Saturday, August 18, 2012

Mahasiswa Azhari Penyambung Perjuangan Rasulullah S.A.W




Kegemilangan Islam yang termaktub dalam helaian sirah ketika zaman baginda S.A.W adalah suatu bukti yang hebat bagi perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dimana tercatat di lembaran sejarah Islam. Kita dapat jelajahi bagaimana ujian demi ujian yang melingkari di setiap rangkaian dakwah Baginda sehingga Baginda berjaya mengislamkan umat jahiliyah walaupun tanpa mewasiatkan kesenangan, kekayaan dan keselesaan. Masa banyak mengheret beberapa ketamadunan yang unggul tersembam ke bumi. Sebelum kebangkitan Baginda S.A.W lagi sudah banyak terbina kesan-kesan peninggalan daripada ketamadunan dahulu seperti piramid dan Taj Mahal. Bahkan semuanya adalah kesenangan sementara bagi umat dahulu hatta umat Islam di Cordova dan Istanbul.

Islam menyarankan ketamadunan itu sesuatu yang dicita-citakan tetapi semua perkara itu perlu dikuasai oleh umat Islam mengikut garis panduan dari syariat Islam sebagai wasilah untuk mencapai apa yang diinginkan. Perkara yang perlu dicita-citakan adalah redha Allah S.W.T, yang perlu diwarisi dan dicari adalah peradaban budi pekerti dan ilmu ukhrawi yang tonggaknya adalah taqwa di atas segalanya. Contohnya keselesaan, kekayaan dan kesenangan bukanlah cita-cita atau wasiat daripada Rasulullah S.A.W. Ia cuma wasilah untuk mendapat redha Allah Taala.

Sedarlah wahai saudara-saudaraku yang dikasihi, kedatangan kita ke bumi Mesir ini bukan hanya sekadar “melepaskan batok di tangga”, tetapi menggalas satu tanggungjawab yang berat untuk cuba menjadi dae’i dan murabbi yang akan merubah segala kepincangan dan meleraikan segala kekusutan yang berlaku di dalam masyarakat kita di Malaysia.

Para pejuang Allah sekalian, kita diamanahkan oleh Allah S.W.T untuk mengimarahkan bumi ini dengan menyeru perkara kebaikan, mencegah kemungkaran serta menyeru manusia beriman kepada Tuhan sekalian alam. Di samping itu, bulan Ramadhan ini kita dapat mengaplikasikan amar maaruf nahi mungkar sebagai sedekah sebagaimana mafhum daripada Rasulullah s.a.w bahawa amar maaruf adalah antara sedekah seorang muslim kepada saudaranya.

Manusia dengan sendirinya tidak mampu untuk melakukan semua perkara dalam satu masa tetapi dengan wujudnya kesatuan manusia maka setiap manusia itu boleh mendapat pelbagai manfaat dan kebaikan dalam satu masa, inilah kelebihan Islam. Justeru itu, islam menggalakkan hamba-hambanya saling nasihat-menasihati antara satu sama lain. Maka, amar maaruf nahi mungkar adalah wajib terhadap seseorang individu yang melihat kemungkaran. Marilah mengislah diri sendiri dan mengislahkan orang seperti ungkapan Imam As-syahid kita.

Oleh itu, marilah sama-sama kita menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh bagi memenuhi harapan masyarakat terutamanya di Malaysia yang terpundak di bahu kita sebagai seorang mahasiswa Al-Azhar. Justeru itu, gunalah segala kesempatan yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita agar kita tidak menyesal di kemudian hari tanpa bekalan yang cukup untuk mendepani suasana masyarakat yang ada pada hari ini.


No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...