Saturday, September 29, 2018

CABARAN BERPEGANG DENGAN ISLAM DI AKHIR ZAMAN

MINDA PIMPINAN :
CABARAN BERPEGANG DENGAN ISLAM DI AKHIR ZAMAN

Cabaran yang bertali arus menimpa umat Islam hari ini bukanlah suatu yang baharu, bahkan telah dirasai terlebih dahulu oleh golongan-golongan benar yang ikhlas berpegang dengan Islam sejak zaman para Rasul lagi.

Elemen yang perlu kita tadabbur di sebalik ujian terhadap umat Islam kini adalah bagaimana Allah S.W.T menyifatkan lumrah bagi orang beriman yang kehidupannya tidak pernah sunyi dari mehnah dan tribulasi.

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ 

Maksudnya:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: "Kami beriman," sedangkan mereka tidak diuji?" (Al-Ankabut : 2)

PERITNYA CABARAN

Dasawarsa ini, umat Islam berdepan cabaran dan fitnah yang mampu menggugat keimanan secara halus tanpa kita sedar. Fenomena kesangsian dan keraguan terhadap ajaran dan solusi Islam sendiri semakin parah dalam kalangan umat. Lemahnya pegangan serta rapuh berdiri di atas prinsip mengakibatkan umat kini mudah dibuli dengan agenda kelompok-kelompok berkepentingan duniawi.

Rasulullah S.A.W memberi gambaran kepada kita melalui hadis fitan yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi:

سيَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

Maksudnya:
"Akan datang kepada umatku suatu zaman yang penuh dengan kesabaran, di mana orang yang sabar berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api". (Riwayat Imam At-Tirmizi)

Hadis ini menyatakan bahawasanya pada zaman tersebut, golongan yang berpegang teguh dengan Islam diibaratkan seperti menggenggam bara api kerana cabaran yang dihadapkan kepada mereka memerlukan kesabaran yang tinggi.

Hamparan ujian dari segenap penjuru memerlukan umat Islam menggenggam kemas dan erat akan prinsip-prinsip Islam walaupun bakal berhadapan dengan persepsi buruk serta dilihat asing dan pelik oleh masyarakat sekeliling.

Sekali lagi Nabi S.A.W memberi inzar kepada umatnya melalui sebuah hadis yang berbunyi:

سَيَأتِي عَلَى النَّاس سَنَوَات خَدَّاعَات، يُصَدَّق فِيهَا الكَاذِب ويُكَذَّب فِيهَا الصَّادِق، ويُؤْتَمَن فِيهَا الخَائِن ويُخَوَّن فِيهَا الأَمِين، ويَنْطِق فِيهَا الرُّوَيْبِضَة، قِيْلَ: ومَا الرُّوَيْبِضَة؟ قَالَ: الرَّجُل التَّافِه في أمْر العَامَّة

Maksudnya:
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya. Para pendusta dipercayai sedangkan orang jujur didustai, pengkhianat diberi amanah sedangkan orang yang amanah dikhianati, dan berbicara di zaman itu para Ruwaibidhah.” Ditanyakan, siapakah Ruwaibidhah itu? Rasulullah S.A.W bersabda, “Orang bodoh yang berbicara perkara umum (besar)". (Riwayat Al-Hakim)

Pesanan Nabi S.A.W ini sedikit sebanyak memberi signal kepada kita akan pertembungan hak dan batil yang sentiasa berlaku di sepanjang zaman. Kepincangan ini juga menuntut kita untuk berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar yang akhirnya mengakibatkan prinsip yang benar akan didustai sesama umat.

Tidak cukup sekadar itu, Rasulullah S.A.W juga turut mengingatkan kita akan stigma dan penyakit-penyakit jiwa yang akan menular dalam kalangan umat akhir zaman ini.

سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ

Maksudnya:
"Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi S.A.W menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi". (Riwayat Al-Hakim)

Jelas sekali senario tercela yang disebut di dalam sabda Nabi S.A.W ini semakin merancak era ini sekaligus meruntuhkan akhlak dan moral umat Islam di samping menyuburkan kembali ragam-ragam jahiliyah terdahulu.

Umat dicandu dan didoktrin sehingga ketagih dengan kempen dan pembawaan barat yang tidak berasaskan pembinaan jati diri apatah lagi bercanggah dengan prinsip Islam yang telah digariskan. Akhirnya, umat semakin celaru identiti sebagai muslim dek kerana semakin jauh dengan Islam.

