Wednesday, September 19, 2012

AL-ARQAM : Di Sebalik Tabir



PENGENALAN
Al Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh  Ustaz Ashaari Muhammad bersama beberapa orang sahabat beliau pada tahun 1968 di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah  dan telah mengembangkan pengaruhnya dikalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia.  Ajaran-ajaran Al-Arqam mendapat sambutan sebilangan masyarakat yang menganggapnya sebagai sebuah badan dakwah yang unggul sebelum ia dianggap sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994. Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.
 Pengasasnya Ustaz Ashaari Muhammad adalah bekas seorang guru Agama yang berkelulusan Sekolah Menengah Maahad Hisyamuddin, Kelang Selangor dan meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru. Jenazah beliau telah dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.

SEJARAH
Nama Al-Arqam diambil daripada nama sahabat Nabi, Arqam bin Abi Arqam. Bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli Al-Arqam pada tahun 1968, kemudian bertambah kepada 40 orang ahli (1976).
Menurut Ann Wang Seng keahlian Al Arqam bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 1987 Al Arqam mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 keahlian. Bancian Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan. Utusan Melayu  (4 Julai 1994) pula melaporkan seramai 10,000 pengikut.
Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-72 di Kampung Datuk Keramat dan mendapat perhatian dan penerimaan ramai setelah bertapak di kawasan seluas 5 ekar di Kampung Sungai Pencala, Damansara pada 1973-75.
Al Arqam telah berjaya mempengaruhi golongan Muda dan Dewasa yang berminat untuk mengamalkan ajaran Islam. Pada Disember 1985, Al Arqam telah berpindah ke Kampung sempadan, Karak, Pahang. Tempat ini dijadikan tempat kediaman tokoh-tokohnya dan tapak Sekolah Al Arqam. Tapaknya di Sungai Pencala digunakan sebagai Pusat Operasi
Penerbitan dan ekonomi. Mengikut Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri, Al Arqam tidak pernah berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan dan mempunyai cawangan hampir di seluruh Negeri di Malaysia.

PIMPINAN AL-ARQAM
Berikut beberapa pemimpin kanan Al-Arqam yang menjadi tulang belakang kejayaan pertubuhan Al-Arqam selama 26 tahun dari 1968 - 1994.
1.      Ustaz Ashaari Muhammad - pengasas pertubuhan Al-Arqam
2.      Ustaz Haji Abdul Halim Abbas - Timbalan Syeikhul Arqam
3.      Akhbar Anang - Bekas Timbalan Ustaz Ashaari
4.      Ustaz Mohktar Yaakob - sarjana syariah
5.      Zabidi Mohamed - Penasihat undang-undangAl-Arqam II
6.      Haji Hassan Mokhtar - Setiusaha Majlis Syuyukh
7.      Khairil Anuar Ujang - Penasihat Undang-undang Al-Arqam I
8.      Shuib Sulaiman - Mudir Syukbah Dakwah Dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam
9.      Ibrahim Mohamad - Mudir Syukbah Mal (Kewangan) Al-Arqam
10.  Jailani Kasmani - Setiausaha Akhbar Ustaz Ashaari
11.  Khadijah Aam - Isteri Ustaz Ashaari
12.  Khadijah Din
13.  Pak Salleh
14.  Ustaz Yusof Din - Timbalan Syukbah Dakwah Dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam.


AJARAN
Di antara kepercayaan mereka adalah kepercayaan bahawa Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ustaz Ashaari, Sheikh al-Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin Umat Islam. Ustaz Ashaari mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir.

