Monday, June 18, 2012

Sabar Menempuh Dugaan



“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan : “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi rajiuun”  [QS Al-Baqarah: 155 - 156]

Siswa siswi dirahmati Allah SWT, untuk mengatasi segala ujian dan cubaan ini, tatkala mendekati usia baligh manusia diberi dua kekuatan oleh Allah SWT. Kekuatan pertama ialah kekuatan hidayah untuk mengetahui kebenaran secara tepat.

Manakala  kekuatan kedua adalah sabar sebagai pelengkap bagi kekuatan pertama yang akan membantu dan menampungnya untuk melawan  hawa nafsu dan godaan syaitan.  Sabar terbahagi kepada 3 bahagian:

1. Sabar terhadap perintah, dengan jalan mentaatinya.
Sabar dalam ketaatan merupakan sabar terhadap tugasan  yang amat berat. Seseorang yang taat dan patuh memerlukan sabar dalam tiga keadaan :

Pertama : Sabar sebelum ketaatan,  iaitu dengan mengikhlaskan niat, sepertimana yang selalu disarankan setiap kali sebelum bermulanya program oleh AJK disiplin. Juga sering kita praktikkannya sebelum mengangkat Takbiratul Ihram. Membulatkan tekad untuk terus jujur dan menepati janji ini amat berat bagi orang yang mengerti hakikat niat dan ikhlas untuk membangkitkan iman. 

Kedua :  Sabar ketika  melakukan, iaitu menjadikan hati  tidak lalai kepada  Allah dan tidak malas untuk menepati pelaksanaan peraturan dan hukum yang Allah perintahkan. Melakukan taat bukan untuk habuan tetapi kerana rasa cinta kepadaNya. 

Ketiga :  Selepas menunaikan taat, hati menuntut  kesabaran yang sangat tinggi  dengan tidak merasa bangga dan mendabik dada kerana  riak dan populariti, sehingga mengakibatkan hilangnya keikhlasan.

2.  Sabar terhadap larangan dan kemungkaran dengan jalan menjauhinya.
Sentiasa sabar melawan kelemahan, kekesalan dan kepayahan  juga merupakan sabar yang amat berat. Seperti yang digambarkan dalam al-Quran berkenaan sabarnya Nabi  Yusuf AS dalam menghadapi godaan isteri al-‘Aziz itu lebih utama berbanding kesabarannya terhadap kejahatan dan tipu muslihat saudara-saudaranya yang mencampaknya ke dalam perigi.

3.  Sabar menghadapi takdir, dengan cara tidak berkeluh kesah
Seseorang tidak boleh merasa cukup dengan satu jenis kesabaran sahaja, kerena ia hidup di antara perintah-perintah yang wajib kita kerjakan dan larangan-larangan yang mesti kita tinggalkan.

Sebagaimana ia juga sentiasa berada di antara ketentuan-ketentuan takdir yang harus kita terima, serta nikmat yang wajib kita syukuri. Kita tidak pernah melepasi dari semua keadaan ini.

Maka sebagai seorang hamba, kesabaran tersebut harus sentiasa kita miliki sampai mati. Kesabaran merupakan satu keadaan  yang sukar dan perlu diusahakan dengan susah payah untuk merasai kemanisannya.

Al-Quran menggariskan  beberapa faktor  dalam  meringankan beban manusia, antaranya :

1. Memahami erti kehidupan yang sebenar.
Kehidupan dunia bukanlah syurga kebahagiaan atau tempat tinggal abadi, tetapi medan pelaksanaan tugas dalam menempuh ujian dan dugaan. Al Qur’an menjelaskan kepada kita bahawa kehidupan dunia penuh kesulitan dan kepayahan. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam susah payah.” (QS Al Balad: 4) 

Allah SWT menciptakan kehidupan dunia ini bercampur baur antara kesenangan dan kesusahan, antara kenikmatan dan penderitaan, antara  kebencian dan kecintaan. Tidak akan ada suka tanpa duka, tidak ada kesihatan tubuh tanpa penyakit, tiada istirehat  tanpa segunung lelah, atau pertemuan tanpa perpisahan, juga keamanan tanpa ketakutan.

2. Yakin akan adanya pahala yang baik di sisi Allah kerana di dalam al-Qur’an tidak ada janji pahala dan ganjaran yang lebih besar melainkan pahala sabar.
Firman Allah SWT: “Dan orang - orang  yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, sesungguhnya akan Kami tempatkan mereka pada tempat yang tinggi dalam syurga, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, itulah sebaik-baik pembalasan bagi orang-orang yang beramal, (iaitu) yang sabar dan bertawakkal kepada Rabbnya.” (QS Al Ankabut: 58 - 59)

3. Beriman kepada takdir dan sunatullah.
Apa yang menimpa diri seseorang bukanlah suatu kesalahan atau kekeliruan atau terjadi secara kebetulan. Semua yang sudah ditentukan takdirNya tidak mungkin salah atau meleset. Takdir Allah merupakan suatu kepastian, baik manusia itu rela menerimanya ataupun menzahirkan kemarahan. Menerima ketentuan, baik dengan sabar ataupun dengan resah gelisah.

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”  (QS Al Hadid: 22 - 23)

4. Yakin adanya jalan keluar dari musibah
Yakin  bahawa akan datangnya kemenangan dari Allah bagi orang-orang beriman sebagai ganti terhadap ujian dan dugaan yang dialaminya, bakal menghilangkan kegusaran hati, menghapus jiwa putus asa, dan percaya akan hadirnya hari esok yang lebih cerah bakal menanti.

Allah mengurniakan setiap insan itu akal untuk berfikir dengan dipandu oleh iman yang sejahtera dalam menelusur sebuah kehidupan yang sementara menuju Sang Pencipta.

"Julang Keilmuan Jana Keizzahan"
"MEMARTABAT KEILMUAN MEMIMPIN KESATUAN"

Siti Hajar Aishah Binti Sakdon
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan
Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2012

Sumber : pmram.org

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...