ANEKA RAGAM JAHILIAH

Tidak dapat dinafikan fenomena-fenomena ini sedikit mengusik pendirian kita sebagai muslim. Allah S.W.T terlebih dahulu menceritakan kepada kita perihal kaum musyrik di dalam surah At-Taubah ayat ke-9.

اشْتَرَوْا بِآيَاتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya:
"Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari agama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan."

Di dalam ayat lain, ahli kitab juga menunjukkan sikap buruk mereka dengan menghalang manusia menuju agama Islam yang hak.

 قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتابِ لِمَ تَصُدُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ آمَنَ تَبْغُونَها عِوَجاً وَأَنْتُمْ شُهَداءُ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:
"Katakanlah wahai Ahli Kitab, mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan-jalan (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? Dan ingatlah, Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan." (Ali Imran : 99)

Awas, sikap menukar ayat-ayat Allah yang dilakukan oleh kaum musyrikin ini persis mereka yang menjual prinsip Islam demi meraih keuntungan dunia semata-mata manakala mereka yang berusaha menghalang manusia mengikuti garis-garis Islam adalah petualang yang mewarisi sifat Ahli Kitab.

Cabaran kesesatan tidak pernah berhenti, bahkan silih berganti dengan watak dan imej yang berbeza tetapi pembawaan dan hala tujunya masih sama iaitu memesongkan kita dari Islam yang sebenar.

PEWARIS KERJA DAKWAH PARA RASUL

Tugas meruntuhkan tembok kesesatan  merupakan tugas besar para Rasul dan Nabi dan kita selaku golongan yang menjunjung mereka wajib mewarisi segala yang diperjuangkan tanpa bersikap selektif dan memilih mengikut kepentingan diri dalam berhadapan cabaran membawa risalah ini. Nabi S.A.W pernah berpesan:

أَشَدَّ النَّاسِ بَلَاءً اَلْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الْعَبْدُ عَلَى حَسَبِ دِيْنِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِيْنِهِ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلَاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِيْنِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِيْنِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيْئَةٍ

"Orang yang paling keras ujiannya ialah para Nabi, kemudian kalangan selanjutnya (yang lebih utama) dan selanjutnya. Seorang hamba akan diuji sesuai kadar agamanya (keimanannya). Jika keimanannya kuat maka ujianya pun akan semakin berat. Jika keimanannya lemah maka ia akan diuji sesuai dengan kadar imannya. Tidaklah ujian ini akan diangkat dari seorang hamba hingga Allah membiarkan mereka berjalan di muka bumi dengan tanpa dosa." (Riwayat Ibnu Majah)

DAHSYATNYA PERANG PEMIKIRAN

Sedarlah kita bahawasanya cabaran ini pastinya berdepan dengan usaha dari tangan-tangan jahat yang tidak ingin melihat Islam tersebar dan menyapa seluruh dunia. Maka, bukan sahaja fizikal yang akan dirosakkan, mental umat Islam juga turut terkesan, malah lebih membinasakan.

Ini dibuktikan tatkala selepas era Perang Salib, barat menyimpulkan bahawasanya Islam takkan dapat dikalahkan dengan senjata mahupun secara fizikal, dengan itu wujudnya perangkaan strategi baharu barat yang digelar sebagai Perang Pemikiran (Ghazwatul Fikriyah) yang digagaskan hasil daripada kajian dan pengalaman mereka berhadapan dengan kekuatan umat Islam.

Sungguh, cabaran menghadapi Perang Pemikiran lebih dahsyat berbanding Perang Ketenteraan yang akan menatijahkan bahana kecelaruan fikrah yang menjadi satu bentuk kekufuran halus serta tergadainya ikatan Islam satu per satu. Ini menjadi cabaran kepada kita tatkala berpegang dengan Islam di zaman ini.

SOLUSI ISLAM

Optimis, percaya serta yakin terhadap penyelesaian Islam yang berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah adalah ramuan mendepani biah jahiliah moden ini. Asy-Syahid Syed Qutb pernah menyebut:

"Jahiliah adalah apabila manusia cuba menyelesaikan masalah manusia."

Dr Yusuf Al-Qaradhawi juga mengungkapkan:

"Syirik yang paling besar adalah menjadikan selain Allah sebagai penentu kehidupan."

Semoga kita terhindar dari anutan songsang bersifat thaghut ini yang menafikan kesempurnaan aturan Allah S.W.T  iaitu Islam. Allah S.W.T merakamkan di dalam Al-Quran antara simptom dan gejala golongan yang menganut fahaman thaghut ini supaya umat Islam sentiasa waspada, mengambil iktibar seterusnya menetapkan garis sempadan iman yang akhirnya menjadikan seseorang muslim itu istiqamah di atas jalan kebenaran sehingga akhir hayatnya.