CIRI-CIRI
Pegangan Al-Arqam adalah berpunca dari pengajaran Ustaz  Ashaari Muhammad dan pegangan pengikut-pengikutnya terhadap Aurad Muhammadiah, ia merangkumi beberapa perkara utama iaitu :
1) Manaqib dan Salsilah.
2) Aurad Muhammadiah.
3) Tahlil, Maulid Berzanji, Maulid Daiba`i dan Nazam amalan Syeikh Suhaimi.
4) Amalam Pencak Sunda (silat ghaib).
Perkara - perkara di atas terangkum dalam Tarikat Muhammadiah tetapi tidak menamakannya dengan Tarikat Muhammadiah sebaliknya lebih dikenali sebagai Aurad Muhammadiah kerana pihak Al Arqam memberi alasan dan membuat pengakuan pada tahun 1979, bahawa Tarikat adalah suatu amalan yang mempunyai salsilah amalan kepada Rasulullah SAW sedangkan Tarikat Muhammadiah tidak mempunyai hubungan salsilah ini, ini adalah sebab utama  dinamakan sebagai Aurad sahaja. Aurad Muhammadiah bererti Aurad yang diasas dan diamalkan oleh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi.
Isi kandungan aurad ini memberi ajaran dan fahaman tentang :
§  Syeikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, berjumpa Rasulullah saw dalam jaga dan menerima Aurad Muhammadiah daripada Baginda Rasulullah saw di dalam Kaabah

§  Syeikh Muhammad As-Suhaimi tidak mati, tetapi ghaib dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi.

§  Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Khalifah Rasulullah saw dan meletakkan setaraf dengan Khulafa' Al-Rasyidin.

§  Rasulullah saw, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (majlis yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut-pengikut Al-Arqam umpamanya mengenali siapa yang taat dan siapa yang tidak taat kepada Al-Arqam dan pemimpinnya.

§  Syeikh Muhammad As-Suhaimi dipercayai kononnya boleh datang menolong apabila diseru namanya.

§  Ustaz Ashaari Muhammad dipercayai, selain seorang yang soleh, wali yang mempunyai karamah, adalah seorang Mujaddid akhir zaman .

§  Ustaz Ashaari mendakwa dirinya dari keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad saw yang memegang panji-panji Al-Mahdi.


MELUASKAN PENGARUH
Sememangnya pertumbuhan ekonomi dan luasnya pengaruh tidak harus dijadikan piawai yang mengukur keberhasilan dan kecemerlangan organisasi dakwah tertentu. Tidak dinafikan aspek kewangan sangat penting untuk keberlangsungan sesuatu gerakan, namun banyak lagi faktor lain yang perlu diambilkira seperti aspek kepimpinan, keagamaan, keilmuan dan keintelektualan, kepengikutan, pengurusan, pembinaan dan lainnya. Sebanyak 52 buah kedai runcit dibangunkan di seluruh perkampungan Al-Arqam, 20 buah pasar mini, 36 buah kedai buku dan alat ibadat dan 18 buah restoran di seluruh Malaysia. Al-Arqam juga memiliki 56 buah kilang perusahaan di seluruh Malaysia. Menurut laporan Rufaqa`( 2007 ), kini mereka telah menguasai 700 buah projek perniagaan.
 Al-Arqam melebar luaskan sayap pengaruhnya dengan mengambil langkah yang drastik dengan menumpukan perhatian kepada dunia antarabangsa. Langkah pertama adalah dengan menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 buah anak syarikat milik Al-Arqam. Setelah membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan dan diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Pada tahun inilah Ashaari mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia, Indonesia dan Khurasan.
Delegasi ke Luar Negara menjadi agenda utama Al Arqam ketika  era antarabangsa untuk mengaitkan Al Arqam dengan Organisasi Islam di Negara-negara terbabit seperti TimuTengah dan Uzbekistan.
Al Arqam mengorak langkah ke Timur Tengah sehingga mendapat naungan di bawah Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah kerana Al Arqam antara komponen PPMM (Persatuan Pelajar-pelajar Malaysia Mesir) iaitu sebuah Persatuan yang ditubuhkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah pada tahun 1992.;

