Friday, June 8, 2012

Al-Quran, Hujan Dan Muktazilah



Sekurang-kurangya, terdapat empat ayat di dalam Al-Quran yang mengaitkan kejadian hujan itu datangnya dari awan-awan yang terbentuk di langit; berdasarkan kepada ayat maksud daripada ayat Al-Quran :

“Dan Dialah (Allah) yang mengutuskan angin sebagai khabar gembira yang datang dari rahmat-Nya hinggalah ia (angin) membawa awan-awanan yang sarat (dengan air) lalu kami siramkannya buat (mana-mana) negeri yang (tandus) mati,”-surah Al-A’raf, ayat 57,

“Tidakkah engkau mengerti bahawa Allah menjadikan awan-awanan itu terhimpun sedikit demi sedikit kemudian menggabungnya (dengan sebahagiannya). Seterusnya Ia menjadikannya satu kepulan raksasa. (Dengan itu) engkau dapat melihat hujan keluar dari celah-celahnya (awan)"-surah An-Nur, ayat 43,

Allah-lah yang mengutuskan angin seterusnya mengocakkan awan-awanan. Kemudian Ia membiarkannya tersedia di langit sebagaimana yang Ia kehendaki dan menjadikannya potongan-potongan kepulan yang banyak. Selepas itu engkau akan melihat hujan turun dari celah-celahnya,”-surah Ar-Rum, ayat 48,

“Dan Allahlah yang mengutuskan angin (untuk kemudiannya) mengocakkan awan-awanan seterusnya Kami perjalankannya ke negeri yang buminya mati. Kemudian Kami hidupkan tanah tadi dengannya (hujan yang turun dari awan-awanan),”-surah Al-Fathir, ayat 9.

Demikian sekaligus memperincikan pengertian datangnya hujan itu dari ‘langit’ seperti maksud daripada ayat Al-Quran :

“Dan Allah menurunkan air (hujan) dari langit kemudiannya menghidupkan tanah-tanah yang (tandus) mati,”- ayat 164 surah Al-Baqarah dan lain-lain.

Ertinya, dapatlah ditentukan pengertian ayat-ayat seumpama ini dengan bahawa hujan itu datangnya dari arah langit di mana hujan tadi berasal dari awan-awan yang berisi titisan air.

Perkara ini sudah pun diperincikan oleh Al-Quran sejak seribu empat ratus tahun dahulu sebelum diterokai oleh ahli-ahli sains dalam seratus tahun ini. Dengan ini membuktikan Al-Quran bukanlah seperti mana-mana kitab agama di dunia bahkan diyakini bahawa ia adalah wahyu dari Allah SWT yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Buktinya kitab suci ini adalah satu-satunya kitab suci yang sentiasa diperbahaskan perkara yang dikemukakannya serta ‘sabar’ menempuh ujian masa walaupun mungkin di peringkat awalnya dikecam dan dikritik kononnya apa yang dikemukakan olehnya itu bertentangan dengan penemuan semasa tetapi akhirnya selepas penelitian dan penyelidikan, kebenarannya diakui oleh semua pihak.

Ketika kajian sains menemukan kitaran hujan yang berasal dari laut atau secara spesifiknya wap-wap air laut yang tersejat ke langit akibat panas matahari lalu berlakulah kondensasi yang membentuk awan-awanan, pada peringkat awalnya kelihatan Al-Quran tumpas di tangan penemuan sains tetapi akhirnya seperti biasa sains kembali akur dengan ‘pendirian’ Al-Quran dengan ‘kesederhanaan’nya yang terlihat melalui konteks-konteks ayat dan kadar-kadar pengemukaannya.

Tujuan Al-Quran menyebutkan sedemikian ialah untuk memperlihatkan kekuasaan Allah SWT seterusnya diakui kekuasaan-Nya dan akhirnya mentauhidkan-Nya. Demikian tidak menafikan wujudnya kitaran-kitaran ataupun peringkat-peringkat kejadian alam yang didiamkan oleh Al-Quran. Ini kerana Al-Quran ialah wahyu pedoman buat manusia yang bergelar mukmin dan bukanlah kitab yang peranan utamanya ialah menyebut-tentukan peringkat-peringkat kejadian alam semata.