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا

Maksudnya:
"Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhukum kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. (An-Nisa' : 60)

Disediakan oleh:
Mohamad Farhan bin Mohd Ariff
Ketua Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah KPIPM sesi 2017/2018

Thursday, September 20, 2018

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA HEWI KPIPM SESI 2017/2018

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA HEWI
KPIPM SESI 2017/2018
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2017/2018

Pemangkuan jawatan adalah seperti berikut :

🔰 Ustazah Nor Afiqah binti Ismail
( Ketua Biro Ekonomi HEWI KPIPM sesi 2017/2018 )

DIPANGKU OLEH :

🔰 Ustazah Zafirah Khalilah binti Zulkefly
( Timbalan Setiausaha (Bendahari) HEWI KPIPM sesi 2017/2018 )

#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Tuesday, September 18, 2018

PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2017/2018

MAKLUMAN | PEMANGKUAN JAWATAN AHLI JAWATANKUASA TADBIR KPIPM SESI 2017/2018
Jabatan Setiausaha Agung KPIPM sesi 2017/2018

Pemangkuan jawatan adalah seperti berikut :

🔰 Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak
(Timbalan Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018)
+2011125551562

DIPANGKU OLEH :

🔰 Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri
(Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018)
+201100689202 / +201125422274

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Monday, September 17, 2018

LGBT : KEMBALILAH KEPADA FITRAH

MINDA PIMPINAN
LGBT : KEMBALILAH KEPADA FITRAH

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat illahi, Tuhan yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dengan cahaya petunjukNya mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya keimanan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah bersusah payah membawa risalah agama yang tercinta ini. Tanpa kesungguhan dan kesabaran baginda, sudah tentu kita tidak dapat mengecapi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan Islam.

Seperti yang kita ketahui, gerakan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual) menuntut hak dan kebebasan bagi mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Gerakan radikal ini mahu orang ramai lebih 'freethinker' dilahirkan . Justeru itu, mereka tidak lagi teragak-agak untuk mengiklan, memperjuangkan dan menganjurkan programnya secara terbuka.

Sungguhpun mereka tampil dengan prinsip perjuangan ‘‘Human Right”, Islam mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai perkara ini. Justeru Islam adalah agama petunjuk daripada Allah SWT yang mencipta manusia. Islam adalah agama fitrah sementara fitrah manusia ialah hidup berpasang-pasangan. Justeru itu, perkahwinan yang sah di sisi Islam hanyalah perkahwinan yang melibatkan lelaki dengan pasangannya perempuan yang bukan mahramnya. Sementara perkahwinan atau hubungan sesama jenis adalah suatu noda yang dilarang oleh Islam ke atas penganutnya kerana ia jelas bertentangan dengan fitrah kejadian atau ciptaan manusia di atas muka bumi.

Firman Allah SWT :

  وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.“( Surah ar-Rum : Ayat 21)

Asas larangan tersebut adalah untuk memelihara fitrah manusia mempertahankan tamadun ummah dari kepincangan sosial dan mala petaka yang bakal menimpa ekoran tercetusnya kemurkaan Allah SWT sebagaimana murkanya Allah SWT ke atas kaum Nabi Luth AS yang mengamalkan gaya hidup homoseksual. Budaya gay dan lesbian adalah budaya songsang yang tidak wajar diperjuangkan dan diamalkan oleh manusia amnya dan umat Islam khasnya. Malah ia sangat bertentangan dengan nilai moral dan fitrah kemanusiaan serta tamadunnya.

Sabda Rasulullah SAW :

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم القيامة

“Kahwinilah olehmu akan perempuan yang penyayang dan mampu melahirkan anak kerana sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramai umatku di akhirat kelak”. (Riwayat Imam Ahmad )

Kecenderungan mengamalkan kehidupan gay, lesbian dan biseksual ini adalah dari nafsu yang tidak dikawal. Sedang Islam telah menganjurkan umat manusia supaya berkahwin secara normal dan menggariskan kaedah kawalan nafsu bagi mereka yang tidak mampu melakukannya. Seperti sabda Rasulullah SAW dari Ibnu Mas'ud RA yang bermaksud :

“ Wahai anak muda! Barangsiapa yang mampu dan bersedia untuk berkahwin dari kalangan kamu, maka berkahwinlah, sesungguhnya perkahwinan itu membantu menundukkan pandangan, memelihara kemaluan dan barangsiapa yang tidak mampu melakukannya, maka berpuasalah kerana sesungguhnya puasa itu adalah perisai (dirinya agar tidak terjerumus dalam keruntuhan sosial ).”

