Monday, August 6, 2012

Implikasi Buruk Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah



Telefon bimbit atau telefon mudah alih merupakan alat komunikasi utama untuk masyarakat berinteraksi serta berkomunikasi sama ada dalam mahupun luar negara. Perkembangan dunia teknologi maklumat saban tahun telah menginterpretasi kehidupan individu ke arah lebih tersusun dan sistematik.

Dengan kecanggihan teknologi ini, ianya telah mengubah lanskap dan pola norma kehidupan individu ketika berhadapan dengan seribu satu kecanggihan.

Baru-baru ini kita dihebahkan dengan satu cadangan yang hangat diperbincangkan dalam draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012 mengenai kesediaan pihak kerajaan membenarkan pelajar sekolah membawa telefon dan gajet untuk sesi 2013 atas faktor keselamatan.

Isu ini dikemukakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia,Dr.Wee Kah Siong yang kini sudah  berada pada peringkat akhir sebelum dibawa ke pejabat Peguam Negara untuk diluluskan.

Kita tidak melihat atas faktor keselamatan menjadi kewajaran pihak kerajaan membenarkan membawa telefon bimbit. Kebejatan suasana penggunaan telefon bimbit dalam ruang lingkup golongan yang berstatus pelajar di sekolah hari ini pada tahap yang membimbangkan. Malah pembinaan generasi pewaris negara kelak akan terbantut dan dikhuatiri negara gagal melahirkan generasi yang bakal mewarnai dunia Malaysia kelak.

PMRAM melihat isu ini merupakan virus negatif  sebagai penyumbang serta pembimbing ke lembah keburukan dalam kalangan pelajar. Hakikatnya, keburukan penggunaan telefon bimbit melebihi 80% berbanding kebaikan penggunaannya.

Mutu pendidikan dan pembelajaran akan merosot akibat penyalahgunaan di sekolah. Pelajar yang leka dengan telefon bimbit akan hilang fokus ketika sesi pembelajaran. Akibatnya keputusan peperiksaan merosot bahkan dibimbangi pelajar tersebut  tiada peluang untuk meneruskan pendidikan ke peringkat seterusnya.

Di samping itu, keruntuhan akhlak dan moral akan meningkat disebabkan penyerapan nilai-nilai yang meruntuh pembinaan generasi pembina masyarakat. Malah masalah sosial ini akan memberi tekanan kepada golongan pendidik dan menambahkan lagi bebanan. Implikasinya bukan hanya melibatkan satu pihak sahaja malah banyak pihak  yang akan terlibat sama dalam isu ini.

Justeru PMRAM sebagai sebuah persatuan induk yang menaungi mahasiswa Malaysia di Mesir mengharapkan agar pihak kerajaan mengkaji serta meneliti semula cadangan yang diketengahkan sebelum dilaksanakan di peringkat sekolah.

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

Sumber : pmram.org


No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...