Friday, February 3, 2012

REHLAH KE SINAI : Faktor Keselamatan Diutamakan



KAHERAH, 2 Feb - Rehlah ke Semenanjung Sinai merupakan salah satu program di bawah Unit Sambutan dan Rehlah HEWI PMRAM yang saban tahun diadakan khusus untuk mahasiswi di Perlembahan Nil ini.

Rentetan peristiwa revolusi Mesir yang berlaku pada 25 Januari 2011 yang lalu, Unit Sambutan dan Rehlah sesi 2010 terpaksa menangguhkan Ekspedisi Sinai HEWI yang telah dirancang.

Dengan itu, Unit Sambutan dan Rehlah sesi ini telah mengambil inisiatif untuk meneruskan penganjuran rehlah ke Semenanjung Sinai memandangkan sambutan dan permintaan yang tinggi dari kalangan ahli. Namun begitu, memandangkan faktor keselamatan di Mesir yang tidak terjamin, kita mengambil keputusan untuk tidak menganjurkan rehlah pada tahun ini.

Oleh itu, Unit Sambutan dan Rehlah mewakili barisan kepimpinan HEWI PMRAM 2011 memohon maaf kepada seluruh ahli khususnya mahasiswi kerana tidak dapat menganjurkan rehlah ke Semenanjung Sinai selama dua tahun berturut-turut.

Kita amat memahami keadaan dan kehendak ahli yang ingin berehlah dan tidak mahu melepaskan peluang menjejak tanah penuh bersejarah tersebut, terutamanya mahasiswi tahun akhir. Namun, sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan perbincangan dan kepentingan keselamatan ahli.

Berikutan beberapa kes yang berlaku di Sinai baru-baru ini, PMRAM tidak menggalakkan ahli untuk menganjurkan atau mengikut sebarang rehlah ke sana.

Berikut adalah antara rentetan kes-kes terkini yang berlaku :

  •          Pergaduhan di antara askar dan satu qabilah (penduduk tempatan) di Sinai dan menyebabkan 4 orang terbunuh
  •          Berlaku rompakan senjata di Toba
  •          Berlaku sekatan di laluan Toba ke Sinai dan keadaan yang agak berbahaya pada waktu malam

Justeru, Unit Sambutan dan Rehlah mengharapkan supaya ahli tidak mengambil jalan mudah dengan mengikut sebarang rehlah yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Ahli seharusnya memberi makluman dan merujuk pihak PMRAM atau pihak kedutaan terlebih dahulu tentang tahap keselamatan Mesir yang terkini terutamanya sekitar Semenanjung Sinai.

Sekiranya terdapat ahli yang ingin mengikuti mana-mana travel, sila pastikan bahawa travel yang dipilih sudah berpengalaman dan dipercayai. Segala permasalahan dan kesulitan yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab travel tersebut.

Merujuk kepada etika Badan dan Unit Sambutan Dan Rehlah PMRAM fasal (2) – Lawatan Akhawat item ke-6, mahasiswi tidak dibenarkan mengikut sebarang rehlah yang dianjurkan selain PMRAM, BKAN dan DPM kecuali setelah mendapat keizinan daripada Pengerusi HEWI PMRAM.

"Pihak PMRAM sangat mengambil berat dan menekankan tentang faktor keselamatan mahasiswa/wi dan berharap agar setiap mahasiswa/wi sentiasa cakna dengan isu-isu yang berlaku di Mesir," ujar Saudari Juhaida Abdul Hamid selaku Ketua Unit Sambutan dan Rehlah HEWI PMRAM.


Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...