Kebebasan bukan bermakna manusia bebas melakukan apa sahaja sehingga bertentangan dengan fitrah dan agama. Jikalau seseorang itu tidak beragama sekalipun, akal yang masih dimiliki tidak mungkin membenarkan manusia melakukan apa sahaja di atas tiket kebebasan. Sebaliknya manusia mesti hidup berasaskan peraturan-peraturan tertentu yang mengikat komitmen dirinya agar tidak terbabas dari kebaikan dan kemuliaan.

Secara analoginya seperti memandu kereta. Sungguhpun kereta milik kita yang sah, kita telah membayar ‘road tax’ dan insuransnya, maka atas nama kebebasan, kita bebas untuk memandu laju tanpa menghiraukan peraturan lalu lintas. Ini sangat merbahaya. Awas ! Ini bukan lagi bebas tetapi babas. Ayuh ! Kembalilah kepada kehidupan normal berasaskan petunjuk Allah SWT. Tuhan yang menciptakan manusia. Formula kehidupan Islam sungguh indah dan damai malah membawa kebahagiaan dan ketenangan hidup berlandaskan syariat. 

Disediakan oleh :
Najihah binti Azizuddin
Timbalan Ketua HEWI KPIPM sesi 2017/2018

Saturday, September 15, 2018

MAKLUMAN | PERLANTIKAN AJK KPR
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018

🔰 Dengan ini pihak KPIPM sesi 2017/2018 bersetuju melantik Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya :

🔴 Ustaz Muhammad Mu'azz bin Ramli sebagai PENGARAH KPR KPIPM sesi 2017/2018

🔴 Ustazah Zainatul Nazifa binti Abdul Wahab sebagai TIMBALAN PENGARAH KPR KPIPM sesi 2017/2018.

📍Sehubungan dengan itu, gerak kerja AJK KPR KPIPM sesi 2017/2018 akan bermula dalam masa yang terdekat

Harap maklum.

#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
LAPORAN ASTAKA KASIH AIDILADHA 2018 (ASTAKA’18)

Kaherah- 19 Mei 2018 hingga 24 Mei 2018, Keluarga Pelajar -pelajar Islam Perak Mesir telah mengadakan satu program bersempena Raya Haji dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Perak. Program tersebut telah diberi nama Astaka Kasih Aidiladha '18 dengan singkatan ASTAKA '18. Program ini dibawah anjuran Keluarga Pelajar -pelajar Islam Perak Mesir dengan bertemakan : "Semai Kecintaan, Inspirasi Perjuangan".
ASTAKA '18 telah bermula pada pagi 8 Zulhijjah 1439 H bersamaan 19 Ogos 2018 (Ahad) dengan Kelas Tafaqquh Fiddin yang mendiskusikan kitab "Is'aadul Bariyyah di Ahkamil Udhiyyah". Daurah Kitab ini membahaskan berkenaan Fiqh Korban sekaligus meningkatkan pengetahuan dan thaqafah sebagai persediaan sebelum menjalani ibadah korban. Pengisian in telah yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKPPPM sesi 2017/2018 iaitu Ustaz Muhammad Safwan bin Azzmi. Alhamdulillah, daurah kitab ini berjalan dengan lancar selama dua hari dari 8 dan 9 Zulhijjah 1439 H bersamaan dengan 19 dan 20 Ogos 2018.

Setelah itu, ASTAKA'18 telah mengadakan Pertandingan dan Aktiviti Indoor bagi memeriahkan lagi Hari Raya Aidiladha pada kali ini. Antara Aktiviti Indoor yang telah diadakan disebelah ikhwah adalah Khutbah Bahasa Arab, English Speech, Hafazan Tahlil & Doa Tahlil, Tilawah manakala disebelah akhawat adalah Terjemahan Teks, Tazkirah Spontan, Musang Berjanggut, 1001 dan Guess What??. Aktiviti indoor ini telah berjalan dengan jayanya diadakan pada 9 Zulhijjah bersamaan dengan 20 Ogos 2018 pada jam 1.00 petang, bertempat di Baitul Rahman bagi ikhwah dan Baitul Ridzuan bagi akhawat.

