Sunday, January 20, 2019

KANTA SISWA | SEJARAH : PERJANJIAN PANGKOR 20 JANUARI 1874 AGENDA SEKULARISASI PENJAJAH

KANTA SISWA | SEJARAH : PERJANJIAN PANGKOR (20 JANUARI 1874) AGENDA SEKULARISASI PENJAJAH
Unit Penerangan dan Penerbitan, Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

Tanah Melayu merekodkan aneka sejarah jatuh bangunnya yang pastinya menggamit kenangan dan menjadi perbahasan para sejarawan zaman berzaman.

Kanta Siswa kali ini menampilkan peristiwa bersejarah yang semakin kita lupai. Namun, ianya memberi impak dan anjakan paradigma yang besar terhadap perkembangan sistem pentadbiran di negara ini.

⭕ ADA APA DENGAN 20 JANUARI 1874?

20 Januari 1874 merupakan tarikh termeterainya Perjanjian Pangkor (Pangkor Treaty of 1874) yang menjadi titik permulaan penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu. Bemula dengan kesilapan Raja Muda Abdullah, penguasa Hilir Perak yang membenarkan campur tangan British ke atas negeri Perak.

Perjanjian ini bertitik tolak daripada kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah selaku Raja Muda, sepatutnya dilantik sebagai sultan baharu menggantikan Sultan Ali. Akan tetapi, disebabkan baginda tidak menghadiri upacara pengebumian, Raja Bendahara iaitu Raja Ismail telah dilantik menggantikan takhta Sultan Ali. Raja Ismail diangkat dan ditabalkan kerana mengikut istiadat pertabalan Raja-raja Melayu, baginda ialah sultan yang sah disebabkan baginda memiliki alat-alat kebesaran diraja serta mempunyai pengikut dan pengaruh besar di Hulu Perak.

Dalam masa yang sama, berlaku permusuhan panjang bermula 1860-an hingga 1870-an di antara dua kumpulan kongsi gelap Cina untuk merebut dan menguasai lombong bijih timah sehingga tercetusnya Perang Larut 1861 yang berlarutan sehingga tahun 1874.

Maka, Raja Muda Abdullah menjadikan dua permasalahan ini sebagai modal membenarkan campur tangan British ke atas urusan pentadbiran Tanah Melayu dengan menyatakan hasrat meminta British menyiasat hal ehwal negeri Perak dan memulihkan keamanan selain membenarkan Perak bernaung di bawah British. Hasrat itu dinyatakan melalui perutusan surat baginda kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Andrew Clarke.

Pihak British melihat perkara ini sebagai peluang keemasan bagi mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara serta menguasai bijih timah yang menjadi sumber utama perdagangan negeri Perak ketika itu. Hasilnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874 di antara Gabenor Sir Andrew Clarke dengan Raja Muda Abdullah bersama beberapa orang pembesar Perak tanpa pengetahuan dan pengiktirafan Raja Ismail.

"Raja Muda Abdullah diangkat menjadi Sultan Perak, Bendahara Ismail bekas Sultan itu dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda; Sultan Perak hendaklah menyediakan tempat Residen itu, nasihat Residen British hendaklah diikuti kecuali pada perkara-perkara yang mengenai agama dan adat orang Melayu; fasal menjaga dan memungut segala cukai dan hasil negeri, demikian pula aturan pemerintahan am hendaklah ditetapkan dengan nasihat Residen British." - sedutan Perjanjian Pangkor 1874

⭕ IMPLIKASI BURUK PERJANJIAN

Ringkasnya, Raja Muda Abdullah diiktiraf oleh British sebagai sultan dengan menurunkan Raja Ismail. British melantik J.W.W Birch sebagai Residen British pertama di Perak. Apa yang berlaku selepas itu lebih berat apabila kuasa sultan dibatasi oleh pegawai-pegawai British di mana sultan terikat untuk mematuhinya. Sultan bukan lagi pemerintah mutlak dalam pentadbiran negeri, melainkan hal ehwal berkaitan agama dan adat istiadat orang Melayu.

Rencana British memisahkan agama dan pemerintahan berhasil, menjadikan agenda sekularisasi penjajah berjaya. Campur tangan Residen British dalam urusan pentadbiran ini pastinya mengundang rasa tidak senang dalam kalangan orang Melayu, terutama para pembesar istana. Lantas, mengakibatkan tragedi pembunuhan Residen British dan beberapa siri peperangan Melayu menentang British yang berdepan kekalahan demi kekalahan, malah meruncingkan keadaan apabila semua yang terlibat dihukum bunuh dan dibuang negeri.

