Friday, September 14, 2018

LAPORAN KARNIVAL KEUSAHAWANAN ISLAM 2018 (USAHAWAN'18)

KAHERAH, Ogos 2018 – Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) di bawah anjuran Biro Ekonomi sesi 2017/2018 telah berjaya menganjurkan satu program yang julung kali diadakan iaitu Karnival Keusahawanan Islam 2018 (USAHAWAN’18). Objektif USAHAWAN’18 adalah mewujudkan platform untuk mahasiswa/si menceburi bidang perniagaan, melahirkan usahawan muda yang berdaya saing secara sihat dalam kalangan ahli serta dapat meningkatkan thaqafah ahli KPIPM dalam bidang keusahawanan dan pengurusan kewangan di bumi Mesir. Ianya juga merupakan satu sunnah yang amat dituntut dalam Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumu'ah ayat 10 : “Apabila solat telah selesai dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung".

USAHAWAN'18 ini telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula 11 Ogos 2018 sehingga 13 Ogos 2018 bertempat di perkarangan Masjid Salam, Hayyu Asyir, Kaherah dengan menggunakan konsep “karnival". Program ini melibatkan seramai 26 Adhoc dan 70 AJK Pelaksana Karnival yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan USAHAWAN’18. Tema untuk program ini adalah “Ceburi Perniagaan, Membentuk Usahawan”.

Pada hari pertama iaitu 11 Ogos 2018, seawal jam 8.00 pagi semua penggerak yang terlibat telah membuat persiapan terakhir di kawasan karnival. Sejurus selepas itu, para penjual dan pengunjung mula membanjiri kawasan karnival. USAHAWAN'18  ini mula dibuka secara rasmi pada jam 12.30 tengahari. Menu makanan dari peringkat IKHWAH  menampilkan 7 gerai yang menyediakan pelbagai aneka juadah manakala di peringkat AKHAWAT pula adalah sebanyak 6 gerai. Di samping itu, terdapat juga pelbagai minuman yang dijual sepanjang berlangsungnya USAHAWAN'18. Pada jam 4.00 petang, telah diadakan Talkshow dengan tajuk "Your Future Our Concern" yang  berlangsung di Perkarangan Masjid Salam, Hayyu 'Asyir. Slot ini menampilkan dua gandingan pengisi yang hebat iaitu Ustaz Muhamad Nasrul bin Jamal (Bendahari Kehormat BKASM sesi 2017/2018) selaku Panel 1, Ustaz Muhammad Zulhafiz bin Jefri (Bendahari Kehormat KPIPM sesi 2017/2018) selaku Panel 2 dan moderator yang bertugas iaitu Ustaz Muhammad Aizad bin Yahaya (Pengarah Unit Biah Solehah KPIPM sesi 2017/2018). Sementara itu, di sebelah malamnya pula telah berlangsungnya Majlis Perasmian USAHAWAN'18 yang telah disempurnakan oleh YDP KPIPM, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri. Setelah selesai, majlis diteruskan dengan persembahan gimik dan tayangan video pengenalan USAHAWAN '18.

Pada hari kedua iaitu 12 Ogos 2018, karnival telah bermula daripada jam 12.30 tengahari dengan sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung. Suasana menjadi semakin menarik apabila pelbagai aktiviti dilaksanakan diperingkat ikhwah dan akhawat antaranya ialah teka gula-gula dalam balang, teka silang kata, kupas kulit timun dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga beberapa pengisian seperti talkshow UBM dengan tajuk "Sesegar Cinta Khadijah buat Rasulullah", Sembang santai YDP BKAN, dan Medical Checkup.

Seterusnya, pada hari ketiga iaitu 13 Ogos 2018, USAHAWAN'18 berjalan seperti biasa. Pengunjung pada hari ini semakin bertambah samada dari kalangan Ikhwah mahupun akhawat. Antara aktiviti dan pengisian yang telah dijalankan adalah Tazkirah Ekonomi Islam yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhamad Amri bin Ouma (Mantan Bendahari Kehormat PMRAM 2014), Dental Check Up diperingkat akhawat dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Kemudian, USAHAWAN'18 diserikan lagi dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Al-Wadi PMRAM dan tayangan video.

Seterusnya, Majlis Penutupan USAHAWAN'18 pun berlangsung dengan ucapan daripada Pengarah USAHAWAN'18, Ustaz Luqman Hakim bin Mohamad Anuar dan disempurnakan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri.

Alhamdulillah, program berakhir dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang gerai terbaik ikhwah iaitu Ganu's Corner oleh YDP KPIPM, Ustaz Bukhari Ridha bin Mohd Bakri manakala di sebelah akhawat pula disampaikan oleh Ketua Hewi KPIPM, Ustazah Siti Hajar binti Ahmad Daud kepada pemenang gerai terbaik akhawat iaitu Wafflicious(Shoubro). Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Maka berakhirlah sudah program USAHAWAN '18 pada tahun ini. KPIPM  mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bertukus lumus bagi menjayakan USAHAWAN'18 dari mula hinggalah ke akhirnya. Diharapkan agar program ini dapat meribat ukhuwah islamiah serta dapat memperkukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan USAHAWAN’18 dan semoga program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.

"Ceburi Perniagaan ,Membentuk Usahawan".

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
         

Disediakan oleh :
Setiausaha USAHAWAN'18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018





No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...