Kemudian, diadakan pula Pembacaan Hadis Musalsal Bi Yaumil 'Eid bersama Syeikh Rifaat Fauzi pada 20 Ogos 2018 bersamaan 9 Zulhijjah 1439 H sejurus selepas solat Maghrib di Dewan Syeikh Idris al-Marbawi, Baitul Ridzuan. Seterusnya, majlis diserikan pula dengan Malam Perutusan Aidiladha 1439 H yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri selaku Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018. Setelah itu, program diteruskan dengan gimik pelancaran ASTAKA'18 serta sedikit tayangan Video Pengenalan ASTAKA '18 dan berakhir dengan jamuan ringan.

Pada 21 Ogos bersamaan dengan 10 Zulhijjah, program diteruskan dengan Solat Hari Raya Aidiladha yang diadakan di Dataran Hayyu Asyir secara berjemaah. Selapas itu, disambung pula dengan Gotong Royong Sembelihan dan Melapah yang telah berlangsung di Baitul Rahman. Aktiviti ini telah bermula jam 8.00 pagi dengan penyembelihan haiwan korban (Unta, Kambing & Khoruf). Keistimewaan pada raya kali ini adalah, penyembelihan kesemua unta adalah dengan menggunakan cara An-Nahr (menusuk pada bahagian leher). Adapun kambing dan khoruf dengan menggunakan cara Az-zabh (memotong pada bahagian leher). Setelah itu, aktiviti diteruskan lagi dengan melapah kulit dan daging, memotong tulang, timbang, agihan, jamuan makan dan gotong royong memasak bagi Rumah Terbuka Aidiladha. Alhamdulillah, aktiviti ini telah berjaya diselesaikan dengan baik hasil bantuan daripada peringkat ikhwah dan akhawat yang telah bertungkus lumus sepanjang seharian bagi menjayakan gotong royong ini.
 
Seterusnya, Pada 22 Ogos 2018 bersamaan dengan 11 Zulhijjah, telah diadakan Rumah Terbuka Aidiladha KPIPM dan Walimatul Urus. Terdapat beberapa aktiviti yang telah dijalankan semasa Rumah Terbuka Aidiladha KPIPM daripada Usrah Al-Muhazzirun. Antara persembahannya adalah Paluan Kompang mengiringi pengantin dan Persembahan Silat.

Di samping itu, ASTAKA '18 telah melaksanakan Pembentangan Kitab Tarbiyatul Aulad yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Akmal Aliff bin Saleh pada 23 Ogos 2018 bersamaan dengan 12 Zulhijjah, sejurus selepas Ehya' al- Jum'ah di Dewan Syeikh Sya'rawi, Baitul Rahman.

Pada hari terakhir, 24 Ogos 2018 bersamaan dengan 13 Zulhijjah, telah berlangsung Malam Apresiasi Bait Muslim sejurus selepas solat Maghrib berjemaah bagi memperkenalkan ahli Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir yang sudah mendirikan rumahtangga. Setelah selesai, program diteruskan dengan Majlis Penutupan ASTAKA'18 yang dimulai dengan ucapan peringkat Pengarah ASTAKA’18, Ustaz Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak dan disempurnakan oleh YDP KPIPM sesi 2017/2018, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri. Kemudian, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, persembahan lakonan dan Nasyid daripada Usrah Al- Muhazzirun serta diakhiri dengan jamuan ringan.

Besarlah harapan daripada pihak kami, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018 agar program sebegini dapat mengeratkan hubungan sillaturrahim dan ukhuwah islamiah di antara semua ahli Perak di bumi Mesir. Segala kerjasama yang baik dari semua peringkat sama ada secara langsung atau tidak lansung kami ucapkan Jazakumullahu Khairan Kathira.

“Semai Kecintaan, Inspirasi Perjuangan”

BERILMU,BERAMAL,IKHLAS
“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

Disediakan oleh :
Setiausaha ASTAKA’18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018













Friday, September 14, 2018

LAPORAN KARNIVAL KEUSAHAWANAN ISLAM 2018 (USAHAWAN'18)

KAHERAH, Ogos 2018 – Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) di bawah anjuran Biro Ekonomi sesi 2017/2018 telah berjaya menganjurkan satu program yang julung kali diadakan iaitu Karnival Keusahawanan Islam 2018 (USAHAWAN’18). Objektif USAHAWAN’18 adalah mewujudkan platform untuk mahasiswa/si menceburi bidang perniagaan, melahirkan usahawan muda yang berdaya saing secara sihat dalam kalangan ahli serta dapat meningkatkan thaqafah ahli KPIPM dalam bidang keusahawanan dan pengurusan kewangan di bumi Mesir. Ianya juga merupakan satu sunnah yang amat dituntut dalam Islam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Jumu'ah ayat 10 : “Apabila solat telah selesai dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung".