Kondisi ini memudahkan lagi perluasan hegemoni politik dan ekonomi British dek kerana terbantutnya penentangan orang Melayu terhadap mereka. Dengan itu, British berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam mandala Asia Tenggara disebabkan khazanah bijih timah yang dimiliki negeri Perak sebagai pengeluar utama menandingi negara-negara pengeluar lain pada abad ke-19.

⭕ BERTAPAKNYA SEKULARISME DI TANAH MELAYU

Apa yang terpenting di sini adalah bagaimana British mengeksploitasi perjanjian yang ditandatangani, menjadikan lanskap kerajaan negeri Perak akhirnya memberi keuntungan berganda terhadap pengukuhan kedudukan British di Tanah Melayu dan Asia Tenggara yang menatijahkan senjata memakan tuan yang merugikan rakyat Perak sendiri.

Lebih parah apabila dasar yang dilaksanakan oleh penjajah di dalam pentadbiran, perundangan dan ekonomi ketika itu menjejaskan gaya fikir orang Islam sedikit demi sedikit. Dengan slogan pemisahan agama daripada aspek-aspek kehidupan tersebut, telah memberi impak buruk terhadap cara hidup masyarakat di Tanah Melayu umumnya.

Sebahagian pengkaji menyatakan bahawasanya Perjanjian Pangkor 1874 menyebabkan pembahagian urusan kehidupan manusia bertapak di Tanah Melayu. Buktinya apabila berlaku penyerahan urusan agama dan adat istiadat Melayu kepada Raja Melayu manakala urusan pemerintahan dan pentadbiran diserahkan kepada Residen British. Maka, di dalam kerangka inilah proses sekularisasi secara rasmi yang pertama dimulakan apabila urusan agama dipisahkan daripada kehidupan bermasyarakat umat Islam.

Normalisasi fenomena ini menyebabkan sebahagian umat Islam menganggap sebarang bentuk pentadbiran yang berasaskan Islam sebagai teokrasi dek kerana pemikiran mereka yang terkesan dengan racun halus penjajah. Ia persis seperti yang berlaku terhadap masyarakat Eropah suatu ketika dahulu yang berdepan usaha-usaha golongan pemisah agama dari kehidupan yang dikenali sebagai kelompok protestan.

Idea sekularisme ini juga meresap masuk ke dalam sistem pendidikan yang menjadi teras pembangunan sesebuah tamadun khususnya Tanah Melayu ketika itu. Kesannya, melahirkan kader-kader sekular yang diangkat menjadi pemimpin bagi meneruskan legasi pentadbiran British. Watak berbeza dengan pembawaan yang masih sama.

⭕ ISLAM DAN PENTADBIRAN

Asasnya, pentadbiran adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Pemisahannya dari agama merupakan satu bentuk kepincangan pemikiran yang merosakkan umat Islam.

Apa yang berlaku hari ini fahaman sekularisme semakin lama semakin menyeluruh memasuki segenap aspek hingga menyebabkan kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar Islam dan dianggap kolot. Unsur barat itu pula dianggap relevan dan diterima pakai dengan alasan pemodenan, pembangunan serta kemajuan.

Sedarlah kita, sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan dengan aneka penjenamaan, namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Din Islam itu dijumud dan dipersempitkan menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini. Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah : 208]

Sumber :
1. ALIH BAHASA KANDUNGAN PERJANJIAN
https://sembangkuala.wordpress.com/2010/01/20/perjanjian-pangkor-20-januari-1874/

2. PANGKOR TREATY OF 1874
http://enacademic.com/dic.nsf/enwiki/440642

"Memacu Legasi Berinformasi"

Disediakan oleh:
Unit Pengkajian dan Informasi
Unit Penerangan dan Penerbitan
Jabatan Yang Dipertua KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Saturday, January 19, 2019

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKPJM

KENYATAAN YDP | SOLIDARITI KPIPM BERSAMA BKPJM
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah, Pencipta dan pentadbir sekalian alam. Selawat dan salam buat sosok peribadi mulia Nabi Muhammad SAW, dengan kesungguhan perjuangan baginda, dapat lagi kita merasai kelestarian nikmat Iman dan Islam sehingga ke hari ini.

Allah S.W.T telah berfirman :

...فَمَنِ اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَىٰ عَلَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

"... Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang (adil/sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah: Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa."

[ Surah Al-Baqarah : Ayat 194 ]

Fitrah sebagai seorang manusia yang telah tertulis amat mendambakan kehidupan yang aman tenteram dan sejahtera. Setiap orang tidak suka diri, keluarga mahupun hartanya diganggu-gugat atau diceroboh. Islam datang bagi memastikan setiap individu dari segenap sesuatu mendapat hak masing-masing dengan adil dan saksama dan sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang zalim sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-quran apatah lagi dengan mengganggu-gugat hak orang lain. Hak peribadi dari segenap aspek amat dititik beratkan dalam Islam, maka Islam amat menggalakkan penganutnya untuk saling menjaga hak dan mempertahankan hak baik milik masing-masing atau membantu orang lain yang haknya dicerobohi.

