Friday, July 17, 2009

Didik Anak Hargai Nilai Kehidupan

SEORANG kanak-kanak Palestin pergi ke sekolah sambil menangis kerana terlambat masuk ke kelas akibat angkara tentera Yahudi yang menahannya di tengah jalan. Sepanjang hari dia menangis pada hal gurunya tidak memarahinya. Selepas puas dipujuk, dia menyatakan rasa kecewanya: “Saya tidak mahu kerana saya datang lambat, rakyat Palestin akan terus merana dan dibunuh Yahudi.
.
Kanak-kanak itu teringat pesan cikgunya kelmarin: “Jika kamu sengaja lambat hadir ke sekolah bermakna kamu melambatkan usaha kemerdekaan negara kita.”
.
Limpahan rasa syukur atas segala nikmat Allah Taala di bumi Tanah air kita. Begitu jauh perbezaan di antara anak di Palestin dibandingkan dengan anak kita. Bukan bermaksud untuk merendahkan usaha ibu bapa di Malaysia yang sememangnya patut dibanggakan dan juga bukan bermotifkan fahaman yang terlalu idealis, jika kita cuba menyelami dasar hati dan bertafakur. Adakah usaha kita sebagai ibu bapa yang soleh sudah cukup sempurna?
.
Lihatlah wajah tak berdosa anak Palestin, dari manakah datangnya sumber kekuatan mereka untuk menghadapi hari-hari yang menyeksakan. Dari manakah mereka memperoleh segenap kekuatan tidak makan dan minum selama beberapa hari kerana sekatan Yahudi? Setebal manakah kesabaran anak-anak itu menggendong mayat adik bayi yang ditembak tepat ke arah jantungnya. Padahal baru saja adik bermain, ketawa dan bermanja di pangkuan abangnya itu. Anak kita juga memiliki hati dan perasaan seperti mereka. Namun, hati jenis apakah yang mampu menguasai zahir dan batin sambil menelan segala kepedihan, melihat ayah dan ibu dibantai di depan mata.
.
Lalu kita memandang wajah anak kita di dalam bilik tidur yang selesa, tiada nyamuk boleh menggigit, bilik yang aman daripada sebarang bentuk kejahatan. Anak kita yang dijaga dengan baik dan kalau boleh jangan disuruh merasai kesusahan, mereka dewasa bersama segala kemudahan dan kesenangan. Jika bukan dengan didikan ibu dan bapa yang beriman kepada Allah Taala, hampir-hampir mereka menjadi manusia yang tak mengerti bagaimana menghargai hidup ini.
.
Saidina Umar bin al-Khattab RA pernah menasihati seorang bapa yang datang mengadu perihal anaknya yang derhaka. Umar berkata: “Sesungguhnya kamu lebih dulu menderhakai anakmu.” Kerana bapa tidak memberi nama yang baik dan tidak pula mendidik anaknya dengan ajaran agama.
.
Sebagai ibu bapa zaman moden, di samping membekalkan anak dengan pelbagai ilmu dan teknologi serba hebat, kita pula dituntut untuk kembali kepada ajaran agama yang kukuh dan relevan sepanjang zaman. Jika boleh, kelebihan ilmu dan kebendaan yang mereka dapat, disempurnakan lagi dengan kekuatan mental dan rohani seperti anak Palestin.
.
Antara sumber kekuatan yang semestinya dibekalkan kepada seorang anak ialah :
.
Kekuatan akidah
.
Kewujudan Allah Taala sepatutnya terang dan nyata dalam kehidupan anak. Wujud rasa dilihat, didengar dan diperhati oleh Allah Taala. Ia harus mula ditanamkan dalam diri anak sejak kecil. Mengenal Allah sebagai Penguasa yang memiliki nama yang indah dan sifat yang hebat akan mempengaruhi jiwa sebagai hamba, bukan sebagai tuan dan bukan pula penderhaka.
.
Satu kisah diceritakan dalam sebuah masjid yang sunyi. Datang seorang lelaki yang mahu bermunajat kepada Allah SWT. Dia melihat seorang kanak-kanak berumur kira-kira 10 tahun duduk di sebelah tiang masjid sedang berdoa sambil mengalir air matanya.
.
Lelaki itu menghampiri dan bertanya:
.
“Wahai budak kecil, siapakah kamu?”
.
Dia menjawab: “Saya yatim piatu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Mahukah kamu menjadi anakku?”

Dia menjawab: “Jika aku lapar mahukah kamu memberiku makan? Dan jika aku tidak memiliki baju bolehkah pula kamu membelikannya untukku?

Lelaki itu tersenyum menandakan setuju. Tetapi ada lagi satu permintaan budak kecil itu:

“Jika aku sakit dapatkah kamu sembuhkan diriku?”

Lelaki itu berkata: “Tidak wahai anakku, aku tidak sanggup.”

Budak kecil itu bertanya lagi: “Apakah kamu dapat menghidupkanku apabila aku mati?

Tentu saja lelaki itu menggelengkan kepalanya.

Anak itu menyambung kata-katanya: “Kalau demikian, biarlah aku bergantung kepada Zat Yang Menciptakan aku. Dialah Allah yang memberiku petunjuk, memberi makan dan minumku. Jika aku sakit Dialah yang menyembuhkanku, Yang Mengampuni segala kesalahanku pada hari penghisaban nanti.”

Kekuatan akhlak
.
Manusia dilahirkan dengan potensi hebat yang menyerlahkan keperibadiannya. Allah Taala membekalkan manusia dengan akal dan hati. Kedua-duanya adalah tenaga dalaman diperlukan untuk memproses perbuatan, tingkah laku dan gerak geri manusia.

Akhlak kita memang berkait rapat dengan hati dan akal. Jika sihat akal dan hati, maka sihat pula perangainya. Seorang anak manusia memproses segala rangsangan yang dilihat, didengar dan dirasa dari sekelilingnya. Dia mempunyai kemampuan untuk meniru apa-apa yang disukai. Justeru menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa menyediakan persekitaran yang bebas daripada unsur negatif.

Ibu bapa juga bertanggungjawab memberi asuhan dan tuntutan akhlak mahmudah kepada anak. Hal ini bukan perkara yang mudah kerana tak kurang ibu bapa yang berpura-pura baik di hadapan anak hanya sekadar memberi teladan.

Ada juga yang tidak peduli dengan nilai yang dibawa masuk ke rumah sehingga anak mencontohi perkara negatif itu. Nasihat memang ada manfaatnya tetapi yang paling berkesan dalam mengajar anak berakhlak adalah dengan menunjukkan bagaimana cara melakukannya, beri teladan yang baik dan bersama-sama melakukannya.
Tidak timbul persoalan munafik dan percanggahan dalam mendidik anak kerana ia akan menyebabkan hilang kepercayaan anak kepada ibu bapa.

Hadis al-Bukhari dan Muslim menyebutkan, antara tanda-tanda hari kiamat adalah ramai anak menderhaka? Apakah ia terjadi kerana ramai pula ibu bapa yang tidak mengerti dan tidak pandai mendidik anak? Hakikatnya, tiada manusia yang sempurna, tetapi perlu berusaha untuk menjadi sempurna.
.
Oleh :
Nornatrah binti Kulop Abdul Rashid
Tahun 4, Kuliah Syariah,
Jabatan Syariah Islamiah,
Universiti al Azhar,
Kaherah,
Unit Bait Muslim
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir

No comments:

Post a Comment

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELAJAR ISLAM PERAK MESIR SESI 2023/2024

LAPORAN | MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE-58 & MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE-36(MAT-58 & MTH-36) KELUARGA PELAJAR-PELA...