USAHAWAN'18 ini telah berlangsung dengan jayanya selama tiga hari bermula 11 Ogos 2018 sehingga 13 Ogos 2018 bertempat di perkarangan Masjid Salam, Hayyu Asyir, Kaherah dengan menggunakan konsep “karnival". Program ini melibatkan seramai 26 Adhoc dan 70 AJK Pelaksana Karnival yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan USAHAWAN’18. Tema untuk program ini adalah “Ceburi Perniagaan, Membentuk Usahawan”.

Pada hari pertama iaitu 11 Ogos 2018, seawal jam 8.00 pagi semua penggerak yang terlibat telah membuat persiapan terakhir di kawasan karnival. Sejurus selepas itu, para penjual dan pengunjung mula membanjiri kawasan karnival. USAHAWAN'18  ini mula dibuka secara rasmi pada jam 12.30 tengahari. Menu makanan dari peringkat IKHWAH  menampilkan 7 gerai yang menyediakan pelbagai aneka juadah manakala di peringkat AKHAWAT pula adalah sebanyak 6 gerai. Di samping itu, terdapat juga pelbagai minuman yang dijual sepanjang berlangsungnya USAHAWAN'18. Pada jam 4.00 petang, telah diadakan Talkshow dengan tajuk "Your Future Our Concern" yang  berlangsung di Perkarangan Masjid Salam, Hayyu 'Asyir. Slot ini menampilkan dua gandingan pengisi yang hebat iaitu Ustaz Muhamad Nasrul bin Jamal (Bendahari Kehormat BKASM sesi 2017/2018) selaku Panel 1, Ustaz Muhammad Zulhafiz bin Jefri (Bendahari Kehormat KPIPM sesi 2017/2018) selaku Panel 2 dan moderator yang bertugas iaitu Ustaz Muhammad Aizad bin Yahaya (Pengarah Unit Biah Solehah KPIPM sesi 2017/2018). Sementara itu, di sebelah malamnya pula telah berlangsungnya Majlis Perasmian USAHAWAN'18 yang telah disempurnakan oleh YDP KPIPM, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri. Setelah selesai, majlis diteruskan dengan persembahan gimik dan tayangan video pengenalan USAHAWAN '18.

Pada hari kedua iaitu 12 Ogos 2018, karnival telah bermula daripada jam 12.30 tengahari dengan sambutan yang menggalakkan daripada para pengunjung. Suasana menjadi semakin menarik apabila pelbagai aktiviti dilaksanakan diperingkat ikhwah dan akhawat antaranya ialah teka gula-gula dalam balang, teka silang kata, kupas kulit timun dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga beberapa pengisian seperti talkshow UBM dengan tajuk "Sesegar Cinta Khadijah buat Rasulullah", Sembang santai YDP BKAN, dan Medical Checkup.

Seterusnya, pada hari ketiga iaitu 13 Ogos 2018, USAHAWAN'18 berjalan seperti biasa. Pengunjung pada hari ini semakin bertambah samada dari kalangan Ikhwah mahupun akhawat. Antara aktiviti dan pengisian yang telah dijalankan adalah Tazkirah Ekonomi Islam yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhamad Amri bin Ouma (Mantan Bendahari Kehormat PMRAM 2014), Dental Check Up diperingkat akhawat dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Kemudian, USAHAWAN'18 diserikan lagi dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Al-Wadi PMRAM dan tayangan video.

Seterusnya, Majlis Penutupan USAHAWAN'18 pun berlangsung dengan ucapan daripada Pengarah USAHAWAN'18, Ustaz Luqman Hakim bin Mohamad Anuar dan disempurnakan oleh Yang Dipertua KPIPM sesi 2017/2018, Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri.

Alhamdulillah, program berakhir dengan acara penyampaian hadiah kepada pemenang gerai terbaik ikhwah iaitu Ganu's Corner oleh YDP KPIPM, Ustaz Bukhari Ridha bin Mohd Bakri manakala di sebelah akhawat pula disampaikan oleh Ketua Hewi KPIPM, Ustazah Siti Hajar binti Ahmad Daud kepada pemenang gerai terbaik akhawat iaitu Wafflicious(Shoubro). Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Maka berakhirlah sudah program USAHAWAN '18 pada tahun ini. KPIPM  mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang bertukus lumus bagi menjayakan USAHAWAN'18 dari mula hinggalah ke akhirnya. Diharapkan agar program ini dapat meribat ukhuwah islamiah serta dapat memperkukuhkan peranan KPIPM sebagai wadah kesatuan anak-anak Perak di bumi Mesir. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan USAHAWAN’18 dan semoga program sebegini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. Sekian, terima kasih.

