diangkat darjatnya oleh Allah sekiranya dia mempunyai ilmu pengetahuan. Tetapi kita sebagai penuntut ilmu tidak dapat tidak mestilah membawa ilmu bersama dengan adabnya serta mengamalkan apa yang telah dipelajari supaya ilmu itu dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Ingatlah, bahawa ilmu itu tiada tandingan dengan yang lain kerana yang lain akan hilang dan lenyap, akan tetapi jika matinya orang yang alim maka ilmu yang disampaikan akan kekal bahkan menghilangkan ramai orang yang jahil.



Antara akhlak yang perlu ada pada setiap mahasiswa dan mahasiswi adalah :

1. Ikhlas beramal

Telah berkata Ibrahim At-Tamimi Rahimahullahu Taala :

المخلص من يكتم حسنته كما يكتم سيئاته

"Orang yang ikhlas akan menyembunyikan kebaikannya sepertimana dia menyembunyikan kejahatannya."

2. Banyak memaafkan orang lain.

الكاظمين الغيظ والعافين عن الناس

"Banyak menyimpan kemarahan dan memaafkan orang lain."

Memberi maaf akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk orang lain tetapi buat hati kita sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang lebih menyeksakan diri sendi berbanding orang yang kita marahkan. Ingatlah, kemarahan itu api yang panas dan membahang dalam diri, manakala kemaafan umpama salji dingin yang akan memadamkannya. Allah bukan sahaja sudi menerima maaf hambaNya bahkan Allah sangat menyayangi setiap hambaNya yang memohon maaf setelah melakukan maksiat dan dosa.

3. Merasakan diri tidak pernah bersyukur

Apa yang dimaksudkan disini adalah tidak pernah dirinya baik sedangkan mulut sentiasa mengucapkan   " ALHAMDULILLAH " tetapi tidak pernah merasakan dirinya bersyukur dengan nikmat Allah. Kata Al-Imam As-Syafie :

حب الصالحين ولست منهم  #  وأكره الطالحين وأشر منهم

"Aku kasih orang soleh tetapi aku bukan orang yang soleh, aku benci orang-orang yang jahat tapi aku lebih jahat daripada orang-orang jahat."

Disini kita boleh lihat bagaimana akhlak para sahabat Nabi saw walaupun mulia disisi Allah tetapi menganggap diri mulia dan tinggi.

4. Memuliakan para guru dan alim ulama'.

Ilmu ibarat rumah dan guru umpama tangganya, dari mana lagi ingin ke rumah kalau tidak melalui tangganya? Hormatilah mereka kerana mereka adalah pewaris para nabi dan janganlah menyebarkan fitnah kepada mereka kerana darah para ulamak adalah racun.

Kesimpulannya, setiap daripada kita perlulah berusaha berakhlak mulia dan proses pembentukannya mestilah bermula daripada diri sendiri atau fardu muslim. Pembentukan fardu muslim ini boleh dilihat melalui 10 muwassafat tarbiyyah dan dijadikan panduan menuju ke arah akhlak yang baik. Bertepatan dengan usul KPIPM 2014 ingin melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berketrampilan melalui pemantapan sahsiah dan akhlak Islamiah.

Disediakan oleh :
Ustazah Syariza Binti Ayub
Ketua Biro Pelajaran dan Ilmiah HEWI,
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2014

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN

#SATUFIKRAHSATUAMAL



No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...