Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kesempatan untuk
sama-sama kita terus menghirup udara di muka bumi Allah S.W.T Selawat dan salam
kita panjatkan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW , barisan pimpinan
khulafa’ Ar-Rasyidin, serta ahli keluarga dan kaum kerabat yang telah
bersama-sama dalam mendaulatkan Islam sehingga pada hari ini ia diteruskan oleh
generasi–generasi pelapis kepada perjuangan yang penuh suci ini.
Firman Allah S.W.T: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada
tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah
nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah
dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu
dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang
Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka
(disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari
neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada
kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”
Islam adalah sebuah sistem universal yang lengkap merangkumi
seluruh aspek kehidupan sama ada akidah, ibadah, siasah dan sebagainya. Salah
satu elemen yang paling penting dalam melaksanakan Islam adalah kesatuan. Dalam
membentuk komuniti mahasiswa Islam yang berpaksikan landasan Al-Quran dan
As-Sunnah, pelbagai medium yang telah digarap melalui elemen kesatuan ini.
Melihat kepada kepentingan untuk mengembalikan identiti akhlak Islamiyah di
kalangan masyarakat yang semakin meruncing kebelakangan ini, maka ia menjadi
salah satu kewajipan supaya penghayatan Islam kembali segar di kalangan
masyarakat.
Dalam membina kesatuan ini, ianya tidak terlepas daripada mehnah
dan tribulasi perjuangan. Menyingkap kembali sejarah perjuangan baginda Nabi
Muhammad S.A.W serta para sahabat, pelbagai mehnah dan tribulasi yang berjaya
ditempuhi dengan perancangan yang strategik serta efektif. Mereka tidak pernah
mengenal jerih perih serta pengorbanan harta, tenaga dan buah fikiran demi
melihat dunia ini kesemuanya tunduk kepada Allah S.W.T.
Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-46 yang telah berjaya
dilangsungkan baru-baru ini, ahli KPIPM telah berjaya melakukan perbincangan
dalam memutuskan keputusan yang berjaya disepakati. Terdapat satu usul yang
disepakati melalui perbincangan ini iaitu:
“ Meningkatkan kesatuan dalam kalangan ahli KPIPM dengan
tindakan:
1.1. Memaksimakan hubungan mahasiswa pengajian Islam dan sains
kesihatan
1.2. Memperkasakan muzakarah berkelompok di setiap peringkat
1.3. Meningkatkan ekonomi KPIPM
Manakala satu usul yang dibatalkan iaitu:
“ Membenarkan penggunaan internet di Wisma Darul Ridzuan dengan
syarat tertentu”
Hasil daripada pembatalan usul tersebut, mesyuarat dengan
sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan matan usul Mesyuarat Agung Tahunan
(MAT) kali ke-44 yang berbunyi:
“ Membenarkan penggunaan komputer di Wisma Darul Ridzuan dengan
syarat tertentu dan penggunaan internet di tempat yang dikhususkan.”
Mesyuarat berlangsung dengan baik dan ia juga melihatkan
komitmen dari ahli KPIPM yang prihatin di dalam segala isu yang berlaku. KPIPM
berharap agar segala komitmen tersebut berkekalan dan meningkat dari satu masa
ke satu masa yang lain.
Pihak kepimpinan sesi 2012/2013 akan berusaha sedaya upaya untuk
menjayakn satu usul yang telah disepakati tersebut. Namun kebersamaan ahli di
dalam merealisasikan usul tersebut juga amat dihargai bersama.
Pimpinan sesi 2012/2013 juga ingin menekankan kepada 5 item
penting yang sudah menjadi pegangan KPIPM iaitu :
1. Ukhuwah – meribat ukhuwah bagi mengukuhkan kesatuan ahli.
2. Tarbiah – meningkatkan kualiti pembentukan syahsiah serta
fikrah ahli
3. Thaqafah – memperkasakan ilmu sama ada akademik, pengurusan
dan kemahiran.
4. Ekonomi – mengukuhkan ekonomi bagi meneruskan kelangsungan
survival KPIPM.
5. Kebajkan – mengutamakan kebajikan agar kepentingan ahli
terpelihara.
Pihak kepimpinan pada sesi kali ini cukup optimis kepada seluruh
ahli KPIPM akan bersama-sama menjayakan kelima-lima item tersebut bagi
memastikan KPIPM terus terkehadapan dari segala sudut.
Semoga KPIPM berkekalan menjadi medium kesatuan Islam bagi
anak-anak Perak di bumi Mesir ini. Didoakan agar seluruh pembantu agama Allah
S.W.T akan diberikan ganjaran olehNya iaitu redha Allah S.W.T.
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MUHAMMAD HANIF BIN ABDULLAH
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2012/2013
No comments:
Post a Comment