"Ceburi Perniagaan ,Membentuk Usahawan".

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"
         

Disediakan oleh :
Setiausaha USAHAWAN'18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018





Wednesday, September 12, 2018






LAPORAN JAULAH INFINITY OF EXPERIENCE IN SIWA & MATRUH 2018 
(INFIRU’18) AKHAWAT

KAHERAH,21 Julai 2018 – Keluarga pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM) di bawah anjuran Ketua Hal Ehwal Wanita Islam seliaan Biro Perhubungan, Sambutan dan Rehlah HEWI sesi 2017/2018 telah berjaya menganjurkan jaulah ke Siwa dan Matruh sempena cuti musim panas yang diberi nama Infinity Of Experience In Siwa & Matruh 2018 (INFIRU’18). Jaulah ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli HEWI KPIPM selain daripada meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan meluaskan pengalaman ahli. Firman Allah SWT dalam surah Al-Mulk ayat ke 15: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan,maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya,serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah Allah jualah tempat kembali kamu sesudah mati dibangkitkan hidup semula maka hargailah nikmatnya dan takutlah kemurkaanNya”. INFIRU’18 ini telah berjaya mengumpulkan ahli HEWI seramai 47 orang  yang terdiri daripada sepasang mutazawijjin, seorang musyrif penerangan dan AJKT serta 36 orang akhawat.
         
Jaulah ini memulakan perjalanannya pada 21 Julai 2018, jam 1.30 pagi dengan menaiki sebuah bas. Doa menaiki kenderaan telah dibaca oleh Ustaz Muhamad Akmal Aliff bin Salleh selaku wakil musyrif penerangan di dalam INFIRU’18. Kemudian, Bas pun mula bertolak dari kawasan Mahkamah menuju ke Matruh. Setelah selesai solat Subuh, INFIRU’18 meneruskan perjalanan ke Matruh. Untuk makluman, Matruh atau nama asalnya (Marsa Matruh) terletak di Barat Laut Mesir. Jarak ke Matruh adalah 600km dari Kota Kaherah . Perjalanan menuju ke Matruh dikelilingi kawasan padang pasir dan melalui Iskandariah dan Al-Amin. Buah tin dan anggur merupakan tanaman utama di Matruh. Setelah sampai di tempat penginapan pada jam 9.00 pagi, semua peserta jaulah diberi masa untuk berehat seketika di chalet untuk makan tengahari dan solat jama'. Selepas itu, pada pukul 2.30 petang INFIRU’18 meneruskan lawatan ke sekitar Matruh. Destinasi pertama yang dituju ialah Pantai Cleopatra.
             
Pantai ini akan mengingatkan kita tentang ratu cantik jelita dari Mesir kerana tercatat dalam sejarah Mesir kuno terdapat tujuh ratu yang bernama Cleopatra. Sedemikian jelitanya ratu yang satu ini,iaitu Cleopatra VII sampai mampu memikat hati dua penguasa Rom iaitu Julius Caesar dan Mark Anthony,di dua zaman berbeza. Akibat daya tarik Cleopatra ini pula,Triumvirate (tiga penguasa) Rom jadi berbalah satu sama lain. Demi mendapatkan Cleopatra, Mark Anthony rela meninggalkan isterinya. Selain itu, berhampiran pantai tersebut, terdapat Hamam Cleopatra (tempat mandi) dan bahagian belakangnya pula adalah Kawasan berbahaya kerana disitu terdapat batu licin yang licin dan curam, serta gelombang ombak yang kuat. Peserta diberi masa selama sejam setengah untuk untuk slot penerangan oleh Ustaz Akmal Aliff bin Salleh, sesi fotografi dan sebagainya.

Destinasi seterusnya pula adalah, Pantai Agiba. Ia dinamakan Pantai Agiba kerana keindahan pantainya yang menghijau dan membiru. Sesiapa yang melihatnya pasti berasa kagum kerana lautnya mempunyai tujuh lapisan warna apabila dilihat ketika menjelang senja. Semua peserta jaulah tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto sebagai kenangan dan melakukan aktiviti bebas bermula pada pukul 5.30 petang sehingga 7.15 malam. Kemudian, tempat ketiga yang dilawati ialah Souq Libya (Pasar Libya). Pasar ini merupakan tempat membeli belah yang amat terkenal di Bandar Marsa Matruh. Di sini, terdapat pelbagai barang seperti makanan,pakaian,barang-barang hiasan dan barang-barang keperluan lain. Harga barangan di sini juga amat berpatutan. Kebanyakan barang yang dijual di sini berasal dari negara jiran iaitu Libya. Setelah selesai, kami pun pulang ke chalet untuk aktiviti kendiri.
              