Mengimbas kembali peristiwa 18 Januari 2016, merupakan suatu memori hitam bersejarah,  buat kita yang amat membawa agama Allah ini dan sensitif terhadap isu-isu penganiyaan terhadap mahasiswa Malaysia umumnya dan anak-anak Johor Mesir khususnya, rentetan luka bersejarah yang amat terbenam dalam  mandala fikrah kita, sebuah kisah yang menyaksikan kepada kita bagaimana implikasi kesatuan Islam akan sentiasa berganding bahu dan menyatakan kebersaman terhadap insan-insan yang ditimpa ujian, dan dalam episod kisah ini anak-anak Johor di Mesir yang menjadi mangsa derita.

Menelusuri plot peristiwa pemalangan pejabat operasi Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Mesir (BKPJM) ini, tarikh 18 Januari 2016 menjadi hari keramat buat mereka, apabila segala macam  barang pejabat BKPJM dipunggah dan dilempar di perkarangan asrama Pelajar Johor di Rabaah. Memo pengosongan pejabat yang dikeluarkan tanpa persepakatan antara kedua-dua pihak, dan  perbincangan untuk mendapatkan penjelasan tentang isu yang berlaku tidak dapat dilakukan secara lumat lantaran tidak menatijahkan sebarang hasil, menampakkan tindakan pihak atasan yang tidak profesional dan mengambil sikap berat sebelah malah memilih bulu terhadap BKPJM, seterusnya langkah mereka yang seolah-olah berhasrat kepada organisasi yang lain bagi mengganti BKPJM yang sudah lama menjaga kebajikan anak-anak Johor sejak tahun 1970 lagi.

Dasar perjuangannya yang utuh iaitu berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah, sentiasa istiqomah terus menerus menyalurkan kebajikan terhadap anak-anak Johor Mesir, malah pernah bernaung di bawah lembayung kesatuan Islam, Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang tidak dapat disangkal lagi akan kehebatannya, BKPJM masih berdiri utuh, bertapak teguh, dalam melayari bahtera kesatuan, serta menempuh segala bentuk mehnah, BKPJM malah didokong dan disokong oleh kebanyakan anak-anak Johor di Mesir dari turun-temurun sejak pertubuhannya sehinggalah ke hari ini.

Tempoh berdekad-dekad ini, menjadikan kesatuan Islam BKPJM menjadi terus matang dalam membawa rencana Islam dan mendepani sebarang ujian setelah terbukti menjadi pilihan utama dan perantara penting bagi suara Mahasiswa Johor kepada pihak-pihak berwajib.
Bahkan, pergerakan survival BKAN Johor ini tidak terhenti begitu sahaja, semangat juang anak-anak Johor tidak pernah luntur dan goyah, bak kata pepatah Melayu "Biar putih tulang, jangan putih mata". Hubungan atas nama aqidah yang mampan antara pimpinan dan ahlinya menjadikan BKPJM terus kukuh di atas landasan kesatuan. Cukup membuktikan bahawasanya, kesatuan Islam BKPJM ini dirahmati malah dipelihara Allah SWT, lantaran pembawaannya yang murni serta tulus suci iaitu Islam agama yang diredhai Illahi. Ianya menjadikan perjalanan dan peranan BKPJM  ini terus relevan di mata mahasiswa Malaysia  sebagai satu-satunya kesatuan yang komited dan konsisten menjaga kebajikan anak Johor di Mesir.

Kisah pahit ini mengajar kita bahawa ujian dan tribulasi merupakan suatu perkara yang harus dihadapi dalam menyeru manusia kepada Allah SWT dan mengajak orang ramai kepada  kesatuan Islam dan ianya bukanlah suatu jalan yang mudah, malah menjadi suatu sunnatullah

Justeru, saya selaku Yang Dipertua KPIPM, mewakili seluruh anak-anak Perak, menyatakan kebersamaan dengan BKPJM sepertimana usul yang telah disepakati dalam Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke-50 yang lalu iaitu:

“Bersama mempertahankan hak Badan Kebajikan Keluarga Islam Melaka Mesir (BKKIMM) dan Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM) bagi menyatakan solidariti mahasiswa.”