KRISIS KEPIMPINAN
Krisis kepimpinan Al-Arqam bermula pada tahun 1979 setelah berlakunya pemecatan tanpa alasan 6 orang pemimpin kanan Al Arqam termasuk Akbar Anang  yang merupakan Ketua Biro Ekonomi Al Arqam. Menurut Akbar Anang, beliau dipecat atas sebab beliau mempersoalkan ajaran Al-Arqam , namun menurut Ustaz Ashaari, Akbar Anang disingkirkan kerana beliau cuba membentuk pakatan yang bertujuan menyingkirkan Ustaz Ashaari daripada tampuk kepimpinan Al-Arqam. Akbar Anang memberontak dan mendedahkan hakikat  Aurad Muhammadiah sehingga dihadapkan ke Pusat Islam pada 1979. Ustaz Ashaari dilaporkan menafikan Kiyai Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Imam Mahadi dan berjaya membersihkan Darul Al-Arqam daripada kesangsian asas. Tetapi Al Arqam masih menjalankan aktivitinya dan telah melantik Ustaz Mokhtar Yaakub (M.A. Universiti Al Azhar) yang masih baru dalam Al Arqam sebagai Tim.Syeikhul Arqam. Isu Akbar Anang dilupakan.
Pada sekitar bulan Jun 1986, Al Arqam telah digemparkan dengan isu yang sama apabila Tim.Syeikhul Arqam Ustaz Mokhtar Yaakob dan beberapa orang anggota kanan yang lain telah mengistiharkan keluar daripada Al Arqam. Isu perpecahan Al Arqam pada kali kedua ini sebagaimana 1979 telah menjadi isu hangat dalam Akhbar Tempatan. Rentetan peristiwa ini, Ustaz Ashaari Muhammad telah menerbitkan sebuah buku khusus penerangan isu ini yang bertajuk " Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam " , sekaligus menjawab tuduhan oleh Ustaz Ashaari Muhammad yang diterbitkan oleh Penerangan Al arqam dan mula diedarkan pada 30 Ogos 1986.

DIHARAMKAN JAKIM
( Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ) telah melihat adanya penyelewengan akidah dalam organisasi ini. Setelah bermuzakarah dengan pemimpinnya, Ustaz Ashaari Muhammad, tindakan pertama yang dilakukan oleh kerajaan adalah mengharamkan buku " Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam" pada tahun 1986. Sebagai pencerahan dan penjelasan terhadap kes ini, Bahagian Hal Ehwal Islam  di Jabatan Perdana Menteri telah menerbitkan buku "Pejelasan Terhadap Buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam" pada 6 November 1986.
Di Timur Tengah, Al Arqam terus berusaha menjalankan aktivitinya sehinggalah berlaku peristiwa penangkapan 19 orang anggota Al Arqam oleh Pihak Keselamatan Mesir pada 14 April 1994 ketika mereka membuat persembahan haram memperkenalkan Al Arqam di Taman Antarabangsa Madinet Nasr,Kaherah. Pihak Keselamatan Mesir menganggap Al Arqam sebagai pelampau.
Kini kumpulan Al-Arqam tidak lagi wujud kerana telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 1994, tetapi yang wujud ialah Kumpulan Rufaqa' kemudian bertukar kepada nama Global Ikhwan Sendirian Berhad (GISB).
Kerajaan telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 1994. Fatwa Majlis Kebangsaan itu memutuskan bahawa ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan  syirik.
Berikutan itu  Ustaz Ashaari yang ditahan bersama beberapa pemimpin kanan kumpulan itu mengikut  Akta Keselmatan Dalam Negeri (ISA)  telah membuat pengakuan terbuka mengenai penyelewengan Al-Arqam. Kemudian beliau dikenakan tahanan rumah di  Rawang dan Labuan. Beliau dibebaskan pada 25 Oktober 2004.
Wallahu a'lam..

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"


Disediakan oleh :

Dayang Siti Noraini binti Awang Damit Yahya
Felo MANHAL PMRAM 2012

1 comment:

  1. Selain akhbar2 yg dinyatakah,bolehahu sumber2 rujukan yg lain?bahan bacaan?

    ReplyDelete

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...