Pada hari kedua iaitu 23 Julai 2018, INFIRU’18 meneruskan perjalanannya ke destinasi seterusnya iaitu Siwa. Bas mula bertolak dari chalet pada pukul 6.35 pagi. Siwa dikenali dengan nama Jazirah Malah kerana dikelilingi oleh lautan garam. Ia juga dikenali sebagai Jazirah Balah (kurma). Orang-orang barat yang datang kesini memangilnya Jazirah Fatmas kerana tanamannya yang subur. Dinamakan Jazir kerana terletak di tengah-tengah Laut Jerman. Oasis Siwa pula dikelilingi oleh padang pasir yang luas dan terletak di bahagian Barat Qattara. Negeri ini merupakan pengeluar terbesar minyak zaitun dan buah kurma di Mesir. Tempat pertama yang dilawati di Siwa ialah Jabal Mouta. Pada waktu dulu, bukit ini berfungsi sebagai tempat menyimpan mayat penduduk Siwa. Selain itu, terdapat juga lukisan di dinding-dinding bukit yang menceritakan dan menggambarkan tentang kisah perkahwinan Ratu Cleopatra dan  Mark Anthony. Ia merupakan tempat simpanan harta, emas dan barangan berharga, akan tetapi barangan tersebut dikatakan telah dicuri oleh penjajah. Terdapat juga satu bilik yang menyimpan manusia.
                   
Seterusnya, ekspedisi ini menuju pula ke Bahrul Malah (Tasik Garam) pada pukul 12.12 tengahari. Negeri Siwa juga dikenali dengan nama Jazirah Malah kerana dikelilingi dengan tasik garam. Kedudukannya adalah sejauh 90 km dari paras laut. Kemudian, INFIRU’18 pun diteruskan lagi dengan Kolam Cleopatra. Kedalaman kolam ini lebih kurang lima meter. Ia merupakan sumber utama bekalan air di Siwa. Dikatakan, terdapat suatu keajaiban kerana kolam ini tidak pernah kering dari dahulu sehingga sekarang. Bas selamat tiba di kolam tersebut pada pukul 1.11 petang bagi memberi peluang kepada para peserta untuk berehat, makan tengahari dan solat jama' di masjid yang berdekatan. Lawatan pun diteruskna lagi ke sekitar Kota Siwa Lama bermula pada jam 5.00 petang. Kota ini terletak di kawasan yang strategik iaitu diantara dua bukit. Jika berada diatas kota ini, para pegunjung boleh melihat Kubu Iskandar The Great, Tasik Garam, dan Jabal Mouta.

Pada hari yang terakhir iaitu 24 Julai 2018, INFIRU’18 menuju ke Pantai Abyadh. Pantai ini terletak 20 km di sebelah barat Marsa Matruh. Pantai ini juga terkenal dengan pasir pantai yang putih dan halus. Para peserta peserta diberi masa selama 2 jam setengah bagi melakukan aktiviti pantai, sesi fotografi dan aktiviti bebas. Setelah selesai, bas bergerak pulang ke tempat penginapan pada jam 11.30 pagi untuk menunaikan solat jama' dan makan tengahari. Semua bersiap sedia untuk pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan pulang, slot penutupan INFIRU’18 telah dijalankan dengan penyampaian cenderahati kepada musyrif penerangan, ucapan Pengarah INFIRU'18, Ustazah Fatimah Zahrah binti Zainal dan ucapan penutup daripada Ketua Hewi, Ustazah Siti Hajar binti Ahmad Daud.

Alhamdulilah, sepanjang  Infinity of Experience in Siwa  & Matruh 2018 (INFIRU’18) berjalan, tiada sebarang masalah yang timbul dan tema kali ini juga berjaya diterapkan kepada seluruh peserta dengan sebaiknya. Bas selamat tiba di Kaherah pada pukul 9.45 malam. Peringkat program mengharapkan agar ukhuwah kita akan tetap berkekalan hingga ke akhirnya.

"Travel Once, Infinite Experience".

BERILMU,BERAMAL,IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN MELESTARIKAN KESATUAN"

Disediakan oleh :
Setiausaha INFIRU’18
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2017/2018
          

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...