Saya juga menyeru seluruh mahasiswa di Mesir untuk menzahirkan kebersamaan kita dengan memperingati peristiwa ini sebagai simbol keprihatinan kita di bumi Mesir. Moga-moga dengan usaha kecil ini mampu membuktikan kekuatan mahasiswa selaku pemuda yang bersatu mendepani segala macam ujian dalam membawa panji kebenaran. Didoakan agar BKPJM akan terus komited mengatur langkah dalam membawa kesatuan Islam ini dan terus-menerus menyakurkan kebajikan kepada ahli dalam melengkap dan memenuhi titah Illahi.

Siiru 'Ala Barakatillah.

Disediakan oleh :
Muhammad Abrorr bin Mohd Ishak
Yang Dipertua,
Keluar Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2018/2019

#BKPJM18JANUARI
#SolidaritiBersamaBKANJohor

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Friday, January 18, 2019

MINDA PIMPINAN | SEBUAH ORGANISASI

MINDA PIMPINAN | SEBUAH ORGANISASI
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah SWT didalam kitabNya :

إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَ فِى سَبِيلِهِۦ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَٰنٌ مَّرْصُوصٌ
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang (berjuang) dalam barisan yang teratur seakan-seakan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh”.
(Surah Assaff : Ayat 4)

   Organisasi secara umumnya bermaksud satu kumpulan yang terdiri daripada manusia yang bekerjasama dan saling bergantung antara satu sama lain bagi mencapai matlamat individu, kumpulan dan organisasi.

   Namun terdapat perbezaan organisasi dari sudut pandangan Islam yang mana elemen-elemennya  diambil dari al-Quran dan hadith. Ayat di dalam Surah as-Saff tersebut juga menunjukkan perbezaan bahawa pergerakan dalam sesuatu organisasi Islam haruslah diiringi dengan niat untuk berjuang kerana Allah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Maksud dari “saff” di situ menurut al-Qurtubi adalah perintah untuk masuk ke dalam sebuah barisan (organisasi) supaya terdapat keteraturan bagi mencapai sesuatu matlamat.

  Dalam Islam, setiap manusia dituntut untuk berorganisasi dan hidup dalam sebuah kehidupan yang diorganisasi dengan baik.

Di dalam sebuah hadis dari Ibnu Mas’ud R.A :

“Tidak halal bagi tiga orang yang berada di tengah sahara, kecuali harus diangkat seorang   dari mereka sebaga pemimpin."
(HR.Ahmad dari Ibnu Mas’ud R.A).

    Secara logiknya jika kita fikir untuk jumlah orang yang begitu sedikit, tidak perlu kepada seseorang yang memimpin, kerana semuanya boleh diatasi bersama. Namun perlulah kita sedar, hakikatnya bahawa setiap manusia mempunyai hasrat, rasa, kepentingan dan keperluan yang berbeza-beza yang terkadang menyebabkan seseorang itu seringkali mengabaikan dan menindas hak orang lain demi kepentingan diri masing-masing. Oleh kerana itu, Islam menganjurkan hal tersebut iaitu dengan memilih pemimpin untuk setiap kegiatan yang dilakukan lebih dari dua orang, kerana jika tidak ada seorang pemimpin diantara ketiganya akan terbentuklah sebuah organisasi yang disana ada orang yang mengorganisasikannya dengan baik khususnya dalam mencapai sesuatu tujuan.

   Dari hadith tersebut juga kita dapati ciri sebuah organisasi adalah mempunyai pemimpin dan terjadilah itba’ terhadap kepimpinan tersebut. Maka dalam sebuah organisasi perlu ada ketaatan. Yakni ketaatan seseorang pekerja dan seorang pengurus kepada ketuanya.

   Prinsip utama ketaatan ialah selagi arahan atau perintah tersebut tidak bercanggah dengan Islam, maka menjadi kewajipan kepada  pekerja agar mematuhi arahan  yang dikeluarkan oleh majikannya. Ketaatan dalam sebuah organisasi sangat penting bagi melicinkan perjalanan organisasi tersebut.

   Hendaklah sesuatu organisasi berjalan sesuai dengan perancangan yang telah dibuat sebelumnya supaya tidak mengakibatkan kecelaruan di dalam sebuah organisasi seperti mana ibrah yang dapat kita ambil dari Perang Uhud, apabila sebuah anggota dalam organisasi tersebut tidak dapat mematuhi arahan dan perancangan yang telah dirancang maka berlakulah kekacauan dan kegagalan dalam mencapai sesuatu tujuan.

   Suatu pekerjaan apabila dilakukan dengan teratur dan terarah, maka hasilnya juga akan baik. Maka kehidupan yang berorganisasi ini merupakan ciri penting dalam masyarakat manusia yang bertamadun.

   Kata Soekarno dalam sebuah puisinya : ”Beri aku 1,000 orang tua nescaya akan aku cabut semeru dari akarnya, Beri aku 10 orang pemuda nescaya akan aku guncang dunia”.

