Tuesday, May 4, 2021

PENA AZHARI | TARBIAH RAMADAN, MEMBENTUK KETAKWAAN

 


PENA AZHARI | TARBIAH RAMADAN, MEMBENTUK KETAKWAAN

Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2020/2021


بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف المرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

وبعد،

Alhamdulillah, sekali lagi kita dijemput menjadi tetamunya yakni Ramadan, yang menjadi satu kegembiraan buat orang yang beriman. Ini kerana mereka ini dijadikan khusus oleh Allah SWT menjadi tetamuNya di bulan yang mulia ini.

Sesungguhnya ibadah puasa merupakan suatu kewajipan sejagat dan suatu ibadah yang sempurna, dengannya boleh dijadikan wasilah kepada kemanisan iman. Lebih-lebih lagi ibadah ini adalah antara ibadah yang sangat penting, kerana melaluinya dapat mendekatkan diri seseorang hamba kepada Tuhannya.

Dalam satu Hadis Qudsi yang berbunyi:

 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: قال الله عز وجل : كل عمل ابن آدم له إلا الصيام . هو لي وأنا أجزي به

Maksudnya:

“Rasulullah SAW bersabda: Firman Allah Azza Wa Jalla: Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa, sebab ia hanyalah untuk-Ku dan Akulah yang akan memberikan ganjaran padanya secara langsung.”

Sahabat sekalian,

Takwa menjadi tujuan utama berpuasa. Tujuan ini ditegaskan dengan jelas dan nyata oleh Allah SWT pada Al-Quran Al- Karim dan perlaksanaan puasa adalah dengan cara yang telah ditetapkan olehNya, mengikut kemampuan makhluk.

Firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ﴿ ١٨٣ ﴾

”Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”

[Surah Al-Baqarah, Ayat 183]

Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh di sini bahawa kedudukan di sisi Allah SWT bukanlah terletak pada pangkat, harta, paras rupa dan sebagainya. Akan tetapi pada ketakwaannya. Para ilmuwan mendefinisikan Takwa ini sebagai sikap dalam diri seseorang yang melahirkan rasa perhambaan kepada Allah SWT dan takut kepadaNya, sehingga menggerakkan dirinya melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Seorang ilmuwan yang bernama Sheikh Soleh Al-Ja’fari Rahimahullah Taala pernah menyebut dalam kitabnya:

“Takwa ini merupakan perjalanan setiap kebaikan yang dapat dicapai oleh seseorang kepada kebaikan dan kebahagian dunia dan akhirat”.

Maka, boleh disimpulkan disini mereka yang tidak mempunyai takwa di sisi, tiada bagi mereka kebahagian dan kebaikan.

Sahabat yang dirahmati Allah SWT,

Namun menjadi persoalan disini, apakah ciri-ciri mereka yang disebutkan sebagai orang yang bertakwa ini ?. Maka, sudah tentulah mereka yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dalam segenap aspek, baik urusan keduniaan mahupun urusan akhirat.

Firman Allah SWT:

ذَ ٰلِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ ﴿ ٢ ﴾

”Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”

[Surah Al-Baqarah, Ayat 2]

Jika dilihat pada sudut yang lain, menjadi suatu hikmat besar turunnya Al-Quran pada bulan Ramadan sebagai petunjuk kepada sekalian manusia.

Firman Allah SWT:

شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah

Al-Baqarah, Ayat 185

Sahabat sekalian,

Selain itu, kedatangan Ramadan menjadi makanan buat ruh dan jasad hambaNya yang beriman. Dua elemen penting ini  yang menjadi keutamaan seseorang untuk terus melakukan tugasan beribadat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

 

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِیَعۡبُدُونِ ﴿ ٥٦ ﴾

”Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

[Surah Adh-Dhariyat, Ayat 56]

Tugasan ini tidak terpundak kepada makhluk lain seperti haiwan tanpa akal. Bahkan akal menjadi sebahagian besar daripada aspek rohani. Maka, seandainya seseorang hamba ini tidak mahu melakukan tugasan ini, maka mereka itu lebih hina daripada haiwan kerana mereka ini dianugerahkan oleh Allah SWT akal yang sempurna.

 

Firman Allah SWT:

 

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبࣱ لَّا یَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡیُنࣱ لَّا یُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانࣱ لَّا یَسۡمَعُونَ بِهَاۤۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ ﴿ ١٧٩ ﴾

 

”Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

[Surah Al-A'raf, Ayat 179]

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT,

Seterusnya, suka untuk kita datangkan peristiwa-peristiwa kemenangan Islam yang bersejarah, yang berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya, kemenangan umat Islam di perang Badar, manakala kemenangan Ain Jalut mengalahkan bala tentera kaum Tatar yang paling ganas dan pernah menghancurkan Kota Baghdad. Puncanya, Kota Baghdad hancur ketika itu kerana menganggap hal itu mustahil berlaku kesan lemahnya iman. Malahan, banyak lagi sejarah kemenangan Islam yang telah di lakar mereka yang terdahulu. Semua kemenangan itu, bukan hanya terletak kepada bilangan dan kelengkapan lengkap, akan tetapi dengan berbekalkan kekuatan iman sehingga pertolongan Allah SWT turun dan dapat mengalahkan musuh.

Justeru, kesimpulannya disini antara hikmat Ramadan adalah memberikan tarbiah jihadiyah kepada umat Islam, sehingga mereka berjaya melawan nafsu untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan mendapat kemenangan dalam menghadapi musuh-musuhnya. Maka demikianlah begitu banyak hikmah yang dapat dikecapi pada bulan yang mulia ini. Sentiasalah muhasabah diri setelah berpuasa sepanjang Ramadan. Janganlah hanya sia-sia berlapar dan letih tanpa menanam sifat takwa agar dapat menentukan hikmah sebenar daripada Ramadan.

Tarbiah Ramadan, Membentuk Ketakwaan.

#IHTIRAM21
#KPIPMKeluargaKita

#BersamaBersatuJayakanUsulYDP

#BersamaBersatuJayakanPembawaanKPIPM

 

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS

“MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN”

 

Nukilan daripada :

Ahmad Fariez Izwan bin Fauzi

Pengarah Unit Biah Solehah KPIPM sesi 2020/2021


1 comment:

  1. Penulisan yang membakar semangat kpd diri utk menjadi hamba yg bertakwa.

    ReplyDelete

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...