Wednesday, May 26, 2021

LAPORAN | PROGRAM RIANG RIA AIDILFITRI 2021 (RIANG'21)

KAHERAH – Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG ’21) anjuran Biro Tabung Kebajikan, Kesenian dan Riadah, Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021 bertemakan “Lebaran Disambut, Ukhuwah Terpaut ” yang diadakan di Baitul Rahman dan kediaman ahli masing-masing.
   Program RIANG'21 pada kali ini bermula pada 29 Ramadan sehingga 3 Syawal 1442 Hijrah bersamaan 12 Mei sehingga 15 Mei 2021 Masihi. Walau bagaimanapun, RIANG’21 pada kali ini dijalankan agak sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan ujian wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia membataskan pelaksanaan aktiviti berbentuk perkumpulan.

   Objektif utama program RIANG’21 dianjurkan adalah bagi mengukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli KPIPM. Menghidupkan kemeriahan hari Raya Aidifitri di bumi Mesir. Mengetengahkan bakat ahli melalui konsep kesenian Islam yang sebenar. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, RIANG’21 pada kali ini telah berjaya merancang, menyusun dan melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi semua mahasiswa dan mahasiswi di bulan Syawal dengan mengikut norma baharu.

   Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri kian terasa dengan aktiviti Gotong-Royong di kediaman rumah masing-masing pada 12 Mei jam 4.00 petang. Pada sebelah malamnya, jam 7.00 malam takbir raya mula berkumandang. Tirai program Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG’21) dibuka dengan majlis perasmian program yang disempurnakan oleh En. Mohammed Tasyreef bin Mohamd Tarmizi, Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak  pada 12 Mei 2021, Rabu, 8.30 malam yang diadakan secara langsung di laman rasmi Facebook Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir. Turut ditayangkan Persembahan Live nasyid oleh Usrah al-Muhazzirun selepas daripada majlis Perasmian RIANG'21.
   Pada Hari Raya Pertama, 13 Mei 2021 seawal jam 5.15 pagi ahli KPIPM menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di masjid berhampiran rumah masing-masing. Seterusnya, RIANG’21 diteruskan dengan “Raya Cara Kita“ iaitu menikmati juadah bersama ahli rumah masing-masing pada jam 8.30 pagi berserta dapat mendengar Dendang Perantauan RIANG’21 dan pelbagai pengisian menarik sepanjang siaran tersebut berlangsung. Pada sebelah petang jam 1.00 petang, Peringkat Program Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG’21) mengadakan edaran Syantah Syawal dan kuih raya kepada semua anak-anak Perak di Wisma Baitul Rahman. Pada sebelah malamnya pula, Siaran Langsung Forum Perdana RIANG’21 telah dijalankan di Youtube Rasmi Laman KPIPM yang bertajuk “Nirmala Lebaran Dinoda Jangan” pada jam 8.30 malam.
  Pada hari raya kedua,14 Mei 2021 telah diadakan Tazkirah Subuh Khas Raya secara siaran langsung pada jam 4.30 pagi. Tazkirah Subuh Khas Raya ini bertajuk “Tabir Syawal Gerbang Kesatuan” telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Munawwir al Masyadi bin M. Syukrimun Yang Dipertua (YDP) Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir sesi 2020/2021. Selepas itu pengisian raya berbentuk manhaj daripada kitab (Maza ba’da Ramadan) telah disampaikan oleh para nuqoba kepada ahli KPIPM.
   
   Pihak program mengambil manfaat melalui media massa dengan mengadakan pengisian-pengisian berbentuk poster, video dan menyarankan kepada semua ahli untuk menonton siaran langsung yang dijalankan di YouTube Rasmi Laman KPIPM. 

   Pada kali ini, Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG’21) melabuhkan tirai dengan Majlis Penutupan program secara langsung di Laman KPIPM sebagai aktiviti terakhir RIANG’21 yang berlangsung pada jam 8.30 malam 15 Mei 2021. Majlis dimeriahkan lagi dengan tayangan video pemenang pertandingan, Cover Music Video Usrah al-Muhazzirun serta video penutup RIANG’21.

   Mudah-mudahan objektif utama program yang dianjurkan iaitu mengukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan ahli KPIPM dan menghidupkan kemeriahan hari Raya Aidifitri di bumi Mesir tercapai. Semoga melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti RIANG’21 pada kali ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwah antara ahli KPIPM dan merealisasikan pembawaan dan usul KPIPM.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD ZUHAIRI BIN KHARUDDIN,

Setiausaha (Promosi) Riang Ria Aidilfitri 2021 (RIANG'21),
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2020/2021

No comments:

Post a Comment

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA

MINDA PIMPINAN | KEBAJIKAN AGENDA UTAMA Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2023/2024 Firman Allah SWT : { فَمَن یَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَ...