Wednesday, September 12, 2018






LAPORAN JAULAH INFINITY OF EXPERIENCE IN SIWA & MATRUH 2018 
(INFIRU’18) AKHAWAT

KAHERAH,21 Julai 2018 – Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) di bawah anjuran Ketua Hal Ehwal Wanita Islam seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI sesi 2017/2018 telah berjaya menganjurkan jaulah ke Siwa dan Matruh sempena cuti musim panas yang diberi nama Infinity Of Experience In Siwa & Matruh 2018 (INFIRU’18). Jaulah ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli HEWI KPIPM selain daripada meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan meluaskan pengalaman ahli. Firman Allah SWT dalam surah Al-Mulk ayat ke 15: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya,serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah Allah jualah tempat kembali kamu sesudah mati dibangkitkan hidup semula maka hargailah nikmatnya dan takutlah kemurkaanNya”. INFIRU’18 ini telah berjaya mengumpulkan ahli HEWI seramai 47 orang  yang terdiri daripada sepasang mutazawijjin, seorang musyrif penerangan dan AJKT serta 36 orang akhawat.
         
Jaulah ini memulakan perjalanannya pada 21 Julai 2018, jam 1.30 pagi dengan menaiki sebuah bas. Doa menaiki kenderaan telah dibaca oleh Ustaz Muhamad Akmal Aliff bin Salleh selaku wakil musyrif penerangan di dalam INFIRU’18. Kemudian, Bas pun mula bertolak dari kawasan Mahkamah menuju ke Matruh. Setelah selesai solat Subuh, INFIRU’18 meneruskan perjalanan ke Matruh. Untuk makluman, Matruh atau nama asalnya (Marsa Matruh) terletak di Barat Laut Mesir. Jarak ke Matruh adalah 600km dari Kota Kaherah . Perjalanan menuju ke Matruh dikelilingi kawasan padang pasir dan melalui Iskandariah dan Al-Amin. Buah tin dan anggur merupakan tanaman utama di Matruh. Setelah sampai di tempat penginapan pada jam 9.00 pagi, semua peserta jaulah diberi masa untuk berehat seketika di chalet untuk makan tengahari dan solat jama'. Selepas itu, pada pukul 2.30 petang INFIRU’18 meneruskan lawatan ke sekitar Matruh. Destinasi pertama yang dituju ialah Pantai Cleopatra.
             
Pantai ini akan mengingatkan kita tentang ratu cantik jelita dari Mesir kerana tercatat dalam sejarah Mesir kuno terdapat tujuh ratu yang bernama Cleopatra. Sedemikian jelitanya ratu yang satu ini,iaitu Cleopatra VII sampai mampu memikat hati dua penguasa Rom iaitu Julius Caesar dan Mark Anthony,di dua zaman berbeza. Akibat daya tarik Cleopatra ini pula,Triumvirate (tiga penguasa) Rom jadi berbalah satu sama lain. Demi mendapatkan Cleopatra, Mark Anthony rela meninggalkan isterinya. Selain itu, berhampiran pantai tersebut, terdapat Hamam Cleopatra (tempat mandi) dan bahagian belakangnya pula adalah Kawasan berbahaya kerana disitu terdapat batu licin yang licin dan curam, serta gelombang ombak yang kuat. Peserta diberi masa selama sejam setengah untuk untuk slot penerangan oleh Ustaz Akmal Aliff bin Salleh, sesi fotografi dan sebagainya.

Destinasi seterusnya pula adalah, Pantai Agiba. Ia dinamakan Pantai Agiba kerana keindahan pantainya yang menghijau dan membiru. Sesiapa yang melihatnya pasti berasa kagum kerana lautnya mempunyai tujuh lapisan warna apabila dilihat ketika menjelang senja. Semua peserta jaulah tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto sebagai kenangan dan melakukan aktiviti bebas bermula pada pukul 5.30 petang sehingga 7.15 malam. Kemudian, tempat ketiga yang dilawati ialah Souq Libya (Pasar Libya). Pasar ini merupakan tempat membeli belah yang amat terkenal di Bandar Marsa Matruh. Di sini, terdapat pelbagai barang seperti makanan,pakaian,barang-barang hiasan dan barang-barang keperluan lain. Harga barangan di sini juga amat berpatutan. Kebanyakan barang yang dijual di sini berasal dari negara jiran iaitu Libya. Setelah selesai, kami pun pulang ke chalet untuk aktiviti kendiri.
              