   Tahukah kalian sepuluh orang pemuda yang dimaksudkan  adalah pemuda yang berorganisasi serta jelas matlamat hidupnya.

   Akhir kata, Islam melarang umatnya memisahkan diri daripada berorganisasi kerana dengan adanya organisasi akan memudahkan lagi jalan untuk mencapai sesuatu tujuan yang tidak lain tidak bukan adalah untuk meninggikan martabat Islam itu sendiri.

Terdapat sebuah hadith yang berbunyi:
“Barangsiapa yang mendapatkan dari pemimpinnya sesuatu yang dia tidak sukai, maka hendaklah bersabar. Sesungguhnya barangsiapa yang memisahkan diri dari jama’ah sejengkal sahaja, lantas ia mati, maka ia mati jahiliyyah."
(HR.al-Bukhari 4:222 dari Ibnu Abas R.A)

   Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa keluarga kita cintai ini iaitu Keluarga Pelajar-pelajar Perak Mesir itu sendiri merupakan satu organisasi yang jelas akan tujuan dan dasarnya yang bertepatan dengan syariat Islam. Wajiblah ke atas kita untuk mematuhi ketua organisasi kita iaitu Yang Dipertua KPIPM selagi mana arahannya tidak bercanggah dengan tuntutan Islam itu sendiri.

   Semoga nukilan yang ringkas ini, sedikit sebanyak dapat memberi kefahaman kepada kita seterusnya dapat menyuntik semangat roh-roh kesatuan dalam kalangan kita. In shaa Allah. Wallahu’alam.

Disediakan oleh:
Hurin Nuur binti Yahya
Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Saturday, January 12, 2019

