Friday, February 17, 2012

Ehya' Al-Jum`ah : Ukhuwwah adalah saudara bagi iman



KAHERAH, 16 FEB 2012- Ehya’ Jum`ah masih diteruskan bagi menjayakan aktiviti dakwah dan sebagai bekalan seorang pendakwah sebelum menyelam ke lubuk yang lebih mencabar dan menguji kesabaran. Program mingguan yang dianjurkan oleh Biro Dakwah dan Tarbiah Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir ini bermula dengan solat Maghrib berjemaah, alunan burdah, bacaan Yasin, solat Isyak berjemaah, solat hajat khusus kepada keamanan penduduk Syria, dan tazkirah pada kebiasaannya disampaikan selepas bacaan Yassin ditangguhkan ke pagi Jumaat bagi memberi laluan kepada majlis penutupan program Princess Days Anjuran Ketua Hewi.

Ehya’ Jum`ah diteruskan pada pagi Jumaat dengan Qiamullail bulanan bermula seawal 4.30 pagi dengan kedinginan embun menyentuh hingga ketulang-temulang namun tidak dapat membekukan jasad yang hangat dibakar bahang cinta kepada sang Kekasih. Disaat jasad-jasad lain nyenyak diulit mimpi, dibuai dan didakap mesra dek sang Syaitan dan Iblis laknatullah, bergulung bagaikan ulat didaun pisang, berguling bagaikan tenggiling.. Subhanallah..hanya yang bertuah sahaja berjaya menawan dan merasai kehangatan cinta dan kasih dari-NYA.

Seusai solat subuh secara berjemaah, Ehya’ Jumaah diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh saudara Mohd Hidayat bin Azizan, mahasiswa Syariah Islamiah tahun 4, Universiti Al-Azhar cawangan Tanta. Tazkirah yang disampaikan secara bersahaja seperti seorang abang yang memperingatkan adik-adiknya, juga seperti seorang bapa menasihati keluarga dan sanak saudaranya berkisar tentang ukhuwwah. Beliau memetik kalam dari Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna: Aku maksudkan dengan ukhuwwah ialah: “hati dan jiwa ditautkan dengan akidah”. ‘akidah adalah ikatan yang paling kuat dan paling berharga. Ukhuwwah adalah saudara bagi iman. Perpecahan adalah saudara bagi kekufuran. Kekuatan yang paling ampuh ialah kekuatan kesatuan. Tiada kesatuan tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan hati (terhadap saudara seIslam) dan yang paling tinggi Ithar (mengutamakan orang lain dari diri sendiri). Allah swt berfirman yang bermaksud : “dan sesiapa yang dipelihara oleh Allah daripada kebakhilan dirinya,mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Saudara Islam yang sebenar, memandang saudaranya adalah lebih utama dari dirinya sendiri, kerana jika ia tidak bersama mereka nescaya ia tidak akan bersama dengan orang lain manakala jika mereka tidak bersamanya, mereka akan bersama orang lain. Sesungguhnya serigala itu memakan kambing yang terpisah jauh. Seorang mu’min dengan saudara mu’min yang lain ibarat sebuah bangunan yang saling menguat antara satu sama lain. Firman Allah swt yang bermaksud : “Orang mu’min itu (lelaki dan perempuan) sebahagiannya menolong sebahagian yang lain.”

Ukhuwwah merupakan ikatan yang memerlukan kepada pengorbanan yang bukan sekadar membantu sahabat didapur, mengemas, menyuap nasi dan sebagainya yang kelihatan didepan mata bahkan ianya menyeluruh hingga ke akidah. Seseorang yang berukhuwwah berdasarkan akidah yang sejahtera tidak akan sanggup membiarkan sahabatnya terus bersama dengan kesalahan, kesilapan dan dosa bahkan ianya sanggup seiringkan amar ma’ruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan melarang dari berbuat kejahatan). Dan seorang yang berukhuwwah kerana Allah tidak akan membiarkan sahabatnya membinasakan diri sendiri dengan membiarkan sahabatnya terus leka dengan rokok yang dirasakan selesa dan menghilangkan stress (tekanan), namun bukan sahaja dapat membunuh dan membinasakan diri sendiri bahkan menyebabkan lemahnya tahap kecerdikan anak-anak.

Sebelum majlis berakhir Biro Dakwah dan Tarbiah KPIPM menyajikan ahli yang hadir dengan 3 santapan video. Salah satu dari video yang ditayangkan ialah mengenai isu semasa di Syria, Palestin, Nigeria, Kashmir dan Malaysia yang mana perbezaan tahap kehidupan yang sungguh jauh dan sangat ketara. Penduduk di Malaysia seharusnya bersyukur dan melebihkan amal ibadah dan melakukan lebih banyak amalan kebaikan bukannya memperbanyakkan maksiat dan pesta-pesta seks atau seumpamanya, kerana Malaysia masih aman dan damai tidak seperti negara-negara lain yang mana mereka hidup dalam kesusuhan, penindasan, siksaan dan seumpamanya. Program Ehya’ Jumaah  berakhir dengan bacaan surah Al-Waqiah.

Akhirnya kami mohon kepada seluruh ahli KPIPM untuk memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program Ehya’ Jum’ah ini dan semoga Allah tautkan hati-hati kita dalam rahmat dan kasih sayang dari-NYA. Dan moga ditetapkan kita dalam nikmat Iman dan Islam. 

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...