Merujuk kepada kitaran hujan ini, ketika Al-Quran menjelaskan kitaran ini, ia hanya ‘memulakannya’ dari awan-awan yang terkumpul di langit. Persoalan dari mana datangnya awan-awan ini didiamkan oleh Al-Quran. Berkemungkinan isyarat halus buat para mukmin, “Cukuplah kitaran hujan setakat ini buat kamu mengakui kekuasaan Allah SWT seterusnya mentauhidkan-Nya,”. Diamnya Al-Quran dalam persoalan ini bukanlah menafikan wujudnya baki-baki kitaran hujan sebelumnya apalagi untuk dikatakan Al-Quran tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Mahasuci Allah daripada bersifat dengan demikian! Adakah mesti Al-Quran menjelaskan semua kejadian-kejadian alam? Jika ia dipenuhi dengan fakta-fakta sains, Al-Quran hanya tinggal menjadi ensiklopedia sains. Ini menyimpang dari tujuan asal ia diturunkan sebagai pedoman sejagat buat para mukmin.

Justeru, itu bukanlah memaksa para mukmin untuk menghentikan kajian sains tentang kitaran hujan setakat peringkat kejadian awan sahaja. Realitinya, sebahagian mufassirin ada membincangkannya. Imam Ibnu Katsir melalui tafsirnya tidak pun menolak terbentuknya awan-awan di langit hasil dari wap-wap air dari laut. Begitu juga Sidi Abdul Qadir Al-Jailani melalui tafsir sufinya secara tidak langsung. Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili pula jelas-jelas mengatakan sumber hujan ini datangnya melalui wap-wap air laut yang tersejat dengan memesrakan penemuan sains ini dengan apa yang diutarakan oleh Al-Quran.

Dari sudut lain, runtuhnya dakwaan yang mengatakan anggapan bahawa hujan itu berasal dari laut atau secara spesifiknya wap-wap air laut adalah pandangan Muktazilah semata-mata! Jika benar, mengapa pula mufassirin seperti Ibnu Katsir, Abdul Qadir Al-Jailani, Wahbah Az-Zuhaili tanpa segan silunya ke arah mendokong kenyataan ini. Jika benar sekalipun ia datangnya dari Muktazilah, ia tidak pun memudaratkan pendokong-pendokong kenyataan ini dari kalangan Sunni. Demikian kerana Muktazilah tidak pernah pun meletakkan bicara asalnya hujan dari laut semata sebagai dasar-dasar akidahnya! Lagipun, akidah jenis apakah yang menjadikan isu datangnya hujan dari air laut sebagai pegangan mereka yang utama? Akhirnya, pandangan ini tinggal menjadi semata-mata pandangan dan bukanlah ciri eksklusif bagi golongan-golongan tertentu. Paranoid terhadapnya pula dilihat sebagai melucukan.

Oleh itu, pentingnya berlaku adil dan waras dalam berfikir. Lebih-lebih lagi jika perkara-perkara yang berkaitan dengan kejadian-kejadian alam yang memerlukan analisa yang halus sebelum membuat sesuatu keputusan. Tidak cukup hanya memetik sepotong dua nas-nas dari mana-mana sumber, ditambah lagi dengan tafsiran yang semberono dan tergesa-gesa tanpa mengambilkira mujmal-mufassalnya, am-muqayyadnya serta mubham-mufassarnya. Lebih buruk, jika disilap tafsirkan kemudian menyalahkan pula penemuan-penemuan yang sudah sekian lama diterima umum. Sepatutnya dinasihatkan juga supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang merugikan Islam.

Wallahu a'lam

Disediakan oleh : 
Mohd Fadhlan Mohd Fadzil
Kuliah Usuluddin, Jabatan Hadis,
Universiti Al-Azhar, Kaherah

**Telah disemak oleh anggota MANHAL PMRAM 2012


Rujukan:

1.Al-Quran
2.Tafsir Ibnu Katsir oleh Imam Ibnu Katsir, Maktabah Al-Iman
3.Tafsir Al-Jailani oleh Sidi Abdul Qadir Al-Jailani, Markaz Al-Jailani Lil Buhus Ilmiyyah
4.Tafsir Al-Munir oleh Dr. Wahbah Az-Zuhaily, Darul Fikr

Sumber : manhal.pmram

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...