MINDA PIMPINAN | SAHSIAH & AKHLAK

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.
  Dewasa kini, dunia tenggelam dengan arus kemodenannya sendiri dan ianya seiring dengan keruntuhan akhlak dan sahsiah umat islam pada hari ini. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi kerana saban hari kita diperdengarkan dengan isu-isu berkaitan akhlak dan sahsiah seperti isu zina, LGBT, buang bayi, ragut , bunuh diri dan sebagainya dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja. Mengapa remaja? Hal ini kerana majoriti kes berlaku dalam kalangan remaja. Akhlak dan sahsiah remaja adalah cerminan tahap kecemerlangan sesuatu ummat. Remaja adalah aset sesebuah negara, untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara pada masa akan datang maka lihatlah pada remajanya hari ini.
  Berbicara mengenai akhlak dan sahsiah, kedua-duanya semestinya tidak dapat dipisahkan. Secara umumnya akhlak bermaksud tingkah laku seseorang yang menzahirkan perbuatan baik dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu, manakala sahsiah pula bermaksud peribadi yang menggambarkan sifat personaliti individu yang akan membezakan individu tersebut dengan individu yang lain. Ianya merangkumi gaya hidup, kepercayaan, harapan, nilai, motif, budi pekerti, persepsi, tabiat dan watak seseorang.Berdasarkan penerangan di atas, wajiblah untuk kita sedari bahawa isu keruntuhan akhlak dan sahsiah ini harus diberikan perhatian yang sewajarnya oleh semua pihak demi kemaslahatan bersama.
  Antara faktor terbesar yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah media massa yang cukup meluas dalam menyerang pemikiran masyarakat pada hari ini sehinggakan nilai-nilai islam dan ketimuran tidak lagi diendahkan. Masyarakat sungguh mudah menerima sesuatu yang dirasakan seronok untuk diamalkan tanpa memikirkan baik buruk untuk diri, keluarga dan masyarakat. Padahal Allah telah menurunkan Al-Quran dan Rasul sebagai ikutan dan panduan hidup yang lengkap kepada hambanya yang menjamin kebahagiaan kehidupan dunia dan akhirat.
  Dalam firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْءَاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (QS. Al-Ahzab : 21)
Kita telah sedia maaruf bahawa Allah telah menurunkan Al-Quran kepada Rasulullah SAW untuk dijadikan pedoman hidup manusia. Segala isi kandungan yang terdapat didalamnya sempurna dan tiada cacat cela. Berdasarkan ayat di atas, telah disebutkan bahawa Rasulullah SAW itu adalah suri tauladan bagi kita. Oleh itu, marilah kita bersama-sama telusuri sirah perjuangan Rasulullah SAW dari awal hinggalah akhir supaya kita dapat mencontohi akhlak Rasulullah SAW.
  Terdapat juga dalam sebuah hadith yang menyatakan perihal akhlak baginda,iaitu hadith daripada Aisyah RA ketika ditanya bagaimana akhlak Rasulullah SAW, beliau telah menjawab,“Akhlak baginda SAW adalah Al-Quran”  (HR. Muslim)
Al-Quran itu syumul, oleh itu akhlak baginda juga meliputi segala aspek kehidupan mengikut acuan Al-Quran. Keindahan akhlak baginda terlihat melalui tingkahnya yang baik ketika dengan para isterinya dalam urusan rumah tangga, menjaga hubungan dengan sanak-saudara, berukhuwah dengan para sahabat, memimpin masyarakat bahkan Negara, malah tidak terkecuali keindahan akhlak baginda ketika berhadapan dengan musuh Islam sehinggakan ada yang memeluk Islam hanya dengan asbab keindahan akhlak baginda.
  Untuk membentuk akhlak dan sahsiah terpuji dalam kalangan masyarakat  bukanlah suatu perkara yang mudah, ia perlu dititik beratkan sejak dari kecil lagi. Bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Jika telah dewasa maka susah untuk dibentuk semula. Maka peranan ibu bapa adalah paling utama dalam membentuk akhlak dan sahsiah seseorang anak. Hal ini kerana anak-anak lebih mudah terdorong untuk mengikuti apa yang diajarkan oleh ibu bapa mereka.
Walaubagaimanapun kita selaku umat Islam diajarkan bahawa hidayah itu milik Allah, tugas kita hanya melaksanakan perintahNya sahaja. Allah tidak melihat hasil, tetapi Allah melihat usaha kita.Menurut Imam Al-Ghazali :  “Pendidikan akhlak akan dapat memperindahkan peribadi dan memperluas budi pekerti serta dapat memperdekatkan diri kepada Allah dan mencapai tingkat kemuliaan. Kuat dan jayanya sesuatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhklaknya rosak maka binasalah umat itu.”Jelaslah bahawa agama membentuk akhlak dan akhlak membentuk ketakwaan. Proses ini perlu seiring dan berterusan dalam hidup. Akhlak yang membentuk ketakwaan akan lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT.Apabila diri merasa dekat dengan Allah maka setiap tingkah laku akan dijaga dan terpamerlah sahsiah terpuji dalam diri.
  Di samping itu, jangan kita lupa untuk berdoa seiring dengan usaha yang telah kita lakukan, baik doa untuk diri sendiri mahupun untuk masyarakat. Rasulullah selalu mengamalkan doa, agar terhindar daripada akhlak mungkar. Doanya berbunyi: “Ya allah, sebagaimana Engkau menjadikan badanku baik, maka jadikanlah akhlakku baik, ya Allah jauhkan aku daripada akhlak yang mungkar, ya Allah tunjukkan kepadaku akhlak yang terbaik kerana hanya Engkaulah yang menunjukkan akhlak yang terbaik.”
  Islam adalah agama yang amat mengambil berat terhadap pembentukan peribadi terpuji dan akhlak yang mulia. Pelbagai kaedah telah digariskan dalam ajaran Islam untuk membentuk sahsiah yang baik. Antaranya ialah ;
1)Melengkapkan diri seseorang individu dengan asas-asas akidah islamiah dan keimanan yang kukuh
2)Berusaha untuk mengikuti pimpinan dan tauladan yang baik. Dalam konteks ini, contoh yang paling utama perlu diikuti ialah peribadi Rasulullah SAW.
3)Sentiasa mendekatkan diri dengan orang-orang yang berakhlak mulia supaya diri sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan.
4)Sentiasa menjaga pandangan dari melihat perkara haram, kerana setiap perkara haram itu mendatangkan keburukan.
5)Mengerjakan ibadat-ibadat wajib dan sunat, kerana amalan itu sendiri akan membersihkan diri seseorang daripada dosa.
  Dalam konteks kita selaku mahasiswa/wi Islam di Mesir, kita mempunyai medium persatuan yang amat menitikberatkan penjagaan akhlak dan sahsiah diri iaitu persatuan KPIPM khusus untuk anak-anak perak di Mesir. Dasar persatuan ini adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Antara biro yang terdapat dalam persatuan ini ialah Biro Dakwah dan Tarbiah yang mana biro inilah yang akan lebih cakna dan prihatin terhadap isu-isu akhlak dan sahsiah yang berlaku.
  Selain itu terdapat juga Unit HISBAH yang akan melaksanakan agenda amar maaruf nahi mungkar sekaligus membawa kepada penjagaan biah solehah dalam kalangan mahasiswa/wi.
Justeru itu, selagi mana apa yang dibawa KPIPM tidak melanggar syariat dan norma-norma kehidupan, saya menyeru agar semua pihak bersama-sama mendokong dan menyokong persatuan yang telah lama dibina ini demi kebajikan anak-anak Perak di Mesir seterusnya melestarikan dakwah islamiah di muka bumi Allah ini.
  Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk membangunkan mutu akhlak dan sahsiah dalam kalangan remaja adalah satu tanggungjawab yang besar .Ia bukanlah satu tugas yang boleh dipandang enteng oleh semua pihak, malah ianya satu tugas yang cukup berat dan memerlukan mereka yang berjiwa besar untuk melaksanakannya. Ingatlah, masa depan negara terletak pada akhlak remajanya pada masa kini.
  Oleh itu, sebagai manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT sepatutnya kita melaksanakan perintah Allah SWT dalam memainkan peranan untuk melaksanakan perintah amar maaruf nahi mungkar sekaligus menangani isu keruntuhan akhlak dan sahsiah dalam kalangan masyarakat khususnya remaja islam.
  Semoga nukilan berkenaan akhlak dan sahsiah ini dapat sama-sama kita tangani demi masa depan negara yang lebih sejahtera dan harmoni seterusnya mendaulatkan syiar Islam di muka bumi ini.
Disediakan oleh :
Siti Hajar binti Mohd Jahuri
(Timbalan Setiausaha (Bendahari) HEWI KPIPM sesi 2018/2019)