Pada hari kedua iaitu 23 Julai 2018, INFIRU’18 meneruskan perjalanannya ke destinasi seterusnya iaitu Siwa. Bas mula bertolak dari chalet pada pukul 6.35 pagi. Siwa dikenali dengan nama Jazirah Malah kerana dikelilingi oleh lautan garam. Ia juga dikenali sebagai Jazirah Balah (kurma). Orang-orang barat yang datang kesini memangilnya Jazirah Fatmas kerana tanamannya yang subur. Dinamakan Jazir kerana terletak di tengah-tengah Laut Jerman. Oasis Siwa pula dikelilingi oleh padang pasir yang luas dan terletak di bahagian Barat Qattara. Negeri ini merupakan pengeluar terbesar minyak zaitun dan buah kurma di Mesir. Tempat pertama yang dilawati di Siwa ialah Jabal Mouta. Pada waktu dulu, bukit ini berfungsi sebagai tempat menyimpan mayat penduduk Siwa. Selain itu, terdapat juga lukisan di dinding-dinding bukit yang menceritakan dan menggambarkan tentang kisah perkahwinan Ratu Cleopatra dan  Mark Anthony. Ia merupakan tempat simpanan harta, emas dan barangan berharga, akan tetapi barangan tersebut dikatakan telah dicuri oleh penjajah. Terdapat juga satu bilik yang menyimpan manusia.
                   
Seterusnya, ekspedisi ini menuju pula ke Bahrul Malah (Tasik Garam) pada pukul 12.12 tengahari. Negeri Siwa juga dikenali dengan nama Jazirah Malah kerana dikelilingi dengan tasik garam. Kedudukannya adalah sejauh 90 km dari paras laut. Kemudian, INFIRU’18 pun diteruskan lagi dengan Kolam Cleopatra. Kedalaman kolam ini lebih kurang lima meter. Ia merupakan sumber utama bekalan air di Siwa. Dikatakan, terdapat suatu keajaiban kerana kolam ini tidak pernah kering dari dahulu sehingga sekarang. Bas selamat tiba di kolam tersebut pada pukul 1.11 petang bagi memberi peluang kepada para peserta untuk berehat, makan tengahari dan solat jama' di masjid yang berdekatan. Lawatan pun diteruskna lagi ke sekitar Kota Siwa Lama bermula pada jam 5.00 petang. Kota ini terletak di kawasan yang strategik iaitu diantara dua bukit. Jika berada diatas kota ini, para pegunjung boleh melihat Kubu Iskandar The Great, Tasik Garam, dan Jabal Mouta.

Pada hari yang terakhir iaitu 24 Julai 2018, INFIRU’18 menuju ke Pantai Abyadh. Pantai ini terletak 20 km di sebelah barat Marsa Matruh. Pantai ini juga terkenal dengan pasir pantai yang putih dan halus. Para peserta peserta diberi masa selama 2 jam setengah bagi melakukan aktiviti pantai, sesi fotografi dan aktiviti bebas. Setelah selesai, bas bergerak pulang ke tempat penginapan pada jam 11.30 pagi untuk menunaikan solat jama' dan makan tengahari. Semua bersiap sedia untuk pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, slot penutupan INFIRU’18 telah dijalankan dengan penyampaian cenderahati kepada musyrif penerangan, ucapan Pengarah INFIRU'18, Ustazah Fatimah Zahrah binti Zainal dan ucapan penutup daripada Ketua Hewi, Ustazah Siti Hajar binti Ahmad Daud.

Alhamdulilah, sepanjang  Infinity of Experience in Siwa  & Matruh 2018 (INFIRU’18) berjalan, tiada sebarang masalah yang timbul dan tema kali ini juga berjaya diterapkan kepada seluruh peserta dengan sebaiknya. Bas selamat tiba di Kaherah pada pukul 9.45 malam. Peringkat program mengharapkan agar ukhuwah kita akan tetap berkekalan hingga ke akhirnya.

"Travel Once, Infinite Experience".

BERILMU,BERAMAL,IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Setiausaha INFIRU’18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018
          

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...