Monday, January 7, 2019

MAKLUMAN | PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT MAIPk 2019

[ MAKLUMAN| PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT MAIPk 2019 ]

PERMOHONAN DERMASISWA ZAKAT MAJLIS AGAMA ISLAM & 'ADAT MELAYU PERAK BAGI MAHASISWA/WI
PERAK PENGAJIAN ISLAM DAN SAINS KESIHATAN TELAH DIBUKA PADA :

3 JANUARI 2019 HINGGA 9 FEBRUARI 2019

1. Permohonan adalah khusus bagi  MAHASISWA/WI PENGAJIAN ISLAM DAN SAINS KESIHATAN (KEMASUKAN PENGAJIAN TAHUN 2015 DAN KE BAWAH)

Anda boleh mengisi permohonan secara online di pautan berikut :
http://isyura.maiamp.gov.my/fisabilillah/

Dokumen yang diperlukan:
1) Surat pengesahan pengajian terkini.
2) Slip keputusan peperiksaan terkini.
3) Surat pengesahan pendapatan atau slip gaji/pencen ibu/bapa, penjaga.
4) Salinan surat pengesahan tinggal (mastautin) di Negeri Perak.
5) Salinan muka hadapan buku bank.

Permohonan yang telah lengkap diisi (tekan butang PRINT) perlu dicetak satu salinan dan dihantar ke Pejabat Atase Pendidikan Perak.

Sumber : Fb Pejabat Atase Pendidikan Perak

2. Mahasiswa/wi digalakkan untuk mencetak (print) borang permohonan anda untuk simpanan peribadi.

3. Mahasiswa/wi diminta supaya menyelesaikan urusan permohonan dengan kadar SEGERA dan tidak bertangguh bagi melancarkan proses permohonan. Mahasiswa/wi juga diingatkan untuk menyelesaikan urusan permohonan SEBELUM TARIKH TUTUP (9 FEBRUARI 2019).

4. Mahasiswa/wi juga digalakkan agar menyebarkan makluman ini kepada seluruh anak Perak (Pengajian Islam dan Sains Kesihatan).

Sebarang permasalahan dan pertanyaan, sila hubungi :

🔰 Atase Pendidikan Negeri Perak
📍 Encik Mohammed Tasyreef bin Mohamd Tarmizi
📞 +201098569800

🔰 Penolong Atase Pendidikan Negeri Perak
📍 Encik Muhammad Fauzan bin Abdul Rahim
📞 +201024825523

🔰 Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019
📍 Saudara Muhammad Fahmi bin Zakaria
📞 +20102294 5138

🔰 Setiausaha HEWI KPIPM sesi 2018/2019
📍 Saudari Hurin Nuur binti Yahya
📞 +201002601681

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

Friday, January 4, 2019

MINDA PIMPINAN | ILMU PENGURUSAN

MINDA PIMPINAN | ILMU PENGURUSAN
Unit Penerangan dan Penerbitan KPIPM sesi 2018/2019

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام
'Kebatilan yang bersistem akan mengalahkan kebenaran yang tidak bersistem'.

Ungkapan yang tidak asing lagi buat kita, menunjukkan peri pentingnya sebuah aturan yang baik atau pengurusan yang sempurna. Bagi sebuah organisasi, perancangan dan penyusunan yang sempurna merupakan salah satu kunci bagi memastikan tujuan dan matlamat yang disasarkan tercapai. Allah S.W.T berfirman :

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

[ Surah As-Saf, Ayat 4 ]

Dalam mendepani zaman yang kian mencabar ini, tidak dinafikan lagi ilmu pengurusan merupakan satu ilmu yang sangat penting untuk dipelajari serta dipraktikkan dalam kehidupan sosial, keluarga mahupun di dalam sebuah organisasi.

Menurut kamus dewan edisi keempat, perkataan mengurus membawa maksud me­ngendalikan sesuatu supaya teratur (sempurna dan sebagainya), namun pengurusan itu sendiri (management) berasal dari bahasa Itali 'maneggiare' iaitu 'menangani' dan kata nama ini diterbitkan daripada perkataan Latin – ‘manus’ (tangan). Perkataan bahasa Perancis 'mesnagement' telah banyak mempengaruhi perkembangan maksud perkataan Bahasa Inggeris 'management' pada abad-abad ke 17 dan 18.

Menurut Profesor Syed Othman Alhabshi pula, pengurusan merupakan suatu proses mendapat dan mencantumkan sumber-sumber kewangan, modal, tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan.

Oleh itu, secara umumnya, pengurusan dapat ditakrifkan sebagai satu kemahiran bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Secara asasnya di dalam sebuah pengurusan yang baik terdiri daripada 4 elemen iaitu :

1) Perancangan.
Merupakan asas pertama dalam menggerakkan organisasi yang mana ia sebagai persediaan awal bagi membentuk kejayaan sesebuah organisasi. Elemen ini akan melihat kepada persediaan dalam menghadapi pelbagai masalah dan cabaran masa depan.

2) Pengorganisasian.
Merupakan rangkaian daripada perancangan kerana ia akan mempengaruhi keberhasilan perancangan yang dilaksanakan. Prinsip ini tertumpu kepada mengenalpasti tenaga kerja mengikut kesesuaian bagi satu tugas tertentu.

3) Pengarahan.
Prinsip ini diperlukan bagi melaksanakan perancangan dan pengorganisasian yang merupakan penggunaan kuasa yang ada pada pemimpin. Kuasa adalah vital bagi membolehkan pemimpin mengarahkan ahlinya untuk menjalankan tugas.

4) Pengawalan.
Merupakan satu proses menentukan tugas yang terdapat dalam organisasi supaya berjalan lancar dan mengikut perancangan yang sedia ada bagi mencapai kepada matlamat utama. Ia berfungsi dalam memastikan ahli dapat mengikut tatacara yang betul.

Di dalam Surah Fatir ayat 89, Allah S.W.T berfirman :

هُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ ۚ فَمَنْ كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُ ۖ وَلَا يَزِيدُ الْكَافِرِينَ كُفْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ إِلَّا مَقْتًا ۖ وَلَا يَزِيدُ الْكَافِرِينَ كُفْرُهُمْ إِلَّا خَسَارًا

Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri; dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah S.W.T telah meletakkan manusia sebagai khalifahnya di muka bumi. Kedudukan ini meletakkan individu untuk menjaga semua kurniaan Allah S.W.T dalam keadaan yang baik. Dengan kewajipan ini juga,  aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kerosakan kepada diri dan orang lain, pembaziran dan pemborosan, pengabaian terhadap sumber-sumber manusia dan lain-lain aktiviti yang seumpama ini adalah dilarang. Status manusia dalam konteks ini diciptakan untuk menjaga kurniaan Allah S.W.T dan bukan untuk mendatangkan kerosakan kepadanya. Penting untuk kita sama-sama menghayati agar dapat mengaplikasikan ilmu pengurusan ini di dalam konteks yang sebenar.

Oleh itu, di peringkat Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir, perlaksanaan sistem pengurusan yang cekap di dalam pentadbiran mahupun program-program amatlah perlu bagi memastikan tujuan dan matlamat perlaksanaan tercapai. Medium pengisian yang diberikan kepada ahli seperti Akademi PESAT dan Pemandu bertujuan tidak lain dan tidak bukan untuk memberi pencerahan dan melahirkan tenaga-tenga pengurus yang mahir kelak dan dapat berbakti kepada Islam, kerana tanpa sebuah penyusunan dan perancangan yang sempurna, perkara tersebut akan mengakibatkan rencatnya gerak kerja lalu menatijahkan objektif atau matlamat sesuatu perkara itu tidak akan direalisasi.

Siiruu 'Ala Barakatillah

Disediakan oleh :
Muhammad Fahmi bin Zakaria
Setiausaha Agung KPIPM sesi 2018/2019

#KPIPMkeluargakita
#BersamaBersatuJayakanUsulKPIPM

BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
"MEMURNIKAN PEMIKIRAN, MELESTARIKAN KESATUAN"

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...